Selasa, 7 Januari 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


PPZ-MAIWP sedia platform bayar zakat

Posted:

PPZ-MAIWP sedia platform bayar zakat

PPZ-MAIWP sedia platform bayar zakat

Oleh Hafiz Ahmad

PENGGUNAAN telefon pintar tidak lagi terhad untuk membuat panggilan dan menghantar kiriman mesej ringkas sahaja.

Perkembangan teknologi telefon pintar membolehkan pengguna melayari internet melalui sambungan data telekomunikasi dengan harga yang berpatutan.

Ia diselarikan dengan penciptaan variasi aplikasi pelbagai kategori seperti permainan, utiliti dan bahan bacaan yang dapat digunakan ketika melakukan kerja seharian atau berhibur pada waktu senggang.

"Tidak dinafikan, kecanggihan telefon pintar kini banyak membantu pengguna dalam melakukan urusan seharian. Sama ada membayar bil-bil, membaca surat khabar harian atau bermain permainan video," ujar Eksekutif Hartanah, Syazwan Arifin, 27, ketika ditemui Infiniti di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia menambah, kebanyakan syarikat korporat dan perbankan mula beralih kepada penciptaan aplikasi dengan fungsi yang ringkas dan mudah, sesuai dengan peranti telefon bimbit.

"Sebagai contoh, bank-bank utama seperti Maybank Berhad dan CIMB mempunyai aplikasi sendiri. Begitu juga syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia yang membolehkan pengguna membeli tiket dalam talian menggunakan aplikasi tersebut," kongsi pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Berdasarkan kajian laman carian Google, kadar penembusan telefon pintar di Malaysia meningkat hampir 300 peratus sejak tahun 2011.


VARIASI aplikasi boleh didapati dalam telefon pintar seiring dengan kepesatan teknologi maklumat.


Rakyat Malaysia mendahului Amerika Syarikat dan England dengan peratusan penggunaan telefon pintar yang tinggi. Kajian itu memperincikan setiap tiga penduduk Malaysia memiliki telefon pintar.

Ia jauh berbeza pada dua tahun lalu apabila hanya satu daripada 10 orang mempunyai alat komunikasi canggih tersebut.

Seiring dengan peralihan itu, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan aplikasi iZakat sebagai medium baharu pembayaran zakat.

Percuma

Ia boleh dimuat turun secara percuma bagi pengguna telefon pintar Iphone dan Android menerusi aplikasi App Store dan Google Play.

Ia dilancarkan pada 14 Disember 2013 dan dibangunkan sendiri oleh Unit Pembangunan Web dan Multimedia PPZ-MAIWP manakala bagi pembayaran mobil dibiayai oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan dibangunkan oleh Dapat Vista Sdn. Bhd.

Menurut Eksekutif Pembangunan Web PPZ-MAIWP, Mohd. Hafizullah Kamaruddin, aplikasi iZakat mengambil masa empat bulan untuk disiapkan.

"Segala perisian dan maklumat yang terdapat dalam aplikasi tersebut adalah sama seperti dalam portal PPZ-MAIWP. Bagaimanapun, kami ringkaskan beberapa fungsi memandangkan sesuatu aplikasi perlu lebih padat dan ringan agar mudah dimuat turun pengguna," ujarnya.

Pembayaran

Antara aplikasi yang boleh diperoleh melalui iZakat ialah Zakat2u, kalkulator pengiraan zakat, info zakat dan lokasi kaunter zakat.

"Sejurus memuat turun aplikasi, pengguna boleh terus melakukan pembayaran dengan mengisi beberapa maklumat asas. Ia akan disimpan dalam pangkalan data kami untuk kegunaan pembayaran seterusnya.

"Bagi pembayaran bulan berikutnya, mereka hanya perlu memasukkan kad pengenalan sahaja," katanya.

APLIKASI iZakat boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store dan Google Play.


Pada bahagian Zakat2U, terdapat tiga maklumat penting iaitu Taksir Zakat, Bayar Zakat dan Semak Penyata Zakat.

"Dalam ruangan Taksir Zakat, pengguna boleh membuat taksiran pelbagai jenis zakat harta seperti pendapatan, wang simpanan, perniagaan, emas, saham dam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Taksiran itu akan disimpan dalam Rekod Taksiran," jelas Mohd. Hafizullah.

Tambahnya, Bayar Zakat merupakan ruangan yang penting dan menjadi tumpuan utama pengguna. Pengguna boleh membuat bayaran zakat dalam talian melalui saluran FPX atau kad kredit.

"Buat masa sekarang, pihak PPZ-MAIWP hanya menerima bayaran melalui kad kredit dari perbankan Islam," jelasnya.

Selepas melakukan pembayaran zakat, pengguna boleh melihat rekod bayaran rasmi mereka menerusi ruangan Semak.

"Rekod tersebut boleh dilihat selepas tiga hari pembayaran di iZakat. Bagi resit asli pula, ia akan dihantar ke alamat anda selepas 14 hari pembayaran dibuat," kata Mohd. Hafizullah.

iZakat turut menyediakan kalkulator bagi mengira jumlah bayaran yang perlu dibayar mengikut pendapatan tahunan yang diisi sendiri oleh pengguna. Pengiraan tersebut merangkumi semua pecahan zakat harta.

"Sebagai contoh pengiraan zakat pendapatan akan meliputi maklumat seperti tahun haul mengikut nisab, pendapatan kasar, penolakan perbelanjaan setahun dan taksiran," katanya.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat tambahan mengenai zakat, kaedah pembayaran lain dan informasi mengenai PPZ-MAIWP disertakan dalam ruangan Info.

Pantai berbahaya di dunia

Posted:

Pantai berbahaya di dunia

Pantai berbahaya di dunia



SUATU percutian pantai pastinya sempurna apabila berada di persekitaran bersih dengan pemandangan yang mempesonakan. Namun demikian, terdapat beberapa pantai di dunia yang tidak selamat dilawati. Infiniti menyenaraikan 10 pantai yang berbahaya di dunia untuk tatapan umum.

Pulau Fraser, Australia

PULAU unik seluas 123 kilometer persegi ini terletak berhampiran pesisir pantai Queensland, Australia. Selain keindahan yang mempesonakan, pulau ini juga merupakan pulau pasir terbesar di dunia. Keunikan Pulau Fraser ialah ia mempunyai sebuah hutan hujan yang tumbuh di atas bukit pasir setinggi 200 meter dari permukaan laut, sekali gus menjadi tarikan semula jadi di situ. Selain itu, pengunjung boleh mengetahui sejarah bangkai kapal di S.S Maheno yang terdampar di pantai tersebut, di samping mendekati keindahan cenuram pasir berwarna, The Pinnacles. Namun begitu, pengunjung perlu berhati-hati apabila berada di perairan pantai ini kerana terdapat haiwan marin yang ganas seperti jerung dan obor-obor beracun, di samping anjing liar yang dikenali sebagai Dingo yang dilaporkan adakalanya menyerang manusia.

Pantai Chowpatty, India

PANTAI Chowpatty terletak di Mumbai dan menjadi salah satu pantai umum paling terkenal di India. Ratusan penduduk daripada seluruh Mumbai akan membanjiri pantai ini di antara Ogos dan September setiap tahun bagi menyambut perayaan Ganesh Chaturthi yang diadakan untuk menghormati Dewa Ganapati.

Sungguhpun menjadi tumpuan ramai, Pantai Chowpatty dicemari dengan timbunan sampah sarap dan keadaan air yang tercemar, menjadikan aktiviti mandi-manda tidak digalakkan kerana berisiko menjejaskan kesihatan.

Pantai Gansbaai, Afrika Selatan

PANTAI Gansbaai menjadi destinasi pelancongan popular di Western Cape, Afrika Selatan. Ia terkenal dengan kepadatan tinggi populasi jerung putih dan lokasi melihat paus. Antara aktiviti tarikan di sana ialah menyelam di dalam sangkar bersama jerung putih.

Jerung putih dikatakan mengganas ketika musim anjing laut membiak.Kebanyakan serangan dipercayai berlaku apabila manusia disalah anggap sebagai anjing laut.

Pantai Bolinas, California

PANTAI Bolinas menjadi syurga bagi peminat sukan luncur air. Namun begitu, peluncur harus mengambil langkah berjaga-jaga kerana terdapat banyak jerung putih di pantai ini yang mencari sumber makanannya di sini.

Peluang untuk diserang pemangsa marin ini cukup tinggi kerana ia boleh dilihat dari air pantai yang jernih ini.

Selain itu, para pengunjung dinasihatkan untuk tidak turun ke pantai pada waktu malam bersendirian dan memakai sebarang perhiasan berkilat yang boleh menarik perhatian pemangsa berkenaan.



Pantai Hanakapiai, Hawaii

PANTAI Hanakapiai terletak di Hawaii, Amerika Syarikat. Pantai berkeluasan 3.2 kilometer ini menjadi tumpuan dengan kehalusan pasir dan lautnya yang membiru. Sungguhpun demikian, sekurang-kurangnya 83 individu telah dilaporkan lemas ekoran keadaan ombak dan arus karau yang kuat.

Pantai Maho, Sint Maarten

PANTAI Maho terletak di pulau Caribbean, Saint Martin. Lokasi ini terkenal kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Princess Juliana terletak bersebelahan pantai.

Ekoran itu, ia menjadi tumpuan pemerhati pesawat yang berkunjung untuk melihat pelbagai jenis pesawat komersial berlepas dan mendarat dari jarak dekat.

Selain masalah bising, pengunjung berdepan risiko terpelanting ke dalam air terkena tujahan enjin pesawat. Sehubungan itu, kerajaan tempatan telah meletakkan tanda amaran yang memaklumkan pesawat berlepas dan mendarat boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.

Pantai Sandy, Hawaii

PANTAI Sandy yang terletak di selatan Oahu, Hawaii di Amerika Syarikat merupakan salah satu pantai yang popular dalam kalangan remaja dan dewasa. Ia dikenali sebagai lokasi menarik bagi aktiviti luncur badan kerana ombak yang pecah berhampiran dengan pantai.

Pantai yang mempunyai pasir putih menggoda ini berbahaya ketika gelombang ombak besar dengan kehadiran arus karau.

Pantai Copacabana, Brazil

KOTA Rio de Janeiro di Brazil merupakan kota yang terkenal dengan kemeriahan pelbagai acara. Kota ini juga memiliki pantai indah dengan hamparan pasir putih sepanjang empat kilometer iaitu Pantai Copacabana.

Padat dengan pengunjung, pantai terkenal itu juga dikenali dengan pencuri atau penyeluk saku. Oleh itu, pengunjung diminta untuk meninggalkan barang-barang berharga di hotel sebelum menikmati percutian mereka di pantai tersebut.

Bikini Atoll, Amerika Syarikat

BIKINI Atoll merupakan satu atol yang terdiri daripada gugusan 23 buah pulau di Kepulauan Marshall, Amerika Syarikat. Di antara tahun 1946 dan 1958, kepulauan yang kini menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ini menjadi lokasi lebih 20 ujian senjata nuklear. Selain risiko radioaktif yang mungkin masih wujud, pulau tersebut juga berbahaya kerana bilangan jerung yang tinggi.

Pantai Playa Zipolite, Mexico

PLAYA Zipolite merupakan komuniti pantai yang terletak di pesisir selatan Oaxaca, Mexico. Sesetengah pihak mendakwa perkataan 'Zipolite' datang daripada bahasa Nahutl yang bermakna 'Pantai kematian'.

Pantai kecil sepanjang dua kilometer yang sering menjadi tumpuan ini, khususnya golongan backpacker, terkenal dengan ombak besar dan arus karau yang kuat.

EV tingkat kualiti audio

Posted:

EV tingkat kualiti audio

EV tingkat kualiti audio


BOSCH melantik Wu sebagai duta untuk mikrofon RE320.


JENAMA terkemuka dunia, Bosch baru-baru ini melantik Virus Wu, bintang yang semakin bersinar dalam industri muzik Malaysia sebagai duta selebriti tempatan yang pertama untuk produk Electro-Voice (EV) iaitu mikrofon RE320.

Pengenalan mikrofon RE320 merupakan mikrofon yang bertaraf antarabangsa untuk penghasilan kualiti audio yang tinggi semasa rakaman studio mahupun persembahan secara langsung di atas pentas.

Selain itu, ia juga menyokong bakat muda tempatan dalam memartabatkan industri muzik tempatan. Di samping itu, produk rangkaian EV ini memberikan sistem bunyi yang lebih mengagumkan selain menjadikan vokal penyanyi lebih jelas.

Pengurus Besar Bahagian Sistem Keselamatan Bosch, Jacky Chuan berkata, mikrofon RE320 direka khas untuk mempertingkatkan kualiti bunyi agar setiap perkataan yang dilontarkan dapat didengar dengan jelas selain memberi kepuasan maksimum kepada pendengarnya.

"Melalui Wu, kami berharap dapat menyerlahkan inovasi canggih teknologi bunyi yang unggul sekali gus menyokong kebangkitan bakat-bakat muda muzik di Malaysia," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved