Kosmo Online - Dunia |
- AS sertai operasi menyelamat
- Parti hari jadi bertukar tragedi
- Larian lembu tanduk berapi di Sepanyol
Posted: AS sertai operasi menyelamat
TACLOBAN - Beberapa buah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) menyertai usaha menyelamat mangsa yang kebuluran semalam selepas Taufan Haiyan meragut 10,000 nyawa di Filipina. Perkembangan itu berlaku ketika pasukan keselamatan berusaha mengekang kecurian yang semakin berleluasa di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat ribut dahsyat itu. Tiga hari selepas Taufan Haiyan meratakan bandar-bandar di tengah Filipina, penduduk yang terselamat semakin terdesak kerana ketiadaan makanan, air dan ubat-ubatan. Mayat mangsa yang terbunuh pula dilihat bergelimpangan di merata-rata tempat. "Kami mahu sebuah organisasi tersusun untuk menyelaras usaha mengutip mayat, membawa makanan dan menghentikan kes kecurian," kata seorang wanita berusia 54 tahun, Joan Lumbre-Wilson. Dia merupakan antara kumpulan orang ramai yang berhimpun di beberapa buah pusat perlindungan sementara yang masih beroperasi di ibu negeri wilayah Leyte, di sini. "Hari ini masuk hari keempat (semalam). Kami mahu air dan makanan. Kami mahu seseorang membantu. Kami amat lesu dan emosi kami terganggu," tambahnya. Haiyan mencetuskan ombak tsunami setinggi 5 meter yang membanjiri pantai di tengah Filipina dan memusnahkan hampir apa sahaja yang berada di laluannya. Kira-kira 10,000 orang dipercayai mati di Leyte. Banyak kawasan masih terputus hubungan manakala mayat-mayat mula mereput dan membusuk. Mangsa-mangsa terselamat pula tiada pilihan melainkan menyelongkar runtuhan kediaman dan kedai untuk mencari sisa makanan, air dan barang keperluan lain. Taufan Haiyan melanda Pulau Samar, dekat Leyte pada kelajuan 315 kilometer sejam, sekali gus menjadi taufan paling kuat di dunia pada tahun ini. Ribut berkenaan juga antara yang terkuat pernah dicatatkan. Gabenor Samar berkata, sebanyak 443 orang disahkan maut di pulau itu walaupun terdapat laporan bahawa angka kematian sebenar adalah jauh lebih besar. Di bandar ini, beberapa pesawat Hercules C-130 tentera AS tiba dengan membawa bekalan semalam. Pesawat-pesawat berkenaan merupakan petanda jelas bahawa bantuan antarabangsa mula digembleng. Banyak kerajaan asing berikrar akan membantu dengan Australia mendermakan hampir AS$10 juta (RM31.8 juta) manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula berjanji bahawa agensi PBB akan bertindak segera untuk membantu mangsa. - AFP | |
Parti hari jadi bertukar tragedi Posted: Parti hari jadi bertukar tragediANGGOTA keluarga dan rakan-rakan saling berpelukan selepas insiden tembakan di Cypress, Houston kelmarin. HOUSTON - Tembakan kemeriahan yang dilepaskan pada parti hari jadi seorang gadis berusia 18 tahun mencetuskan lebih banyak bedilan senjata api yang menyebabkan dua orang maut, dua lagi kritikal manakala 24 yang lain cedera. Insiden itu turut mencetuskan kekalutan apabila orang ramai terjun dari beberapa buah tingkap di tingkat dua sebuah kediaman untuk menyelamatkan diri, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS). Syerif Daerah Harris, Adrian Garcia berkata, acara malam Sabtu lalu itu dihadiri lebih 100 orang dengan kebanyakan mereka berumur antara 17 hingga 19 tahun. "Majlis tersebut bertukar menjadi parti liar," kata Garcia. Menurutnya, ketika tetamu leka menari, seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan tembakan untuk meraikan majlis tersebut. "Kekeliruan yang timbul menyebabkan seorang lagi yang bersenjata api mula menembak ke arah orang ramai," ujar Garcia. Seorang pengunjung parti berkenaan, Shaniqua Brown memberitahu agensi berita Associated Press bahawa parti tersebut tidak 'hingar bingar' seperti yang didakwa. Katanya, dia mula mendengar bunyi tembakan di dalam rumah tersebut dan merebak ke halaman ketika orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri. Pihak berkuasa memberitahu kelmarin bahawa 20 orang cedera dengan 16 mangsa mengalami luka akibat ditembak manakala empat lagi cedera ketika melarikan diri. "Dua orang yang terbunuh ialah seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan gadis berumur 16 tahun," jelas Garcia. Susulan insiden tembakan tersebut, katanya, pihak berkuasa kini memburu dua lelaki bersenjata dengan masing-masing berumur 17 dan 22 tahun. "Insiden ini tercetus kerana kurang kematangan, akses mudah kepada senjata api dan kegagalan untuk mengawal diri," tambah syerif berkenaan. Seorang gadis, Mariah Boulden yang mengaku parti itu diadakan sempena hari lahirnya memberitahu, dua pengawal telah diupah untuk memeriksa badan tetamu bagi memastikan tiada senjata api dibawa masuk ke rumahnya. Namun katanya, dua lelaki yang enggan membenarkan tubuh mereka diperiksa meninggalkan kediaman itu sebelum menyusup masuk melalui pintu pagar belakang. "Saya tidak tahu siapa mereka tetapi mereka tidak sepatutnya berada di sini," ujar Boulden. - AP | |
Larian lembu tanduk berapi di Sepanyol Posted: Larian lembu tanduk berapi di SepanyolLEMBU jantan dengan tanduk terbakar mengejar seorang peserta pada festival Toro de Jubilo di Medinaceli kelmarin. MEDINACELI, Sepanyol - Penduduk di sini mengadakan festival yang jarang diadakan di tempat-tempat lain di dunia. Dinamakan Toro de Jubilo atau Festival Lembu Api, acara berkenaan berlangsung kelmarin di sebuah dataran utama di bandar ini. Larian lembu api itu merupakan acara kuno yang berasal dari zaman gangsa. Semasa acara berkenaan diadakan, penduduk mengikat jamung pada tanduk seekor lembu jantan dan api dinyalakan. Haiwan itu kemudian dilepaskan. Peserta perlu mengelak daripada ditanduk atau terkena api tersebut sehingga jamung berkenaan padam sendiri. Lembu jantan itu dilumur dengan lumpur tebal pada bahagian muka dan belakang untuk mengelakkan haiwan itu melecur. - AP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan