Kosmo Online - Rencana Utama |
Peka perubahan alat pemanas air Posted: Peka perubahan alat pemanas airPunca utama kerosakan bergantung kepada cara penggunaan alat pemanas air. Baiki segera kerosakan alat pemanas pada kadar segera bagi mengelakkan arus elektrik dalam rumah tidak terganggu.
KAYU dan arang antara bahan bakar pepejal yang digunakan untuk memanaskan air sejak berabad-abad lamanya untuk memanaskan air. Sekitar tahun 1930-an, penduduk di New Zealand dan Eropah lazimnya memanaskan air di dalam cerek atau pot di atas api terbuka atau di dapur kemudian meletakkannya di atas sink, tab mandian dan mencampurkannya dengan air sejuk untuk melaraskan suhu air tersebut. Bekas tembaga yang biasanya ditemui hampir di kebanyakan kediaman, lazimnya bersaiz besar. Bekas tembaga itu dapat menampung kira-kira 60 liter air masuk ke dalam konkrit atau penyokong bata. Air dipanaskan dengan membakar kayu api di bawah bekas tembaga tersebut sebelum ia dialirkan ke dalam bekas lain yang digunakan sama ada untuk mandian mahupun mencuci pakaian. Hari ini dengan kepelbagaian teknologi, orang ramai tidak perlu lagi bersusah payah untuk mendapatkan air panas untuk mandi terutama pada awal pagi. Kepada Ng Shiang Chyin, 34, suasana dinihari antara cabaran kepadanya untuk memulakan rutin harian. Namun, air panas keluar daripada alat pemanas air berjenama Midea yang dibelinya sejak lima bulan lalu banyak membantunya memotivasikan diri membersihkan diri. Tubuh badannya yang kurang bermaya mula terasa segar dan cergas. Memilih untuk menggunakan air pancuran panas sebagai mandian harian, Shiang Chyin mengakui dia tidak tahan dengan air sejuk. "Saya telah menggunakan alat pemanas air sejak kecil dan terbawa-bawa hingga dewasa. Malah, ia merupakan antara item terawal yang dibeli ketika bekerja di ibu kota beberapa tahun lalu," ujarnya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Selepas menggunakan beberapa produk tetapi gagal mendapat pulangan yang berbaloi, akhirnya Shiang Chyin memilih produk jenama Midea. Baginya, produk itu kerana mempunyai jaminan keselamatan yang telah diperakui oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) dan Suruhanjaya Tenaga. Kebimbangan Shiang Chyin terhadap penggunaan alat pemanas pancuran air itu mula timbul apabila media melaporkan kematian dua warganegara Jepun yang terkena renjatan elektrik akibat menggunakan pemanas air beberapa bulan lalu. Menurut laporan Kosmo! bertarikh 9 September lalu, pasangan suami isteri itu ditemui mati di bilik air dan dipercayai terkena renjatan elektrik alat pemanas air di bilik mandi rumah mereka yang terletak di Kondominium Sri Bayu, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. "Selepas mengetahui perkara itu, saya lebih berhati-hati ketika menggunakan alat pemanas air," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Pengurus Pemasaran Midea Scott & English Electronics Sdn. Bhd. (Midea), Hee Kok Thai, berkata, pengguna alat pemanas pancuran air perlu peka dengan setiap perubahan yang berlaku pada produk tersebut. Punca kerosakan Salah satu cara yang boleh dilakukan sendiri adalah dengan menekan butang Test yang terdapat pada kebanyakan alat pemanas air. "Selepas menekan butang tersebut, lampu merah akan menyala menandakan ia berada dalam keadaan yang baik. Jika ia tidak mengeluarkan lampu dan berkelip-kelip, itu menandakan alat tersebut telah rosak atau berlaku kebocoran," ujarnya ketika ditemui di Bilik Pameran Midea yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Bagi alat pemanas air jenama Midea, pengguna boleh melihat kelipan lampu merah di bahagian yang bertanda ELCB. Proses pemeriksaan itu perlu dilakukan sekali dalam masa sebulan bagi mengelakkan pengguna menghadapi kecelakaan akibat kerosakan yang tidak diketahui. "Pengguna yang tidak menggunakan alat pemanas air dalam tempoh yang lama, misalnya seisi rumah bercuti seminggu ke luar negara, mereka perlu memeriksa terlebih dulu alat tersebut sebelum menggunakannya," jelas Kok Thai. Kebiasaannya, pihak Midea menerima laporan kerosakan daripada pengguna yang tidak pernah membuat pemeriksaan alat itu. Menurutnya, kekerapan menggunakan alat tersebut walaupun ia telah rosak boleh menyebabkan berlakunya lintar pintas. "Punca utama kerosakan sebenarnya bergantung kepada cara penggunaan alat tersebut. Terdapat pengguna yang mengabaikan ciri-ciri keselamatan, apabila berlaku kerosakan mereka tidak membaiki pada kadar segera. "Perbuatan tersebut bukan sahaja membahayakan ahli keluarga lain tetapi turut mengganggu arus elektrik di dalam rumah," ujarnya. Selain itu, kerosakan alat pemanas air juga boleh disebabkan teknologi yang digunakan dalam produk tersebut. Ada alat yang menggunakan teknologi yang tidak mendapat kelulusan pihak berwajib. "Barangan elektrik dan elektronik yang ingin memasuki pasaran perlu mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM. Pelbagai proses perlu dilalui oleh syarikat pengeluar dan pelesen sebelum diberikan perakuan yang sah daripada pihak berkenaan. KEWUJUDAN kedai-kedai serbaneka yang menjual barangan elektrik palsu boleh membahayakan pengguna kerana tidak mendapat lesen yang sah. - Gambar hiasan "Setiap produk yang mendapat lesen tersebut selamat digunakan," kata Kok Thai. Peraturan 97 Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 mengkehendaki kelengkapan elektrik perlu mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga, manakala Peraturan 98 peraturan yang sama mengkehendaki kelengkapan yang telah diluluskan perlu dilabelkan mengikut cara yang ditentukan oleh Suruhanjaya Tenaga iaitu dengan label sah Sirim. Proses pensijilan Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat Sirim, terdapat 34 barangan kelengkapan elektrik yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga. Antaranya pengering rambut elektrik, alat pemanas air, seterika, dan pengisar makanan. Jelas kenyataan itu, pensijilan peralatan elektrik yang dijalankan oleh Sirim adalah melalui dua cara iaitu Skim Pensijilan Barangan dan Konsainmen Import. "Melalui Skim Pensijilan Barangan, produk yang telah mendapat kelulusan untuk dibuat, diedar, dijual atau sebarang aktiviti yang berkaitan dari Suruhanjaya Tenaga akan mendapat sijil yang dikeluarkan oleh Sirim. Sebelum proses pensijilan tersebut, setiap barangan elektronik tersebut perlu lulus ujian-ujian yang telah ditetapkan. "Bagi pengilang pula, pengeluaran sijil diberikan jika ia mempunyai sistem pembuatan dan kualiti yang konsisten bagi memastikan produk dihasilkan memenuhi keperluan pensijilan secara berterusan," katanya. Lesen tersebut mempunyai tempoh sah selama setahun yang membolehkan produk-produk pengeluar atau pelesen mempunyai label Sirim atau logo pensijilan. Ia boleh diperbaharui setelah syarat-syarat untuk pembaharuan lesen telah dipenuhi. Jelas kenyataan itu, antara syarat-syarat pembaharuan ialah pengilang masih mengekalkan amalan sistem kualiti yang menepati keperluan pensijilan Sirim. Selain itu, ia perlu lulus ujian pemeriksaan kilang yang umumnya dilakukan dua kali setiap tahun dan lulus Ujian Jenis setiap lima tahun. "Melalui Konsainmen Import pula, ujian akan dijalankan khusus bagi produk-produk yang diimport sahaja. "Sampel-sampel barangan itu akan diuji terlebih dulu di makmal Sirim. Produk yang melepasi ujian akan diberikan label mengikut kuantiti yang diimport untuk dilekatkan. Tiada pemeriksaan kilang dijalankan bagi pensijilan secara Konsainmen Import," menurut kenyataan tersebut. Proses yang sama turut dilakukan oleh syarikat Midea, yang membawa rangkaian produk Midea dari China ke Malaysia. Ia telah berada dalam industri elektrik dan elektronik dunia sejak tahun 1980 dan kini berpangkalan di Shunde, Guangdong, China. Dalam pada itu, kajian mendedahkan mandi menggunakan air sejuk adalah lebih baik berbanding menggunakan air panas. Ia merawat pelbagai masalah dalaman seseorang terutamanya mereka yang menghadapi masalah pernafasan, insomnia dan hipertensi. Kurangkan depresi Kajian yang dilakukan oleh Jabatan Onkologi Radiasi, Universiti Virginia Commonwealth, mendapati, mandian air sejuk dapat mengurang masalah depresi. Resptor sejuk yang terdapat di bawah kulit akan menghantar impuls elektrik dari saraf perferi hingga ke otak. Proses tersebut akan menghasil kesan anti-tekanan kepada keseluruhan tubuh. Di Sweden, terdapat amalan yang membiarkan bayi kecil akan ditidurkan di luar rumah yang sejuk. Mereka percaya ia dapat membantu ketahanan tubuh bayi daripada sebarang penyakit malah membuat tidur lebih lena. Dalam peradaban Arab, masyarakat negara itu menggunakan air sejuk memandangkan iklim negara itu yang panas. Ia telah menjadi amalan sejak zaman Rasulullah SAW. "Suhu negara itu yang panas menyebabkan penduduk Arab menggunakan air sejuk ketika minum atau mandi," ujar penceramah bebas, Uztaz Dr. Zahazan Mohamed, ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Dia menambah, walaupun mandi air sejuk menjadi amalan masyarakat Arab, ia tidak menjadi satu kemestian kepada umat Islam kerana tiada dalil atau hadis yang menguatkan perkara itu. "Dalam al-Quran atau hadis tiada yang menyebut kemestian mandi air sejuk lebih baik berbanding air panas. Ia sekadar amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Arab berikutan cuaca yang panas," jelas. Zahazan. | |||
Posted: Tapas serangga PerancisDaviron berjaya mencipta lima hidangan baharu menggunakan serangga-serangga kering yang diimport dari Thailand.
DI sebuah bar kecil sekitar daerah Montmartre, Paris, Chef Elie Daviron, 26, mengaku sangat gembira dengan menu yang terdapat dalam restorannya walaupun ramai yang tidak berani untuk menjamah sesetengah hidangan yang ditawarkan. Ada antara pelanggan yang meminta dua hingga tiga gelas arak sebelum mula memakan sajian yang disediakan. Di tengah-tengah hidangan guacamole, ayam tikka dan sosej, restoran tersebut menawarkan 'eksperimen gastronomi' yang menurut Daviron merupakan seleksi hidangan tapas serangga. Serangga seperti belalang, kumbang, kala jengking, ulat sagu dan ulat sutera merupakan pilihan terbaharu yang ditawarkan di restoran tersebut. "Pilihan kegemaran saya ialah ulat sagu kerana terdapat dua jenis tekstur berbeza pada bahagian kepala dan badan serangga tersebut," ujar chef muda itu kepada AFP di belakang bar restoran Le Festin Nu, satu lokasi tumpuan di kawasan bukit utara ini. Menjelas lanjut, Daviron berkata, rasa bahagian badan ulat sagu seperti berpasir manakala kepalanya lebih rangup.
"Mereka yang pernah memakan haiwan itu mengatakan rasanya seperti kombinasi antara ubi bit dan cendawan," ujarnya. Dia, yang berasal dari Montpellier di selatan Perancis, mendapat idea memperkenalkan menu itu setelah yakin serangga boleh menjadi sumber protein utama masa depan di negara-negara Eropah. Susulan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah menyenaraikan jenis-jenis serangga yang boleh dimakan pada awal tahun ini, Daviron sedar akan potensi pasaran makanan eksotik itu. Dia kemudiannya menempah beberapa jenis serangga sebagai resipi eksperimen daripada sebuah syarikat berlesen. Hasilnya, dia berjaya membuat lima hidangan baharu menggunakan serangga-serangga yang ditempah. Hidangan-hidangan itu termasuk kala jengking lada hitam dalam minyak zaitun, kumbang bersama timun, halia jeruk dan kacang pis dan belalang dimasak bersama telur. Rasa Serangga yang kaya dengan protein itu diimport dari Thailand. Di negara berkenaan, ia dimakan sebagai salah satu makanan ringan. Tetapi disebabkan oleh permintaan yang terhad di Perancis, pembekal hanya dapat menyediakan serangga itu dalam bentik kering berbanding sejuk beku atau hidup. "Ia telah dikeringkan dengan campuran garam. Disebabkan itu, ia berasa sedikit masin," ujarnya.
Beliau menjelaskan, semandangkan serangga-serangga itu telah dikeringkan, tempoh memasak adalah singkat bagi mengekalkan rasa dan bentuknya. "Rasanya boleh dibahagikan kepada rasa seperti ditapai, cendawan, buah-buahan dan daging kering dan ikan masin," tambahnya. Menurut Daviron, belalang akan terasa seperti kacang hazel, sementara kala jengking air seperti ikan masin. Pengalaman Bagi pelajar, Laura Dandelot, 21, dia mencuba menu di restoran tersebut kerana ingin mengubah prejudis terhadap kala jengking. "Pada awalnya, saya merasakan ia sangat menggelikan dan tidak mungkin boleh dimakan. Tetapi selepas merasai serangga itu, ia seperti rasa kacang," kata Laura. Seorang lagi pelanggan baharu restoran Daviron iaitu Adele Gaudre, 21, menyukai hidangan belalang. "Ia seperti mengunyah teh kering. Ia sangat unik tetapi sedap," ujarnya. Setiap hidangan tapas serangga berharga antara AS$7 (RM22.30) hingga AS$12 (RM28.20). Dalam masa sehari, restoran itu menghidangkan 50 sajian terutamanya waktu-waktu puncak. Daviron mendapat pelbagai reaksi daripada pelanggan-pelanggannya selepas dua minggu memperkenalkan menu itu di restorannya. "Ada pengunjung yang ragu-ragu, berasa geli dan terdapat mereka yang sangat bersemangat untuk mencuba. Malah ada sekumpulan pelanggan yang mengadakan cabaran antara rakan-rakan," selorohnya. Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), walaupun serangga tidak dimakan di negara-negara Barat, ia menjadi diet utama bagi dua bilion penduduk dunia terutamanya di Asia dan Afrika. Sungguhpun demikian, Daviron yakin hidangan eksotik seumpama itu mungkin popular pada suatu hari nanti. - AFP. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan