Kosmo Online - Hiburan |
- Joe Flizzow raih pengiktirafan
- Ning tidak berniat bukukan fantasi seks
- Anugerah Skrin 2013 pecah tradisi
Joe Flizzow raih pengiktirafan Posted: Joe Flizzow raih pengiktirafanWALAUPUN gagal memenangi kategori Fresh TV Series Award menerusi rancangan televisyen popular Hip-Hoppin' Asia, penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow dinobatkan sebagai pemenang Ultimate Shout! Awards tahun ini. Anugerah tertinggi yang diberikan kepada individu atau penggiat seni yang memberikan sumbangan tertinggi dalam industri hiburan negara itu secara tidak langsung telah mengiktiraf sumbangan Joe dan muzik hip hop yang diperjuangkan selama ini. Ujar Joe, pengiktirafan yang diberikan Shout! Awards tahun ini membuktikan bahawa muzik bersifat universal dan genre hip hop sebenarnya mampu menjadi medium penyatuan. "Ultimate Shout! Awards menghargai sumbangan penggiat muzik hip hop seperti saya, terima kasih kerana sentiasa melihat potensi yang ada dalam genre hip hop. "Saya tidak layak untuk menerima anugerah ini dan saya meraikan kemenangan ini mewakili pasukan saya yang bertungkus lumus selama ini. "Ternyata muzik hip hop mampu mengerat dan mengukuhkan persahabatan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. "Jelas sekali saya tidak menjangka akan memenangi anugerah terunggul Shout! Awards ini," katanya yang ditemui di belakang pentas Shout! Awards usai kemenangannya pada malam Sabtu lalu. TERUJA... Joe sangat menghargai pengiktirafan yang diberikan terhadap hasil karier muziknya selama ini. Jelajah Kemenangan itu, kata Joe, telah menyuntik semangatnya untuk terus lebih keras bekerja dan menumpukan sepenuhnya untuk perkembangan genre muzik itu. "Insya-Allah akan ada siri susulan rancangan Hip-Hoppin' Asia pada tahun depan dan produksi kami akan mencari lebih mendalam muzik hip hop dari lokasi yang tidak siapa terduga. "Selain itu, saya akan memberikan fokus sepenuhnya untuk perkembangan muzik hip hop dan album terbaharu saya, Havoc yang bakal berada di pasaran awal tahun depan. "Malah, saya akan menumpukan promosi album yang selama ini sering dilupakan oleh sesetengah artis setelah mengeluarkan sesebuah album. Promosi album saya akan meliputi siri jelajah di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei," katanya yang baru pulang dari Thailand beberapa hari lalu. Selain promosi dan mengadakan persembahan di beberapa buah lokasi tertentu, Joe akan mengeluarkan barangan cenderamata khas untuk peminatnya dan akan dijual bersama sepanjang siri jelajah kelak. Ciplak Sementara itu, Joe diminta mengulas mengenai isu lagu ciplak nyanyian Waris dan Juzzthin ciptaan DJ Fuzz berjudul Botingkek digugurkan pencalonan daripada Anugerah Industri Muzik (AIM 20) kerana didakwa telah diciplak sepenuhnya daripada lagu Racks, nyanyian YC dan Future. "Sebagai penyanyi yang telah lama dalam industri muzik hip hop di Malaysia, saya tidak melihat lagu tersebut diciplak, sebaliknya dalam genre hip hop situasi itu lebih dikenali dengan terma mixtape. "Maknanya, sesebuah melodi itu dinyanyikan semula menggunakan lirik lain dan lagu itu tidak memerlukan kebenaran daripada pencipta asal untuk digunakan semula asalkan bukan bertujuan mencari keuntungan. "Banyak perkara yang perlu diperhalusi dan dibincangkan sebelum memutuskan untuk menggugurkan sesebuah lagu daripada pertandingan," tegasnya. JOE mempunyai pandangan tersendiri tentang isu lagu kolaborasi Waris dan Juzthin yang dikatakan merupakan hasil ciplak. Dalam pada itu, Joe akur dengan pendirian sesetengah pihak terutama stesen radio yang enggan memutarkan lagu terbaharu ciptaannya, Havoc kerana didakwa mengandungi lirik bahasa rojak. "Sejak dari zaman Too Phat lagi, lapan daripada 10 buah lagu dalam album diharamkan untuk memasuki airplay di beberapa buah stesen radio. Itu tidak menjadi masalah kepada saya sebenarnya. "Bahasa adalah cara kita berkomunikasi dan kalau mahu penggiat seni berbual seperti zaman Hang Tuah, mungkin stesen radio perlu menunggu lebih lama lagi. "Lainlah kalau lirik itu menggunakan bahasa kasar atau lucah, maka dengan itu saya memohon maaf terlebih dahulu. "Muzik adalah seni dan kita tidak boleh mengarahkan warna apa yang boleh digunakan untuk mencorakkan dunia ini," simpulnya berfalsafah. | ||
Ning tidak berniat bukukan fantasi seks Posted: Ning tidak berniat bukukan fantasi seksOleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA NING giat menjalani latihan untuk Konsert Pelangi Untukmu yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 16 November ini. BARU-BARU ini, penyanyi bersuara saprano, Ning Baizura dikatakan mahu membukukan kisah mengenai fantasi seksnya yang pernah hangat menjadi bahan bualan suatu ketika dahulu. Ada juga cakap-cakap nakal yang mengatakan penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Ning itu tidak pernah penat untuk mencipta publisiti bagi meraih perhatian orang ramai. Namun, ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Pelangi Untukmu di International College Of Music, Jalan Pahang, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ning dengan tenang membidas dakwaan tersebut dan memberitahu kisah sebenar di sebalik isu berkenaan. Kosmo!: Khabarnya, Ning berniat untuk membukukan kisah fantasi seks yang pernah membadai kehidupan peribadi Ning suatu ketika dahulu. Adakah dakwaan tersebut benar? NING BAIZURA: Saya agak terkejut dan terkilan dengan dakwaan tersebut kerana saya hanya merancang untuk menulis sebuah buku autobiografi mengenai kisah hidup saya sepanjang bergelar anak seni, tidak tertumpu pada perkara itu sahaja. Jadi, apa pandangan Ning mengenai isu ini dan kesannya terhadap karier Ning? Mungkin isu ini timbul akibat berlakunya salah faham. Tetapi ingin saya tekankan, perkongsian kisah hidup saya dengan peminat bersifat universal. Ia juga berkait rapat dengan jatuh bangun diri saya ketika bergelar anak seni. Sebagai seorang artis yang sudah 20 tahun berada dalam industri hiburan, apakah sumber kekuatan utama Ning untuk terus melawan isu-isu yang berunsur negatif seperti ini? Tidak saya nafikan, banyak yang perlu ditelan sepanjang 20 tahun bergelar anak seni. Sepanjang tempoh itu juga, saya semakin matang dan faham tentang selok- belok industri hiburan terutamanya yang melibatkan isu-isu berkaitan peribadi. Apakah harapan Ning setelah isu mengenai buku ini selesai? Saya berharap agar orang ramai khususnya peminat saya menjadi lebih matang dalam menilai sesuatu cerita yang disampaikan.
Apakah perkembangan terbaharu Ning? Saya sedang menjalani latihan untuk konsert solo terbaharu yang akan berlangsung pada 16 November ini. Jadi, segala persiapan perlu dilakukan agar persembahan dapat berjalan dengan sempurna. Boleh jelaskan dengan lebih terperinci mengenai konsert tersebut? Konsert solo saya itu diberi nama Pelangi Untukmu dan ia akan berlangsung pada 16 November ini di TM Convention Centre, Kuala Lumpur. Saya akan membawakan sebanyak 20 buah lagu lama yang diberi nafas baharu seperti Pasti, Curiga dan Awan Yang Terpilu. Saya juga akan memperdengarkan lagu-lagu baharu iaitu Embunan Bersinar, Bukan Wanita Sempurna dan Pelangi Untukmu. Bagaimana dengan harga jualan tiket dan cara peminat boleh mendapatkannya? Mereka boleh membeli tiket-tiket berharga RM50 dan RM 70 di www.ticketcharge.com.my. Bagi tiket berharga RM150, e-melkan butiran ke nmz.ning@gmail.com. Kali terakhir Ning mengeluarkan album kira-kira tiga tahun yang lalu. Ada perancangan untuk album baharu? Saya telah pun merakam tiga buah lagu baharu untuk album kompilasi bertajuk Kekal - Ning Baizura. Album ini sungguh istimewa kerana ia turut mengandungi tujuh lagu-lagu hits saya yang telah diberi nafas baharu. Peminat yang membeli tiket konsert berharga RM150 bakal menerima album ini secara percuma pada malam konsert sebelum ia dilancarkan Disember depan. Ning kini sudah bergelar ibu. Bagaimana membahagikan masa dengan anak? Alhamdulillah, buat masa ini saya seronok menjaga Rayyan (anak lelaki Ning). Bagi saya, setelah bergelar ibu, keluarga adalah keutamaan. Setelah itu barulah kerjaya. | ||
Anugerah Skrin 2013 pecah tradisi Posted: Anugerah Skrin 2013 pecah tradisi
LARI daripada kebiasaan, debaran Anugerah Skrin 2013 tampil dengan kelainan. Ia mencipta sejarah tersendiri serta memecah tradisi dengan pengumuman awal lima pencalonan terbaik (Top 5) bagi 30 kategori dipertandingkan yang meliputi 11 kategori drama, tujuh kategori filem, enam kategori penerbitan dalaman dan enam kategori teknikal. Sejak dipertandingkan pada 1994, Anugerah Skrin 2013 merupakan majlis paling berprestij dalam industri hiburan tanah air dan sudah pasti ia dinantikan oleh setiap lapisan masyarakat khususnya penggiat seni yang membabitkan diri dalam penerbitan drama, filem dan program televisyen. Ibarat malam praanugerah, Debaran Anugerah Skrin 2013 bersiaran langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini menyaksikan ramai penggiat seni hadir untuk merasai debarannya. Pengumuman awal ini dilakukan sebulan lebih awal daripada jadual malam kemuncak anugerah yang bakal diadakan pada 29 November ini, merupakan satu idea baharu untuk memberi ruang kepada penggiat seni merasai kehangatan hasil kerja keras mereka sebelum ini. Debaran Anugerah Skrin yang dihoskan oleh Awal Ashaari dimulakan dengan persembahan bertenaga One Nation Emcees menerusi rangkaian lagu daripada filem-filem Bujang Lapok iaitu Resam Dunia, Pok Pok Bujang Lapok, Ya Habibi Ali Baba dan Gelora. Pemilihan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk menghangatkan Anugerah Skrin 2013 kerana beliau merupakan satu-satunya legenda anak seni yang bergelar seniman agung malah 66 buah filem dan 360 buah lagu yang dihasilkan oleh beliau tidak lekang dek panas tidak lapok dek hujan. Sementara itu, tujuan Anugerah Skrin adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pengeluar-pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan. Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan ialah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor telefilem yang dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen ialah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap, mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej yang positif di samping boleh menarik perhatian penonton.
Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2012 hingga 30 Jun 2013 dan pencalonan drama berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielson Audience Measurement mengikut genre masing-masing. Untuk kategori drama, 13 drama rantaian dan empat komedi telah dicalonkan, manakala untuk kategori filem pula 54 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk Anugerah Skrin 2013. Mendominasi senarai pencalonan, Mawar Putih Tanda Perpisahan mendapat lapan pencalonan terbaik seperti Drama Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita, Pengarah Terbaik, Artis Harapan Pantene, videografi dan pelakon Televisyen Terbaik. Antara drama lain yang layak bertanding seperti Akhirnya Kisah Perempuan, Aku Bukan Malaikat, Anak Lorong, Bedah Tong Gas Nak Raya, Di Bawah Langit Mu, Fatihah untuk Abah, Hari Hari Terakhir Seorang Seniman, Kampong Semerah Padi, Kawan, Neraka Abah, Perempuan Itu Ibuku, Sebelum Kiamat, Siapa Dapat Lisa, Strawberry Karipap dan Tunggu Sekejap. Anugerah Skrin 2013 menerima pencalonan bagi kategori drama rantaian seperti Adam Dan Hawa, Cinta Kau Dan Aku, Dalam Setiap Sujud, Debunga Lalang, Geng Bas Sekolah (Musim 5), Jodoh, Karlos, Operasi D6, Setia Hujung Nyawa, Surat dari Langit Biru, Tanah Merah, Terlanjur Cinta dan Trilogi Cinta (Muim 2) Bagi kategori drama komedi pula, Anugerah Skrin 2013 menerima pencalonan seperti Buletin Cinta, Mentua VS Menantu, Udin Glamour Balik Kampung dan Keluarga Iskandar. Sementara bagi kategori filem pula ialah 29 Februari, Aku Terima Nikahnya, Istanbul Aku Datang, Juvana, KIL, Langgar, Lari, Pecah, Rock Oo, SAM dan lain-lain. Persembahan nyanyian Jaclyn Victor dan Uchop mengakhiri Debaran Anugerah Skrin 2013. Gandingan mantap duet itu mendendangkan rangkaian lagu daripada filem Sembilu 2 iaitu Bersama Akhirnya, Senja Nan Merah, dan Ukiran Jiwa. Berikut adalah antara senarai lima pencalonan terbaik (Top 5). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan