Kosmo Online - Hiburan |
Supermokh, muzikal yang mempersonakan Posted: Supermokh, muzikal yang mempersonakan
DIPENTASKAN dalam bentuk muzikal, Supermokh Sebuah Muzikal, sebanyak 15 buah lagu dimuatkan dalam pementasan ini. SEMANGAT ngauman pasukan bola sepak Harimau Malaya bergema dalam atmosfera berprestij Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur tanggal 6 November lalu. Aura yang dibawa menerusi pementasan sulung Supermokh Sebuah Muzikal sebenarnya membawa penonton merentasi terowong masa sekitar penghujung tahun 1970-an hingga awal 1990-an. Bagi yang sering menyaksikan pementasan teater atau muzikal melodramatik, mungkin Supermokh Sebuah Muzikal kali ini mengubah kanvas pengalaman penonton. Supermokh Sebuah Muzikal mengisahkan riwayat hidup pemain bola sepak legenda kebangsaan, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sepanjang pembabitannya dalam arena sukan itu hingga pengakhiran hayatnya. Tidak ubah seperti sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di padang, begitu bahangnya yang dapat dirasakan penonton menerusi teater terbitan Tall Order Production dan Jugra Publication Sdn. Bhd. kali ini. Contoh jelas, situasi ketika di padang perlawanan bola sepak pasukan Malaysia menentang Korea Selatan pada Pesta Bola Merdeka sekitar tahun 1970-an berjaya dibawa masuk ke pentas hidraulik Istana Budaya bagi memberikan gambaran sebenar kepada penonton. Berbaloi Kata Pengarah dan Penerbit Eksekutif Supermokh Sebuah Muzikal, Hans Isaac, penat lelah pasukannya selama lebih setahun untuk melunaskan karya itu akhirnya berbayar apabila pementasan mula mengambil tempat di Istana Budaya sejak 6 hingga 18 November ini. "Lebih dua bulan berlatih secara intensif sebelum menjejakkan kaki ke Istana Budaya, boleh dikatakan pasukan produksi Supermokh Sebuah Muzikal berjaya memberikan hasil seperti yang dirancang sejak awal lagi. "Teater muzikal ini menceritakan kehidupan peribadi dan kerjaya pemain bola sepak yang disanjung negara, Datuk Mokhtar Dahari yang ramai orang tidak tahu. "Mungkin menerusi pementasan ini penonton mendapat sedikit sebanyak input mengenai peribadi Supermokh. Antaranya, sikap beliau yang tidak banyak bercakap dan seorang yang romantik sebenarnya," ujar Hans. Sementara itu, tambah pengarah bersama Supermokh Sebuah Muzikal, Harith Iskander, beberapa babak serta penceritaan teater itu dilakukan secara simbolik bagi menyuntik nilai tambah teatrikal pementasan kali ini. "Tarian dan nyanyian melengkapkan elemen teater itu sendiri, pergerakan atau lirik lagu tidak memberikan makna lain selain mengukuhkan jalan cerita," tambah Harith. Kemas Secara kasarnya, Supermokh Sebuah Muzikal yang menelan kos RM3 juta ini menceritakan perjalanan hidup Mokhtar Dahari bermula tahun 1979 selepas berkahwin dengan kekasihnya, Tengku Zarina Tengku Ibrahim hingga detik akhir kematian beliau akibat penyakit distrofi otot awal tahun 1990-an. Selain kisah peribadi yang tidak didedahkan kepada umum sebelum ini, Supermokh Sebuah Muzikal memberitahu penonton faktor penyebab tiga kali persaraan Mokhtar Dahari daripada arena sukan bola sepak. Menarik mengenai teater muzikal itu adalah permainan ruang antara ensemble dan pelakon utama di atas pentas. Sejujurnya, pergerakan item-item itu berjaya digarap kemas dan dinamik. Pujian harus diberikan kepada tenaga kreatif terutama koreografer, Adzwa dan pereka pakaian, Dominique Devorsine kerana berhasil memberikan impak dan mood sekitar latar masa 1970 hingga 1990. Malah, penataan cahaya dan kualiti komposisi lagu hasil pengarahan muzik Michael Veerapen wajar dipuji dan sejujurnya patut dijadikan sebuah album kompilasi. Selain itu, mencuri tumpuan penonton adalah babak perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 1986 antara pasukan Selangor dan Johor yang dipersembahkan dalam visual pakaian LED dalam gelap yang menurut Hans telah ditempah khas dari China beberapa bulan lalu. | |
Posted: Awie gugup riba MayaAWIE selaku Supermokh, manakala Maya Karin sebagai isterinya, Tengku Zarina telah memberi komitmen yang baik dalam menterjemah hubungan sebenar pasangan suami isteri itu. PENYANDANG watak utama Mokhtar Dahari iaitu Awie mengakui jadual latihan persiapan sebelum beraksi di pentas Istana Budaya bukan calang-calang sebaliknya dilakukan sama seperti pemain bola sepak sebenar. "Pukul 6 petang setiap hari saya dan beberapa pelakon utama lain akan berjoging dan bermain bola sepak serta melakukan senaman kardiovaskular sebelum memulakan kembali latihan teater pada sebelah malam. | |
Posted: Gimik Izzue berkhatanOleh KHAIRUL AMRI HASSAN GELAGAT lucu Izzue Islam pada upacara mandi sebelum berkhatan bersama anak-anak yatim yang menghuni Rumah Bakti, Ulu Klang, Selangor baru-baru ini. GIMIK jemputan upacara berkhatan Izzue Islam sempena mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Hantu Tok Mudim baru-baru ini sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa peminat penyanyi anggota kumpulan Forteen itu. Ada yang menilai gimik sedemikian boleh menjejaskan reputasi baik Izzue dan boleh menjatuhkan pelakon muda itu memandangkan hal sebegitu tidak seharusnya dipermainkan. Menjawab dakwaan itu, kata Izzue, perbincangan dengan pihak produksi dan pasukan promosi filem itu telah dilaksanakan lebih awal dan sepatutnya tidak wujud sebarang isu berhubung majlis tersebut. "Saya dan pasukan produksi filem Hantu Tok Mudim telah berbincang sebelum mengadakan acara yang diberi judul Majlis Berkhatan Izzue Islam dan saya tidak fikir akan wujud sebarang isu berbangkit. IZZUE diapit oleh Sofi (kanan) dan Harun yang merupakan antara pelakon penting filem Hantu Tok Mudim. "Gimik ini secara tak langsung telah menarik minat untuk orang ramai mengetahui perkara selanjutnya dan berjaya mempromosi filem Hantu Tok Mudim pada masa sama," ujarnya yang ditemui pada Majlis Berkhatan Izzue Islam di Rumah Bakti, Ulu Klang, Selangor baru-baru ini. Gimik majlis itu diadakan secara berkumpulan bersama anak-anak yatim di rumah perlindungan tersebut. Malah, acara yang bermula pada pukul 4 petang itu diraikan mengikut adat berkhatan secara tradisional. Majlis dimulakan dengan selawat dan kemudiannya diarak seperti pengantin sebelum dimandikan air bunga secara beramai-ramai. Mereka turut dipersiapkan dengan sepersalinan baju Melayu setiap seorang sementara menantikan kehadiran Tok Mudim yang dilakonkan oleh Harun Salim Bachik dalam filem itu. Pengalaman bersunat Majlis membabitkan gimik tersebut yang bakal disiarkan di pawagam pada 21 November nanti turut memberi peluang kepada barisan pelakon beramah mesra sambil meraikan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik. Filem bergenre komedi seram Hantu Tok Mudim berkisar tragedi ngeri yang menghantui Kampung Seri Menawan apabila hantu Tok Mudim muncul untuk membalas dendam terhadap seluruh kampung itu. KECOH. Aksi Harun, Izzue dan Sofi berjaya menggamatkan suasana. Hantu Tok Mudim terbitan Showbiz Production diarahkan oleh Waan Hafiz dan dibintangi oleh Izzue Islam, Andrea Abdullah, Sofi Jikan, Harun Salim Bachik dan A.R Badul. "Uniknya filem ini kerana kami mengangkat tradisi berkhatan masyarakat Melayu zaman dahulu yang mungkin sudah tidak banyak dipraktikkan pada masa kini. "Sekarang upacara berkhatan biasanya hanya dilakukan di klinik saja berbanding zaman dahulu sampai diarak seluruh kampung untuk menghilangkan rasa takut," tambah Izzue. Ditanya pengalaman berkhatan bagi Izzue sendiri, katanya dia tidak berkesempatan melalui upacara berkhatan secara tradisional sebaliknya disunatkan di klinik swasta sahaja. "Saya bersunat ketika darjah tiga kononnya sebab dengki dengan abang yang sudah darjah lima pada waktu itu sedang membuat persiapan untuk bersunat. "Doktor pada mulanya enggan melakukannya kerana bimbang saya masih kecil tapi saya tetap berdegil," katanya. Izzue dalam perkembangan lain sedang sibuk mempromosikan album terbaharu kumpulan Forteen selain menantikan tiga buah filem lakonannya berjudul Ular, Cikaro dan Kami Histeria yang akan keluar pawagam tidak lama lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan