Kosmo Online - Horizon |
Posted: Bakat baru sukan lumba motorOleh KHAIRUL AMRI HASSAN SEBANYAK sepuluh pusingan untuk enam kategori pelumba dipertandingkan dalam kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas tahun ini. TUMPUAN takwim pelancongan negara kini semakin lebar skopnya. Selain lokasi-lokasi menarik, acara sukan juga mendapat tempat di hati pelancong. Perahu layar, golf dan lumba kereta formula satu kian serasi sebagai santapan yang menggamit jutaan pelancong dari dalam dan luar negara. Fokus juga harus diberikan kepada sukan lumba motosikal yang berjaya mengasah bakat-bakat pelumba handalan untuk beraksi ke peringkat antarabangsa. Usaha mencungkil bakat baru sukan lumba motosikal digiatkan menerusi pelbagai acara pertandingan termasuklah Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas. "Jika diperhatikan pada tempoh awal penganjuran sukan permotoran ini, umur minimum pelumba dihadkan di antara 22 hingga 23 tahun. "Kini dengan adanya Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bakat-bakat muda baharu dapat dicungkil dan dibentuk lebih awal," kata Pengarah Promosi Cub Prix AAM Malaysia Petronas, Ron Hogg. Hogg ketika ditemui di Putrajaya sempena Hari Belia Negara baru-baru ini menjelaskan, kebanyakan pelumba muda negara mempunyai potensi yang cerah untuk diasah ke peringkat lebih tinggi. "Tidak mustahil mereka juga boleh menyandang gelaran sebagai pelumba profesional jika lebih tumpuan berkenaan skil dan teknik pemanduan diterapkan. "Malah, dengan adanya sokongan berterusan daripada ibu bapa peluang lebih cerah menanti di hadapan," ujarnya. Pelumba wanita Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang dianjurkan sejak tahun 1994 itu berjaya melahirkan ramai pelumba tersohor. Antaranya termasuklah M. Meganathan, Chia Tuck Cheong dan Ahmad Fazli Sham. Wujudnya kategori Wira, Piala Honda Wave Junior Challenge dan Piala Yamaha EgoLC Petronas sekurang-kurangnya menjadi satu platform baru buat remaja bawah 17 tahun beraksi di litar lumba. Bagi Siti Norafizah Muhammad, 16, pengalaman diejek dan diperli rakan sekolah membakar minatnya dalam sukan tersebut. "Saya ingin buktikan bahawa perempuan juga mampu lakukan apa yang lelaki boleh buat. "Pernah juga kawan-kawan sekolah cakap saya seperti lelaki sebab sertai sukan bermotor tapi saya tak kisah, lagi diejek lagi saya bersemangat!" ceritanya. Tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, Kulai, Johor itu, minatnya dalam bidang permotoran didorong oleh bapanya, Muhammad Nusi, 50. "Setiap hujung minggu atau cuti sekolah saya akan ikut bapa menonton sukan motosikal lasak. "Saya cuba berjinak-jinak menunggang motosikal mini," katanya yang menunggang motosikal buat pertama kali ketika berusia sembilan tahun. Murah dengan senyuman, tambah pelumba kategori Wira yang mesra disapa panggilan Fifie itu, dia sentiasa bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan seperti kemalangan atau terjatuh ketika berlumba. "Ini tahun pertama saya terlibat dengan Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas. "Kenangan paling pahit apabila terjatuh beberapa kali ketika pusingan pertama dan kedua di Kangar, Perlis dan Batu Kawan, Pulau Pinang awal tahun ini," ujarnya mengimbas detik-detik kekalahannya dalam misi pertama memburu juara. Bagi Mohd. Zaqhwan Zaidi, 16, penyertaannya dalam sukan lumba motor berlandaskan minat dan bukannya untuk mengasah skil bertarung di jalan raya. Menurut pelumba kategori CP 130 yang masih belajar di SMK Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor itu, lebih banyak kelebihan diperoleh apabila berlumba di lokasi yang dikhaskan berbanding di jalanan. "Litar lumba dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk marsyal yang sentiasa bersedia dan risiko kecelakaan juga amat rendah. "Tapi jika di jalan raya lebih banyak risiko yang perlu ditanggung terutama yang merempit," jelasnya yang optimis dengan peluang di litar lumba motor. Penglibatan Zaqhwan dalam Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas bermula tahun lalu apabila namanya tersenarai antara enam pelumba muda yang dicari. "Pada mulanya saya tidak sangka akan terpilih tapi dengan kepercayaan yang diberi, saya akan berusaha lebih gigih untuk bersaing dengan rakan-rakan hingga ke peringkat antarabangsa," getusnya yang menjadikan pelumba ternama dunia Valentino Rossi sebagai idolanya. Bagi Zaqhwan, kemenangan di tempat ketiga di Kangar, Perlis pada pusingan pertama bulan Mac lalu banyak menyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang lumba motosikal. Beraksi di litar lumba bagi Amirul Hafiq Mohd. Azmi, 15, banyak memberinya peluang untuk mengembara ke tempat idamannya. "Tahun ini saja saya sudah menjejakkan kaki ke New Zealand, Portugal dan Sepanyol untuk menyertai kejuaraan di sana. "Sejujurnya impian saya mahu menjejakkan kaki ke negara Eropah telah tercapai," bicaranya. Namun, hakikat yang terpaksa ditelan Amirul Hafiq dia terpaksa menangguhkan pelajarannya seketika demi mengejar peluang tersebut. "Memang sedih sebab terpaksa tangguhkan pelajaran tahun ini, tambah-tambah lagi saya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). "Tetapi, insya-Allah tahun depan saya akan menyambung pelajaran yang tertangguh ini dan akan berusaha lebih gigih," katanya yang menyimpan misi untuk meneruskan cita-cita ayahnya untuk berjaya dalam lapangan ini. Juara lumba motor Bekas pelajar SMK Taman Tasik Ampang, Kuala Lumpur yang merupakan anak kepada bekas pelumba motosikal negara Mohd. Azmi Yaakob, 46, itu telah mula bertapak dalam arena permotoran seawal usia enam tahun. Kemudian, pada usia 13 tahun, remaja penuh iltizam itu berjaya melakar nama selepas beberapa kali menjuarai kejohanan lumba motor peringkat bawah 17 tahun. Namun, bagi Amirul Hafiq pencapaian terbaik setakat ini adalah sewaktu kejohanan lumba motosikal di Jerez, Sepanyol awal tahun ini. "Saya tersenarai dalam sepuluh terbaik pada ujian kelayakan masa namun saya masih belum puas. "Seboleh-bolehnya saya ingin mencapai kedudukan lebih tinggi dan ingin sekali mendengar lagu kebangsaan kita, Negaraku berkumandang di negara luar," tuturnya. Kecederaan yang dialami Amirul Hafiq pada awal tahun ini cukup membakar iltizamnya untuk menyumbang bakti dalam sukan lumba motor. "Pada bulan Januari, ketika berlatih di litar lumba motosikal di New Zealand saya terjatuh dan menyebabkan tangan sebelah kiri saya retak. "Kemudian, dua minggu selepas itu kaki kiri saya pula patah akibat terjatuh dari motosikal," ulasnya mengenai sejarah kecelakaan terburuk sepanjang penglibatan dalam sukan lumba motosikal. Menjadikan Danny Pedrosa sebagai idolanya, Amirul Hafiq juga menyimpan impian untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi. "Setiap hasil kemenangan disimpan oleh ayah dan digunakan selepas tamat persekolahan. "Saya juga bercita-cita mahu membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi," ujarnya. Amirul Hafiq juga menolak untuk mencari cinta pada peringkat ini kerana bimbangkan prestasi di litar lumba. "Cinta akan membuatkan kita emosi sekali gus akan menyebabkan kita terjejas ketika berlumba, seelok-eloknya fokuskan kepada kejayaan yang hendak dicapai dan sukses dalam pelajaran terlebih dahulu," katanya yang bakal berentap di England pada bulan ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Danok bukan destinasi pelacuran Posted: Danok bukan destinasi pelacuranOleh SAKINI MOHD. SAID PULUT ayam merupakan makanan popular dalam kalangan pelancong yang mengunjungi Pekan Danok, Thailand. Pulut tersebut dimakan dengan ayam goreng serta sos dan dijual mengikut saiz ayam. IA merupakan sebuah pekan kecil yang kurang dikenali ramai yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand. Namun sebenarnya ia adalah syurga membeli-belah kerana barang-barang yang dijual boleh dianggap lebih murah daripada yang terdapat di Petaling Street, Kuala Lumpur. Itulah Danok, sebuah pekan kecil di Thailand setelah melepasi Bukit Kayu Hitam di Kedah. Apa sahaja yang anda ingini seperti pakaian, seluar ataupun beg daripada pelbagai jenama terkenal seperti Louis Vuitton, Coach atau Prada semuanya ada di sini. Harga? Ia jauh lebih murah berbanding di butik terkenal Kuala Lumpur, malah lokasi beli-belah di Petaling Street. Selain sebagai pusat beli-belah, Danok, sebuah pekan kecil ala-ala pekan koboi ini juga adalah syurga makanan. Makan pulut ayam Kepada para penggemar pulut, Danok adalah destinasinya. Kita biasa dengan juadah pemanis mulut seperti pulut mangga dan pulut durian, begitu juga dengan pulut kuning yang dimakan dengan rendang ayam. Tetapi di Danok ada sesuatu yang lebih istimewa. "Kalau ke Danok, mesti cuba pulut ayam," kata seorang kenalan. Tetapi, pernahkah kita mendengar ayam goreng dimakan dengan pulut? Mungkin ia agak pelik bagi segelintir daripada kita, tetapi itulah makanan yang paling enak di pekan Danok. "Setiap hujung minggu, saya dan keluarga berkunjung ke Danok semata-mata untuk makan pulut ayam. Rasanya sungguh sedap dan menu itu tidak ada di tempat lain," kata seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul. Di sepanjang jalan menuju ke pekan Danok, pengunjung dihidangkan dengan pemandangan wanita yang sibuk melayan pelanggan membeli pulut ayam di gerai-gerai kecil mereka. Dijual mengikut saiz ayam, harganya yang paling mahal mencecah sehingga RM6 untuk satu hidangan. Begitu juga dengan kemsom. Makanan Thai itu juga banyak terdapat di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kemsom adalah sejenis gulai persis masakan popular di Melaka iaitu asam pedas, namun rasanya lebih pedas, berwarna kekuning-kuningan dan dicampur rebung. Keistimewaan kemsom di pekan Danok, ia menggunakan ikan puyu. Kepada masyarakat Melayu, rata-rata beranggapan ikan puyu boleh dijadikan ikan pekasam, perhiasan dan penghalang kuasa jahat. Menurut pemandu pelancong Sulai Tour yang hanya mahu dikenali sebagai Anwar, sudah menjadi satu kemestian membawa pelancong yang menggunakan khidmat agensinya untuk menikmati masakan itu. "Paling popular ialah kemsom yang dimasak dengan ikan puyu sebesar ikan tilapia. Selalunya, pelancong kurang berselera kerana rupanya yang mungkin kurang menarik. Tetapi, selepas menikmatinya, mereka terus memuji isinya yang enak dan lembut," katanya yang bekerja selama enam tahun dengan Sulai Tour. Jom cuba spa Selain dikenali sebagai syurga membeli-belah dan makanan, pekan Danok turut menawarkan spa untuk wanita yang ingin memanjakan diri. "Perkhidmatan yang ditawarkan sangat murah iaitu sekitar RM70, anda boleh mendapatkan perkhidmatan urut, lulur badan, mandi sauna dan mandi susu. Kalau di Sintok, Kedah, perkhidmatan seperti itu saja sudah mencecah ratusan ringgit," katanya. Bagaimanapun, sesetengah pelancong agak ragu-ragu dengan tawaran sedemikian tambahan pula Danok dikenali sebagai tempat yang menawarkan perkhidmatan seks. Bagi mereka yang berkunjung ke Sintok, Kedah, singgah ke pekan Danok adalah satu kemestian. Ia bagaikan satu perkara yang janggal jika anda ke Sintok tidak mengunjungi pekan Danok. Sama ada menggunakan pengangkutan sendiri, mahupun menaiki bas dari Alor Setar ke Changlun dan menaiki teksi ke sana, pekan Danok tidak pernah sunyi daripada pelancong. Seorang pelancong dari Melaka, Fatimah Wahab berkata, beliau akan berkunjung ke pekan Danok setiap kali melawat anaknya yang belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah. "Dari Sintok ke pekan Danok hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Kalau dari Alor Setar pula 45 minit. Ia merupakan sebuah tempat yang menarik. Lupakan sebentar mengenai kegiatan pelacuran di pekan Danok kerana ia sebenarnya adalah sebuah lokasi yang menawarkan pelbagai barangan yang kita ingini. "Saya ke sana kerana mahu melihat pemandangan gajah di atas jalan raya," katanya. – Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Motivasi seorang idolaGAYA hidup masyarakat Asia banyak meninggalkan kesan dalam hidup Ian. "EH, ada tahi lalat di tapak kaki. Mesti nanti dah besar esok jauh berjalan. Tapi jangan sampai lupakan keluarga." Masih terngiang-ngiang akan kata-kata usikan arwah nenek kepada saya. Memandangkan ketika itu saya berusia empat tahun, saya tidak begitu mengerti akan kedalaman maksudnya. Sehinggalah saya beralih ke alam dewasa, saya dikurnia banyak ruang dan peluang untuk membongkar sendiri pemahaman terhadap kata-kata nenek saya itu. Ya, jauh perjalanan yang kita tempuhi, seharusnya semakin kita berupaya menilai potensi diri. Pada masa yang sama, asal-usul dan jejak bertatih usah dipadamkan dalam ingatan. Saya yakin itulah mesej yang cuba nenek saya sampaikan semasa hayatnya. Pengalaman yang menjurus kepada konsep 'berjalan' itu juga dikumpulkan sepanjang saya berkhidmat dalam dunia kewartawanan. Bertemu dengan ramai orang, berada dalam pelbagai situasi dan berkesempatan mengunjungi banyak destinasi atas tuntutan tugas membuatkan saya jadi 'gila' melancong dan mengembara. Pada masa yang sama, tugas ini juga membolehkan saya bersua dengan figura terkenal yang bukan sembarangan waktu dapat ditemukan. Antara banyak pertemuan istimewa, saya tidak akan lupa pada kesempatan menemu bual idola yang saya kagumi, Ian Wright. Pengembara popular yang juga residen jenama program Globe Trekker itu telah bertahun-tahun mengelilingi dunia untuk membawakan adventur terhebat untuk tatapan penonton setia rancangannya. "Kalau berpeluang untuk menjejakkan kaki di tempat orang, kita tidak patut berlengah. Jangka hayat manusia terlalu pendek untuk mengecapi setiap destinasi di dunia ini. Maka, ke mana saja yang kita dapat pergi, jangan dilepaskan peluang itu! "Ada orang menganggap percutian satu kemewahan. Tapi saya ingin perbetulkan, sebenarnya kemahuan untuk mengembara tidak memerlukan kita bermewah-mewah. Pergilah ke mana saja yang anda mampu kerana setiap perjalanan itu membuatkan anda kekal waras," ujarnya kepada saya dalam sebuah majlis makan tengah hari di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Kekal waras? Meneruskan bicaranya, personaliti yang mesra membiarkan saya memanggil dengan nama pertamanya itu menjelaskan: "Kita akan menjadi 'lemah' kalau terus berada dalam zon selesa." Menurut Ian, seseorang pengembara perlu berani berganjak daripada persekitaran asalnya. Bukan seperti nasib katak di bawah tempurung, manusia memerlukan elemen kembara untuk melihat perspektif yang lebih luas daripada lingkungan kehidupan hariannya di sesebuah tempat. Mengunjungi banyak negara, Ian memberitahu dia telah berhadapan dengan pelbagai cabaran atau layanan buruk. Bagi kebanyakan pelibur, masalah sebegitu mungkin akan mengganggu mood percutian. Begitupun, Ian mengakui sudah belajar untuk menerima masalah dalam pengembaraan dengan hati terbuka. Pengalaman bermakna Diherdik orang di jalanan, kerosakan teknikal, sistem pengangkutan yang menjejaskan jadual perjalanan, dipandang benci kerana sentimen penjajah, semuanya telah dirasai Ian. Dia juga pernah menerima tempias kebencian rakyat negara tertentu terhadap Amerika Syarikat (sedangkan dia berasal dari London). Namun, Ian akui, setiap masalah itu sedikitpun tidak membuatkannya berpandangan buruk terhadap sesebuah destinasi. "Ia bukan 'salah' negara itu mahupun rakyatnya. Dalam kembara saya, hal-hal sebegitu lazim berlaku namun saya tidak boleh mengeluh. Layanan kurang memuaskan yang diterima bukanlah refleksi imej keseluruhan negara itu," tegasnya yang menyukai setiap destinasi kunjungannya. Lelaki bertubuh kecil itu antara lain menyebut Mongolia sebagai destinasi yang 'mencuri' hatinya. Menurut ceritanya, landskap di negara itu suatu fenomena ajaib. Dia turut mencintai negara-negara di Asia Tenggara. Baginya yang hanya membawa wang, pasport dan pakaian dalam beg kembaranya, rantau Asia Tenggara adalah pusat yang menghimpunkan segala warna dunia - baik dari segi makanan, seni warisan, ideologi, adat budaya dan gaya hidup. "Saya juga menggemari cabaran di Kutub Utara kerana ia sungguh ekstrem. Berada di sana sememangnya melampaui idea kehidupan normal manusia. Oh, India dan Ethiopia juga amat menarik dan mengajar anda tentang erti kemanusiaan," ceritanya panjang lebar. Tiada falsafah Mengimbau momen pertemuan dengan Ian itu, saya sempat bertanya tentang falsafah kembaranya. Namun, dia mematikan soalan saya itu dengan jawapan: "Tiada!". Jelas Ian, jika seseorang menghabiskan banyak waktu memikirkan tentangnya, dia akan terlepas banyak perkara. "Berjuta-juta peristiwa sedang dan sentiasa berlaku dalam hidup. Maka, anda perlu terus mencarinya, jumpa orang yang berbeza setiap hari dan bertukarlah pandangan dengan mereka. "Jangan letakkan diri anda dalam peraturan tertentu melainkan apa yang dipesan dalam agama yang anda anuti," jawabnya ringkas. Saya tergamam dalam pada menyerap pengertian di sebalik rangkaian kata Ian. Saya faham kini, antara interpretasi terhadap pernyataan itu adalah betapa manusia perlu terus berjalan untuk mencari erti hidup. Semua itu hanya dapat dicapai melalui siri adventur yang sentiasa diperbaharui. Mungkin hari ini perjalanan kembara tersebut ditemani ahli keluarga dan sahabat handai. Mungkin juga adakalanya kita memilih ataupun ditakdirkan untuk mengembara sendirian. Sesungguhnya pengalaman merentas sempadan, benua, budaya dan pemikiran amat kritikal untuk seseorang mengenal kemampuan diri dan menghargai asal-usul termasuk mencintai bangsa serta tanah air. Lebih daripada itu, mengembara juga boleh mengukuhkan tauhid saya khususnya terhadap kebesaran Yang Maha Esa. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan