Isnin, 6 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak perlu tunggu tahun baru - Beto

Posted:

Tidak perlu tunggu tahun baru - Beto

Tidak perlu tunggu tahun baru - Beto

SEWAKTU bertemu dengan pelakon Nurkusyairy Zakuan Osman atau lebih sinonim dengan panggilan Beto Kusyairy ketika penggambaran telemovie Kasih Ayah minggu lalu, perkara pertama yang ditanya adalah mengenai azam baharu.

Ia satu pertanyaan yang cukup wajar memandangkan ketika itu tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang ambang tahun 2014 dan setiap individu pastinya mempunyai azam yang ingin direalisasikan.

Bagaimanapun, jawapan yang diterima daripada pelakon Istanbul Aku Datang itu agak mengejutkan kerana dia memberitahu selama ini dia tidak seperti orang lain yang akan teruja menceritakan azam masing-masing.

"Mungkin akan ada segelintir pihak yang agak hairan dengan saya tetapi itulah pendirian saya sejak dahulu lagi. Sejujurnya saya agak kurang percaya dengan azam baharu ini.

"Bagi saya, kalau ingin mengejar sesuatu impian atau mahu melakukan sebarang perubahan dalam diri, tidak perlu hendak tunggu tahun baru dan lakukan sahaja dengan segera," tegasnya.

Menceritakan tentang perjalanan kariernya sepanjang tahun 2013, Beto meluahkan rasa syukurnya kerana semua berjalan dengan lancar serta rezeki yang tidak putus datang.

Menurutnya, sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya, dia merasakan tiada apa yang perlu dirisaukannya memandangkan sehingga kini dia masih lagi mendapat kepercayaan ramai penerbit dan pengarah.

BETO KUSYAIRY mengatakan resolusi atau azam tidak perlu dipasang pada setiap tahun baru, sebaliknya boleh dilakukan dengan segera pada bila-bila masa.


"Setakat ini saya memang tidak mahu merungut memandangkan segala-galanya tiada apa yang kurang. Apa sahaja tawaran yang diperoleh, saya akan terima setelah dibuat pertimbangan dan penilaian.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan perjalanan karier sebagai pelakon sepanjang 2013 dan percaya apa yang saya nikmati ini sudah ditentukan dan ada hikmah di sebaliknya," ujar pelakon berusia 33 tahun itu.

Katanya lagi, biarpun sejak kebelakangan ini wajahnya agak kurang muncul di kaca televisyen atau layar perak tetapi diari lakonannya sentiasa padat dengan jadual penggambaran.

"Tidak mustahil ada yang beranggapan saya sudah kurang berlakon kerana tidak selalu muncul. Sebenarnya, kebanyakan drama bersiri, telemovie dan filem yang saya lakonkan masih belum ditayangkan lagi di televisyen dan pawagam.

"Misalnya, pada tahun ini sahaja sebanyak empat buah filem saya yang sedang menanti untuk ditayangkan seperti Bravo 5, Balun, Gila Baby dan CEO manakala sebuah telemovie lakonan saya iaitu Qadar juga bakal ditayangkan di saluran Astro First," jelasnya.

Jadi pengarah

Sudah sedekad menjadi seorang pelakon, Beto turut diaju dengan pertanyaan tentang impian dan hala tujunya sebagai anak seni setelah membintangi banyak drama bersiri, telemovie dan filem.

Pelakon berkelulusan Diploma Perhotelan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu berkata, dia sebenarnya mempunyai impian untuk duduk di kerusi pengarah.

"Setiap pelakon pastinya ada memasang impian untuk meningkatkan lagi kerjaya dalam bidang seni ini. Kalau ditanya tentang impian saya, sudah tentu saya mahu menjadi seorang pengarah suatu hari nanti.

BETO mempunyai empat buah filem dan beberapa telemovie yang masih menunggu giliran untuk ditayangkan pada tahun ini.


"Namun begitu, saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa untuk mengejar impian berkenaan. Lagipun sekarang ini masih mentah dan perlu belajar lebih banyak selok-belok dalam dunia lakonan," ujarnya.

Jelas Beto, tidak semestinya dia perlu sasar tahun ini untuk bergelar seorang pengarah memandangkan dia memerlukan lebih banyak masa lagi menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman.

Projek baharu

Bercerita mengenai projek baharunya pula, Beto memberitahu, dia baru sahaja terbabit dengan penggambaran telemovie untuk tayangan di stesen televisyen Alhijrah berjudul Kasih Ayah.

Dalam telemovie berkenaan, dia memegang watak utama sebagai Hakim dan turut berlakon bersama beberapa pelakon popular lain seperti Dira Abu Zahar, Dian P. Ramlee dan Fathil Dani.

"Watak saya sebagai Hakim merupakan seorang lelaki yang menjaga kepentingan keluarganya tetapi kerana terlalu memberikan tumpuan kepada pekerjaan, dia telah melupakan tanggungjawab sebagai ayah dan suami.

"Saya tertarik untuk berlakon dalam telemovie ini kerana skrip dan jalan ceritanya sangat bagus serta banyak memberi nasihat yang berguna kepada penonton," ujarnya.

Selepas terbabit dengan penggambaran telemovie berkenaan, Beto memberitahu, dia akan berlakon pula sebuah lagi telemovie berjudul P.I serta beberapa buah projek lakonan lain yang kini dalam proses perbincangan.

Aldo Gumara mahu bina nama di Malaysia

Posted:

Aldo Gumara mahu bina nama di Malaysia

Aldo Gumara mahu bina nama di Malaysia

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my

ALDO mengakui dirinya kini sudah serasi dengan budaya masyarakat Malaysia.


JIKA disebut namanya, memang tiada yang mengenali jejaka kelahiran Indonesia ini. Namun kerana minat, Aldo Gumara ingin mencuba nasib membina nama dalam industri tempatan. Pada awal kemunculan jejaka ini dalam filem Awan Dania The Movie, mungkin wataknya yang agak kecil tidak memberi ruang untuk peminat mengenali Aldo.

Selepas berehat seketika, Aldo meneruskan minatnya dalam lakonan dengan menerima watak sebagai Rohan dalam siri web yang berjudul Dan Calonnya Adalah… bersama Faralyna, Anding Indrawan, Maria Tunku Sabri, Susan Lankester dan ramai lagi.

Drama yang berdurasi selama lima hingga lapan minit ini akan ditayangkan di laman portal Tonton sebanyak 28 episod bermula 12 Disember lepas pukul 12 tengah hari.

Ikuti temu bual lanjut bersama Aldo yang memilih Malaysia untuk membina karier lakonannya ini.

Kosmo!: Boleh ceritakan mengenai watak anda dalam drama ini?

ALDO: Saya memegang watak Rohan iaitu seorang atlet yang merupakan salah seorang dari teman yang keluar bersama Katrina daripada pilihan 14 jejaka itu.

Bagaimanakah anda boleh terlibat dalam industri tempatan?

Saya mula terlibat dalam bidang lakonan di Malaysia ini melalui pembabitan saya dalam filem Awan Dania The Movie pada awal tahun 2012. Bagaimanapun, saya terpaksa berhenti sementara aktiviti lakonan saya kerana ingin beri tumpuan kepada pengajian saya.

Namun, saya juga rasa dengan kebolehan saya fasih bertutur dalam bahasa Melayu membolehkan saya mendapat tempat. Cuma apa yang perlu dilakukan ialah jika saya ingin berjaya dalam bidang ini, saya perlu mengasah bakat lakonan supaya mendapat kepercayaan para penerbit di sini.

JEJAKA kacak ini tidak kisah untuk terbabit dengan naskhah yang ditawarkan kepadanya tetapi lebih mementingkan apakah karakter yang bakal dilakonkannya.


Mengapa pilih untuk berlakon di Malaysia dan bukan Indonesia?

Saya mula menetap di Malaysia sejak tahun 2006 kerana belajar di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) dan mengambil kursus dalam bidang fotografi. Oleh kerana itu, saya ingin mula membina karier lakonan di sini. Namun, saya masih sayangkan negara kelahiran saya iaitu Indonesia.

Mengapa mahu berlakon di Malaysia dan bukan di Indonesia. Ini kerana jika mahu diikutkan, bayaran di sana lebih lumayan?

Saya kini tinggal dan belajar di Malaysia dan lebih selesa jika saya mula karier di sini juga. Memang saya sukakan Malaysia sejak tahun 2006 hingga kini. Sejak itu juga saya rasa sudah serasi dengan budaya di sini.

Sudah berapa lama dalam bidang peragaan?

Saya mula aktif dalam bidang ini pada tahun 2009 di Medan, Indonesia. Kini saya banyak terlibat sebagai model barangan sukan selain memperagakan pakaian di pentas pertunjukan fesyen.

Ada tawaran lain selepas drama Dan Calonnya Adalah…?

Ada. Tawaran untuk sebuah drama yang akan mulakan penggambaran pada bulan (Januari) ini. Satu perangai saya ialah saya tidak suka untuk bertanyakan tentang judul drama atau filem yang bakal saya berlakon. Saya hanya mahu tahu tentang wataknya dahulu.

Selain filem apa lagi drama yang melibatkan anda?

Saya lebih ke bidang peragaan. Sejujurnya, bidang lakonan ini memang masih baharu bagi diri saya.

Konsert debut Salamiah selepas 4 dekad

Posted:

Konsert debut Salamiah selepas 4 dekad

Konsert debut Salamiah selepas 4 dekad

Oleh IZWAN MOHD. ISA
izwan.mohdisa@kosmo.com.my


KONSERT Gelombang Salamiah Hassan akan berlangsung pada 10 hingga 12 Januari ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


SETIAP penyanyi pasti mengimpikan sebuah persembahan berskala besar yang mampu menjadi platform dalam memperdengarkan lagu-lagu hit mereka secara langsung kepada para pendengar.

Bagaimanapun, masalah kesukaran mencari penaja dan keengganan peminat mengeluarkan duit untuk membeli tiket menjadi salah satu punca mengapa sesetengah artis veteran seperti sepi tanpa sebarang penganjuran konsert.

Penyanyi veteran, Salamiah Hassan, 63, turut tidak terkecuali.

Setelah berkecimpung dalam industri nyanyian selama lebih empat dekad, tahun 2014 bakal menyaksikan persembahan konsert pertamanya yang diterbitkan oleh penerbit dan pengarah, Raja Azmi.

"Bidang nyanyian merupakan darah daging saya. Menyanyi merupakan suatu perkara yang saya lakukan setiap hari sejak zaman muda lagi. Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk mengadakan sebuah konsert.

"Justeru, setelah diberikan peluang seperti ini, saya akan melakukan sehabis baik demi memberikan persembahan yang berkualiti kepada para peminat," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar Pelancaran Konsert Gelombang Salamiah Hassan di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai idea penghasilan konsert itu, Salamiah berkata, Raja Azmi merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memberikan dorongan dan galakan kepadanya untuk menjayakan konsert tersebut.

"Sejak mengenalinya menerusi rancangan realiti masakan Selebriti MasterChef Malaysia musim pertama kira-kira dua tahun yang lalu, hubungan saya dan dia semakin rapat. Bagi saya, dia sudah saya anggap seperti adik sendiri.

"Sewaktu dia mengajukan idea untuk menerbitkan konsert ini, saya agak terkejut. Saya memberitahu Raja Azmi, saya bukan artis bertaraf diva yang memerlukan konsert setiap tahun.

"Setelah dipujuk beberapa kali, akhirnya saya bersetuju," kata Salamiah yang menyifatkan ia sebagai hadiah paling bermakna buatnya daripada Raja Azmi.

Medley dan jingle

Salamiah pernah dikenali sebagai Ratu Jingles suatu ketika dahulu. Selain menyanyi di kelab-kelab malam, dia turut mencuri tumpuan penonton dengan menyanyikan lagu-lagu iklan bagi siaran televisyen tempatan.

Menurutnya, sepanjang konsert itu berlangsung, dia bakal membawakan lagu-lagu popularnya, lagu bahasa Inggeris serta medley jingle yang pernah dirakamnya dahulu.

"Konsert itu nanti akan dibahagikan kepada empat segmen. Secara keseluruhan, saya menyanyikan sebanyak 25 buah lagu. Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan termasuklah Menghitung Hari, Gelombang, Cita-Citaku, Aku Curiga dan Semut Semut Di Titian Usang.

"Selain itu, saya akan menyanyikan lagu-lagu jingle yang pernah mengiringi beberapa iklan televisyen tempatan puluhan tahun dulu," ujarnya yang turut akan memperdengarkan lagu baharu berjudul Aku.

Diarahkan oleh Pat Ibrahim, Konsert Gelombang Salamiah Hassan akan berlangsung pada 10 hingga 12 Januari 2014 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Tiket berharga RM80 hingga RM350 boleh didapati di www.ticket2u.biz.

Jaga kesihatan

Menurut ibu kepada penyanyi jazz Atilia ini, penjagaan kesihatan merupakan perkara utama dalam kehidupannya sejak dulu lagi. Lebih-lebih lagi ketika menghadapi sesi latihan nyanyian bagi menyiapkan diri untuk konsert yang bakal berlangsung pada 10 Januari ini.

"Saya tidak merokok dan tidak suka orang yang merokok. Itu merupakan salah satu perkara yang saya elak ketika menyanyi di kelab malam dulu.

"Untuk memberikan tenaga yang berpanjangan, saya mengamalkan pengambilan suplemen tambahan serta multivitamin. Ia sangat membantu dan memudahkan perjalanan kerjaya saya setiap hari," ujarnya.

Dalam pada itu, Salamiah bakal hadir dengan sebuah album baharu yang menampilkan lima buah lagu Melayu lama yang diberi sentuhan berbeza oleh produser terkenal, Aubrey Suwito.

"Album itu mengandungi lima lagu malar hijau seperti Bintang Malam, Malam Bulan Dipagar Bintang, Nak Dara Rindu, Mahligai Kayangan Boleh Dilihat Dipegang Jangan dan Aku.

"Lagu Aku sungguh istimewa. Judul asalnya ialah Cahaya tetapi setelah membaca lirik lagu tersebut, ia sangat mencerminkan kisah hidup saya sebelum ini.

"Lalu, saya mengambil keputusan untuk menggubahnya kepada Aku," kata Salamiah yang turut menampilkan Atilia pada malam persembahan itu nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved