Isnin, 6 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Penerima bak saudara kandung

Posted:

Penerima bak saudara kandung

Penerima bak saudara kandung

SETIAP kali akhir bulan, Ridzuan Atong, 37, resah memikirkan perbelanjaan yang perlu diagih-agihkan untuk keperluan isi rumah seperti perbelanjaan sekolah anak-anak, keperluan harian dan bil bulanan yang perlu dilunaskan.

Bertugas sebagai pemerhati di sebuah kilang getah berdekatan kediamannya di Kampung Gesir Tengah, Hulu Selangor, Ridzuan memperoleh gaji kurang daripada RM1,000.

Menjadi ketua keluarga dan menyara lima lagi ahli keluarga yang terdiri daripada tiga anak dalam lingkungan tiga hingga 12 tahun, isteri serta ibunya berusia 70-an, kehidupan Ridzuan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Keadaan semakin parah sejak dua bulan lalu selepas dia ditimpa kemalangan apabila seluruh gajinya dibelanjakan untuk membaiki motosikal. Dia juga dia tidak dapat keluar bekerja dalam tempoh tersebut.

Pada 14 November lalu, bekalan air di rumahnya dipotong lantaran kegagalan melunaskan bil bulanan yang tertunggak sehingga mencecah ratusan ringgit.

Rentetan daripada 'hutangnya' itu, Ridzuan sekeluarga terpaksa menadah air hujan, menumpang bekalan air daripada jiran tetangga untuk meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

Berkat kesabarannya, rezeki berpihak kepada beliau sekeluarga apabila pasukan Tabung Budi Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) sudi menghulurkan bantuan. Peka menyambung semula bekalan air yang terputus selain bersetuju melunaskan kos bil air yang tertunggak selama enam bulan.


HUBUNGAN antara penerima dan petugas Tabung Budi Peka umpama sebuah keluarga.


Rasa syukur

Riak kesyukuran Ridzuan jelas terpancar apabila berulang kali dia melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih sambil jari jemarinya mengenggam erat tangan Presiden Peka, Zainuddin Othman.

"Sebelum ini saya tidak pernah menghadapi sebarang masalah melunaskan bil bulanan air. Walaupun pernah beberapa kali tertunggak, saya masih melunaskannya.

"Cukuplah hampir sebulan ketiadaan air, seksa rasanya. Segala kerja harian di rumah terganggu. Ucapan terima kasih sahaja yang mampu saya ungkapkan kepada Tabung Budi Peka," jelasnya yang mengakui kali pertama menerima sumbangan dan bantuan.

Bagi Eksekutif Kanan Tabung Budi Peka, Mohd. Azrin Zainudin, 26, yang juga anggota pasukan pencari penerima bantuan itu berkata, melihat wajah gembira setiap penerima ketika menerima sumbangan sudah cukup menghilangkan penat lelahnya selama ini.

Menghabiskan masa hampir setiap hari menjelajah ke setiap wilayah di Selangor, Lembah Klang dan Kuala Lumpur, Mohd. Azrin dipertanggungjawab menjalankan tinjauan dan siasatan terhadap penerima yang benar-benar layak menerima bantuan itu.

Dia yang bertugas dalam Biro Tabung Budi Peka di bawah seliaan Pengurus, Hashimah Che Mat Din, di samping dua lagi rakan sekerjanya Mohd. Jaafar Idris, 61 dan Mohd. Rushdan Zaid Ali, 39, menganggap setiap penerima bantuan itu bagaikan saudara kandung sendiri.

"Saya tidak pernah bosan melakukan tugasan ini kerana di setiap lokasi saya akan bertemu keluarga baharu. Apabila mereka menerima bantuan Tabung Budi Peka saya juga tumpang gembira dan bersyukur.


PETUGAS Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) melakukan pemeriksaan pada paip penerima Tabung Budi Peka.


"Malah saya sering memantau keadaan mereka selepas menerima bantuan ini sama ada kehidupan mereka berubah kepada lebih baik atau sebaliknya. Alhamdulillah sepanjang bersama Tabung Budi Peka sejak empat tahun lalu, kebanyakan penerima berjaya mengubah kehidupan masing-masing terutama dalam menyusun semula perbelanjaan belanja bulanan mereka," katanya.

Gemar mengembara di kawasan perkampungan Orang Asli, Mohd. Azrin memberitahu, golongan itu adalah pejuang tegar dalam meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

"Mereka menangani tekanan sangat mudah. Kita mahu memberi bantuan tetapi mereka pula yang malu-malu kucing. Kalau tiada air mereka turun ke sungai, tadah hujan, gali perigi dan sebagainya.

"Oleh kerana itu saya tabik golongan ini dan tekad membantu mereka mendapatkan bekalan air bersih di kediaman masing-masing. Melihat keadaan mereka memang daif tetapi wajah mereka sentiasa mengukir senyuman," katanya.

Lain pula kisahnya bagi Mohd. Jaafar yang juga orang lama dalam biro itu. Dia sering berhadapan dengan pelbagai ragam penerima sumbangan termasuk pernah dihalau orang kurang siuman ketika menjalankan tinjauan.

Lima jam berkomunikasi

"Manusia ini ada macam-macam ragam. Ada yang menyambut kita dengan senyuman, ada yang melihat kita dengan pandangan yang amat sinis, ada juga yang kehidupannya serba kekurangan sehingga luar daripada fikiran kita.

"Masih segar dalam ingatan ketika melakukan tinjauan di daerah Kuala Langat, Selangor saya menghabiskan masa sehingga lima jam berkomunikasi melalui tulisan tangan dengan seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) bisu. Sehinggalah anaknya pulang dari sekolah baru kami selesai menjalankan tinjauan di situ," katanya.

Bukan sekadar menjadi penghubung antara penerima bantuan dan Tabung Budi Peka, pasukan itu turut menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mohd. Jaafar berkata, JKM dan LZS antara dua institusi yang sering memberikan kerjasama baik dengan Tabung Budi Peka.

PASUKAN Tabung Budi Peka sentiasa memastikan bekalan air di rumah penerima tidak mengalami sebarang gangguan.


"Kami sekadar menyumbang sambungan bekalan air dan bidang bantuan kami agak terhad di samping melibatkan tempoh tertentu sahaja. Jika kami mendapati setiap penerima atau calon tergolong dalam fakir miskin dan layak menerima bantuan, maklumat mengenai mereka disalur kepada JKM dan LZS," jelasnya.

Mohd. Rushdan Zaid yang juga ahli Peka menyumbang kepada tabung itu melalui potongan gaji setiap bulan berharap bantuan berkenaan diteruskan bertujuan meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

Dia berkata, hatinya sebak saat menatap wajah setiap penerima Tabung Budi Peka apatah lagi menyaksikan sendiri ada dalam kalangan penerima mempunyai anak yang ramai selain bergelut untuk meneruskan kehidupan tanpa bekalan air.

"Saya selalu dengar orang berkata biar tiada elektrik ada lilin jangan tiada air susah tetapi tidak pernah merasai keadaan itu. Terputus bekalan air untuk sehari pun boleh membuatkan kita tidak waras dan marah, inikan dalam tempoh yang lama.

"Mujur Tabung Budi Peka menyedari kesempitan yang ditanggung setiap penerima sumbangan ini. Saya sendiri tidak menyesal melakukan potongan gaji dan akan membantu selagi khidmat saya diperlukan," katanya.

Rumpai laut tarikan Pasar Tanjung

Posted:

Rumpai laut tarikan Pasar Tanjung

Rumpai laut tarikan Pasar Tanjung


SEORANG wanita menunjukkan rumpai laut yang mempunyai pelbagai kebaikan dalam industri kecantikan, makanan dan perubatan.


BARANGKALI, Pasar Tanjung Tawau tidak salah jika diumpamakan sebagai syurga hasil laut dan barangan tradisional.

Pasar, yang terletak di bandar ketiga terbesar Sabah itu, dibuka pada 1999 dan menempatkan 6,000 buah kedai yang sekali gus menjadikannya pasar tertutup terbesar di Malaysia.

Daripada barangan kraf, tikar, periuk belanga, permainan kanak-kanak, sayur segar, pelbagai jenis rempah, hinggalah pelbagai jenis makanan serta kudapan termasuk keropok tradisional amplang yang sangat popular di Sabah boleh didapati di sini.

Tidak lengkap jika anda berkunjung ke pasar ini tanpa membeli rumpai laut kering yang kebelakangan ini amat popular sebagai sumber khasiat kolagen untuk kesihatan, kecantikan dan keanjalan kulit.

Tumpuan utama

Pasar Tanjung Tawau dan bandar Tawau khasnya menjadi tumpuan utama aktiviti jual beli rumpai laut kerana terletak berhampiran dengan Semporna, Sabah yang menjadi kawasan industri rumpai laut terbesar negara.

Mengenai kebaikan rumpai laut, saintis menganggapnya sebagai makanan pelbagai fungsi yang berpotensi tinggi sebagai agen penambah dalam industri pemakanan halal, kosmetik, produk perubatan, farmaseutikal dan bahan api bio.

Biasanya, rumpai laut dituai untuk mengeluarkan karagenan yang sangat bernilai terutama dalam industri pemakanan sebagai agen pemekat, penstabil dan menghasilkan gelatin halal menggantikan gelatin daripada haiwan seperti babi yang banyak diguna untuk membuat kapsul ubat dan vitamin.

Karagenan juga biasanya digunakan dalam makanan jenis tenusu bagi mengekalkan tekstur berkrim seperti dalam aiskrim dan yogurt serta mengekalkan kelembutan dan jus dalam produk daging.


SABAH merupakan pengeluar terbesar rumpai laut di negara ini.


Secara umum, terdapat tiga jenis rumpai laut kering yang berada di pasaran berdasarkan warna iaitu ungu, keperangan atau kehijauan.

Bagaimanapun menurut penduduk tempatan yang dikenali sebagai Syafiqah, kesemua jenis rumpai laut itu tiada banyak perbezaan.

"Ia masih jenis rumpai laut sama yang cuma berbeza warna akibat cara pengeringan yang dilakukan oleh pengusaha.

"Rumpai laut yang dikeringkan di tempat redup dan tertutup akan mengekalkan warna ungu, manakala jika dijemur di bawah sinar matahari, warnanya pudar menjadi kuning keperangan," jelasnya.

Sementara itu, rumpai laut berwarna hijau pula biasanya direndam dalam pewarna semula jadi bagi menjadikannya lebih menarik.

Harga

Menyentuh mengenai harga, penjual meletakkan harga RM10 sekilogram, manakala di sekitar Pasar Filipina Kota Kinabalu pula harganya sekitar RM20 sekilogram.

Bagaimanapun, tinjauan di sekitar Lembah Klang mendapati rumpai laut kering berwarna ungu digredkan sebagai kualiti AAA dan dijual pada harga RM35 hingga RM45 bagi setiap 100 gram.

Jadi bagi pelawat ke Tawau pasti berbaloi membeli rumpai laut di pasar berkenaan.

Sementara itu, Sabah yang merupakan satu-satunya negeri pengeluar rumpai laut negara dijangka terus meningkatkan pengeluaran tahunan rumpai laut untuk membekalkan permintaan global yang semakin meningkat.

Setakat ini, akuakultur rumpai laut dibangunkan di daerah Semporna sebagai antara Bidang Ekonomi Utama Negara di bawah Program Transformasi Ekonomi, melalui projek mini-estet dua spesies rumpai laut utama.

Dua spesies itu adalah Kappaphycus alverazii dan Euchema spinosom.

Berdasarkan kajian Universiti Malaysia Sabah menjangkakan Negeri Di Bawah Bayu itu menghasilkan sekurang-kurangnya 150,000 tan metrik rumpai laut berproses berkualiti tinggi bernilai sehingga RM1.45 bilion menjelang 2020. - Bernama

Survival pain hiasan taman Jepun

Posted:

Survival pain hiasan taman Jepun

Survival pain hiasan taman Jepun


PENGHIAS pokok pain membersihkan akar pokok pain daripada tanah.


MAKOTO Ishibashi memangkas cekap dan merentap lembut dahan pohon pain itu. Kemahiran lelaki berusia 55 tahun itu bukan sahaja mencerminkan kerjayanya sebagai seorang artisan, malah lebih kepada profesion penuh penjiwaan.

Pewaris kepada perniagaan keluarga yang sejak berabad lamanya itu mampu menghasilkan sebuah karya agung dengan menukar pokok pain menjadi hasil seni yang mencecah angka AS$40,000 (RM131,340).

"Pokok ini bagaikan wanita. Daun-daunnya sangat lembut. Kesemua pohon ini adalah sebahagian daripada keluarga saya. Ia tidak menyatakan keinginannya secara lisan tetapi ia mampu menyampaikan mesej bagaimana ia mahu dibentuk.

"Perasaan itu mungkin hanya saya yang merasainya, namun saya percaya manusia berkongsi sesuatu yang unik dengan pokok, sama seperti hidupan lain," ujar pakar arborikultur itu ketika ditemui di ladangnya di bandar Sosa.

Sosa, sebuah bandar kecil yang terletak kira-kira 100 kilometer dari timur pusat bandar Jepun memang terkenal sebagai pembekal pokok-pokok hiasan yang diukir untuk diletakkan sebagai penghias taman dan laman tokong.

Dahan-dahan yang dipahat membentuk ukiran kreatif menerusi teknik nomiire memberi efek dramatik kepada pohon hiasan tersebut.

"Adakah ia menyakitkan awak? Maafkan saya. Saya akan melakukannya dengan lembut," perbualan mistik yang berlaku antara seorang artisan, Tadayoshi Udono dengan sebatang pokok selepas ia mengeluarkan bunyi berkeriut akibat tekanan ketika diukir.

Seperti pertukangan lain, seni membentuk pohon hiasan yang mirip kepada pokok makro bonsai itu kini berdepan ancaman yang membimbangkan.

Antara puncanya ialah kekurangan generasi muda menyertai profesion yang memerlukan ketelitian yang tinggi itu. Ada juga yang terpaksa meninggalkan kerjaya itu gara-gara kemerosotan ekonomi sejak kebelakangan ini.


KERJA-KERJA menghias pokok pain memerlukan ketelitian yang tinggi.


Mudah dijaga

Yoichiro Sato, 38, pernah diperli rakan sekerjanya yang telah berhenti daripada kerjaya tersebut. Dia juga dikatakan telah dihasut saudara-maranya agar terus bekerja dalam perniagaan keluarga yang diperturunkan empat generasi itu.

Sato juga melihat cabaran lain termasuk kecenderungan orang Jepun memilih pokok hiasan yang mudah dijaga berbanding pohon yang memerlukan penjagaan rumit.

"Namun saya masih bersyukur kerana orang di luar negara masih mencari pokok-pokok hiasan taman Jepun," tambahnya.

Pengerusi firma landskap taman Koshuen, Koichi Ebato bersetuju bahawa situasi di negara dengan populasi penduduk 128 juta itu kian mencabar.

"Di Jepun, ruang tidak mencukupi dan rumah tidak lagi sesuai untuk dihiasi taman Jepun. Ekonomi jua teruk. Buat masa ini kebanyakan pelanggan kami adalah orang Cina," luah Ebato.

Pengeluar pohon-pohon hiasan tersebut kini bergantung sepenuhnya kepada permintaan antarabangsa. Jepun mengeksport kira-kira 8.17 bilion yen (RM268 juta) bagi nilai ke atas pokok, tumbuhan dan bonsai mini pada tahun lalu, meningkat 22 peratus sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun ia adalah perniagaan eksport yang rumit. Pokok dan tumbuhan perlu mematuhi syarat kuarantin mengikut setiap negara import.

Kesemua pokok akan disejukbekukan di dalam kontena kapal selama berminggu-minggu tanpa bekalan matahari atau air sebelum tiba di negara pasaran termasuk China, Taiwan, Singapura, Jerman, Perancis dan Britain.

Golongan pembeli pula mesti sedia melaburkan wang yang banyak dan paling utama, bersabar. Ia boleh memakan masa hingga satu dekad bagi menyempurnakan sebatang pokok kecil. Proses itu belum lagi mengambil kira pokok-pokok yang melalui proses penyediaan menjangkau ratusan tahun.

Ishibashi, yang menceburi bidang itu seawal usia 18 tahun mengimbau momen dia dimarahi bapanya kerana memakai sarung tangan ketika bekerja.

Pesan bapanya: "Sarung tangan menyekat tangan menyempurnakan potongan dan guntingan halus. Ia bakal memberikan hasil yang berbeza."

Walaupun dia telah mengabdikan separuh abadnya dalam dalam pekerjaan tersebut, dia masih merasakan kemahirannya di peringkat asas.

"Kerja ini memerlukan ketelitian mendalam. Saya tidak akan belajar semua sebelum penghujung hidup saya," ringkas Ishibasi menutur kata. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved