Kosmo Online - Varia |
Posted: Kelas malam atasi kesesakanSEORANG guru kelas malam, Fransisco, menjalankan tugasnya mengajar para pelajar dewasa dalam gred sembilan di Maputo. PADA pukul 8 malam, Joana Charles menanti ketibaan guru sejarahnya di luar kelasnya di sebuah sekolah dekat ibu negara Mozambique. Ratusan kanak-kanak lain sibuk berlari-lari, memekik-mekik dan bermain dalam kegelapan malam. Limpahan cahaya kuning daripada bangunan sekolah itu sedikit menerangkan halaman berpasir di tempat itu. Sementara di satu sudut lain, sekelompok manusia sibuk mengerumuni penjual bertih jagung. Walaupun kebanyakan daripada 62 orang pelajar di dalam kelasnya sudah pulang kerana bosan menunggu, Joana masih berharap. "Kesabaran pasti membawa kejayaan. Mungkin juga semasa anda tinggalkan sekolah ini, guru pun sampai. Pasti anda terlepas sesi belajar," ucap ibu 31 tahun itu dengan tenang. Cabaran yang dihadapinya itu ibarat rutin bagi mana-mana pelajar di salah sebuah negara termiskin di dunia tersebut. Kekangan dalam usaha mendidik generasi muda Mozambique turut dihadapi golongan dewasa. Kekangan pembelajaran Mereka tidak berkesempatan mengecapinya lantaran negara mereka dihimpit isu peperangan sejak berdekad-dekad lamanya. Setiap kelas belajar di negara itu secara purata menempatkan 66 orang pelajar bagi seorang guru. Sesi persekolahan pula berlangsung sebanyak tiga kali sepanjang pukul 7 pagi hingga 10 malam setiap hari semata-mata untuk mengatasi masalah bilangan pelajar yang terlampau ramai. Selepas memulakan hidup berkeluarga, Joana kembali semula bersekolah bersama rakan-rakan sekelas yang jauh lebih muda. Semuanya demi membantunya mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik buatnya menyara keluarga. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berbekalkan pendidikan asas selama sekurang-kurangnya setahun sebenarnya sudah mampu memberikan kehidupan lebih selesa di selatan Afrika. Namun, pelajar gred sembilan yang perlu melalui jalan berdebu untuk pulang ke rumah dari sekolahnya di Maputo itu memberitahu, adalah sukar baginya untuk mengetahui sama ada guru mereka akan datang atau tidak. "Kami cuma ada dua sesi pembelajaran pada semester lalu, kemungkinan yang sama akan kami alami pada semester kesepuluh nanti," getus Joana. Pada malam itu, kelas Matematik terpaksa dibatalkan berikutan ketiadaan tenaga pengajar, maka sekolah tersebut juga perlu ditutup lebih awal berbanding kebiasaannya pada pukul 10 malam. Sekitar 81 peratus kanak-kanak di Mozambique mengikuti sesi persekolahan secara normal. Begitupun, jumlahnya akan berkurangan apabila mereka meningkat dewasa. Isu ketiadaan ruang untuk menuntut ilmu atau kekangan jumlah guru juga menjadi masalah, lebih-lebih lagi apabila terdapat pelajar dewasa yang ingin kembali belajar. Persekolahan sesi malam bermula sejak zaman kolonial Portugis namun pemerintahan Mozambique masih mengekalkan sistem tersebut demi mengatasi masalah lambakan pelajar. Berjalan jauh Tuntutan sesi belajar itu antara lain memaksa seorang pelajar, Aida Bila, 16, meredah kegelapan malam bersendirian sejauh lima kilometer untuk pulang ke rumah jika tiada pengangkutan awam atau keluarganya tidak mampu menanggung kos tambang. Walaupun si gadis yang bercita-cita menjadi peguam itu risau terlepas beberapa sesi pembelajaran, para guru akan tetap membantu ketika peperiksaan. "Mereka tidak selalunya memberikan jawapan, tapi kadangkala tetap ada," ceritanya lanjut. Menurut seorang pendidik, Carlos Fransisco, kebanyakan pelajar juga datang ke sekolah semata-mata untuk bersosial. "Sistem pembelajaran membuatkan mereka hilang minat belajar. Di peringkat sekolah rendah, pelajarnya diluluskan secara automatik dan kemudian mereka datang ke sekolah tanpa tahu menulis dan membaca," keluhnya. Guru 29 tahun itu juga berdepan dengan permasalahan kekurangan alat bantu mengajar di dalam bilik darjah. "Saya mengajar tentang reka bentuk, tapi tiada satu pun alatan untuk membantu pelajar saya memahaminya dengan lebih jelas," katanya yang bekerja selama 14 jam sehari di tiga buah sekolah demi menyara kehidupan keluarganya. Jelasnya, kerajaan telah mencuba sedaya-upaya untuk meningkatkan tahap pembangunan negara cuma isu kemiskinan menjadi penghalang. Bajet berkurangan Mozambique telah memperuntukkan sejumlah AS$730 juta (RM2.19 bilion) untuk dilaburkan dalam sektor pendidikan negara tersebut. Jumlah itu adalah 18 peratus daripada belanjawan negara. Sumbangan antarabangsa untuk tujuan pendidikan juga sudah terbatas gara-gara krisis ekonomi global. Pihak pemerintah kemudiannya terpaksa memotong sebahagian daripada bajet pendidikan negara untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang maut dalam rusuhan makanan pada September tahun lalu. Pengarah Perancangan Kementerian Pelajaran Mozambique, Manuel Rego berkata perkembangan itu mengganggu banyak fungsi kementeriannya. Bagaimanapun, pihak berkuasa tetap menambah bangunan sekolah dan melatih lebih ramai guru berkaliber untuk menyokong semula ketegangan yang berlaku. "Walaupun situasi ini sukar dilihat, sebenarnya keadaan telah banyak berubah," jelas Rego. - AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Iltizam guru pendidikan khasOleh M. RIZAL NOR AKTIVITI belajar membuat aiskrim merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan murid pendidikan khas di SK Bandar Jerantut. RAMAI yang beranggapan bahawa mengajar murid pendidikan khas merupakan tugas yang sangat mudah. Tanggapan itu timbul memandangkan murid di dalam kelas itu hanya sekitar lima hingga 10 orang berbanding kelas perdana yang menempatkan lebih 20 orang murid. Namun, tinjauan di beberapa buah sekolah di Jerantut, Pahang mendapati tanggapan tersebut ternyata meleset. Sebenarnya, tugas untuk mengajar dan mendidik murid pendidikan khas tidak semudah yang disangka kerana mereka merupakan golongan istimewa berbanding murid-murid di kelas perdana. Murid pendidik khas terbahagi kepada tiga kategori iaitu masalah pembelajaran, masalah pendengaran dan masalah penglihatan. Bagi guru-guru wanita, tugas mereka tidak ubah seperti seorang ibu kerana murid-murid pendidikan khas memerlukan layanan yang baik sebagaimana melayan anak-anak di rumah. Bagi Fatimah Jantan, 38, yang kini memegang jawatan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, guru-guru yang mengajar pendidikan khas harus mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, berdisiplin, bertolak ansur dan sentiasa berfikiran positif. "Memang kami mengajar murid dalam jumlah yang sedikit iaitu di antara lima hingga 10 orang tetapi setiap murid mempunyai kerenah yang berbeza dan memerlukan perhatian yang sewajarnya. "Keupayaan pemikiran mereka sangat lemah, tidak memiliki kecemerlangan akal dan kadangkala tidak dapat mengawal emosi selain gagal mematuhi arahan yang diberikan," katanya yang telah menabur bakti selama sembilan tahun dalam dunia pendidikan khas. Fatimah yang ditemui sempena sambutan Hari Guru ke-40 yang bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara baru-baru ini memberitahu, guru pendidikan khas harus mengenali murid dengan lebih rapat dan cuba menyelami perasaan mereka kerana golongan istimewa itu tidak dapat memberi perhatian yang sepenuhnya ketika pelajar. "Guru mestilah berfikiran kreatif terutamanya dalam menyediakan alat bantu mengajar agar murid melahirkan rasa minat untuk belajar. "Kita tidak hanya bercakap di depan ketika mengajar sebaliknya turut menggunakan kaedah nyanyian dan permainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas," ujarnya. Menurutnya, biarpun sepenuh masa bersama murid-murid pendidikan khas, namun mereka turut melakukan tugasan lain yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Pengurusan diri PARA pelajar pendidikan khas juga mempunyai upaya berdikari yang baik jika dibimbing dan dilatih dengan penuh dedikasi. Selain tumpuan terhadap akademik, murid-murid pendidikan khas turut diterapkan dengan kemahiran menguruskan diri dan pengurusan tingkah laku. "Inilah yang paling penting bagi murid-murid pendidikan khas kerana mereka tidak harus bergantung sepenuhnya kepada orang lain apabila masuk ke alam remaja dan seterusnya," kata Wan Mahizan Wan Mohamad pula yang kini bertugas sebagai guru pendidikan khas di SK Tebing Tinggi, Jerantut. Beliau berkata, guru-guru akan mengajar mereka cara menguruskan diri termasuk memakai dan membuka pakaian, mencuci pakaian, membersihkan diri, pengurusan bilik tidur dan mencuci pinggan serta cawan. "Kita ingin lihat mereka berdikari dengan sendiri. Sampai bila mereka hendak mengharapkan bantuan orang lain," soalnya. Bagi pengurusan tingkah laku pula, Wan Mahizan memberitahu, guru-guru akan mendidik murid agar mengelak daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang lain. Setiap kesalahan yang dilakukan pula akan ditegur dan diubah serta-merta dan guru-guru akan menilai sejauh mana teguran tersebut dapat mengubah corak kehidupan anak didik mereka. Kemahiran hidup Sementara itu, murid-murid pendidikan khas turut mengikuti mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dan Kemahiran Hidup yang memberi penekanan kepada penggunaan peralatan yang ada di sekitar mereka. Mereka turut diajar cara berkebun dan penggunaan setiap alatan dengan betul agar tidak mendatangkan kecederaan kepada mereka. Seorang guru pendidikan khas di SK Kuala Tembeling, Syahrima Abdul Hamid berkata, beliau telah membuat projek Bumi Hijau dengan menggalakkan anak didiknya bercucuk tanam. "Kami tanam pelbagai jenis pokok seperti bayam, terung, lada, bayam, kangkung, kailan, kacang tanah, betik, serai dan daun kesum. "Sebelum proses penanaman bermula, murid-murid akan diberi penerangan mengenai cara untuk gemburkan tanah dan menanam bijih benih serta teknik menggunakan setiap peralatan dengan betul," katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun dalam dunia pendidikan khas. Seterusnya, murid-murid itu diajar cara menyiram, membaja dan menjaga pokok daripada serangan serangga perosak. Akhir sekali, mereka dibimbing untuk memungut hasil tanaman itu. Syahrima memberitahu, hasil tanaman yang telah dituai akan dijual kepada kakitangan sekolah, ibu bapa dan kedai runcit berhampiran. Selain itu, terdapat sesetengah sekolah yang melaksanakan projek keusahawanan bagi mendidik murid-murid berdikari mencari kewangan sendiri. Projek keusahawanan SEBAHAGIAN daripada pelajar pendidikan khas menunjukkan kemahiran mereka menggoreng cekodok di SK Bandar Jerantut. SK Pulau Tawar merupakan salah satu sekolah yang menjadi contoh di daerah Jerantut dengan menggerakkan projek keusahawanan pada tahun 2009. Projek yang diketuai oleh Anisah Jaafar yang bertindak sebagai guru penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di sekolah berkenaan telah berjaya menghasilkan beberapa kraftangan seperti tudung saji, gubahan bakul, kotak serba guna diperbuat daripada kotak terpakai, tali makarami serta hiasan kulit kayu manis. "Kami ada lima orang guru dan 13 orang murid yang bergandingan untuk menghasilkan sesuatu produk dan kebiasaannya setiap produk disiapkan dalam tempoh seminggu. "Ada juga sesetengah kraftangan yang kami serapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti dalam subjek kemahiran manipulatif, kemahiran hidup dan pendidikan seni," ujarnya. Anisah berkata, selain kraftangan, murid-murid turut diajar membuat kuih dan memasak makanan yang ringkas. "Masakan yang pernah diajar kepada murid termasuk membuat donat, piza, nasi goreng, sandwic, kuih puteri ayu dan mi kari. Roti sosej bersalut telur merupakan salah satu menu yang menjadi pilihan dan pernah ditempah oleh sekolah berhampiran," kata beliau. Beliau memberitahu, produk-produk yang dihasilkan akan dijual di sekolah dan kedai berhampiran selain menerima tempahan dari pihak luar. Ternyata tugas guru pendidikan khas tidak semudah yang disangka biarpun mereka tidak mengejar kecemerlangan akademik seperti guru-guru di kelas perdana. Bagi mereka, kebolehan murid untuk menguruskan diri dan tidak bergantung harap kepada orang lain sudah memadai untuk mengukir senyuman di bibir masing-masing. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Zuriana bisnes melalui blogOleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF BAGI yang obses beg tangan berjenama dan diimport dari luar negara tetapi inginkan harga yang lebih murah, anda sebenarnya berpeluang untuk mendapatkannya. Berbekalkan sebuah komputer dan melayari laman blog wwwbegalicious.blogspot.com, kini anda boleh membuat pelbagai pilihan mengikut cita rasa dengan hanya di hujung jari. Jenama Coach, Kate Spade, Aiteen Aigner, Marc Jacobs, Gucci dan jenama-jenama lain yang menjadi trend masa kini ditawarkan kepada pelanggan di seluruh negara secara talian, lengkap dengan harga serta cara untuk membuat pesanan. Selain beg tangan wanita, barangan berjenama lain seperti dompet, cermin mata dan jam tangan turut dijual menerusi laman web berkenaan. Segala kemudahan itu adalah inisiatif seorang suri rumah yang menetap di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya, Shah Alam, yang mewujudkan perniagaan beli-belah di alam siber ini sejak setahun lalu. Sebelum itu, dalam tempoh selama dua tahun, Zuriana Abu Kassim, 38, hanya menjadi pengikut setia blog-blog sedia ada. Namun dia mula menceburi bidang perniagaan ini setelah mendapati permintaan membeli-belah secara talian terutama dalam kalangan wanita semakin tinggi. "Saya mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam perniagaan ini walaupun pada asalnya hanya untuk mengisi masa yang banyak terluang," kata Zuriana yang ditemui baru-baru ini. Dengan jumlah kenalan dalam kalangan bloggers dan rakan pelanggan untuk blog sedia ada yang semakin meningkat, ibu kepada empat orang cahaya mata itu mula cekalkan hati untuk membina blog sendiri. Tanpa sebarang ilmu khusus terhadap pembinaan blog dan perkara-perkara teknikal, Zuriana terus mengutip pengalaman dari hari ke hari sehinggalah lahirnya laman blog wwwbegalicious.blogspot.com. "Berdasarkan kepada jumlah pengikut yang mencecah 50 orang dan hits (pengunjung) yang mencapai 30,000 orang, saya bersyukur dengan pencapaian setakat ini. "Selain itu, jaringan laman sosial, Facebook juga dijadikan platform untuk tujuan promosi di samping mengeratkan silaturahim, urusan permintaan dan penawaran harga," jelasnya. Dari segi harga, Zuriana mengatakan ia sangat berpatutan dan jauh lebih murah berbanding harga barang yang sama yang dijual di butik-butik terkemuka di negara ini. Persaingan kompetitif Perbezaan harga yang ketara jelasnya disebabkan perniagaan seumpama ini hanya melibatkan kos yang minimum tetapi kualitinya terjamin. "Kebanyakan barang diimport dari Amerika Syarikat dan Eropah. "Rakan-rakan dan ahli keluarga yang menetap di Los Angeles, Texas, Chicago, London dan Belanda banyak membantu saya mendapatkan barangan yang dipesan oleh pelanggan," ujarnya yang berjaya menjual lebih lebih 80 beg tangan wanita setakat ini. Menyedari persaingan yang sangat kompetitif, Zuriana bagaimanapun yakin bahawa masih ramai wanita yang celik teknologi tergolong dalam kategori mereka yang berkemampuan. "Begalicious Frenzy akan terus berusaha memberi yang terbaik untuk setiap pelanggan, baik dari segi kualiti barangan sehingga ke pembungkusan dan penghantaran. Keuntungan tidak semestinya banyak, namun yang ditagih ialah keberkatan," katanya. Zuriana memberitahu, insan yang banyak memberi tunjuk ajar dan membantunya selama ini ialah suaminya, Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman. Abd. Rasid merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Kualiti) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam. Suaminya banyak memberi tunjuk ajar tentang kepentingan komunikasi berkesan, bahasa yang digunakan untuk pertuturan dan penulisan selain menjaga hati serta kepuasan pelanggan. Kepada yang ingin mendapatkan maklumat lanjut sila layari wwwbegalicious.blogspot.com bagi mengetahui produk-produk terkini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan