Kosmo Online - Varia |
- Kempen kesedaran kanser serviks
- Pertandingan cari jurufoto terhebat Asia
- Pencetus revolusi fesyen tekstil
Kempen kesedaran kanser serviks Posted: Kempen kesedaran kanser serviks
JENAMA sabun mandi terkenal, MAY baru-baru ini mengadakan kempen kesedaran kanser serviks melalui program MAY Cares For You. Kempen yang dijalankan pada bulan Mei hingga Julai lalu turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan rangkaian kedai kesihatan dan kecantikan, Watsons. Kempen yang dimulakan di beberapa institusi pengajian tinggi terpilih di sekitar Lembah Klang itu mendapat sambutan menggalakkan. Antara pengisian kempen itu ialah sesi ceramah pendidikan kesihatan mengenai kanser serviks kepada pelajar-pelajar. Pengurus Besar Bahagian Isi Rumah dan Penjagaan Peribadi Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Francis Ng memberitahu, kerjasama antara MAY dan NCSM merupakan satu langkah tepat sepanjang kempen tersebut dijalankan. "Melalui siri ceramah pendidikan di universiti terpilih di sekitar Lembah Klang, kami dapat berkongsi dan mewujudkan kesedaran mengenai kanser serviks kepada pelajar-pelajar. "Dengan kepakaran NCSM dalam hal ehwal penyakit kanser, kami berharap pelajar lebih prihatin terhadap risiko penyakit yang dikategorikan sebagai pembunuh senyap ini," ujarnya. Turut hadir, Naib Presiden NCSM, Clare Ratnasingham Antara universiti yang terlibat ialah Universiti Metropolitan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara. Kehadiran duta produk MAY, Tiz Zaqyah ternyata mencuri tumpuan pelajar-pelajar semasa kempen itu dijalankan. Sepanjang kempen tersebut, MAY juga berjaya mengutip dana sebanyak RM15,000 yang akan disalurkan kepada NCSM untuk aktiviti kesedaran kanser pada masa akan datang. Menerusi dana tersebut, program-program kesedaran dan pencegahan kanser dapat disebarkan kepada lebih ramai wanita di seluruh negara. | |
Pertandingan cari jurufoto terhebat Asia Posted: Pertandingan cari jurufoto terhebat AsiaPESERTA boleh menghantar penyertaan menerusi laman web www.exploretoinspire.com. SALURAN National Geographic dan Canon melancarkan pertandingan fotografi Explore to Inspire bagi peringkat Asia bagi mencari jurufoto terhebat di rantau berkenaan. Ia diadakan sempena sambutan ulang tahun saluran National Geographic ke-125 dan berlangsung selama dua bulan. Pertandingan ini terbuka kepada semua jurufoto di Malaysia, Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Maldives, Myanmar, Nepal, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam. Setiap peserta mesti berumur 18 tahun ke atas. Bagi menyertai pertandingan ini, peserta harus menghantar gambar-gambar asli berserta inspirasi yang mendorong peserta untuk meneroka gambar tersebut. Penerangan dan penjelasan tersebut haruslah tidak melebihi 300 patah perkataan. Setiap penyertaan boleh dihantar melalui laman web www.exploretoinspire.com. Pemenang pertandingan ini akan menerima hadiah berupa Canon EOS 5D Mark III dan peluang menyertai minggu bengkel fotografi National Geographic yang berprestij di San Francisco. Dalam bengkel tersebut pemenang dapat mengasah bakat bersama salah seorang jurufoto terkenal National Geographic dari Amerika Syarikat. Dua hadiah disediakan bagi naib juara pertandingan tersebut iaitu Canon EOS 6D dan Canon EOS 70D selain gambar tersebut berpeluang untuk disiarkan dalam majalah National Geographic. Juri profesional bagi pertandingan ini terdiri daripada pihak saluran National Geographic dan Canon. Gambar bagi tiga pemenang utama akan disiarkan dalam program National Geographic edisi Asia pada bulan Mac 2014. "Pertandingan ini dapat meningkatkan minat jurufoto di sekitar Asia Selatan dan Asia Tenggara dan menjadi pentas terbaik untuk menunjukkan gambar-gambar terbaik mereka. Canon juga berharap dapat mempromosikan budaya fotografi di wilayah Asia Selatan. "Kami berasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan saluran National Geographic, sekali gus memberi peluang kepada pemenang untuk meneruskan minat mereka dalam bidang fotografi ini," kata Hideaki Nishimura, Pengarah Kanan dan Pengurus ICP bagi jualan dan pemasaran serantau, Canon Singapura Pte Ltd. "Tema Penerokaan ini juga sinonim dengan saluran National Geographic dan kami berasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan Canon dalam usaha mencari imej yang benar-benar memberi inspirasi kepada peminat fotografi," kata Simeon Dawes, Naib Presiden Pengiklanan, Jualan dan Perkong- sian Asia Pasifik dan Asia Barat di FOX One Stop Media. | |
Pencetus revolusi fesyen tekstil Posted: Pencetus revolusi fesyen tekstilOleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
SIAPA sangka kerjaya yang bermula sebagai seorang pereka tekstil biasa, Zandra Rhodes akhirnya diangkat sebagai ikon tersohor dalam persada fesyen ketika era 70-an. Dalam usianya yang menjangkau 73 tahun, Zandra bukan sahaja memiliki beberapa studio fesyen rekaannya tersendiri di San Diego dan London, malah turut menubuhkan sebuah Muzium Fesyen dan Tekstil terkemuka di England. Sebagai salah seorang pereka British aliran baharu, Zandra telah merevolusikan dunia fesyen dan meletakkan kota London di barisan hadapan pada era kegemilangannya. Malah, pengetahuan, pengalaman serta kehebatan rekaannya dalam industri tekstil dan fesyen telah menaikkan reputasinya di mata dunia sehingga dilantik sebagai Pereka Industri Diraja oleh Persatuan Seni Diraja British pada 1994. Dek kerana kecintaannya dan sumbangannya dalam dunia tekstil serta fesyen, wanita yang terkenal dengan imej rambut merah jambu ini juga pernah dilantik menjadi Komander Empayar British oleh Ratu Elizabeth pada 1997. Ditanya apakah falsafah yang dipraktikkan sehingga dilabel sebagai ikon dalam industri fesyen? Jawapan yang diberikan sungguh mudah - jangan mudah berasa puas hati dengan setiap rekaan yang dihasilkan. "Sebagai seorang pereka fesyen, apa yang harus ada dalam diri anda ialah motivasi untuk menghasilkan rekaan yang lebih baik dan sempurna berbanding apa yang telah anda hasilkan. "Setiap rekaan itu juga mestilah berdasarkan bahan yang ada pada waktu itu termasuk masa dan kos yang terhad," jelas Zandra pada Program Bicara Tekstil Zandra Rhodes anjuran Jabatan Muzium Malaysia baru-baru ini. Dilahirkan di Kent, England pada 1940, Zandra mula mengenali dunia fesyen menerusi ibunya yang merupakan seorang pengubah suai pakaian di Rumah Rekaan fesyen Worth di Paris dan juga pensyarah fesyen di Kolej Kesenian Medway. Setelah mempelajari rekaan tekstil di Medway dan Kolej Kesenian Diraja, beliau mula mencipta bentuk rekaan fesyennya yang tersendiri. ZANDRA melayan peminat yang tidak melepaskan peluang bertemu dengannya pada satu program di Kuala Lumpur baru-baru ini. Teknik rekaan Latar belakangnya dalam rekaan tekstil juga menjadi sumber utama dalam reka bentuk pakaiannya. "Saya menggunakan corak rekaan tekstil tersebut sebagai inspirasi asas untuk mempengaruhi bentuk pakaian yang saya hasilkan. "Ada juga rekaan yang saya hasilkan dipengaruhi oleh pelbagai hasil seni seperti lukisan daripada seniman terkenal Kandinsky, Modigliani dan Matisse sehinggalah ke pakaian era Ratu Elizabeth serta pakaian lusuh dari era punk London 70-an," ujarnya lagi. Pada dasarnya, Zandra merupakan seorang pereka tekstil. Rekaannya adalah hasil daripada penghayatannya terhadap dunia sekeliling dan ia merupakan satu pandangan peribadi yang bermula di buku lakaran yang sentiasa didampingnya. Teknik rekaannya pula sering kali melampaui batasan imaginasi dan menerokai serta menembusi corak standard rekaan itu sendiri. Pendekatan eksperimentasi ini menjadikan rekaannya lebih unik dan membawa kepada rekaan ikonik yang kekal menjadi mercu tanda kerjayanya. Beliau melengkapi rekaannya dengan gaya rambut, solekan, kasut dan barang kemas daripada konteks tersebut. Berdasarkan kaleidoskop warna dan corak yang diperoleh daripada budaya-budaya yang merentasi sejarah, karya Zandra terbukti meraikan keindahan abadi pelbagai kaum di dunia. Pameran Justeru, mulai semalam hingga 12 Januari 2014, orang ramai berpeluang menghayati karya-karya Zandra di Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur. Pameran itu memaparkan 50 helai koleksi pakaian terpilih Zandra dan beberapa helai kain pemidang yang menggunakan tekstil daripada satin, sutera sifon, sutera satin dan jersi. Salah satu pakaian yang dipamerkan juga pernah dipakai oleh penyanyi terkenal antarabangsa Diana Ross. Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail menjelaskan pameran itu mampu memberi impak yang positif dalam perkembangan industri tekstil dan fesyen negara. "Pameran ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan baharu kepada semua pereka dan pencinta fesyen negara ini dalam industri tekstil," kata Ibrahim. "Sebelum ini, kami banyak mengadakan pameran fesyen daripada pereka tempatan, namun kali ini kami membuat sedikit kelainan dengan membawa Zandra ke negara ini bagi menceritakan pengalamannya sebagai antara ikon fesyen tekstil antarabangsa. "Saya harap dengan adanya pameran ini, ia mampu membawa pembaharuan dan perkembangan positif kepada pereka fesyen dan industri tekstil negara pada masa hadapan," ujarnya lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan