Isnin, 3 Oktober 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Malu berbibir tebal

Posted:

Malu berbibir tebal

Malu berbibir tebal

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my

BULAN September lalu, pada pertunjukan fesyen musim luruh jenama Gucci, hadirin bukan sekadar menyaksikan himpunan busana menawan malah mereka turut dipamerkan dengan teknik solekan bibir yang mempesonakan.

Kemunculan barisan model profesional yang mengatur langkah di atas pentas peraga tampak menyerlah dengan calitan lipstik warna terang dan gelap.

Teknik solekan bibir tersebut bagai mengembalikan zaman kegemilangan trend solekan bibir tebal yang sebelum ini ditenggelami olesan gincu bibir nuansa lembut dan warna tanah. Segelintir pemerhati fesyen antarabangsa menyifatkan teknik solekan bibir tebal mampu menyuntik penampilan segar dan memukau.

Namun begitu, sehingga kini mereka mendapati segelintir wanita masih gusar mengaplikasi teknik solekan bibir sedemikian kerana bimbang dengan persepsi masyarakat sekeliling. Padahal, jauh di sudut hati, mereka sesekali teringin juga menata rias bibir bak bibir mongel selebriti antarabangsa, Angelina Jolie.

Siapa yang tidak mengenali pembawa watak Lara Croft dalam filem Tomb Raider tersebut? Memiliki bentuk bibir yang seksi dan tebal sudah cukup untuk mengangkat kekasih hati kepada aktor Brad Pitt itu sebagai ikon kecantikan dunia.

Pendek kata, sehingga kini istilah bibir seksi masih kekal di tangan Jolie, yang berusia 36 tahun. Biarpun hari ini industri Hollywood menyaksikan kehadiran pendatang baharu yang jelita dan seksi, ibu kepada tiga orang anak kandung dan tiga orang anak angkat itu tetap berada di tangga teratas.

"Kecantikan bibir Jolie adalah kecantikan semula jadi. Saya pasti dia tidak pernah melakukan sebarang suntikan botox mahupun pembedahan bibir. Lagipun saya pernah melihat gambar Jolie sewaktu dia berusia empat tahun. Bentuk bibirnya dulu dan kini kekal sama.

"Malah isteri saya, Melanie Griffith, pernah memasang impian untuk memiliki bibir seksi seperti Jolie yang mempunyai daya tarikan tersendiri," jelas aktor, Antonio Banderas, yang pernah berlakon bersama Jolie dalam filem Original Sin pada tahun 2001.

Cantik semula jadi

Sementara itu, dalam satu temu bual bersama The Daily Mail, Jolie, yang sebelum ini pernah bergelar model di London, Los Angeles dan New York menyifatkan dia berbangga dengan bentuk fizikal kurniaan tuhan itu.


SARA mula menjadi model pada usia 14 tahun.


Belum pernah terdetik di hatinya untuk menjalani suntikan botox yang bukan saja membazirkan wang malah boleh memudaratkan diri.

Ini terbukti apabila pakar dermatologi Universiti Minnesota, Amerika Syarikat, pernah mendedahkan kekerapan menjalani suntikan botox boleh menyebabkan kerapuhan otot muka, masalah gigi, bibir kering dan ruam kronik.

"Saranan saya kepada semua wanita, cintailah diri sendiri sepenuh hati. Jangan sesekali menyesal dengan apa yang dimiliki kerana setiap individu mempunyai keistimewaan dan kekurangan.

"Paling penting, usah rasa rendah diri kerana penampilan seseorang itu bermula dari dalam hati dan keyakinan diri yang tinggi. Bagi saya, wanita berbibir tebal atau nipis, bertubuh gempal atau langsing, masing-masing mempunyai sisi kecantikan peribadi," tutur Jolie yang selesa mencalit gincu bibir rona natural berbanding nuansa merah terang.

Didakwa suntik bibir

Berbicara bersama model iklan Roshayati Rokbi, 30, atau nama komersialnya Sara, dia pernah berasa malu dan rendah diri dengan bentuk bibirnya itu.

Masih segar dalam memorinya seawal menceburkan diri dalam bidang modeling, dia sanggup memaksa jurusolek mempraktikkan pelbagai teknik solekan agar bentuk bibir yang tebal itu dapat dikecilkan.

"Sedekad lalu, kebanyakan agensi model lebih cenderung memilih model berbibir nipis sehingga saya berasa malu berada di sekeliling mereka. Maka, jalan pintas saya adalah dengan menyapu bedak asas di sekeliling bibir dan melukis semula menggunakan pensel bibir bagi menghasilkan bentuk nipis.

"Kadangkala saya mengeluh kenapa dilahirkan bentuk bibir yang tebal. Tapi, bentuk bibir sebegini sebenarnya diwarisi oleh keluarga ibu, Hatitah Jalil yang berketurunan, Punjabi," jelas Sara yang pernah membintangi iklan Sendayu Tinggi, Electrolux, Anmum, Pos Malaysia dan TM Net.


DIET seimbang turut membantu mencantikkan bibir Sara.


Namun, kini situasi sudah berubah. Ibu kepada seorang cahaya mata itu bersyukur berbibir tebal, apatah lagi melihat segelintir wanita yang sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi mendapatkan bibir yang tebal, seksi dan mongel.

Tidak dinafikan semua wanita mempunyai keinginan untuk cantik, tetapi Sara tidak sanggup menyeksa diri semata-mata untuk cantik biarpun dia kerap disindir melakukan suntikan.

Menyentuh mengenai rejim penjagaan bibirnya, anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu menambah: "Setiap hari saya menyapu pelembap bibir dan minum banyak air putih bagi mengelakkan bibir kering dan mengelupas. Sebelum keluar rumah, saya pastikan bibir sentiasa dilapisi pengilat bibir supaya wajah tampak segar."

Teknik solekan bibir

Memiliki bentuk bibir yang seksi dan tebal pasti menjadi idaman si wanita berbibir nipis. Mereka menyifatkan bibir nipis kurang menyerlah dan perlu berhati-hati tatkala mencalit gincu bibir kerana bimbang olesan menjadi comot.

Secara tidak langsung situasi berkenaan telah mendorong segelintir wanita berbibir nipis mengambil tindakan menjalani suntikan bibir.

Perkara ini diakui sendiri oleh Pengurus Klinikal Jualan Konsultan Clinique, Susan Kaur, yang melihat wanita kini semakin obses menyuntik bibir.

"Hakikatnya, tanpa suntikan, kita boleh memiliki bentuk bibir seksi dan tebal dengan hanya mempraktikkan teknik solekan bibir yang ideal," tutur Susan Kaur ketika ditemui Stailo sambil menunjukkan set bibir jenama Clinique.

Ia terdiri daripada penyamar noda, pelembap bibir, skrab, penanggal solekan bibir dan krim merawat bibir kering dan mengelupas.

Sehubungan itu, bagi membantu wanita berbibir nipis tampil dengan bentuk bibir menawan, Stailo mendapatkan Eksekutif Promosi dan Acara, David Ooi, untuk menunjukkan lima langkah atau tip kecantikan bibir yang mudah diaplikasikan.

Set bergaya jejaka Nixon

Posted:

Set bergaya jejaka Nixon

Set bergaya jejaka Nixon


FON telingabergaya dengan pelaras bunyidi bahagian tepi. (RM705)


APABILA si jejaka inginkan penampilan yang lengkap, kadangkala mereka menjadi runsing untuk memastikan apakah pakaian yang disarungkan perlu sepadan dengan aksesori seperti jam tangan dan beg galas mereka.

Aktiviti suai padan sememangnya aktiviti yang menyeronokkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang suka mencuba sesuatu yang baharu.

Jenama Nixon tidak ketinggalan memberikan pilihan menarik yang ringkas dan kasual tetapi masih mementingkan gaya bersahaja.

Baju T Nixon yang dinamakan sebagai The Identity merupakan rekaan terbaharu yang menampilkan corak cetakan menarik dalam seleksi rona kontra.

Kemeja T ini dibuat menggunakan 50 peratus kain kapas dan 50 peratus viskos untuk kelembutan dan mengelakkan mengecut selepas dibasuh.

Pemberitahu waktu

Penampilan si jejaka semestinya tidak lengkap tanpa jam tangan Nixon yang dinamakan The Time Teller Acetate. Koleksi ini direka dengan mengambil kira aspek keunikan material, ketahanan dan kegunaan.


BAJU Tdalam dua pilihan saiz iaitu tetap dan sendat didatangkan dalam pilihanwarna semasa.(RM105)


The Time Teller Acetate semestinya memberikan gaya kasual yang kemas kepada si jejaka tanpa menjejaskan sebarang aktiviti kerana ia ringan dan selesa di pergelangan tangan.

Ia diperbuat menggunakan kristal mineral yang digabungkan dengan keluli tahan karat. Corak granitnya menambahkan keistimewaan paparannya.

Gaya kasual si jejaka yang inginkan pengembaraan lasak dilengkapi pula dengan beg galas The Shadow World Travel Backpack yang menjadi peneman sejati pengembaraan sepanjang masa.

Beg galas kompak yang diperbuat menggunakan nilon balistik dan taurpolin ini mempunyai pelbagai rahsia di dalamnya. Setiap bahagian di dalamnya dibuat untuk memenuhi keperluan-keperluan tertentu.

Poket sisinya kalis air, sesuai untuk mengisi komputer riba si jejaka termasuk gajet-gajet kesayangan. Ia juga boleh dipisahkan daripada beg galas untuk dijadikan beg simpanan dokumen penting.

Poket khas menyimpan cermin mata berpad juga disediakan di sisi beg galas ini. Pad khas yang turut dilapisi fabrik mikro fiber berfungsi melindungi cermin mata daripada rosak akibat cuaca panas.


BEG galas Nixon tampil dengan bahagian-bahagian yang dapat dipisahkan untuk kegunaan berasingan. (RM539)


Terdapat tiga buah poket lain di beg galas ini yang boleh dipisahkan dan disediakan dalam pelbagai saiz bagi mengisi keperluan pengembaraan seperti iPod, telefon pintar dan kamera. Beg ini boleh didapati dalam pilihan warna merah, biru, khaki dan hitam.

Sensasi muzik

Pengembaraan gaya si jejaka semestinya lebih menarik dengan adanya fon kepala The Master Blaster. Ia semestinya memberikan gaya menarik sambil mendengar lagu-lagu kegemaran anda.

Rekaan fon telinga yang boleh dilaras ini muat dalam semua saiz kepala, manakala band kepalanya yang diperbuat daripada kulit serta fon yang dilapisi kusyen memberikan keselesaan berpanjangan.

Volum juga boleh dilaras tanpa menanggalkan fon telinga ini dengan hanya memusingkan tombolnya yang terletak di tepi telinga. Aksesori bergaya ini hanyalah seberat 265 gram serta mempunyai tindak balas frekuensi 20 - 20,000 Hertz dengan tahap sensitiviti 95dB/V pada 1kHz.

Bintang bijak Clinique

Posted:

Bintang bijak Clinique

Bintang bijak Clinique

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my


SHARYN WONG (tengah) sewaktu mengumumkan pemenang Star Tour Clinique 2011.


PENCARIAN Clinique Star Tour 2011, yang berlangsung sepanjang bulan Julai dan Ogos lalu menemui pilihan bintang yang ideal. Pertandingan musim kedua anjuran rangkaian produk penjagaan kulit terkemuka Clinique tersebut bertujuan membawa wanita mengembara ke dunia kecantikan dan fesyen dalam suasana santai dan menyeronokkan.

Dengan kerjasama majalah Cleo, Clinique Star Tour 2011 melakukan siri jelajah mencari peserta di beberapa lokasi utama seperti gedung beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, Mid Valley Kuala Lumpur, Kolej PTPL, Shah Alam dan Kolej Tunku Abdul Rahman, Setapak.

Setiap lokasi yang dikunjungi bukan saja disertai kumpulan mekap artis dan perunding kecantikan Clinique malah, turut dimeriahkan dengan kehadiran sebuah trak Mobile Makeover Studio yang direka khas bagaikan sebuah rumah supermodel. Dekorasi trak itu dilengkapi set perabot konsep urban, lapan stesen solekan, meja dandanan rambut dan studio mini.

"Selepas meneliti dan menilai sebanyak 2,220 penyertaan, akhirnya kumpulan juri berjaya menemui pemenang utama kempen Clinique Star Tour 2011. Para pemenang yang terdiri daripada tiga orang pelajar kolej ini bukan sahaja memiliki kecantikan semula jadi dan personaliti menarik malah, turut mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

"Ia bersesuaian dengan intipati cabaran yang ingin melahirkan bintang Clinique yang lengkap dari aspek kecantikan, fesyen dan ilmu pengetahuan," jelas Pengurus Besar Jenama Clinique, Sharyn Wong, kepada Stailo selepas menyampaikan hadiah kepada Alicia Tan, Alena-Marie Atkinson dan Shermaine Leong.


PARA peserta kempen melakukan sesi transisi hasil sentuhan jurumekap profesional Clinique.


Pelajaran diutamakan

Sementara itu, Alicia Tan, 20, sama sekali tidak menyangka bakal merangkul tempat pertama memandangkan dia perlu bersaing dengan kumpulan peserta yang mempunyai keunikan dan kecantikan menawan. Biarpun pernah memenangi beberapa pertandingan model dan pencarian wajah berskala kecil, anak kelahiran Ipoh, Perak itu tetap berasa gementar sewaktu menyertai Clinique Star Tour 2.

"Ini merupakan pengalaman manis dalam kamus hidup saya apabila dipilih sebagai juara. Matlamat utama menyertai kempen ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri dan menimba ilmu kecantikan daripada pihak Clinique.

"Kini saya semakin menitikberatkan soal penjagaan wajah. Sebelum ini, selepas mencuci saya hanya mengaplikasi krim pelembap pada kulit wajah. Pemakaian krim pelindung sinaran ultra ungu (UV) dan krim asas diabaikan kerana saya menyangka ia sekadar kosmetik sampingan.

"Namun menerusi kempen ini, perunding kecantikan Clinique menyarankan supaya saya memakai produk berkenaan bagi mencegah kerosakan kulit wajah dan pigmentasi," terang Alicia yang merupakan penuntut Ijazah Perakaunan dan Kewangan, Universiti Nottingham di Semenyih, Selangor.


SESI fotografi yang dijalankan di dalam trak Mobile Makeover Studio.


Dalam pada itu, Alena-Marie Atkinson, 20, tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila terpilih menyandang tempat kedua dalam kempen Clinique Star Tour 2011 tersebut.

Memiliki darah campuran Serani, Cina dan India, gadis berkulit hitam manis yang mesra disapa Alena itu, menyifatkan kemenangan berkenaan merupakan platform terbaik baginya menceburkan diri dalam bidang peragaan.

Namun, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu mengakui, sebelum serius dalam bidang peragaan, dia akan memastikan cita-citanya menjadi peguam tercapai. Lagipun kerjaya itu sudah dibaja dalam dirinya sejak menuntut di peringkat sekolah menengah.

Bagi Shermaine Leong, 20, yang turut berkongsi tempat kedua, menyifatkan kempen Clinique Star Tour 2011, mengajarnya menjadi individu yang berkeyakinan tinggi, percaya dengan kebolehan diri dan sentiasa menjaga tata rias wajah.

Bergelar pemenang utama dalam pertandingan itu, ketiga-tiga pemenang membawa pulang produk Clinique bernilai RM5,000.

Sementara itu, salah seorang pelayar laman web Clinique, Kurt Liyanaraeaz yang mengundi pertandingan tersebut menerusi online, berjaya memenangi sebuah notebook Samsung bernilai RM3,299 selepas berjaya meneka dengan tepat ketiga-tiga peserta yang berada di tempat teratas.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved