Kosmo Online - Dunia |
Posted: Jolie lawat Libya
MISRATA, Libya - Aktres dan Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie semalam memuji penglibatan luar biasa rakyat Libya dalam perjuangan revolusi di tanah air mereka. Aktres berusia 36 tahun yang popular menerusi filem pecah panggung seperti Tomb Raider dan Mr. & Mrs. Smith itu melawat bandar ini selepas tiba di Libya kelmarin. Sebahagian penduduk Libya yang menjadi pejuang menawan bandar ini selepas pertempuran sengit selama beberapa minggu dalam kemaraan mereka untuk menggulingkan pemerintah Libya, Muammar Gaddafi pada awal tahun ini. Bercakap di lobi sebuah hotel di bandar ini, Jolie memuji pembabitan luar biasa orang awam dalam perjuangan dan pihak berkuasa peralihan yang berusaha untuk membentuk Libya menjadi sebuah negara yang baharu. "Ramai pejuang prorevolusi sama ada anggota tentera mahupun orang awam mengalami kecederaan malah ramai yang turut kehilangan anggota badan tetapi mereka terus berjuang demi masa depan negara dan masa depan anak-anak mereka. Perjuangan mereka luar biasa dan amat menyentuh hati," kata Jolie. Jolie kemudian menaiki sebuah kenderaan utiliti untuk meninggalkan hotel berkenaan dengan diiringi kumpulan pengawal bersenjata menuju ke ibu negara Libya, Tripoli. Rejim Gaddafi tumbang pada Ogos lalu. Gaddafi kini bersembunyi selepas diburu oleh para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu. - Agensi Full content generated by Get Full RSS. | ||
Iran didakwa rancang bunuh duta Arab Saudi ke AS Posted: Iran didakwa rancang bunuh duta Arab Saudi ke AS
TEHERAN - Iran melahirkan rasa marah dan menafikan tohmahan Amerika Syarikat (AS) yang menuduhnya merancang plot pembunuhan duta Arab Saudi ke AS dan menegaskan Washington sengaja menimbulkan ketegangan antara Teheran dan Arab Saudi. Pegawai-pegawai di Teheran menganggap dakwaan yang dibuat kelmarin oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan AS adalah satu situasi yang direka-reka yang bermaksud untuk mengalih perhatian dunia. Iran sebelum ini mendakwa Israel dengan sokongan AS bertanggungjawab ke atas pembunuhan sekurang-kurangnya dua ahli sains nuklear dalam tempoh dua tahun yang lalu. Menurut penasihat akhbar Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad, Ali Akbar Javanfekr, ia merupakan penipuan untuk mengalih perhatian masyarakat dunia daripada masalah dalaman yang dialami oleh AS sendiri. Tambah beliau, kerajaan AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mempunyai banyak pengalaman dalam usaha mengalih perhatian dunia daripada mengetahui masalah dalaman di AS sendiri. Duta Iran, Mohammad Khazaee mengirim sepucuk surat kepada pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Majlis Keselamatan PBB, mengutuk tuduhan yang cukup memalukan itu dan berkata ia adalah satu plot pemikiran yang cukup jahat. Dia turut menuduh Israel dengan sokongan AS, menjadi dalang kepada pembunuhan saintis nuklear Iran. AS kelmarin mendedahkan bahawa ia mematahkan satu komplot yang didalangi pemerintah Iran untuk membunuh duta Arab Saudi ke Washington. Washington juga berjanji akan mengheret Teheran ke muka pengadilan. Jabatan Kehakiman AS mendakwa dua lelaki kerana bersubahat dengan sayap pemerintah Iran untuk membunuh Duta Arab Saudi, Adel al-Jubeir di AS dalam satu serangan bom. "Dakwaan itu menyatakan bahawa komplot ini didalangi, dibiayai dan diarahkan dari Iran serta bercanggah dengan undang-undang AS dan antarabangsa," kata Peguam Negara, Eric Holder. Dakwaan jenayah dikenakan terhadap seorang warga AS yang memegang pasport Iran, Manssor Arbabsiar, 56, dan Gholam Shakuri yang merupakan anggota Pasukan Quds iaitu pasukan elit Tentera Pengawal Revolusi Iran. Shakuri masih bebas dan dipercayai berada di Iran manakala Arbabsiar ditangkap pada 29 September 29 tahun lalu di Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York. Dia dihadapkan di sebuah mahkamah di Manhattan kelmarin. Peguamnya berkata, dia akan membuat pengakuan tidak bersalah sekiranya didakwa. Komplot tersebut didedahkan oleh sumber berbayar AS yang menyamar sebagai anggota sebuah kartel dadah Mexico yang digeruni kerana melakukan banyak pembunuhan termasuk membunuh orang kenamaan. Kedua-dua defendan percaya kartel berkenaan akan membekalkan bahan letupan untuk serangan terhadap Duta Arab Saudi itu. Sementara itu, bekas ketua perisikan Arab Saudi, Putera Turki al-Faisal menyatakan bukti Iran mendalangi plot untuk membunuh duta tersebut adalah kukuh. - Agensi Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Jalan bertukar menjadi sungai
AYUTTHAYA - Thailand semalam mengumumkan satu pertiga daripada wilayahnya akan menjadi zon bencana ekoran banjir besar di negara ini. Tindakan kerajaan itu bertujuan untuk meningkatkan operasi bantuan semasa banjir tersebut meragut 281 orang serta berjuta-juta rumah dan penduduk terjejas. beberapa batang jalan raya di sini juga bertukar menjadi sungai manakala seorang penduduk, Pathumwan Choichuichai berkata, tiada siapa menyangka air banjir akan meningkat tinggi. Beberapa hari lalu, banjir tersebut mengubah Ayutthaya menjadi zon bencana dengan beberapa daerah hanya boleh dihubungkan melalui bot. Imej di bandar ini menyebabkan penduduk Bangkok bimbang ibu kota Thailand tersebut akan dilanda banjir. Penduduk yang panik telah membeli semua barang makanan di pasar raya semalam termasuk air botol serta mi segera. Beg-beg pasir juga disimpan di sekitar beberapa hotel mewah bagi persediaan menghadapi banjir. - Agensi Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan