Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Baca@ LRT acara sulungOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR DI satu sudut sebuah kedai buku, kelihatan sekumpulan anak muda tekun meneliti dan membelek beberapa buah buku yang berada di hadapan mereka. Kebanyakan mereka memilih buku bergenre serius seperti motivasi, perniagaan, sastera dan sebagainya. Malah, wajah masing-masing juga begitu teruja apabila melihat deretan buku koleksi terbaharu yang dipamerkan di rak-rak buku kedai tersebut. Satu persatu buku itu dicapai lantas lembaran demi lembaran diselak bagi mengetahui sekali imbas tentang kandungan yang terdapat di dalamnya. Sesekali ada dalam kalangan mereka yang berkongsi buku yang diminati sambil melahirkan pendapat mengenai keistimewaan karya penulisan berkenaan. Itu antara situasi spontan yang dapat disaksikan apabila insan-insan penting sebuah gerakan bawah tanah dikenali sebagai Baca@ yang bermatlamat mengajak masyarakat menyuburkan tabiat membaca tanpa mengira usia berkumpul di bawah satu bumbung. Salah seorang pengasasnya, Zamri Mohamad, 32, berkata, gerakan Baca@ merupakan satu idea spontan yang timbul sewaktu mengadakan perbincangan ringkas bersama rakan-rakan di sebuah bilik latihan kecil Learning Station di Wangsa Melawati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur awal Januari tahun lalu. Dalam perbincangan tersebut, mereka sepakat memilih pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai wadah atau platform untuk memulakan gerakan murni itu. "Perkataan LRT timbul dalam perbualan membabitkan isu-isu sekitar yang berbangkit dan berkaitan mencipta satu kelainan positif dalam masyarakat. Satu kelainan yang baik dan memberi kesan positif pada semua. Juga satu kelainan yang mendorong orang lain bersama-sama dalam satu kumpulan untuk menyuarakannya. "Daripada situlah lahirnya gerakan Baca@LRT iaitu satu usaha gila-gila yang melibatkan penggemar buku dan pendukung bahan bacaan berkualiti mempromosikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat," jelas Zamri yang merupakan penulis buku sepenuh masa dan pengasas kursus penulisan.com ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini. Keberanian luar biasa Selain Zamri, gerakan tersebut turut diasaskan oleh Irfan Jani, 32, pemilik syarikat penerbitan Mazni Irfan Sdn. Bhd., Izwan Wahab, 32, seorang pengatur cara sistem dan Haeqal Zulkarnain, 31, yang bertindak sebagai pengarang. DUA kanak-kanak ini tekun membaca buku di perpustakaan Rumah Anak Yatim Nurhidayah di Taiping, Perak yang disediakan oleh gerakan Baca@. Bagi mereka berempat, kempen membaca sebenarnya memerlukan suntikan lebih segar, bersifat spontan dan diadakan tanpa acara rasmi seperti memotong reben, menjemput tetamu kehormat dan sebagainya. Sebaliknya, ia satu usaha gila-gila yang memerlukan keberanian luar biasa untuk melakukannya bersama bagi memberi mesej jelas kepada orang ramai terhadap apa yang mereka percaya. Rentetan daripada itu, rangkaian laman sosial Facebook menjadi platform gerakan ini diasaskan dengan penganjuran acara sulung Baca@LRT pada 16 Januari 2010 yang mencatat sejarah tersendiri. "Walaupun kami hanya menyasarkan 70 peserta untuk hadir dalam aktiviti sulung membaca di dalam LRT, tetapi jumlah yang hadir melebihi jangkaan. Seramai 150 peserta hadir memberikan sokongan. Acara itu bermula dari terminal LRT Putra, Gombak ke stesen Kelana Jaya," terang Zamri sambil memberitahu tagline gerakan Baca@ adalah Membaca itu Cool. Rentetan daripada sambutan yang menggalakkan terhadap kempen membaca tersebut, beberapa individu kemudian tampil dengan idea mengasaskan kumpulan tertentu di bawah gerakan Baca@ bagi meluaskan lagi ruang lingkup mereka. Ruang bacaan Ini termasuklah penubuhan kumpulan Baca@Komuter, Baca@Sekolah, Baca@Masjid, Baca@Perhentian Bas, Baca@Hutan dan sebagainya. Bagi Azzah Abdul Rahman, 32, pengasas kumpulan Baca@Komuter dan Baca@Sekolah, dia banyak menggerakkan kumpulan ini di sekitar Negeri Sembilan. "Program Baca@Komuter contohnya diadakan sebagai sambungan daripada projek Baca@LRT yang khusus untuk masyarakat di bandar. Tetapi di dalam komuter yang menghubungkan antara bandar, masa penumpang berada di dalamnya lebih panjang. "Acara pertama di bawah gerakan Baca@Komuter telah kami anjurkan pada 20 Februari 2011 dengan perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur Sentral dan KLCC. Program ini kami adakan dengan kerjasama Kelab Tidur Dengan Buku (KTDB)," jelas Azzah yang juga merupakan seorang penulis. GERAKAN Baca@ ditubuhkan dalam usaha menggalakkan masyarakat agar menyuburkan budaya membaca tanpa kempen bersifat rasmi. Tambahnya, melalui kumpulan Baca@Sekolah pula, ia mempunyai objektif untuk membantu rumah-rumah kebajikan mewujudkan ruang bacaan mereka sendiri. Melalui kumpulan ini, mereka berjaya melaksanakan dua program amal iaitu di Rembau, Negeri Sembilan dan Yayasan al-Jenderami di Selangor. "Melalui program tersebut, kami menyumbang buku daripada dana kutipan sendiri dan sumbangan syarikat tertentu. Apa yang pasti, pihak kami akan memberi buku-buku baru kepada mereka kerana mahu mewujudkan ruang bacaan terbaik untuk anak-anak tersebut. "Dalam konteks sumbangan, kami tidak menerima wang tunai sebaliknya hanya buku semata-mata. Jika mahu melihat aktiviti kami, anda boleh berbuat demikian dengan melayari Facebook/baca@sekolah dan baca@komuter," kata pemilik kedai buku BACHA di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu. Sementara itu, Asyraff Hafdzan Abdullah, 29, memberitahu, apabila melihat kejayaan rakan-rakan dalam gerakan Baca@ ini, dia terus mendapat idea untuk mewujudkan pula kumpulan Baca@Masjid. Ujar Asyraff, dia mendapat inspirasi daripada seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Ibu Kartini yang berusaha membina sebuah masjid di Johor. Kegigihan wanita itu berusaha selama lima tahun akhirnya membuahkan hasil dan dia berjaya mendirikan sebuah masjid yang diimpikan. Melabel buku "Kisah ini diceritakan oleh sahabat saya, Irfan Jani dan selepas mengadakan perbincangan di koridor sekolah, saya terus mendapat ilham untuk menubuhkan gerakan Baca@Masjid bermula Disember tahun lalu," katanya. Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah projek menyusun dan melabel buku di Masjid Bukit Indah, Ampang. "Kita sedia maklum buku-buku agama mempunyai pelbagai bidang dan disiplin. Jadi, ia memerlukan kepada kepakaran untuk menyusun bahan bacaan tersebut untuk kemudahan para jemaah. "Aktiviti ini turut dibantu oleh sukarelawan dan ahli kumpulan Baca@Masjid. Mereka juga ada menyumbang beberapa kotak buku bercorak agama kepada pihak masjid," tutur Asyraff. Bagi perancangan akan datang, pihaknya akan cuba mewujudkan skim wakaf Baca@Masjid kepada mereka yang berminat. Cuma, ia bukan sekadar mewakafkan al-Quran atau buku-buku agama tetapi juga melibatkan barang keperluan seperti sejadah, telekung atau kit pengurusan jenazah. Seorang lagi rakan Zamri, Iskandar Syah Ismail, 35, pula bertindak mengasaskan penubuhan perpustakaan sebenar di rumah-rumah anak yatim bermula sejak tahun 2007 dengan cara menyumbang buku. Hingga kini, mereka telah berjaya menyiapkan sudut perpustakaan di 16 buah rumah anak yatim di seluruh negara. |
Posted: Populariti forcado wanitaPARA pelawan lembu ini sedang berdoa sebelum menyahut cabaran pertandingan. USIANYA baru mencecah 17 tahun. Tetapi, nama Susana Frieza kini mula menjadi sebutan ramai apabila menjadi pengasas kepada sekumpulan wanita forcado yang menundukkan lembu jantan dengan tangan kosong. "Sebagai wanita, perasaan takut pastinya ada. Namun, kita dapat belajar mengawal perasaan takut dan kemudian ia menjadi semakin mudah. "Tiada perasaan yang dapat dibandingkan dengan pengalaman berdepan dengan seekor lembu jantan seterusnya berjaya menundukkannya," kata Frieza, gadis kelahiran Benavente, sebuah pekan kecil di bahagian tengah Portugal yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Lisbon. Ternyata kemahiran dan kebolehan luar biasa Frieza berjaya menarik perhatian peminat sukan ekstrem tersebut. Perlawanan menentang lembu jantan dalam kalangan rakyat Portugal adalah berbeza dan kurang ngeri berbanding di Sepanyol yang memerlukan matador menikam mati lembu jantan tersebut jika mereka berjaya memenangi pertandingan. Tanpa senjata Dalam acara melawan lembu di Portugal, lapan orang forcado lelaki mencabar lembu jantan secara langsung tanpa sebarang senjata di tangan mereka. Selain itu, bagi mengelak sebarang kecederaan teruk, tanduk lembu jantan berkenaan akan dibalut dengan kulit. Lelaki di bahagian hadapan akan melakukan provokasi ke atas lembu jantan untuk menarik perhatiannya atau disebut pega de cara (tangkapan muka). Kemudian, dia akan mengikat kepala lembu dan rakan yang lain cuba menjatuhkan haiwan tersebut. Sukan itu dikendalikan oleh persatuan amatur. SEORANG forcado wanita sedang menjalani latihan menumpaskan seekor lembu jantan. Selain Frieza, ayah dan abang sulungnya juga merupakan forcado. Dia pernah berjaya menjinakkan seekor lembu jantan buat kali pertama pada usia 12 tahun apabila dibawa ke sebuah karnival tempatan oleh abangnya, Luis. "Dalam sebuah pertandingan kecil-kecilan yang dianjurkan dengan perkampungan bersebelahan, mereka membuat keputusan untuk meletakkan seorang gadis kecil untuk berhadapan dengan seekor lembu jantan. "Siapa sangka akhirnya adik saya berjaya memenangi perlawanan tersebut," jelas Luis, 23, sambil ketawa apabila mengenangkan peristiwa bersejarah itu. Pada tahun 2008, Frieza mula mewujudkan pasukan forcado yang terdiri daripada golongan wanita. Bermula dengan sekadar mencuba, lama-kelamaan pasukan itu mula menjadi sebutan. Walaupun mereka hanya berhadapan lembu jantan yang lebih kecil dengan berat di antara 200 hingga 300 kilogram (kg) berbanding 500kg atau lebih bagi lelaki, namun reputasi kumpulan tersebut semakin tersebar luas ke seluruh negara. Sejak kemunculan pertama melawan lembu jantan dalam pertandingan antara kampung, Frieza semakin galak menambah rekod kejayaannya. Pada usia 15 tahun, dia berjaya menunjukkan seekor lembu jantan seberat 420kg. Ibunya, Rosalia yang turut berbangga dengan pencapaian Frieza berkata: "Dia akan menutup mulut orang yang mentertawakan dirinya ketika dia dia memasuki gelanggang". "Sukar untuk menggambarkan apa yang saya rasa ketika itu. Ia begitu bermakna," tutur Frieza mengingati saat kemenangannya. Alami kecederaan Bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang dicapai, Frieza tidak terlepas daripada mengalami kecederaan ketika berlawan dengan lembu jantan. FORCADO wanita di Portugal ini bersiap di bilik persalinan sebelum memasuki gelanggang. Bulan Julai lalu, hidungnya berdarah kerana ditendang sebanyak dua kali oleh seekor anak lembu jantan. Namun, kejadian itu bukan penghalang untuknya meneruskan kerjaya tersebut. "Lebih banyak anda cedera, lebih kuat anda berazam untuk menundukkan mereka," tegasnya tanpa rasa gentar. Bagi Clara Pedro, seorang penduduk di Lisbon yang kali pertama mengambil bahagian dalam acara tersebut di Benavente, Frieza dianggap pahlawan wanita yang disanjungi. "Frieza melambangkan keberanian seorang wanita dan dia menjadi inspirasi kepada para wanita di luar sana," ucap Pedro. Perlawanan pertama Pedro yang berlangsung Sabtu lalu tidak berjalan dengan baik. Dia ditendang di bahagian lutut oleh seekor anak lembu jantan seberat 200kg dan perlu dibawa ke hospital. Selain Pedro, Frieza mempunyai puluhan wanita muda yang bersemangat untuk terus beraksi. "Ia satu perkembangan yang hebat. Ia lebih baik dari yang saya fikirkan," ungkap Frieza terhadap sambutan yang diterima daripada wanita yang mahu menjadi forcado. - AFP |
Posted: Ramah raya UP&DHASHIM (berdiri) bermesra dengan tetamu seperti Firdaus (dua dari kanan) dan Zainuddin (kanan) di majlis rumah terbuka UP&D. WALAUPUN 1 Syawal sudah sebulan berlalu namun, kemeriahan Aidilfitri masih terasa melalui rumah-rumah terbuka yang diadakan di seluruh negara. Anak syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) juga tidak ketinggalan menganjurkan Majlis Ramah Raya untuk mengeratkan silaturahim sesama Muslim. Dengan kehadiran lebih 200 tetamu majlis tahunan itu dihadiri oleh kakitangan, penulis, pencetak dan pengedar yang selama ini telah banyak menyumbang kepada kejayaan syarikat dalam mencapai objektifnya. Majlis tersebut diadakan di pejabat UP&D di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur pada 19 September lalu bermula sejak pukul 2.30 petang. Selain pelbagai menu yang terhidang para tetamu juga berpeluang berkenalan dengan penulis-penulis terkenal atau tokoh sastera tanah air dengan lebih dekat. Salah seorang penulis yang banyak berkolaborasi dengan UP&D, Hasma Noor Basir, 66, mengakui banyak pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang bekerjasama dengan syarikat tersebut. Selaku penulis untuk lima buah buku yang diterbitkan oleh UP&D, iaitu Biskut Klasik, Hidangan Tradisi Pulau Pinang, Kek & Puding, Talam Klasik Malaysia dan Kuih Klasik Malaysia, Hasma menyampaikan rasa keterujaan beliau pada majlis tersebut. "Sambutan yang diterima untuk buku-buku tulisan saya amat baik dan menggalakkan. Ini memberikan dorongan dan semangat untuk saya terus berkarya. "Undangan Ramah Raya UP&D hari ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada UP&D yang banyak membantu saya mempertahankan ciptaan Melayu zaman berzaman," ujar beliau. Seorang lagi penulis baru yang turut menghadiri majlis tersebut ialah Azizah Abdul Majid, 70. "Ini merupakan kali pertama saya menyertai majlis Ramah Raya UP&D. Saya berasa gembira dan terharu dengan undangan ini," kata beliau. ZAINUDDIN (kiri) bersalaman dengan kakitangan UP&D pada Majlis Ramah Raya syarikat itu baru-baru ini. Azizah sebelum ini menerbitkan sebuah buku masakan berjudul Masakan Minang bersama UP&D. Bekas guru yang telah berkhidmat selama lebih 33 tahun itu mendapat dorongan menghasilkan buku yang mengandungi 43 resipi lauk-pauk, sambal, sayur, kuih dan kek datangnya daripada ahli keluarga serta rakan-rakan beliau. "Melihatkan cucu-cucu saya menunjukkan minat dalam bidang masakan terdetik hati saya untuk meninggalkan sesuatu sebagai rujukan kepada mereka setelah ketiadaan saya kelak." "Rakan-rakan juga sering meminta resipi masakan Minang daripada saya. Justeru, ia menyuntik semangat untuk saya menghasilkan sebuah buku resipi masakan. Tambahan pula sahabat-sahabat di Utusan Melayu juga banyak mendorong," jelas anak kelahiran Bidor, Perak itu lagi. Penulis-penulis lain yang turut memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Chef Faiz, Yon Abu Bakar, Yahya Salim, Amina Noor dan Sri Rahayu Mohd. Yusop. Sementara itu, Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar berkata, majlis tersebut selain bertujuan merapatkan silaturahim sesama mereka turut diadakan sebagai salah satu platform untuk menjalin kerjasama lebih erat pada masa akan datang. "Saban tahun kita tidak ketinggalan mengadakan majlis sebegini untuk bermaaf-maafan dan mengenali lebih dekat antara satu sama lain. Selain dapat bermesra dan bertukar-tukar pandangan, majlis ini dapat mengumpul pesara yang pernah bertugas di UP&D serta bekas kakitangan yang telah berkhidmat di syarikat UP&D." Antara menu istimewa yang dihidangkan pada Majlis Ramah Raya UP&D 2011 itu ialah kambing panggang, soto, sate, lemang, rendang, rojak, cendol, roti jala dan sebagainya. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; bekas pengerusi UP&D, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan