Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dazrin bersikap profesional"DAZRIN sering lewat ke lokasi," demikianlah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang produser program hiburan mengenai pelakon yang popular menerusi drama bersiri Adam & Hawa itu baru-baru ini. Menurut kenyataan yang merahsiakan nama produser dan rancangan tersebut itu lagi, mereka terpaksa menanggung kerugian dengan membeli tiket penerbangan sebanyak dua kali kerana sikap Dazrin yang tidak menepati masa. Tidak cukup dengan itu, produser tersebut menuduh tuan empunya nama, Dazrin Kamaruddin, 25, terlibat dengan banyak komitmen sehingga tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerja-kerja yang dilakukan. Tidak terus melatah, Dazrin menceritakan kisah sebenar di sebalik cakap-cakap nakal mengenainya ketika menghadiri sesi fotografi yang diatur oleh Kosmo! minggu lalu. Niat untuk membantu "Saya kenal dengan produser itu sebelum saya berpeluang bekerja dengannya lagi. Ketika memberikan persetujuan menjadi pengacara untuk rancangannya itu, saya telah memberikan peringatan bahawa saya sedang terikat dengan sebuah penggambaran drama lain. "Saya setuju melakukannya kerana atas dasar membantu seorang kawan. "Lagipun, dia juga berjanji bahawa program tersebut hanya akan bersiaran pada hari Sabtu secara langsung tanpa mengganggu jadual penggambaran saya. "Setiap kali menuju ke lokasi yang berbeza, dia akan menyediakan tiket penerbangan pergi dan balik. Dia juga berjanji akan cuba mendapatkan tiket penerbangan pergi paling awal dan tiket penerbangan balik paling lewat untuk kemudahan saya mengatur jadual.
"Namun tanpa disangka, dia meminta saya untuk hadir ke lokasi sehari lebih awal atas alasan saya dan rakan sepengacaraan memerlukan sesi latihan. Saya agak terkejut kerana saya sudah memaklumkan kepadanya sebelum ini tentang jadual saya yang padat walaupun sehari sebelum bersiaran secara langsung," ujarnya yang agak terkejut dengan permintaan terburu-buru produser terbabit. Dazrin turut memberitahu, dia bersetuju untuk datang pada hari Jumaat setelah meminta persetujuan daripada pihak produksi drama untuk melepaskannya selepas tamat pengambaran. Namun, lain pula ceritanya apabila dia diberitahu mengenai waktu penerbangannya pada hari tersebut. "Setelah memberikan persetujuan untuk datang ke lokasi pada hari Jumaat, saya diberitahu waktu penerbangan pada hari tersebut adalah pukul 4.30 petang. Akhirnya, saya tidak dapat hadir ke lokasi dan rakan sepengacaraan terpaksa mengendalikan rancangan tersebut secara berseorangan," ujarnya lagi. Ketika ditebak dengan isu pembelian tiket penerbangan sebanyak dua kali, Dazrin memberitahu, kejadian itu berlaku kerana dia menerima informasi yang salah sebelum menuju ke lokasi penggambaran. "Ketika itu, lokasi penggambaran telah ditentukan iaitu di Kedah. Saya tidak tahu perlu menaiki penerbangan menuju ke lapangan terbang Pulau Pinang. Setelah berlaku sedikit kekecohan, akhirnya saya terlepas penerbangan tersebut. "Atas rasa tanggungjawab dan janji yang telah dibuat, saya tidak teragak-agak untuk mengeluarkan duit sendiri dan membeli tiket penerbangan baharu bagi menjayakan rancangan tersebut," kata Dazrin yang tidak kisah berbelanja sendiri untuk ke lokasi jika kesalahan itu datang daripadanya. Tidak mengungkit Pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Jodoh bersama aktres Scha Al-Yahya ini berkata, dia berasa kecewa dengan tindakan produser terbabit yang dikatakan menanggung kerugian kerana terpaksa membeli tiket penerbangan gantian untuknya. "Jika produser itu mendakwa dia terpaksa membeli tiket penerbangan yang lain sebagai ganti, saya tidak menganggap ia sebagai satu isu yang besar. Saya sendiri yang membeli tiket tersebut dan sampai ke lokasi seperti yang dijanjikan. "Namun, saya langsung tidak menuntut wang perbelanjaan tiket tersebut daripadanya. Saya menganggap kesalahan tersebut sebagai tanggungjawab saya," katanya jujur mengenai situasi sebenar produksi itu.
Dazrin menambah, walaupun terpaksa menanggung penat akibat mengejar waktu serta tuntutan jadual yang padat, dia tetap sampai ke lokasi dan bersiaran secara langsung dari sana. Namun, ada pula kisah kurang enak yang terbit setelah kejadian itu berlaku. "Mereka mungkin tidak mengambil tahu tentang kisah perjalanan saya untuk ke sana. Terpaksa berkejar dari lokasi ke lapangan terbang semata-mata untuk sampai tepat pada waktunya. "Mereka lebih selesa bertindak membuat kesimpulan sendiri dan menceritakan kepada orang lain tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu," katanya lagi. Lebih profesional Biarpun ditohmah dengan pelbagai cerita yang kurang sedap didengar, pelakon yang berasal dari Melaka ini utuh dengan sifatnya yang profesional ketika menjalankan tugas sebagai seorang pelakon mahupun pengacara. "Saya dan produser itu masih menjalankan penggambaran bersama. Walaupun telah keluar pelbagai tohmahan, saya tetap profesional ketika bekerja dengannya. "Cuma, saya berasa kurang selesa jika terpaksa bekerja dengan individu yang gemar mencampuradukkan hal-hal peribadi dengan kerjaya," katanya ketika mengakhir perbualan. | ||
Abu Bakar Omar ajak Zed Zaidi berdialog Posted: Abu Bakar Omar ajak Zed Zaidi berdialogOleh IZWAN MOHD. ISA
PERGOLAKAN dan kepincangan yang berlaku antara ahli-ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) semakin memuncak apabila bekas presiden persatuan tersebut, Zed Zaidi bertindak menyelar pelakon veteran, Abu Bakar Omar melalui sebuah portal hiburan baru-baru ini. Zed Zaidi yang telah dilucutkan jawatannya sebagai Presiden Seniman tahun lalu mendakwa, Abu Bakar Omar tidak mempunyai inisiatif untuk menghidupkan kembali persatuan itu dengan menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi memudahkan urusan ahli-ahli yang bernaung di bawahnya kelak. Ketika dihubungi Kosmo!, Abu Bakar Omar kedengaran begitu kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Sembilu itu. Tegasnya, banyak usaha sudah dilakukan bagi mendapat kata sepakat antara dia dan ahli-ahli yang lain. Bagaimanapun, semuanya umpama bertemu jalan hampa. Kosmo!: Apakah reaksi anda ketika membaca tuduhan Zed Zaidi yang mengatakan anda tidak berusaha untuk menghidupkan kembali persatuan Seniman? ABU BAKAR OMAR: Saya begitu kecewa dengan dakwaannya itu. Sebagai seorang yang bijaksana dan berpelajaran, dia sepatutnya sedar tindakannya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Zed Zaidi turut menuduh anda seperti melengah-lengahkan untuk mengadakan AGM yang baharu. Adakah kenyataan itu benar? Peguam saya telah menghantar beberapa surat untuk memohon rekod-rekod yang melibatkan keputusan kewangan dan audit keahlian persatuan daripada pihak Zed Zaidi. Ketika di mahkamah, pihaknya sendiri mendakwa mereka masih menyimpan rekod-rekod tersebut. Namun, sehingga kini tiada apa-apa maklum balas yang kami terima. Tanpa keputusan-keputusan tersebut, AGM tidak boleh dijalankan. Mengapa rekod-rekod itu begitu penting bagi mengadakan AGM? Setelah terbatalnya AGM 14 yang lalu, ahli-ahli Seniman tidak mengetahui status sebenar mereka. Justeru, dengan adanya rekod-rekod tersebut, data-data keahlian dapat dibetulkan. Tambahan pula, Seniman merupakan sebuah persatuan berbayar. Ahli-ahli yang lain ingin mengetahui ke mana perginya wang keahlian yang disalurkan ke akaun persatuan. Pada pendapat anda, apakah solusi terbaik bagi menyelesaikan isu ini? Saya berharap agar satu sesi dialog diadakan antara saya dengan Zed Zaidi bagi menyuarakan pendapat masing-masing. Perjumpaan ini juga boleh dihadiri oleh ahli-ahli persatuan yang lain. Manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan dan kita tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan. Jika saya yang bersalah, saya bersedia untuk meminta maaf. Persatuan akan berpecah belah jika dia berterusan bercakap belakang dan enggan bersemuka untuk menyelesaikan isu ini. Adakah anda pernah mempelawanya untuk bersemuka sebelum ini? Saya pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya pada bulan Julai tahun lalu untuk berjumpa bersama ahli persatuan yang lain di FINAS sebelum isu AGM dibawa ke mahkamah. Zed bukan sahaja tidak menjawab SMS yang saya kirimkan, malah dia bertindak menghubungi FINAS dan meminta mereka membatalkan perjumpaan tersebut. Pada ketika itu, niat saya hanyalah untuk mendapatkan kata sepakat antara ahli. Jika isu itu boleh diselesaikan, mungkin ia tidak perlu dibawa ke mahkamah. Bilakah sepatutnya Seniman melangsungkan AGM yang baharu? Mengikut keputusan mahkamah, tarikh akhir bagi penganjuran AGM kami adalah pada 21 Januari ini. Isu yang melibatkan ahli-ahli Seniman seperti tidak berpenghujung. Apakah komen anda? Saya percaya setiap masalah ada penyelesaiannya. Saya juga berharap agar isu yang melibatkan ahli-ahli Seniman akan berakhir tidak lama lagi. Apa yang penting ialah kesudian Zed Zaidi untuk berjumpa dengan saya dan ahli-ahli yang lain bagi memperjelaskan masalah sebenar yang dihadapi oleh Seniman. Apakah pesanan anda terhadap Zed Zaidi? Saya berharap agar dia tidak berterusan menempelak saya dan ahli-ahli persatuan yang lain. Sebagai bekas presiden, dia seharusnya lebih bijak dalam menyelesaikan masalah, bukan bercakap secara sembunyi tanpa berani bersemuka. | ||
Posted: Iktiraf drama popularOleh RONI HIDAYAT RIDWAN ROSYAM NOOR (depan, tengah) bersama beberapa artis yang hadir pada sidang akhbar Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur baru-baru ini. BUAT julung-julung kalinya, stesen televisyen TV3 dan TV9 berkolaborasi untuk menganjurkan sebuah acara yang dikenali sebagai Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur. Anugerah yang bakal berlangsung pada 22 Februari depan itu dianjurkan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada drama-drama bersiri popular yang disiarkan di kedua-dua stesen berkenaan sepanjang tahun 2013. Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, idea penganjuran anugerah tersebut timbul kerana sambutan baik yang diterima berdasarkan kepada rating drama-drama bersiri yang disiarkan di kedua-dua stesen. "Ini kali pertama TV3 dan TV9 bekerjasama dan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur ini merupakan acara kemuncak dalam beberapa siri program Festival Drama sejak Disember lalu. "Untuk acara anugerah ini, sebanyak tujuh kategori yang dipertandingkan menerusi 10 buah drama yang mendapat rating yang paling tinggi di TV3 dan TV9," ujarnya dalam sidang akhbar baru-baru ini. Antara drama-drama bersiri yang terpilih seperti Ruby, Diandra, Karlos, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Janji Shirah, Love You Mr. Arrogant, Janji Adam, Dalam Setiap Sujud, 6 Progresif dan Puteri Malam. Untuk kategori yang dipertandingkan pula membabitkan Drama Pilihan, Pelakon Lelaki Pilihan, Pelakon Wanita Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Barisan Pelakon Pilihan dan Pasangan Serasi Pilihan. Berkenaan dengan format anugerah berkenaan, Sherina menyatakan bahawa peminat boleh mengundi calon-calon pilihan mereka bermula pada 1 Januari lalu menerusi laman web www.dfkl.com.my. "Kami memberi peluang sepenuhnya kepada para penonton untuk mengundi dan setiap undian tertinggi bagi semua kategori yang dipertandingkan bakal diumumkan pada malam anugerah nanti," jelasnya. JOHAN AS'ARI merupakan pelakon utama drama bersiri Karlos. Bagaimanapun ujar Sherina, anugerah berkenaan langsung tiada persamaan dengan Anugerah Skrin yang dianjurkan TV3 memandangkan format pertandingan yang berbeza berbanding kedua-dua anugerah tersebut. Drama pendek Selain Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur, terdapat beberapa program lain yang turut dianjurkan seperti Pertandingan Drama Pendek serta bengkel yang membabitkan seramai 17 individu berpengalaman dalam industri hiburan seperti pelakon, pengarah dan penulis skrip. Menurut Sherina, Pertandingan Drama Pendek berkenaan dianjurkan untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berkebolehan untuk menunjukkan hasil kerja masing-masing. "Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara dan penyertaan berlangsung selama 1 November dan tamat pada 31 Disember lalu. Ia bertemakan realiti kehidupan masyarakat di Malaysia. "Durasi drama pendek berkenaan adalah selama lima minit dan ia dihantar melalui portal www.veedo.my, seterusnya akan dinilai menerusi undian di laman web www.dfkl.com.my. "Lima drama yang menerima undian tertinggi akan diadili oleh juri-juri profesional dan pemenang akan diumumkan semasa acara Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur nanti," ujarnya. Sherina berkata, pemenang akan menerima wang tunai RM10,000, naib juara membawa pulang RM5,000 manakala tempat ketiga RM3,000. Mengenai bengkel yang dianjurkan pula, ia akan berlangsung pada 20 dan 21 Februari depan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur dengan yuran pendaftaran sebanyak RM60 (pelajar) dan RM100 (biasa). Dalam bengkel berkenaan, peserta berpeluang untuk belajar mengenai pengarahan, penulisan skrip, lakonan dan komposisi muzik. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan