Kosmo Online - Pesona |
- Ancaman diabetis di seluruh dunia
- Jururawat tiga hospital tabur bakti
- Tuntutan nafkah untuk anak, isteri
Ancaman diabetis di seluruh dunia Posted: Ancaman diabetis di seluruh duniaOleh NURUL IZZA ROSLY SAMA ada anda percaya atau tidak, bilangan penghidap diabetes di Malaysia semakin meningkat. Jumlah itu dijangka mencecah 2.5 juta orang menjelang tahun 2030 Pada tahun 2010, seramai 1.8 juta rakyat Malaysia dikenal pasti menghidap diabetes dan majoritinya menghidap diabetes jenis 2. Pada tahun yang sama, penyakit ini telah mencatatkan angka kematian sebanyak 23,800 kematian. Peningkatan ini melibatkan semua negara di dunia. Umum mengetahui bahawa terdapat dua jenis penyakit diabetes iaitu jenis 1 dan jenis 2. (Rujuk Info Diabetes di muka sebelah) Perangkaan Persekutuan Diabetes Antarabangsa mendedahkan, 285 juta penduduk dunia kini menghidap diabetes dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 438 juta menjelang tahun 2030. Di Malaysia, peningkatan penghidap diabetes agak mendadak iaitu dari 1.4 juta pada tahun 2006 kepada 1.8 juta pada tahun 2010. "Kebanyakan pesakit diabetes jenis 2 disebabkan kegagalan pankreas menghasilkan insulin yang mencukupi manakala diabetes jenis 1 pula, pankreas pesakit itu langsung tidak berfungsi," kata Perunding Kanan Endokrinologi , Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Professor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed pada majlis pelancaran ubat baru diabetes baru-baru ini. Tambahnya, pesakit yang menghidap diabetes jenis 2 selalunya mempunyai tahap lipid darah dan kolesterol tinggi sekali gus meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. "Inilah punca kebanyakan kematian pesakit diabetes jenis 2. Terdapat dua jenis faktor risiko penyebab diabetes jenis 2 ini iaitu faktor risiko kekal dan boleh ubah. "Faktor risiko kekal ialah faktor genetik, umur dan etnik, manakala faktor risiko boleh ubah pula melibatkan berat badan dan aktiviti fizikal," ujarnya. MAKANAN manis dan mengandungi karbohidrat yang tinggi perlu dielakkan oleh pesakit diabetes. Di Malaysia etnik yang paling ramai menghidap diabetes ialah India diikuti Melayu dan Cina. Jelasnya, faktor lain yang menyebabkan diabetes ialah berat badan dan aktiviti fizikal. Jika berat seseorang itu semakin meningkat sehingga obes, semakin tinggi risiko menghidap diabetes dan seseorang yang tidak aktif juga berdepan dengan risiko yang sama. "Impak diabetes terhadap seseorang pesakit sangat besar dan mendatangkan banyak komplikasi. Ia merupakan penyakit keenam yang menyebabkan kematian dan pada masa yang sama menurunkan jangka hayat penghidapnya di antara lima hingga ke 10 tahun. "Pesakit diabetes juga berisiko menghidap penyakit kardiovaskular antara dua hingga empat kali ganda selain mengalami kerosakan saraf, amputasi, buta dan kegagalan buah pinggang," jelasnya. Satu daripada tujuh orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan satu daripada lima dewasa berpotensi menghidapnya. "Ia merupakan angka amaran yang sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian. Dulu kita anggap bahawa penyakit ini hanya melibatkan orang-orang kaya sahaja, namun kini senarionya berubah kerana ia turut berlaku pada orang yang tinggal di luar bandar. "Dalam tempoh sedekad, lebih ramai masyarakat luar bandar menghidap diabetes, jadi kita perlu mendidik mereka," katanya. Mafauzy mengakui bahawa peningkatan bilangan pesakit diabetes ada kaitannya dengan obesiti sehingga ia dikenali sebagai diabesiti. UBAT-UBATAN mungkin kurang berkesan jika pesakit diabetes tidak mengawal pemakanan, tidak bersenam dan tidak mematuhi nasihat doktor.– Gambar hiasan "Kebanyakan pesakit tidak dapat mengawal tahap glukosa dalam darah ke tahap normal kerana penyakit ini menyebabkan tahap glukosa dalam darah meningkat. "Walaupun menjalani rawatan diabetes yang sedia ada, lebih 60 peratus pesakit diabetes jenis 2 tidak mencapai kawalan glukosa darah yang baik," jelasnya. Sesetengah rawatan diabetes menyebabkan seseorang itu mengalami pertambahan berat badan dan sering dikaitkan dengan risiko hipoglisemia. Ia merupakan satu keadaan tahap glukosa darah berada di bawah tahap normal yang boleh menyebabkan tanda-tanda serius dan koma. Bagi mengatasi masalah tersebut, syarikat farmaseutikal dan peneraju penyakit diabetes, Novo Nordisk melancarkan liraglutide untuk merawat diabetes jenis 2 di Malaysia. Liraglutide membantu mengembalikan tahap glukosa darah pesakit pada tahap normal dengan suntikan sekali sehari. Ia boleh diambil pada bila-bila masa sama ada sebelum atau selepas makan. Liraglutide bertindak balas dengan mengawal tahap glukosa darah dengan merangsang pengeluaran insulin hanya ketika terlalu tinggi. Ia merendahkan tahap glukosa darah di samping mengurangkan risiko glukosa menjadi terlalu rendah. Sebahagian besar penghidap diabetes di Malaysia menghidap diabetes jenis 2. Ia boleh dikaitkan dengan peningkatan jumlah mereka yang obes. "Ubat baru ini merupakan pencapaian penting dalam rawatan diabetes kerana ia turut membantu pesakit menurunkan berat badan, satu faktor penting dalam rawatan diabetes jenis 2. "Penambahan berat badan merupakan kesan sampingan daripada kebanyakan rejimen rawatan diabetes jenis 2 selain meningkatkan risiko penyakit berkait dengan obesiti," kata perunding kanan endokrinologi, Profesor Datuk Dr. Khalid Abdul Kadir. Tambah Khalid, dengan Liraglutide , pesakit diabetes jenis 2 boleh mengawal tahap glukosa darah di samping menurunkan berat badan. "Suntikan sekali sehari yang tidak bergantung kepada waktu makan ini juga boleh meningkatkan disiplin pesakit dalam pengambilan harian dan mempertingkatkan hasil rawatan," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Jururawat tiga hospital tabur bakti Posted: Jururawat tiga hospital tabur baktiOleh NURUL IZZA ROSLY SERAMAI 44 orang jururawat Hospital Gleneagles berkampung di Hospital Orang Asli Gombak baru-baru ini. PADA pagi Sabtu 7 Mei lalu, 44 jururawat yang bertugas di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur tidak betah memakai pakaian seragam yang biasa disarung setiap kali menjalankan tugas. Masing-masing memakai kemeja-T putih dan seluar melangkah keluar dari pekarangan Hospital Gleneagles menaiki bas khas menuju ke suatu lokasi. Setelah 40 minit berada di dalam perut bas, rombongan jururawat tersebut tiba di Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan nawaitu mahu menyumbangkan 'buah tangan' kepada para pesakit di situ, selain meraikan Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei setiap tahun. Dengan mengangkat kotak-kotak sumbangan, tanpa lengah kesemua mereka mengatur langkah memasuki Hospital JHEOA atau dikenali dengan nama Hospital Orang Asli Gombak. Aktiviti pembuka program amal tersebut bermula dengan penerangan dan demonstrasi mencuci tangan dengan cara betul yang melibatkan lebih 30 Orang Asli terdiri daripada 18 suku. Antaranya suku Semai, Temiar, Senoi, Melayu Negrito, Jakun dan sebagainya. Difahamkan, hospital tersebut bukan sahaja memberikan dan merawat pesakit Orang Asli yang bermastautin di Gombak sahaja malah, untuk Orang Asli dari tempat-tempat lain. Setelah selesai aktiviti demonstrasi membersihkan tangan, rombongan jururawat melawat ke wad-wad di bangunan bersebelahan yang menempatkan wad umun, wad bersalin, wad penyakit berjangkit dan wad kanak-kanak. Uniknya hospital JHEOA Kehadiran kami disambut oleh seorang lelaki berkerusi roda, Akam Ngah, 47, yang tidak jemu-jemu melemparkan senyuman sambil melambai-lambaikan tangannya. Akam menghuni hospital berkenaan sejak usianya empat tahun selepas dijumpai di dalam reban ayam di Pos Kemar, Gerik, Perak kerana menghidap sawan. KANAK-KANAK di Rumah Titian Kasih ini gembira dengan kehadiran para jururawat dari Hospital Pantai Ampang. Selepas berbalas lambaian dengan Akam, rombongan jururawat terus melawat pesakit-pesakit di wad sambil menyerahkan beg sumbangan berupa makanan, susu, biskut, ubat gigi, berus gigi, sabun serta beberapa barangan keperluan yang lain. Uniknya Hospital JHEOA berbanding hospital-hospital lain, jika seorang dalam sesebuah keluarga Orang Asli jatuh sakit, satu keluarga akan 'berkampung' di hospital. Pelik apabila melihat dua katil dikembarkan yang dihuni oleh seorang wanita, Wok Hol Saoma, 70 dan lelaki, Yok Pau a/l Cheh, 65, dari Kampung Tuah, Pos Sinderot, Lipis, Pahang. "Di sini keadaannya berlainan sedikit. Jika si isteri sakit, si suami boleh menemani isterinya dan berkongsi satu katil," kata Ketua Jururawat Hospital JHEOA, Halijah Midin yang sudah berkhidmat selama sedekad di hospital berkenaan. Dalam pada itu, Halijah menyifatkan aktiviti turun padang seperti yang dilakukan rombongan jururawat dari Hospital Gleneagles merupakan satu pendekatan yang baik bagi merapatkan hubungan mereka dengan para pesakit dalam kalangan orang Asli. Bagi pembantu perawatan kesihatan, Ronizah Holen Abdullah, 41, dari suku kaum Semelai berasa seronok dapat turut sama membantu suku kaum Orang Asli yang merupakan sebahagian daripada dirinya. Salah seorang jururawat dari Hospital Gleneagles, Sheela Anamalai, 34, begitu teruja dan gembira apabila dapat turut serta membantu memberikan sumbangan kepada pesakit. "Ia merupakan pengalaman yang jarang diperoleh lebih-lebih lagi apabila berpeluang menjejakkan kaki ke perkampungan Orang Asli dan memberikan sedikit ole-ole buat mereka," katanya. Komitmen hospital Selain Hospital Gleneagles, Pusat Perubatan Sentosa, di Jalan Chemur, Kuala Lumpur dan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur turut mengadakan program sempena meraikan hari penuh bermakna buat semua jururawat. Di Pusat Perubatan Sentosa (PPS) lain pula ceritanya. PPS telah mengadakan ujian saringan kesihatan di lobi bagi membolehkan orang awam melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma. DARI kiri: Norimah Jaafar, Faridah Hanim Solihin, Halijah Midin dan Ronizah Holen Abdullah, antara barisan jururawat dan pembantu perawatan di Hospital JHEOA. Orang ramai berpeluang melakukan pemeriksaan tekanan darah tinggi, indeks jisim tubuh (BMI), lemak badan, kadar metabolisma badan, kandungan glukos dalam darah, kolesterol dalam darah dan ujian fleksibeliti selain mendapat nasihat secara terus daripada doktor. Selain pemeriksaan kesihatan, demonstrasi urutan bayi dan penyediaan makanan sihat turut diadakan. Pengurus besarnya, Gunavathy Kalee menyarankan, jururawat supaya tidak berkhidmat kepada pesakit di hospital sahaja malah, meluaskan perkhidmatan mereka kepada komuniti. "Mereka juga perlu bersabar dalam menangani kerenah pesakit dan tidak merungut dalam menjalankan tugas. Mereka perlu faham bahawa pesakit bukan sengaja berkelakuan cerewet atau marah-marah tetapi, pesakit berada di dalam keadaan tidak stabil," ujarnya. Pada hari yang sama juga, PPS turut menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM10,500 kepada Persatuan Alzheimer Malaysia yang disampaikan kepada Timbalan pengerusi persatuan itu, Ong Eng Joo oleh Pengarah Kesihatan PPS, Dr. Mohd. Harris Lu. Sementara itu, Hospital Pantai Ampang meraikan sambutan yang sama dengan mengadakan program khidmat masyarakat mengambil tempat di Rumah Titian Kasih, di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Ia merupakan sebuah Pusat Jagaan Anak Ibu Tunggal dan Anak Yatim. Seramai 14 orang kakitangan dan Ketua Pegawai Jururawat, Zuraidah Othman bersama-sama menjayakan program tersebut. Semua kakitangan yang terlibat bekerjasama membantu mengemaskan bilik, melipat baju, memberi makanan kepada kanak-kanak sambil menceriakan suasana dengan aktiviti menyanyi dan bercerita. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Tuntutan nafkah untuk anak, isteri Posted: Tuntutan nafkah untuk anak, isteriSAYA mempunyai seorang anak dan telah bercerai dengan suami saya lima tahun lalu dan sejak itu bekas suami langsung tidak pernah memberi nafkah anak. Bekas suami saya memberi alasan sedang menanggung hutang dengan pihak bank sedangkan dia telah berkahwin lain tiga bulan selepas kami bercerai. Apakah yang perlu saya lakukan dengan masalah ini? Bolehkan saya tuntut nafkah anak yang tertunggak sejak kami bercerai? JAWAPAN: Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: "Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu anak-anakmu untukmu, berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan anak itu untuknya". – (Surah At-Talaq:6) Ayat di atas menerangkan bahawa Allah Taala memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna, tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama malah selepas bercerai dengan isteri. Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat tuntutan ke atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu adalah: i) Tuntutan Mutaah: Sejumlah harta yang wajib diberi oleh suami kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca daripada isteri dan bukan kerana kematian suami. Mutaah itu boleh diberi sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang, sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami dan keperluan isteri. ii) Tuntutan nafkah Idah: Menurut Hukum Syarak, seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya berhak mendapat nafkah idah sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan talak raj'ie atau talak bain sedangkan isteri mengandung dan tidak melakukan perkara yang dianggap nusyuz. iii) Tuntutan hadhanah: Pemeliharaan anak yang masih kecil yang belum boleh berdikari. Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajipan ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. iv) Tuntutan nafkah anak: Dalam Islam, hak mendapat kehidupan bagi anak merupakan hak anak yang tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti ibu bapa berkewajipan memelihara dan memberi pendidikan kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. v) Tuntutan harta sepencarian: Ia lebih kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Islam, maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Islam di Malaysia. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan