Sabtu, 6 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Boleh dilombong 1,000 tahun lagi

Posted:

Boleh dilombong 1,000 tahun lagi

PADA 125 tahun dahulu, nama Sungai Lembing dikenali Barat sebagai perkampungan berbukit yang sangat kaya dengan bijih timah.

Reputasi lombong bawah tanahnya yang pernah diangkat sebagai pengeluar bijih terbesar dunia menjadikan pekan kecil yang terletak 42 kilometer di barat laut Kuantan ini lebih maju dan terkenal berbanding kawasan lain di Pahang.

Malah, ada yang menyifatkan Sungai Lembing lebih dikenali berbanding Kuantan manakala popularitinya sama seperti Singapura ketika itu.

Menurut fakta, lombong bijih bawah tanah di Sungai Lembing dibuka oleh lelaki Cina, Lim Ah Sam pada tahun 1868. Ia kemudian diusahakan secara intensif oleh syarikat yang dikuasai British iaitu The Pahang Corporation Limited pada tahun 1887.

Bagaimanapun, kegiatan perlombongan bijih timah dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1906 sebaik sahaja pengurusan lombong diambil alih oleh sebuah syarikat British, The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

Pada zaman kegemilangannya, Sungai Lembing dilengkapi kemudahan asas seperti sekolah, hospital, balai polis, kediaman tersusun, sistem pengangkutan yang baik dan banyak lagi.

Ikat perut

Namun, harga bijih di pasaran yang jatuh merudum pada tahun 1985 menyebabkan lombong bawah tanah sepanjang 322 kilometer dengan kedalaman sehingga 700 meter itu terpaksa ditutup pada September 1986.


BAHAGIAN muzium yang dibina khas menyerupai keadaan di dalam lombong bijih timah.


"Bila harga bijih jatuh, PCCL tanggung banyak kerugian dan terpaksa hentikan operasinya.

"Bila lombong ditutup dan orang British balik ke England, aktiviti ekonomi di Sungai Lembing yang dahulunya berkembang maju, mula merosot.

"Ramai pekerja lombong terpaksa menganggur dan berpindah ke kawasan lain demi kelangsungan hidup.

"Ketika lombong masih beroperasi, ada lebih kurang 10,000 penduduk di Sungai Lembing dan sebahagian besarnya bekerja di lombong.

"Apabila lombong ditutup, ramai yang hilang pekerjaan dan terpaksa mengikat perut sebelum mendapat kerja baru.

"Hidup pada masa itu memang susah hinggakan ada keluarga yang terpaksa berbuka puasa dengan air kosong dan buah jambu batu," ujar bekas pekerja lombong, Hussin Gapor, 77.

Beliau bagaimanapun sudah berhenti kerja beberapa tahun sebelum PCCL menghentikan oeprasinya.

Lahir dalam keluarga pelombong, Hussin memberitahu, arwah bapanya, Gapor Abu Bakar, merupakan anak kelahiran Sarawak yang merantau ke Sungai Lembing untuk bekerja di situ.

"Menurut cerita bapa yang datang ke sini sekitar tahun 1920-an, selain orang tempatan, ramai orang Sarawak yang datang bekerja di sini, sama ada di lombong, di kilang atau bekerja di pejabat sebagai budak suruhan," ujarnya yang sempat bekerja di empat jabatan berbeza selama 10 tahun berkhidmat di lombong tersebut.

Mendengar pengalaman lelaki ini bekerja di lombong bawah tanah pada tahun 1950-an, rasa kagum menjalar dalam diri.

"Ketika itu, semua pekerja lombong hidup mewah. Makanan, pakaian, ubat-ubatan, malah rokok pun semuanya datang dari England. Kami membelinya di sebuah kedai bebas cukai yang dibina dalam kawasan perkampungan British di sini. Harganya jauh lebih murah daripada yang dibeli di Kuantan.

"Kalau kami ke Kuantan, orang luar memang mudah mengenali orang Sungai Lembing. Kami pakai baju Burdle atau Arrow, seluar Dobi, kasut John White atau Clarks dan menyalakan rokok import.


TEROWONG asal yang menjadi laluan masuk para pekerja lombong suatu masa dahulu.


"Memang bergaya habis. Kalau ada anak dara Sungai Lembing yang dipinang orang, hantarannya juga lebih tinggi berbanding tempat lain," katanya yang diberi gaji 34 dolar British sebulan pada awal tahun 1950-an.

Sebagai hiburan pula, sebuah panggung wayang dibina betul-betul di pekan bagi memberi peluang pekerja dan keluarga menonton filem dari Britain dan Hollywood.

Jawatan terakhir Hussin ialah jurutinjau bawah tanah yang bertanggungjawab memantau keadaan struktur terowong dan memastikan ia selamat dilalui.

"Teknologi perlombongan bawah tanah British memang sangat maju. Mereka sangat peka dengan keselamatan pekerja.

"Keadaan di dalam lombong tidak ubah seperti satu menara yang sangat tinggi, yang dimasuki melalui bahagian atasnya.

"Terdapat lebih 20 tingkat lombong di dalam tanah dan jarak setiap tingkat ialah 30 meter. Di setiap tingkat pula, terdapat banyak cabangnya.

Enam jam

"Empat tahun saya kerja di bawah. Setiap hari, saya akan turun dan meninjau keadaan struktur dan trafik di dalam terowong.

"Namun, seorang pekerja hanya boleh berada di bawah tanah tidak lebih daripada enam jam kerana kekurangan oksigen dan hawanya yang panas boleh menyebabkan pekerja pengsan.

"Disebabkan itu, kami memakai seluar pendek sahaja ketika bekerja di bawah," katanya.

Bagi penyelia letupan terowong, Lee Yon, 71, pengalaman bekerja selama 23 tahun di lombong berkenaan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwanya.

"Ia adalah kenangan yang sangat mahal nilainya. Sebagai penyelia letupan terowong, saya ditugaskan hanya untuk meletupkan terowong.

"Tetapi sebelum itu, saya perlu pastikan struktur batunya kuat dan tiada pekerja berada di kawasan berhampiran.

"Selepas meletupkan batu untuk dijadikan terowong, saya dan seorang rakan British akan memastikan struktur bekas letupan kukuh bagi mengelakkan risiko runtuhan," katanya.

Sebagai pengabdian memorinya sebagai bekas pekerja lombong, Yon menebuk bukit kecil di belakang rumahnya untuk dijadikan terowong mini.

"Saya buat sendiri menggunakan tukul besi dan pahat batu. Terowong yang kecil itu mengambil masa lima bulan untuk disiapkan sementara terowong yang lebih panjang saya habiskan masa setahun untuk menebuknya," ujarnya yang membuka galeri kristal di rumahnya.

Sepanjang lebih 100 tahun beroperasi, dianggarkan lombong ini telah mengeluarkan sebanyak 3 bilion tan bijih timah.

Hussin percaya, berdasarkan pemantauannya semasa bekerja dahulu, masih terdapat banyak bijih yang tersimpan di terowong bawah tanah.

"Saya yakin, jika dilombong 1,000 tahun lagi, bijih di Sungai Lembing belum tentu habis. Percayalah," katanya.

Lombong yang terbiar itu sudah lama ditenggelami air dan tidak boleh dimasuki lagi.

BADRUL Hisham di hadapan terowong yang satu masa dahulu dibina khas untuk mengalirkan air yang dipam dari bawah tanah.


"Di bawah ini, terdapat khazanah bumi Pahang yang tidak ternilai jumlahnya. Sayang sekali, dengan keadaannya sekarang, ia hampir mustahil untuk dikeringkan dan dibuka semula.

"Saya harap, kawasan lombong warisan sejarah ini dapat terus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang," ujar Hussin.

Vanessa si penggerudi

Posted:

Vanessa si penggerudi

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


VANESSA terus memulakan perniagaan sebaik sahaja tamat pengajian di Britain.


VANESSA TSHAI, 31, selesa mengenakan seluar jean serta baju-T ringkas semasa bekerja mahupun berlibur. Malah, pada usia yang masih muda, dia sudah pun memiliki perniagaan sendiri dalam bidang hiasan dalaman.

Walaupun bergelar bos wanita, dia tidak menyerahkan segala urusan bulat-bulat kepada pekerjanya.

Ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Kajang, Selangor baru-baru ini, alat penggerudi elektrik sentiasa ada di tangannya. Vanessa menggunakan alat itu untuk menyiapkan rekaan berasaskan kayu seperti almari dan dinding untuk hiasan dalaman rumah pelanggannya.

"Jangan sangka wanita tidak boleh buat kerja-kerja berat serta rumit yang selalunya dilakukankan kaum lelaki. Saya sebenarnya mahir menggunakan gerudi ini sejak berumur lapan tahun lagi.

Nasi Arab

"Bukan itu sahaja, saya juga boleh menggunakan mesin pemotong serta gergaji elektrik," katanya.

Ternyata, Vanessa teliti dalam kerja menyiapkan rak perhiasan itu.

"Cuma kini saya mempunyai 10 pekerja yang membantu melakukan kerja-kerja sebegini. Jadi, saya boleh menumpukan perhatian pada rekaan serta berhubung dengan pelanggan," katanya.

Keberanian Vanessa berbaloi apabila dia mendapat kepercayaan ramai pelanggan termasuk yang datang dari Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tutur Vanessa, projek rumah mewah di Dubai merupakan yang paling mencabar untuk dirinya.

Ini kerana dia perlu menyiapkan kelengkapan dan hiasan dalaman kediaman yang dibina di padang pasir.

"Selain itu, kos pergi dan balik ke negara itu menelan belanja yang tinggi, jadi hasilnya harus pada tahap maksimum.

"Ini juga dapat membina reputasi syarikat saya kerana Dubai dikenali dengan kemasukan pelbagai pelabur asing dari seluruh dunia. Dengan bantuan rakan-rakan, projek itu dapat disiapkan mengikut jadual," cerita Vanessa.

Mengimbau kembali kenangan menyiapkan projek itu pada tahun 2009, Vanessa berkata, dia tertarik dengan kepelbagaian makanan serta kecanggihan struktur bangunan di negara Arab itu.

"Saya gemar makan nasi Arab. Boleh dikatakan hampir setiap hari.

"Tetapi ia tidak menggemukkan. Rasanya juga enak," katanya.

Wanita ini secara jujur menceritakan bahawa dia bagaimanapun tidak tertarik dengan lelaki Arab yang agak kacak penampilannya walaupun dirinya masih bujang.

Tidak lengkap berbicara dengan Vanessa sekiranya tidak berbual mengenai perniagaannya kini.

Dia menceritakan, perniagaannya bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Metropolitan Manchester, Britain pada tahun 2004.

Sebelum itu, dia memperoleh pengalaman berguna kerana membantu menyiapkan bangunan Royal Bank of Scotland semasa menjalani latihan praktikal dengan Sheppard Robson yang merupakan antara 10 firma arkitek terkenal di London.

"Sebaik sahaja tamat pengajian, saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah bermodalkan sebuah komputer riba.

"Saya berhubung dengan pelanggan yang diperkenalkan oleh rakan-rakan menggunakan e-mel," ujarnya.

Todak

Bercerita mengenai hiasan dalaman, Vanessa berkata, ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Apa yang penting ialah ruang, pencahayaan selain pemilihan warna yang betul untuk hiasan dalaman yang menarik," ujarnya.

Vanessa turut berkongsi mengenai kegemarannya melancong khususnya ke negara seperti Perancis, Itali, Singapura dan negara-negara Asia Barat.

"Melancong bukan sekadar untuk menenangkan fikiran. Saya mempelajari rekaan terkini hotel dan kediaman mewah di negara yang dilawati," katanya.

Jarang sekali wanita gemar memancing tetapi tidak bagi Vanessa yang tidak lepas daripada senyuman ini.

"Saya mula serius dengan hobi memancing sejak setahun yang lalu. Selalunya saya memancing di laut bersama rakan-rakan.

"Kebiasaannya, kami akan menyewa bot untuk tujuan itu. Ia mengambil masa selama beberapa hari di laut. Ikan yang gemar dipancing pula ialah ikan todak dengan lokasinya biasanya di Pulau Pangkor, Perak.

"Ikan todak sifatnya lebih agresif dan gemar melompat tinggi sekali gus membuatkan adrenalin si pemancing memuncak," cerita Vanessa.

Selain itu, dia juga gemar memancing di kolam ikan sewaan sekitar rumahnya.

"Memancing adakalanya memenatkan dan membosankan kerana kita perlu menunggu lama sebelum umpan dimakan ikan ," terang Vanessa.

Genderuwa suami hantu kopek

Posted:

Genderuwa suami hantu kopek

Susunan SYALMIZI HAMID


GENDERUWA dikatakan memiliki fizikal yang besar, berbulu dan berwarna hitam.


TANAH Jawa, Indonesia dikatakan satu-satunya lokasi untuk menemui makhluk halus yang dikenali sebagai genderuwa. Dalam bahasa masyarakat Sunda, ia dipanggil genderuwo.

Menurut catatan orang tempatan, makhluk tersebut merupakan jelmaan jin yang terdapat di kawasan Slogohimo dan Wonogiri, Jawa Tengah serta Kulon Progo di Jogjakarta, Indonesia.

Ia gemar mendiami kawasan sunyi terutamanya tempat berbatu dan berair, pokok besar, bangunan lama dan tempat yang jauh daripada manusia.

Fizikal makhluk ini sering diterjemah seperti manusia atau monyet tetapi saiznya lebih besar, memiliki kulit berwarna hitam kemerahan dan badannya ditumbuhi bulu.

Sering menjadi bahan cerita orang tua untuk menakutkan kanak-kanak dan anak gadis agar mendengar kata di Jawa, genderuwa juga dikatakan boleh berubah rupa.

Selain itu, sesetengah rakyat Indonesia percaya genderuwa merupakan jelmaan orang yang mati yang mayatnya tidak diuruskan dengan sempurna.

Penulis kisah misteri Indonesia, R. P. Suyono dalam bukunya yang berjudul Dunia Mistik Orang Jawa menjelaskan bahawa genderuwa memiliki sifat yang boleh menampakkan diri dalam pelbagai bentuk.

Pada waktu siang makhluk tersebut boleh menonjolkan dirinya seperti ular, buaya, burung pemangsa atau haiwan ganas lain yang sering ditakuti manusia.

"Pada malam hari pula genderuwa boleh berubah menjadi seperti lelaki dan menganggu wanita yang suka berjalan sendirian di kawasan sunyi," ujar Suyono mengenai makhluk kepercayaan agama Hindu dan Buddha itu.

Genderuwa terkenal dengan sifatnya yang gemar menganggu manusia. Masyarakat Jawa percaya bahawa apabila kedengaran seperti sesuatu dicampakkan di atas bumbung rumah, itu adalah angkara genderuwa.

"Makhluk itu memang suka mengganggu manusia dengan cara melempar batu ke atap rumah penduduk kampung atau meludah pada orang dan haiwan dengan air liur sirih.

Isteri

"Orang Jawa percaya apabila lampu yang terpadam dan hidup kembali juga merupakan kerja genderuwa. Ia turut mengetuk dan menggoncang pintu dan tingkap rumah penduduk," katanya lagi.

Biarpun menurut Suyono bahawa genderuwa tidak merbahaya dan sekadar muncul untuk menganggu ketenteraman manusia, namun makhluk tersebut boleh menyebabkan kematian.

Dipercayai bahawa mereka yang terserempak dengan genderuwa akan terkejut kerana ketakutan sehingga akhirnya menemui ajal.

Tambahnya juga, genderuwa mempunyai isteri yang dikenali sebagai wewe gombel. Ia digambarkan sebagai makhluk yang berupa orang tua yang menakutkan.

"Badan wewe kurus dan kerepot. Buah dadanya panjang dan tergantung hingga mencecah lantai. Makhluk itu mencari kanak-kanak pada waktu senja dan disembunyikan di bawah dadanya," jelas Suyono mengenai makhluk yang mempunyai sifat sama dengan hantu kopek yang popular di negara ini.

Menurut versi cerita masyarakat tempatan, genderuwa merupakan lembaga yang memiliki nafsu seksual yang tinggi.

Ia boleh menyamar sebagai suami kepada seorang wanita yang ingin ditidurinya dan melakukan hubungan intim dengan wanita tersebut.

Dikhabarkan genderuwa juga boleh menyebabkan seseorang wanita yang kesepian hamil apabila bersekedudukan dengannya.

"Ia sering mencari wanita kesepian untuk bersama," kata seorang penduduk di Kebumen, Jawa Tengah, Indonesia, Didik Budi.

"Genderuwa berupaya menarik wanita untuk melakukan seks dengannya. Menurut cerita, makhluk itu boleh memberikan kepuasan yang lebih kepada wanita terbabit.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved