Kosmo Online - Sukan |
Posted: United alih fokus
LONDON - Manchester United kini mengalihkan tumpuan kepada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Liga apabila berkunjung ke Stadium Of Light berdepan Sunderland awal pagi esok. Selepas kecewa disingkirkan dalam aksi Piala FA oleh Swansea City awal pagi semalam selain prestasi hambar dalam saingan liga domestik, skuad kendalian David Moyes pastinya tidak memandang mudah perlawanan itu untuk sekurang-kurangnya memburu satu trofi musim ini. Justeru, Moyes mahu anak-anak buahnya berjuang bermati-matian memburu gol selesa sebelum aksi timbal balik di Old Trafford selepas ini. "Kekalahan sememangnya sukar diterima terutamanya apabila mengendalikan pasukan yang hebat seperti United. "Tetapi itulah lumrah sebagai pengurus. Saya harap pemain dapat melupakan kekalahan kepada Swansea kerana ada satu lagi perlawanan penting (awal pagi esok)," kata Moyes. Selain pertemuan antara Sunderland dan United, satu lagi aksi separuh akhir Piala Liga antara Manchester City dan West Ham United di Stadium Etihad, awal pagi Khamis ini juga tidak kurang mendebarkan. Ini kerana, skuad kendalian Manuel Pellegrini terpaksa berdepan jadual perlawanan yang padat minggu ini selepas sekadar seri 1-1 dengan Blackburn Rovers dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Ewood Park tempoh hari. Disebabkan itu, The Citizens terpaksa berdepan aksi ulangan Ahad ini selain mengharungi aksi liga domestik berdepan Newcastle United, Cardiff City dan Tottenham Hotspur. Biarpun terpaksa beraksi enam perlawanan dalam tempoh 22 hari, penyerang City, Alvaro Negredo percaya ia tidak akan menjejaskan rentak The Citizens. "Apa yang penting kami perlu segera cergas setiap kali selepas perlawanan. "Kami memiliki kelebihan kerana skuad yang besar dan barisan pemain yang berkualiti, jadi kami boleh melaksanakan polisi penggiliran pemain tanpa menjejaskan rentak pasukan. "Jadi, saya harap kami berjaya melakar kemenangan selesa di depan penonton sendiri sebelum kembali berdepan West Ham di tempat lawan selepas ini," kata Negredo. - AFP | |
Status bintang bukan keutamaan JDT 1 Posted: Status bintang bukan keutamaan JDT 1Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH KETUA jurulatih pasukan Johor Darul Takzim 1 (JDT 1), Cesar Ferrando Jimenez mengakui status pemain bintang bukan keutamaannya untuk menyenaraikan kesebelasan utama bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2014 yang bakal membuka tirainya pada 17 Januari ini. Sebaliknya, pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan bahawa fokus utama yang bermain dalam fikirannya ketika ini ialah untuk memastikan JDT 1 mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi. Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan antara Harimau Selatan dengan Pelita Bandung malam ini, Jimenez turut optimis anak-anak buahnya memiliki peluang yang cerah untuk menamatkan kemarau trofi mereka sekiranya mampu mengekalkan konsistensi seperti yang dipamerkan dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini. "Saya tidak akan melihat kepada status (bintang) pemain itu semata-mata, kerana bagi saya ia bukan perkara penting dalam sesuatu pasukan. "Apa yang saya mahu fokuskan ialah kami perlu mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan. "Saya jamin setiap pemain pasukan ini akan turun ber juang habis-habisan untuk menaikkan nama JDT 1 dan beraksi lebih baik dalam setiap perlawanan demi penyokong fanatik kami," ujar Jimenez semalam. Musim ini, JDT 1 dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menggegar Liga Malaysia apabila membawa masuk dua pemain berkelas dunia, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa bagi memperkuatkan cabaran yang sebelum ini digalas pemain-pemain kebangsaan seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan ramai lagi. Menjelang aksi persahabatan keempat dengan kelab In donesia, Pelita Bandung di Stadium Tan Sri Hasan Yunos Larkin, malam ini, bekas jurulatih kelab Atletico Madrid itu mengakui beliau bakal menurunkan barisan terkuat bagi melihat tahap sebenar kemampuan pasukannya. Di bawah bimbingannya, Harimau Selatan telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam tiga aksi terdahulu dengan mencatat kemenangan 7-1 ke atas Tampin Rovers, 3-0 ke atas Hougang United dan terbaharu, menang 4-1 ke atas Melaka United FC (Sabtu lepas). "Bagi saya perlawanan (dengan Pelita Bandung) ini amat penting bagi menilai tahap sebenar pasukan ini. "Kami masih lagi dalam proses membina sebuah pasukan yang mantap dan aksi malam esok (hari ini) adalah masa terbaik untuk saya menurunkan skuad terkuat yang kami ada," tambahnya. Selepas aksi dengan Pelita Bandung, JDT 1 akan turun pada aksi persahabatan terakhir dengan menentang kelab Singapura, Home United FC, Sabtu ini. | |
'Tak terlintas untuk berhijrah' Posted: 'Tak terlintas untuk berhijrah'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE "TIDAK pernah terlintas langsung di fikiran saya untuk berhijrah. "Selagi khidmat saya diperlukan, saya tidak akan meninggalkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)." Demikian jelas pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee sekali gus menamatkan spekulasi berhubung masa depannya bersama badan induk itu selepas ini. Biarpun dikatakan bukan lagi calon pilihan bagi menyandang tugas selaku pengendali tetap Harimau Malaya selepas ini, Kim Swee tetap tidak melatah dan kekal komited melaksanakan peranannya sebagai pengendali sementara. Pada masa sama, beliau juga menafikan desas-desus bakal berhijrah mengendalikan skuad bola sepak Myanmar jika tidak lagi mendapat mandat menerajui Harimau Muda A selepas ini. "Wang ringgit bukan ukuran, sehingga kini saya juga belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan termasuk Myanmar. "Sejujurnya, saya cukup bangga jika kekal membantu pembangunan bola sepak negara terutamanya mengenal pasti bakat-bakat muda. "Jika saya masih diperlukan FAM, saya tidak akan pergi ke mana-mana," jelas beliau kepada Kosmo! kelmarin. Polemik berhubung masa depan Kim Swee mula tercetus selepas FAM mengesahkan bakal mengumumkan jurulatih baharu Harimau Malaya selewat-lewatnya penghujung bulan ini. Antara calon-calon hangat yang disebut-sebut menyandang 'kerusi panas' itu termasuklah jurulatih kelahiran Perancis, Phillippe Troussier. Disebabkan itu, majoriti peminat fanatik tempatan khuatir Kim Swee bakal 'disambar' Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF) bagi menggantikan Park Sung-Hwa yang dipecat ekoran kegagalan mereka ke separuh akhir temasya Sukan SEA baru-baru ini. Difahamkan, MFF sanggup menawarkan habuan lebih lumayan kepada Kim Swee dengan gaji bulanan melebihi AS$70,000 (RM224,280). Ketika ini, Kim Swee menggalas tugas selaku pengendali sementara Harimau Malaya selepas kontrak Datuk K. Rajagobal tidak lagi disambung FAM bulan lalu. Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi membincangkan perkara itu. "Saya akan berjumpa Datuk (Hamidin) Selasa (hari ini) bagi mengetahui peranan saya selepas ini. "Apa juga keputusan, hanya akan dibuat selepas saya bertemu FAM," jelas Kim Swee yang masih belum menandatangani kontrak baharu selepas berakhirnya temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar baru-baru ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan