Kosmo Online - Rencana Utama |
Pelopor jual jagung dalam cawan Posted: Pelopor jual jagung dalam cawanPADA suatu petang, ketika Nelson sedang menguruskan kedai permainan kanak-kanak miliknya di Asia Jaya, Petaling Jaya, Selangor, dia didatangi seorang lelaki. Lelaki itu membawa sebuah bakul penuh berisi jagung. Perkenalan spontan itu memberi ruang kepada lelaki itu meluahkan kesukarannya memasarkan jagung yang ditanamnya. Tanpa berfikir panjang, Nelson terus membeli beberapa tongkol jagung daripada lelaki itu lalu membawa pulang ke rumah. Malam itu, Nelson sekeluarga menikmati jagung kukus yang dibelinya pada siang tadi. Kelembutan dan kemanisan jagung itu memikat hati Nelson. Dia bertemu semula penjual jagung itu dan bersetuju melantik lelaki tersebut sebagai pembekal utama jagung. Peristiwa itu berlaku pada awal tahun 1980-an. Nelson kemudiannya membuka gerai kecil di hadapan kedai permainannya untuk menjual jagung. Tidak memakan masa yang panjang, jagung Nelson mempunyai pengikut setia, malah hasil jualan makanan itu lebih laris berbanding perniagaan permainan kanak-kanak. Tiga tahun kemudian, Nelson mengubah keutamaan bisnesnya daripada kedai permainan kepada gerai jagung. Sambutan menggalakkan jagung tersebut mendorong Nelson, 57, atau Datuk Nelson Kwok Teng Toong membawa bisnes kecilnya ke dalam sebuah pasar raya di Seksyen 14, Petaling Jaya. Tahun 1985 menjadi permulaan kepada pengenalan jenama Nelson Corn (jagung manis) di Jaya Supermarket. "Hari pertama operasi sahaja, sudah ramai orang beratur. Waktu itu saya dan isteri yang berniaga. Jagung dikukus mengikut pesanan pelanggan dan saya masih ingat bekalan jagung tidak cukup untuk menampung permintaan orang ramai. "Ketika itu jagung masih dijual mengikut tongkol. Satu tongkol berharga RM1.20 dan ia boleh terjual sebanyak 1,000 tongkol sehari. Hujung minggu jagung mesti habis dijual," kenang Nelson ketika ditemui Kosmo!. Ladang sendiri Lapan tahun beroperasi di Jaya Supermarket, Nelson yakin sudah tiba masa untuk mengembangkan perniagaannya ke negeri lain. Dilema tercetus apabila masalah ketahanan jagung mengekang kelancaran pembukaan cawangan baharu. Tanpa ladang sendiri, Nelson bergantung sepenuhnya kepada pembekal yang terdiri daripada petani-petani kontrak. Jagung yang dibawa ke luar Selangor mengecut dengan pantas dan membuatkan rasa aslinya hilang.NELSON (kanan) membuktikan bahawa bisnes jagung mempunyai potensi yang luar biasa. Keuntungan perniagaan merosot dan hal tersebut menggugat keselesaan Nelson. Mujur anak kedua daripada empat adik-beradik itu mampu menyelamatkan perniagaan tersebut daripada tersungkur. Program penyelidikan dan pembangunan dilaksanakan bagi mencari penyelesaian terhadap isu ketahanan jagung. Solusi terbaik ditemui. Maka teknik pengasingan biji jagung daripada tongkol digunakan. Biji-biji jagung itu kemudiannya disejuk beku untuk dihantar ke cawangan Nelson di luar kawasan Lembah Klang. Sejak itu, terciptalah budaya memakan jagung di dalam cawan. Percaya atau tidak, Nelson Corn ialah perusahaan makanan ringan berasaskan jagung pertama di dunia menggunakan pendekatan sedemikian. Pulau Pinang menjadi cawangan pertama selepas Jaya Supermarket. Ia diikuti dengan pembukaan Nelson Corn di Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor. Menerusi program francais, Nelson kemudiannya menyenaraikan Nelson Corn sebagai sebuah perusahaan francais di Malaysia. Hari ini, selepas 28 tahun bergelumang dengan jagung, jenama Nelson Corn telah berkembang di 16 buah negara dengan jumlah kedai melebihi 800 buah dan dijangka akan terus bertambah. "Nelson Corn juga berjaya dibawa masuk ke Mesir dan Vietnam. Saya tidak menyangka perniagaan ini mampu berkembang dengan jayanya selepas memperkenalkan jenama ini di Indonesia pada tahun 1998. "Penerimaan positif membuatkan saya lebih berani untuk meluaskan empayar Nelson Corn. Arab Saudi menjadi destinasi luar negara kedua dan sekarang ia telah memiliki lebih 400 cawangan di sana," kongsi Nelson yang juga membuka cawangan di Tanah Suci Mekah. Baka jagung Seiring perkembangan perniagaannya, Nelson turut membuat keputusan untuk memiliki ladang jagung sendiri. Empat tahun lalu, ladang jagung berkeluasan 97 hektar di Chemor, Perak dijadikan pusat penanaman dan pemprosesan utama Nelson Corn. Jagung gred N28 hasil penyelidikan khusus digunakan bagi memastikan setiap produk keluaran Nelson Corn terjamin kualitinya. Malah bekalan jagung daripada kira-kira 161 hektar ladang petani kontrak turut disyaratkan menggunakan baka jagung yang sama. DALAM tempoh tiga dekad mengabdikan diri dalam bisnes jagung, Nelson berjaya mengangkat produk Malaysia ke mata dunia. Kawalan piawaian tersebut membolehkan setiap jagung yang dieksport ke cawangan luar negara tidak mempunyai perbezaan dari segi kualiti dan rasa. "Kalau anda ke luar negara dan mencuba jagung Nelson di negara tersebut, anda pasti merasai keenakan yang sama. Semua cawangan di luar negara menggunakan jagung yang dibekalkan dari Malaysia. "Ia membolehkan pelanggan membezakan kualiti jagung Nelson berbanding jenama lain. Saya mahu mengekalkan keseragaman ini sampai bila-bila," jelas Nelson. Menyedari masalah golongan petani di Malaysia yang berdepan kesukaran memasarkan hasil tanaman mereka, Nelson mewujudkan program bantuan dengan nama Balik Kampung Tanam Jagung. Mungkin ia kedengaran lucu kerana frasa itu sering merujuk kepada jenaka sinis terhadap individu yang gagal dalam sesuatu pekerjaan. Nelson cuba membuktikan kebenaran di sebalik kenyataan itu dan mahu petani sedar bahawa menceburi bidang pertanian dan perladangan mampu menjana pendapatan yang menguntungkan. Di bawah program tersebut, Nelson menggalakkan petani-petani untuk menanam jagung N28 dan akan membeli semula hasil tanaman mereka untuk diproses menjadi produk-produk Nelson Corn. Pemandu van Menyelak layar hidup Nelson, menemukan rentetan kisah yang menarik. Sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan, Nelson yang menamatkan pengajian setakat tingkatan enam pernah berkhidmat sebagai pemandu van. Selama empat tahun, dia membawa dan menghantar bekalan air kacang soya dari kilang pembekal ke pasar raya dan kedai-kedai runcit. Selepas itu, Nelson beralih profesion menjadi kerani sebelum memutuskan untuk membuka kedai permainan kanak-kanak. Meskipun bapanya seorang pemborong ikan masin dan ikan bilis, tidak pernah sekali dia dipanggil bagi menguruskan perniagaan keluarga tersebut. Bapa Nelson mahu anak-anaknya belajar berdikari dan merasai pengalaman bekerja dari bawah sebelum bercadang menguruskan perniagaan sendiri. |
Kelangsungan riwayat gondola Venice Posted: Kelangsungan riwayat gondola VeniceSEBUAH gondola yang merupakan identiti Venice menyelusuri sungai di bandar tersebut. GONDOLA hitam licin berkilat yang membelah Venice, Itali menjadi kebanggaan sekumpulan kecil manusia artisan yang berusaha mempertahankan pengangkutan air itu. Setiap pengemudi memakai baju T berbelang dan topi jerami mendayung pengangkutan mewah itu yang menawarkan pelayaran yang menenangkan, malah ia sering menjadi tempat lelaki melamar pasangan kekasihnya. Kira-kira 700 tahun lalu, terdapat hampir 7,000 buah gondola di Venice, menurut persatuan pengemudi gondola, Ente Gondola, tetapi penggunaan asal sebagai pengangkutan harian telah diambil alih oleh bot-bot moden. Kini, hanya tinggal sebanyak 433 buah untuk tujuan tarikan pelancong. Di limbungan bot Tramontin atau lebih dikenali squero dalam dialek Venetian, pembuat gondola, Roberta Tramontin masih menjalankan pembinaan bot klasik yang diasaskan oleh moyangnya pada tahun 1884. "Bot klasik umpama seorang wanita tanpa sebarang solekan keterlaluan, memakai gaun hitam jenama Armani dan sebutir permata menghiasi lehernya," kata Tramontin. Sebuah gondola yang diperbuat daripada 280 jenis kayu termasuk oak, mahogani, walnut, ceri, fir dan elm mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan menyebabkan harganya mencecah 38,000 euro (RM162,794), kata Tramontin. Kayu dirawat selama hampir setahun sebelum ditempa menjadi bentuk pisang yang sedikit tidak simetri. Ia membolehkan seorang pengemudi menggerakkan gondola pada satu garisan lurus. Pembikin-pembikin gondola berlatih selama bertahun-tahun sebelum membuat bot yang perlu diukur mengikut berat setiap pendayung gondola. "Saya mula bekerja pada tahun 1970 dan membuat gondola pertama pada tahun 1994," kata Tramontin yang bersandar pada sebuah gondola berkilat seberat 500 kilogram dan sepanjang 11.1 meter. SUASANA limbungan bot San Trovaso yang menjadi tempat gondola-gondola dibuat dan diselenggara. Kaedah tradisi Tramontin berkata, gondola yang dibuatnya mengekalkan 60 peratus kaedah tradisi dan menggunakan beberapa kayu yang dipotong dengan mesin dan sejenis papan lapis untuk bahagian bot yang rata. Lapisan varnis hitam disapu pada keseluruhan struktur tetapi barang perhiasan yang diletakkan terhad sejak dekri pemerintah bandar, Doge dikeluarkan sekitar tahun 1700-an yang mengatakan gondola terlalu berhias. Kabin kecil di atas dek yang dipanggil felze iaitu tempat para penumpang berlindung daripada hujan atau panas telah dibuang. "Kami buat gondola hanya menggunakan tangan," kata pembikin gondola, Lorenzo Della Toffola, 48, yang sedang memahat sebuah gondola separuh siap di San Trovaso squero, Dorsodura. Limbungan itu hanya menghasilkan satu atau dua gondola setiap tahun kerana menggunakan teknik-teknik pembikinan kapal yang berusia berabad-abad lamanya. Ciri-ciri tersendiri yang masih bertahan seperti plat metal melengkung pada hujung tajam bot dan kediti atau penyangkut pengayuh yang diperbuat daripada kayu terukir dikenali forcola merupakan hasil kraf beberapa artisan yang kini bilangannya semakin berkurangan. "Kerja-kerja ini pernah dibuat oleh ramai orang di bengkel-bengkel berbeza di sekeliling bandar," kata pembuat kediti, Saverio Pastor. Dia dan pekerjanya, Pietro mengukir kayu walnut menggunakan gergaji dua pemegang. "Pada masa lalu, semua orang tahu cara mendayung, sekarang tidak ramai yang memerlukan pendayung. Ia budaya beribu-ribu tahun lalu yang semakin hilang," kata Pastor sambil menggeleng kepala. Para artisan yang berkaitan dengan gondola sepatutnya memeliharanya tanpa mengira sebarang perubahan dalam tabiat pada budaya itu, kata Datuk Bandar Venice, Giorgio Orsoni. "Gondola merupakan salah satu simbol di bandar ini, kita perlu melakukan menyelamatkannya, mengekalkan kerjaya dan teknik pembuatannya," katanya lagi. Kediti buatan Pastor turut dibeli sebagai barang perhiasan rumah pada harga setinggi RM4,286 setiap satu termasuk cukai. - RUETERS |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan