Selasa, 12 November 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Pecipta 2013 pamer penyelidikan IPT

Posted:

Pecipta 2013 pamer penyelidikan IPT

Pecipta 2013 pamer penyelidikan IPT

Oleh HAFIZ AHMAD

SARTAMS 5.0 membantu pasukan penyelamat ketika proses pencarian dan menyelamat mangsa-mangsa yang sesat atau hilang di dalam hutan.


PUSAT Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi medan pertemuan kepada para ahli akademik baru-baru ini dengan mempamerkan produk dan kajian inovasi baharu yang memberi manfaat kepada kehidupan seharian.

Mereka disatukan dalam acara yang memasuki edisi ke-7 iaitu Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2013 yang dianjurkan selama tiga hari oleh Universiti Malaysia Pahang (Unimap) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut serta ialah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) membawakan produk yang dihasilkan daripada hampas pokok sagu, Eco-Modarnt, ciptaan Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari dari Institusi Reka Bentuk dan Inovasi. Rekaan tersebut berjaya memenangi Double Gold Award pada Pameran Reka Cipta Britain (BIS) 2012.

"Ciptaan ini tercetus akibat lambakan hampas sagu di Mukah, Sarawak yang menjadi sumber ekonomi di daerah itu.

"Memikirkan senario tersebut dalam jangka masa panjang kepada ekosistem alam sekitar, kami mencari alternatif lalu tercipta satu produk daripada hasil buangan itu," ujarnya ketika ditemui Infiniti di persidangan berkenaan.

Pewarna asli

Sehubungan itu, beliau bersama Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Unimas, Prof. Madya Dr. Zainab Ngaini melakukan kajian berkaitan industri tekstil.

"Melalui kajian itu, kami mendapati hampas sagu yang dibakar menjadi abu boleh digunakan dalam proses pewarnaan fabrik.

"Ia jauh lebih selamat kerana diperbuat daripada bahan alam semula jadi, malah kadar kelunturan adalah lebih rendah berbanding bahan kimia," jelas Nazlina.

Proses pewarnaan baju biasanya menggunakan bahan-bahan kimia seperti alum dan ion. Dalam beberapa keadaan, ia mudah rosak dan cepat lentur akibat tindak balas kimia.

"Kajian yang dilakukan mendapati penggunaan serbuk abu sagu itu tidak menghasilkan bahan-bahan kimia, malah bahan pewarna yang digunakan diperbuat daripada pewarna asli tumbuh-tumbuhan," tambah Nazlina.

Pewarna tersebut kemudiannya telah diaplikasikan ke fabrik sutera bagi menghasilkan beberapa item fesyen seperti selendang wanita dan kain batik.

"Kami menerima banyak permintaan dari negara-negara luar antaranya, Korea Selatan yang berminat dengan kain selendang tersebut," ujarnya.

Sagu diperoleh daripada pokok rumbia yang banyak terdapat di hutan-hutan pedalaman Sabah dan Sarawak. Isi batang pokok rumbia kaya dengan kanji yang menjadi makanan asasi kepada kaum Bisaya di Sabah dan Melanau, Sarawak.


PELAJAR Sekolah Kebangsaan Sena, Kangar Perlis, Muhammad Danish Saidar menunjukkan BreadFriend, alat menyapu mentega yang lebih mudah dan cepat.


Tepung sagu rumbia pula boleh digunakan untuk memproses serbuk perasa, sirap glukosa, alkohol, makanan bayi, kertas, pelekat, gam, bahan pembeku dan plastik.

Hampas sagu yang dibuang ke sungai akan menyebabkan berlakunya proses penapaian akibat mendapan hasil buangan itu.

Menurut Nazlina, kajian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak mendapati, hampas sagu yang dibuang ke sungai- sungai berdekatan menyebabkan kadar pH air bertukar kepada skala empat. Ia menunjukkan kadar asid tinggi dalam sungai yang boleh membunuh ikan-ikan.

Nenas

Dalam pada itu, bagi membantu pengusaha-pengusaha kecil dalam industri pengisaran serat nanas, sekumpulan pelajar dan pensyarah dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghasilkan satu teknologi yang dinamakan Mesin Serat Daun Nanas 1 (PALF M1).

Menurut Siti Asia Yahya, salah seorang ahli kumpulan pengkaji yang diketuai oleh Prof. Madya Yusri Yusof, kebanyakan pengusaha kecil menggunakan mesin pengekstrak yang menggunakan kaedah penghancur bagi mendapatkan ekstrak serat nanas.

"Ia berbeza dengan PALF M1 kerana kami menggunakan pisau-pisau bilah untuk menanggalkan lapisan berlilin pada daun tersebut," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, dia berkata, proses dimulakan dengan memasukkan daun nanas di antara dua bilah pisau. Kisaran pertama pada bilah satu akan menanggalkan lapisan luar. Ia seterusnya akan dikisar di bilah kedua untuk menanggalkan keseluruhan lapisan berlilin tersebut.

"Kadar pengeluaran PALF M1 adalah bersamaan 11 kali lebih banyak berbanding menggunakan tenaga manusia," jelas Siti Asia.

Inovasi tersebut mendapat perhatian daripada industri dan komuniti yang berkaitan dengan serat nanas di Malaysia. Ia menjimatkan masa dan kos pengeluaran pengusaha yang selama ini menggunakan kaedah kisaran tangan.


SERAT daun nanas yang menghasilkan produk seperti benang baju lebih mudah dihasilkan dengan menggunakan PALF M1 yang dicipta oleh UTHM.


Serat nanas yang telah dikeringkan banyak digunakan dalam pembuatan benang-benang kain dan songket. Ia mempunyai kualiti dan daya tahan yang tinggi.

Bagi menghasilkan benang, serat-serat tersebut akan dimasukkan ke dalam mesin pemintal bagi proses penyambungan.

Setakat ini, PALF M1 telah dibeli oleh Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dan Shabat Craft Enterprise, Melaka. Selain itu, ia telah memenangi tiga anugerah inovasi di ITEX 2013, Tech Rural (UTHM) 2012 dan Pecipta 2011.

Orang hilang

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerusi Pensyarah daripada Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Prof. Madya Kapt. Syed Nasir Alsagof Syed Zakaria, mencipta Sistem Pengurusan Taktik Pencarian dan Menyelamat (Sartams) 5.0 bagi membantu pasukan keselamatan ketika proses pencarian orang hilang di hutan.

Sartams 5.0 menggunakan peranti Wifi android, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan komputer riba.

Alat komunikasi tersebut akan disertakan dengan sistem kamera video dan gambar yang disambungkan ke komputer riba atau tablet seorang ketua penyelamat.

Sistem tersebut akan dikawal selia oleh ketua penyelamat dengan memberi arahan dan mengawal anak-anak buah ketika proses pencarian.

Sebelum memulakan pencarian, ketua penyelamat terlebih dahulu menetapkan lokasi asal bagi mengelakkan penyelamat terkeluar dari peta pencarian.

"Dalam proses itu, setiap pasukan penyelamat perlu mengikuti peta yang diberikan. Mereka perlu mendengar arahan yang diberikan kerana semua pergerakan dan rakaman video dapat dilihat oleh ketua penyelamat," ujar Noor Izzati Mohd. Khalid yang mewakili pensyarahnya.

Arca kreatif daripada kamera terpakai

Posted:

Arca kreatif daripada kamera terpakai

Arca kreatif daripada kamera terpakai

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


SETIAP kumpulan diwajibkan menggunakan kamera terpakai dalam menghasilkan karya masing-masing.


KITAR semula merupakan amalan biasa dalam sejarah manusia. Ia merupakan proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan suatu barangan yang baharu.

Amalan ini mampu mengurangkan jumlah bahan buangan, penggunaan bahan mentah dan tenaga, mengelak pencemaran serta kesan gas rumah hijau berbanding penghasilan barang baharu dari bahan mentah dalam jangka masa panjang.

Menyedari kepentingan amalan itu, jenama kamera terkemuka di dunia, Nikon baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Limkokwing untuk menjayakan Projek Penciptaan Arca (Sculpture Creation Project) yang bertujuan menguji kreativiti tanpa sempadan melalui kamera.

Projek yang berlangsung selama enam minggu itu melibatkan 64 orang pelajar dari Fakulti Rekaan dan Inovasi universiti tersebut dan lebih 500 kamera Nikon terbuang bagi menghasilkan sembilan buah arca mempesona.


GABUNGAN kreativiti dan inovasi yang diterapkan pada setiap arca menarik perhatian hadirin.


Pengurus Sculture Project, Haris Hassan berkata, mengambil tema I Am in Motion, setiap arca direka berdasarkan pergerakan manusia yang berkaitan asas fotografi iaitu merakamkan imej.

Kreativiti inovasi

Katanya, projek yang menggabungkan pelajar tempatan dan antarabangsa dari 17 buah negara itu merupakan sebahagian daripada projek akhir bagi semester tahun ini.

"Kesemua pelajar dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang membawa tema berbeza iaitu I am Memory, I am Awesome, I Am Unstoppable, I am Lyrical, I am Free dan I am Immortal.

"Mereka dibenarkan berkarya mengikut kreativiti masing-masing serta menggunakan pelbagai bahan kitar semula, di samping ratusan kamera terpakai yang disumbangkan Nikon," katanya selepas majlis penyerahan arca-arca itu kepada Nikon di Universiti Limkokwing, Cyberjaya baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Kanan Perkhidmatan Profesional Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd., Mahfooz Nabi Rasool dan Naib Presiden Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Syam.

Sementara itu, Mahfooz berkata, kerjasama yang dilakukan tersebut merupakan inisiatif jenama tersebut dalam menerapkan kreativiti dan inovasi dengan menggunakan kamera terpakai sebagai salah satu bahan kitar semula.


ARYSTANOVA (kanan) menerangkan konsep arca yang dicipta ahli kumpulannya kepada Mahfooz.


"Ia merupakan komitmen kami untuk mendidik masyarakat, terutamanya generasi muda pada hari ini tentang kepentingan memelihara alam sekitar melalui amalan kitar semula.

"Pada masa yang sama kami juga membudayakan bidang kreativiti dan inovasi dalam diri mereka untuk menghasilkan arca-arca yang mengagumkan ini," katanya.

Pengabadian imej

Menjelaskan pemilihan tema bagi setiap arca berkenaan, Mahfooz memberitahu, pihak Nikon percaya fotografi merupakan kaedah unik dalam melahirkan pelbagai ekspresi dalam imej yang dirakam.

"Di Nikon, kami yakin untuk membantu pengguna menyimpan segala momen dalam hidup mereka adalah melalui pemilihan kamera yang tepat.

"Justeru, melalui pemilihan tema ini, para pelajar dapat menggunakan kreativiti untuk mencipta memori yang akan kekal sepanjang hayat mereka," jelasnya.

Bagi Ketua Kumpulan Dua Projek Penciptaan Arca, Karina Arystanova, 18, berkata, pengalaman mencipta arca daripada kamera terpakai sememangnya menguji kreativitinya dan ahli-ahli kumpulan itu.

Katanya, kumpulan itu telah memilih tema I am Awesome yang berkisar kepada kehidupan generasi muda yang menyukai kebebasan, di samping mempunyai personaliti diri yang tinggi.

"Kami mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkannya arca ini dengan menggunakan 53 kamera terpakai serta bahan-bahan kitar semula seperti surat khabar, kotak dan dawai.

"Untuk menggambarkan ia membawa suara generasi muda, arca ini 'menggayakan' pakaian moden seperti seluar jean, baju-T dan topi," katanya yang berasal dari Kazakhstan.


SERAMAI 64 orang pelajar daripada Fakulti Rekaan dan Inovasi, Universiti Limkokwing terlibat dalam menjayakan Projek Penciptaan Arca anjuran Nikon dan universiti itu baru-baru ini.


Bagi Zul Iman Zahiruddin, 18, dari Kumpulan Sembilan, dia dan kumpulannya memilih arca yang bertemakan I am Alive.

Katanya, arca yang dihasilkan menggabungkan tema kehidupan dan masa seperti juga fungsi kamera Nikon yang merakamkan imej hidup yang mampu diabadikan sepanjang hayat.

"Proses menyiapkan kepala arca ini paling sukar berbanding bahagian-bahagian lain dan memerlukan ketelitian mendalam kerana bentuknya seperti kepala manusia.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana setiap ahli kumpulan memberikan kerjasama yang baik biarpun terpaksa bersengkang mata sehingga lewat malam untuk menyiapkannya," jelas beliau.

Seorang lagi pelajar, Yang Zhiqin, 20, dari Kumpulan Satu pula memilih tema I am Memory dalam karyanya.

Berasal dari Beijing, China, arca yang diketengahkan menggunakan hampir 72 kamera terpakai.

"Kami membuat banyak kajian yang berkaitan dengan Nikon sebelum memilih tema ini yang menggambarkan seorang manusia yang sedang duduk.

"Konsepnya agak subjektif, namun apa yang diterjemahkan ialah mengenai momen baik dan buruk dalam kehidupan," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved