Isnin, 15 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ambil risiko seludup barang

Posted:

Ambil risiko seludup barang

BOT-BOT gentian kaca berkelajuan tinggi meninggalkan perairan Iran sebelum berhenti ketika menghampiri kawasan tebing berbatu yang terletak di Semenanjung Musandam, Oman itu. Di atas dek, kelihatan sekumpulan penyeludup warga Iran, sebahagian besarnya merupakan golongan remaja yang sering berulang-alik melalui laluan sempit di Selat Hormuz.

Mereka menyeludup apa sahaja yang bernilai melalui pelabuhan di selatan negara itu bagi mengelak proses duti import. Situasi itu terus berlarutan sehingga ke hari ini, kelibat bot-bot penyeludup boleh dilihat hampir setiap hari di perairan negara berkenaan.

Ia membawa pelbagai barangan daripada minuman ringan sehingga ke telefon bimbit dan kosmetik yang dibeli dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum dijual kepada pedagang di Iran.

Kedudukan Iran yang terletak berdekatan Oman dan UAE, sejarah hubungan perdagangan serta kewangan sedikit sebanyak merancakkan aktiviti penyeludupan. Ia juga merupakan salah satu ikhtiar hidup dalam kalangan warganya bagi meneruskan kehidupan selepas sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya ke atas Tehran.

Ekonomi Iran rancak seketika selepas sekian lama tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa ekoran program-program nuklear yang menyaksikan pertumbuhannya berada pada paras sifar. Impak sekatan itu turut menjejaskan mata wang Iran, rial yang susut dua per tiga daripada nilai asalnya sejak tahun lalu berbanding dolar AS, sekali gus melumpuhkan kuasa membeli sebahagian besar rakyatnya.

PARA penyeludup dari Iran menggunakan negara-negara jiran seperti Oman untuk memasarkan barangan mereka.


"Kami tidak membawa banyak barang hari ini," jerit Ismael, remaja berusia 17 tahun dari atas sebuah bot enjin sangkut berkeupayaan 200 kuasa kuda itu.

Peralatan yang digunakan sahaja sudah mencecah ribuan dolar AS sekali gus membuktikan aktiviti penyeludupan lebih bernilai berbanding risiko cuaca buruk, kapal tangki minyak yang bertali-arus dan ketegasan polis peronda Iran yang melakukan rondaan.

"Sebelum ini kami mampu menyeberang perairan tiga kali sehari. Sekarang, hanya sekali sehari," katanya ketika memusing stereng bot sambil mencari lokasi sesuai untuk berlabuh di kawasan pelabuhan Khasab yang terletak di semenanjung Musandam, utara Oman itu.

Saluran kastam

Beberapa kotak produk pencuci, fabrik dan pakaian diletakkan di atas dok sementara menunggu kenderaan untuk mengangkutnya ke pulau milik Iran, Qeshm, kira-kira 48 kilometer merentasi Selat Hormuz. Selat itu menjadi jalur minyak terpenting dan paling sibuk di dunia yang membekalkan satu pertiga keperluan minyak dunia.

Bagaimanapun para pedagang pula berkata, jumlah kotak yang dihantar berkurangan mendadak berbanding tahun lalu.

Menurut seorang ahli perniagaan tempatan, sebahagian barangan yang hendak dieksport perlu didaftarkan mengikut saluran pihak kastam di Oman, namun tidak semuanya.

"Sebentar tadi berlaku ribut," kata Hossein, pemuda Iran berusia 21 tahun, sejurus tiba selepas dua jam menyeberangi lautan dari sebuah pelabuhan di Bandar Abbas, Iran.

"Pihak polis juga turut kelihatan. Mereka sangat tegas dan mengamalkan rasuah," ujarnya ketika duduk di atas bot sambil melihat laut yang luas di hadapannya.

Selain isu rasuah, para penyeludup turut diancam peluru pasukan keselamatan dan adakalanya terpaksa membuang barangan yang dibawa ke dalam laut, tetapi pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat menyebabkan tugas yang dilakukan lebih berisiko biarpun ia untuk kebaikan.

Pertelingkahan antara Iran dan Barat berpusat di tengah-tengah Selat Hormuz. Ketika ketegangan meningkat tahun ini, terdapat peningkatan kehadiran kapal-kapal perang tentera AS di selat itu di samping kapal-kapal tentera Iran yang memantau pergerakannya.

Sehingga kini, Washington belum mengarahkan tindakan ketenteraan berikutan program nuklear Iran yang dipercayai digunakan untuk penghasilan senjata nuklear. Iran bagaimanapun, berulang kali menafikannya.

Para diplomat Barat berkata, mereka tidak mahu menarik balik sekatan yang dilakukan terhadap perdagangan bagi keperluan barangan asas dan minyak kerana ia merupakan senjata paling berkesan memaksa Iran ke meja rundingan.

Biarpun begitu, rakyat Iran terus bertahan. Para analisis berkata, ekonomi Iran akan terus meningkat pada tahun ini selepas meningkat dua peratus tahun lalu, inflasi kekal sebanyak 25 peratus dan pengangguran pula sehingga 20 peratus.

SEKATAN ekonomi yang dikenakan AS dan sekutunya hampir melumpuhkan ekonomi Iran.


Walau bagaimanapun, ahli-ahli ekonomi berpendapat setakat ini mereka tidak melihat berlakunya kekurangan bahan keperluan asas di negara itu.

Di Oman, sebuah pasar lama di Khasab juga dikenali sebagai pasar Iran, aktiviti perdagangan yang bergantung kepada pengeksportan semula terhadap Iran kini terjejas teruk.

"Kami kehilangan lebih 90 peratus daripada perniagaan," kata seorang ahli perniagaan veteran berbangsa India yang enggan dikenali. Dia telah berniaga di Khasab sejak dua dekad lalu.

"Ia menjejaskan kami. Nilai rial semakin menurun setiap hari dan kami hampir menutup perniagaan," katanya.

Penyusutan riyal

Perniagaannya beroperasi secara sah di Oman. Pengangkutan perniagaan mereka dikendalikan oleh para pedagang yang berpangkalan di Iran dan mempunyai bot-bot laju serta pekerja khusus bagi tujuan itu.

Katanya, mereka membuat tempahan menerusi telefon dan membuat pembayaran di Dubai.

Sebelum kelembapan ekonomi bermula kira-kira enam bulan lalu, secara purata syarikatnya mampu memperoleh keuntungan AS$130,000 (RM399,000) seminggu melalui penjualan barangan makanan dan peralatan elektronik.

Situasi pada hari ini menyebabkan syarikatnya terpaksa bergantung jualan kepada beberapa pejabat kerajaan Oman di wilayah Musandam.

Riyal mengalami penyusutan berterusan sejak beberapa minggu lalu walaupun kerajaan berusaha mengekangnya melalui penubuhan pusat pertukaran yang direka untuk menyalurkan dolar AS kepada pengimport beberapa barangan asas kepada kadar yang lebih murah daripada pasaran.

Biarpun kebimbangan mengenai kemampuan dolar AS semakin berkurangan, kehadiran pusat itu telah menggalakkan perlumbaan mata wang utama yang menyebabkan nilai rial susut sebanyak 30 peratus sejak seminggu lalu.

"Majikan kami tidak boleh menjual barang-barang di Iran mengikut harga sekarang," kata Nader, 32, ketika berdiri di hadapan syarikat ahli perniagaan itu di Khasab.

"Saya tidak boleh mengambil apa-apa ketika ini," katanya.

Pengeksport utama di Iran yang menghantar bot-bot ke Dubai dengan bertan-tan barangan ke Qeshm atau Bandar Abbas juga berhadapan masalah yang sama. Seorang kru warga Iran berkata, mereka terpaksa menunggu sehingga 10 hari sebelum bot mereka penuh berbanding sebelum ini.


LEBIH 35 peratus perdagangan minyak dunia menggunakan laluan di Selat Hormuz.


Di Khasab, warga Iran mengendalikan dok dari dalam pelabuhan utama yang ditutup dengan pagar keselamatan sejak setahun yang lalu, kata seorang penduduk tempatan. Tidak seperti Khasab, ia tidak boleh diakses tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa Oman.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang bot-bot dari Iran yang memasuki bandar itu pada waktu siang, tetapi bukan untuk berlabuh tanpa tujuan. Walaupun aktiviti penyeludupan semakin berkurangan, terdapat perniagaan lain yang berkembang, yang turut menjanjikan pendapatan lumayan.

"Mari lihat kambing-kambing saya," jerit Ismail, sambil menunjukkan lebih 30 ekor kambing biri-biri yang berhimpit-himpit di dalam botnya. Dia dijangka memperoleh kira-kira 2 juta rial (RM500) daripadanya.

Rumah Ibu bantu penagih dadah

Posted:

Rumah Ibu bantu penagih dadah

Kelemahan penyediaan perubatan awam menyebabkan masalah ketagihan dadah di Afghanistan berada pada tahap kritikal.


PERGOLAKAN akibat perang dan krisis politik yang berlaku di Afghanistan menyebabkan ibu bapa Laila Haidari, 35, menjadi pelarian. Dia dilahirkan dan dibesarkan di Iran dan hanya menjejakkan kaki di negara asalnya itu setahun yang lalu.

Nasibnya juga malang. Laila dibesarkan oleh ibu yang tidak berhati perut dan terpaksa menderita selama 13 tahun akibat didera suaminya. Keputusannya untuk bercerai membuatkan Laila dibuang keluarga. Hari ini, dia jarang diberi peluang melawat tiga cahaya matanya.

Laila yang banyak berjuang demi kebebasan hidupnya kini mengerah tulang empat keratnya dalam membela nasib penagih-penagih dadah yang menjadi gelandangan di ibu kota Afghanistan itu.

Sebagai negara yang mencatatkan 90 peratus pengeluaran candu di dunia, Afghanistan masih lemah dari segi infrastruktur perubatan awam. Ketagihan menjadi masalah yang membimbangkan.

Berdasarkan rekod Kementerian bagi Menangani Narkotik negara itu, seramai 1.5 juta penagih dadah dikesan pada tahun 2010 termasuk 1 juta pengguna dadah paling berbahaya seperti heroin dan candu.

Bantu penagih

Dengan kefahaman yang sedikit berkenaan rawatan pemulihan, masa depan penagih dadah di Afghanistan dilihat kelam dan sukar diselamatkan.

Kelompok yang tidak mendapat pemakanan seimbang, sering dipukul dan kerap sakit itu tinggal di bawah jambatan Pul-i-Sokhta yang terletak di Sungai Kabul. Ia juga menjadi destinasi terakhir buat segelintir penagih yang mati kesejukan akibat salji tebal.

Setiap kali Laila melintasi jambatan tersebut, dia mula berfikir jika bekas suaminya membenarkannya menerima pendidikan, pasti dia mampu melakukan sesuatu bagi membantu penagih-penagih malang itu.

"Mother Teresa sentiasa membantu orang ramai, saya selalu mahu menjadi seperti dia. Kemudian saya baca mengenai Gandhi dan Che Guevara yang sering melakukan kebaikan kepada manusia. Kemudian saya bertanya kepada diri, apa yang saya boleh sumbangkan kepada masyarakat?

"Pada hari pertama saya pergi ke bawah jambatan itu, seorang lelaki yang lebih tua daripada saya memanggil saya ibu. Gelaran itu kekal sehingga kini dan diikuti penagih-penagih yang lain," ujar Laila.

Selepas bercerai, Laila datang ke Kabul bagi menghadiri festival filem dan berhasrat untuk memulakan karier sebagai pembikin dokumentari. Bagaimanapun, takdir kehidupannya beralih ke arah yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Mendapat bantuan daripada seseorang yang kemudiannya menarik diri, Laila membina sebuah rumah perlindungan di barat Kabul, yang dikenali sebagai Rumah Ibu. Ia boleh menampung sehingga 20 penagih dadah pada satu-satu masa.

Rumah perlindungan itu diinspirasikan oleh Narcotics Anonymous (NA) yang hanya menggunakan terapi kumpulan tanpa rawatan perubatan.

Jurucakap bagi persatuan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, Jane Nickels berkata, terdapat 60,000 perjumpaan terapi dalam seminggu dijalankan di seluruh dunia.

Namun, daripada 50 pekerja di California, aktiviti-aktiviti NA semuanya dilakukan secara sukarela. Sukarelawan membantu sukarelawan lain, menyebabkan Nickels sukar menyalurkan bantuan secara rasmi kepada Laila atau badan sukarelawan lain di Afghanistan.

Rawatan cara itu bagaimanapun tetap dikritik. Seorang pakar dari Barat di Kabul mengatakan: "Ia tidak bermanfaat, ketagihan adalah penyakit mental yang memerlukan ubat untuk sembuh."

Proses penyembuhan

Namun, kenyataan itu tidak menghalang Laila untuk membantu golongan tersebut. Buktinya, dia telah membantu kira-kira 300 penagih dalam masa kurang daripada setahun.

Kenyataan yang dilontarkan itu tidak boleh diterima memandangkan pihak berkuasa Afghanistan sendiri tidak mempunyai apa-apa maklumat berkenaan rumah perlindungan Laila.

Wakil AFP bertemu 12 penagih dadah yang menjalani terapi bersama Laila dan kesemua mereka dalam proses penyembuhan.

"Ibu kandung saya cuba membawa saya ke beberapa tempat tetapi gagal. Kemudian, saya ditinggalkan," kata Ali, 34, seorang bekas tentera yang menjadi penagih ketika berada di Iran dan memberitahu dia telah bebas daripada dadah untuk tempoh empat hingga lima bulan.

Fatima, seorang anggota polis dalam lingkungan umur 40-an telah meletakkan anak lelakinya di bawah jagaan Laila untuk lebih dua minggu, katanya: "Saya gembira dia mendapat seorang lagi ibu. Dia kelihatan lebih baik sekarang."

Namun, di sebalik semua itu masih tercetus beberapa masalah. Jiran-jiran mengadu tentang bunyi bising pada waktu malam dan tidak menyenangi kehadiran penagih di kawasan kejiranan itu. Mereka menyalahkan Laila yang menetap di rumah perlindungan itu dan menuduhnya sebagai pelacur.

Beberapa bulan lepas, Laila terselamat daripada cubaan membunuhnya tetapi, dalang di sebalik kejadian itu masih tidak diketahui. Dia juga sering kekurangan wang namun itu bukan penghalang.

"Apabila memikirkan kehidupan lalu, saya tahu saya tidak menjalani hidup yang baik. Namun, apa yang telah saya lakukan untuk sembilan bulan bersama penagih-penagih ini amat indah," ungkap Laila. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved