Kosmo Online - Urban |
Posted: 10,000 orang menari serentakOleh NIZHA PERIASWAMY SEKITAR pukul 5.30 petang pada 24 September lalu di tengah-tengah kesibukan pusat komersial di ibu negara, sebuah lautan manusia yang rata-ratanya remaja sudahpun tertunggu-tunggu saat memulakan langkah tari. Jalan sepanjang Bukit Bintang, simpang menuju ke Jalan Pudu berhadapan Dataran Maybank sudah ditutup sejak awal pagi hari itu untuk memberi ruang kepada acara tarian mob terbesar anjuran syarikat minuman F&N. Dengan mengenakan pakaian dan topi rona hitam dan oren iaitu warna identiti jenama tersebut, ada juga peserta yang memegang belon F&N berbentuk silinder panjang. Jelas sekali, warna oren 'menguasai' sepanjang jalan raya paling popular itu. Tidak cukup dengan itu, wakil dari pihak F&N dan artis-artis jemputan malah pengunjung juga mengenakan topi berwarna sama. Ini disertai dengan penglibatan pelancong asing yang tidak ketinggalan memberikan sokongan di lokasi strategik di jantung Kuala Lumpur itu. "Menarik sekali, ini seperti satu sambutan yang hebat," kata seorang pelancong dari Belanda, Steve Envik, 37. Sebelum persembahan kemuncak, kira-kira pukul 6 petang, pihak F&N telah membariskan pelbagai acara sepanjang hari. Ia bagaikan satu hari untuk remaja mencuba, mendekati dan mendedahkan diri mereka dengan pelbagai acara jalanan. Acara dimulakan dengan cabaran tarian Bboy, aksi lincah parkour, cabaran beatbox dan tarian Kinect serta beberapa aksi tarian besar-besaran sebelum diakhiri dengan acara kemuncaknya, tarian mob sebenar. "Pesta Big Fun Fest yang diadakan tahun lalu merupakan kejayaan yang hebat dan menggamit keceriaan menerusi formasi bentuk smiley manusia pertama di Malaysia. "Tetapi, tahun ini kami memberi satu lagi kejutan dengan kejayaan tarian mob terbesar di Malaysia," kata Penolong Pengurus Besar Pemasaran Jenama F&N Malaysia, Jenny Wong. Ekspresi ceria "Menari adalah ekspresi kegembiraan bagi seluruh masyarakat dunia dan ia menjadikan tahap keceriaan F&N itu lebih besar dan lebih baik. Ia sekali gus membolehkan semua orang menikmati dan berkongsi keseronokan jenama kami," ujar Jenny. PENYERTAAN yang sebegitu ramai untuk acara ini sememangnya membawa mesej gaya hidup sihat dan juga perpaduan komuniti. Pesta F&N Big Fun Fest 2011 telah terbukti sebagai satu lagi himpunan anak-anak muda yang amat menghiburkan di samping mencatatkan rekod tarian mob terbesar. Pelbagai aktiviti dijalankan sejak awal tengah hari hingga lewat malam, demi mengekalkan aura dan kehangatan penyertaan remaja-remaja tersebut. Program itu diadakan bertujuan untuk mengumpul remaja-remaja di bawah satu tarian mob terbesar selain mendedahkan remaja dengan gaya hidup sihat. Tidak ketinggalan F&N juga ingin melebarkan pengaruh jenamanya agar lebih dekat dengan golongan muda. Malah melalui penglibatan ribuan remaja itu, ia berjaya mencatat rekod sebagai tarian mob terbesar di negara ini. Pada hari berkenaan juga, pelbagai aktiviti yang melibatkan remaja dapat disaksikan. Ramai yang seronok berlatih dengan langkah-langkah tarian F&N yang disusun atur khas oleh pereka tari, Alam Wakaka. Ada pula sekumpulan remaja yang menggunakan ruang dijalan itu untuk menunjukkan bakat masing-masing dalam tarian, seni pertahankan diri, akrobatik dan lain-lain aktiviti. Sementara itu, skrin besar yang ditempatkan di atas pintu masuk Maybank di Bukit Bintang tidak kurang menarik perhatian pengunjung. Ini kerana ia sentiasa mengulangi langkah tari untuk rujukan para pengunjung yang mahu mencuba tarian F&N. Menariknya, orang ramai akan merasakan seolah-olah menari dalam kumpulan yang saling mengenali, sedangkan mereka sebenarnya hanya ditemani kawan-kawan maya dalam skrin tersebut. "Ia sudah ditempatkan sejak 10 September yang lalu dan memainkan lagu dan tarian mengikut jadual sepanjang tiga hujung minggu," kata Jenny lagi merujuk kepada lagu F&N berentak riang selama dua minit itu. "Kami selalu datang ke Jalan Bukit Bintang pada hujung minggu. Perhimpunan ini sangat hebat dan kami berbangga menjadi antara peserta yang mengambil bahagian," kata sekumpulan remaja yang sanggup datang dari Bandar Menjalara, Kepong. Tarian untuk semua Alam Wakaka atau nama sebenarnya, Mohd. Haslam Abdul Rahman, 25, adalah figura yang bertanggungjawab di sebalik tarian yang disertai lebih 10,000 orang di acara tarian mob, F&N saban hari.
"Saya rasa bangga dan gembira sebaik tarian itu dilakukan dengan jayanya. Saya juga berterima kasih kepada semua atas semangat dan kerjasama dalam menjayakan tarian mob terbesar ini," kata Alam bangga. Alam ialah seorang pereka tari yang terlibat dalam tarian secara bebas sejak kecil. Tetapi, semenjak tahun 2006, Alam mula melibatkan diri sebagai pereka tari dalam acara, iklan dan pertandingan. "Titik perubahan terbesar dalam karier saya ialah selepas memenangi pertandingan tarian So Do You Think You Can Dance yang dianjurkan di saluran 8TV. Sejak itu saya terlibat secara komersial," ujarnya. Pada 24 September lalu, Alam membuktikan kemampuannya untuk melatih orang ramai secara maya dan menerusi laman sosial melalui tarian F&N. "Saya didekati F&N beberapa bulan lalu dengan rancangan acara ini. Selepas tiga kali mempamerkan langkah dan membuat perubahan langkah tarian, ia diluluskan," kongsi Alam. Katanya, ia bukan semudah yang dilihat kerana Alam perlu memastikan tarian itu boleh diterima orang ramai, mudah dilakukan, mampu mengekalkan suasana teruja dan disukai semua orang. Walaupun tarian yang menggunakan konsep tarian moden itu mengulangi beberapa pergerakan seperti menepuk tangan, memusingkan badan dan mengangkat tangan, ia direka mengikut kesesuaian rentak pantas lagu. "Hanya tarian dengan langkah mudah boleh dilakukan oleh semua orang tanpa mengira bangsa, usia, budaya dan latar belakang. "Sekadar menggerakkan badan mengikut rentak adalah satu tindakan universal. Oleh itu, saya berpendapat tarian mob ini satu usaha yang murni demi menggalak penyatuan dan perpaduan," ulasnya. | ||||
Keamanan dari kaca mata wanita Posted: Keamanan dari kaca mata wanitaOleh NIZHA PERIASWAMY
PADA tanggal 8 September 1957, Presiden Kedua Soka Gakkai, Josei Toda membuat pengumuman yang bersejarah iaitu mengisytiharkan gesaan penghapusan senjata nuklear. Tuntutan Toda dan seruan sepanjang hayat beliau untuk keamanan yakni menghapuskan penderitaan daripada dunia telah turut disuarakan oleh Presiden Soka Gakkai Antarabangsa (SGI), Daisaku Ikeda dan ahli-ahli SGI di 192 negara di seluruh dunia. Sebagai memperingati 8 September sebagai titik permulaan Gerakan Keamanan untuk Soka Gakkai, Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Kuala Lumpur telah menamakan bulan September ini sebagai Bulan Keamanan. Ia seiring dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum terhadap keamanan, menghasilkan satu era yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan menyeru masyarakat umum untuk turut serta membina Malaysia yang harmoni. Menyerap semangat yang sama beberapa orang wanita mengambil inisiatif untuk mempamerkan hasil seni mereka dengan tema keamanan iaitu, Keluhuran Damai-Pameran Artis Wanita Malaysia. Pameran yang diadakan sejak 10 hingga 25 September lalu di Wisma Kebudayaan Sokka Gakkai di Kuala Lumpur itu melibatkan sejumlah besar artis seni wanita berbilang bangsa, usia dan latar belakang. Ia menyaksikan kepelbagaian cita rasa seni disatukan di bawah satu pentas iaitu untuk menyatakan sentimen mereka terhadap keamanan dan kehidupan. Ia juga seiring dengan harapan wanita-wanita tersebut untuk mencipta keamanan di bumi Malaysia. IMEJ yang menggambarkan beberapa tangan bersatu ini ialah hasil lukisan Cheong Mei Fong dengan tema Jion Forces. "Pameran seni ini mengumpul 32 orang artis wanita yang berusia di antara 19 hingga 85 tahun dengan 60 koleksi seni. Mereka bergabung di bawah nama dua galeri iaitu June Art Space di Petaling Jaya dan Island Gallery di Pulau Pinang," kata pemilik galeri June Art Space, June Yap Yu Dan, 59. Ketika ditemui, beliau turut menyampaikan rasa keterujaan terhadap kerjasama dengan pihak SGM bersama menyemarakkan lagi bulan keamanan Sokai Gakkai. "Kerja seni ini dikumpul sejak tiga hingga empat bulan yang lalu selepas pihak SGM mendekati kami berkenaan pameran keamanan," ujar June. Katanya, tema keamanan yang disarankan pihak SGM bukan sekadar sesuai untuk bulan September Soka Gakkai tetapi, amat seiringan dengan situasi pada masa sekarang. Dalam pada itu, June turut mempamerkan salah satu lukisan yang beliau merasakan amat menepati tema keamanan iaitu lukisan wau dalam latar geometri. "Dua tahun yang lalu, saya berpeluang melihat pertandingan wau di Vietnam. Saya lihat betapa wau dapat menyatukan orang ramai. Semua orang sangat gembira dan bersama-sama bermain wau. Saya melihatnya sebagai satu ruang keamanan. Itu sebabnya saya pilih subjek wau bagi lukisan ini," kata June yang turut mempamerkan sebuah lagi lukisan bertajuk Cintai Hutan Kita Kerana Memberi Kita Kehidupan. Seorang lagi pelukis dari Island Gallery di Pulau Pinang, Cheong Mei Fong, 60, juga menyampaikan rasa keghairahan yang sama seperti artis-artis lain kerana dapat turut serta dalam pameran ini.
Bermula sebagai seorang pereka barangan kemas, Mei Fong cuba membuat arca dan kini beliau juga turut melukis di atas kanvas. "Apabila saya melihat kerja seni kanvas yang besar, lazimnya ia didominasi oleh artis lelaki. Oleh itu saya membuka ruang kepada artis wanita turut serta mempamer kebolehan mereka melibatkan diri dalam lukisan kanvas bersaiz besar," kata Mei Fong menjadikan tangan sebagai signatur lukisan beliau. Pelawaan SGM digunakan secara baik demi tema keamanan di samping mengetengah kemampuan artis-artis wanita. "Saya baru mula melukis sejak enam tahun dulu. Sebagai seorang guru seni, saya berpendapat saya harus meluahkan rasa harmoni, keamanan dan kesaksamaan di atas kanvas. Pameran seperti ini salah satu platform yang sesuai untuk berbuat demikian," ujar Grace Chong, 43, pula. Pameran Keluhuran Damai-Pameran Artis Wanita Malaysia itu selain mengetengah lukisan minyak atas kanvas, turut membariskan karya-karya akrilik, cat air, lukisan seni dakwat, seni batik dan seramik. | ||||
Posted: Pusat komersial lengkap
PERMINTAAN yang tinggi terhadap pusat komersial dan kediaman di ibu kota, terutama di Jalan Kuching berjaya mengembangkan sektor hartanah di situ. Boulevard Business Park, sebuah pembangunan mercu tanda baru di Jalan Kuching, Kuala Lumpur yang menepati keperluan generasi masa depan yang semakin berubah. Bersesuaian dengan keperluan semasa, syarikat hartanah Magna Prima telah menggabungkan reka bentuk yang moden tanpa menjejaskan fungsi untuk menghasilkan produk yang menarik dari segi estetika serta mesra insan. Pejabat kedai di Boulevard Business Park @ Jalan Kuching, yang dijangka siap pada 2013, adalah komponen pertama projek gaya hidup tiga dalam satu yang bakal dilancarkan oleh Magna Prima Berhad. Sebagai lambang konsep hibrid moden dan bergaya, Boulevard Business Park menggandingkan pejabat kedai biasa dengan kawasan beli-belah berkonsep riadah dan kondominium servis untuk mewujudkan persekitaran hidup, kerja dan riadah yang serba canggih. Projek pembangunan yang terbentang seluas 4.14 hektar itu mempunyai nilai pembangunan kasar RM572 juta, dengan dua lagi komponen pembangunan iaitu gedung membeli-belah dan satu blok kondominium servis meliputi 288 unit. Pangsapuri itu dijangka dilancarkan dalam tempoh beberapa bulan ini dengan kapasiti tempat letak kereta yang mencapai kira-kira 2,000 lot. BOULEVARD Business Park yang dipercayai bakal menjadi ikon komersial dan gaya hidup bandar raya Kuala Lumpur. Menambah nilai komersial, pejabat kedai empat tingkat di bangunan itu kelak akan dilengkapi dengan lif yang menghadap Jalan Kuching. Bangunan komersial rendah tersebut merangkumi 94 unit pejabat kedai yang dijual dijual pada harga RM550,000 ke atas. Setakat ini, lebih 75 peratus pejabat kedai empat tingkat di Boulevard Business Park, Jalan Kuching sudah dijual dalam masa hanya beberapa minggu selepas pelancarannya. "Mereka yang berminat untuk membeli pejabat kedai ini boleh mengambil kesempatan daripada pinjaman tanpa faedah selama dua tahun daripada bank terpilih menerusi Skim Faedah Tanggungan Pemaju (DIBS) dan juga yuran guaman percuma. Promosi ini hanya ditawarkan untuk tempoh yang terhad," kata Pengarah Eksekutif, Magna Prima Berhad, Datuk Rahadian Mahmud. Beliau juga yakin, bahawa pembeli pasti akan menyukai dan berbangga untuk menjadi sebahagian daripada komuniti pembangunan itu. "Ini kerana, pembangunan ini membuka pelbagai peluang perniagaan kerana terletak di kawasan kepadatan tinggi yang urban. "Sambutan luar biasa terhadap pejabat kedai Boulevard Business Park juga jelas menunjukkan bahawa terdapat permintaan tinggi bagi pembangunan bersepadu moden yang dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya dan dilengkapi kemudahan pengangkutan awam," tambahnya. - NIZHA PERIASWAMY |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Urban To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan