Kosmo Online - Pesona |
Posted: IVF beri harapan bergelar ibuOleh NURUL IZZA ROSLY SETIAP pasangan yang sudah berkahwin pastinya menginginkan kehadiran cahaya mata. Begitupun, bukan semua pasangan dianugerahkan zuriat dalam tempoh setahun atau dua tahun selepas terpaterinya ikatan suci antara Adam dan Hawa. "Sudah ada isi ke?" Itu antara soalan-soalan lazim yang bakal diajukan kepada pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak. Lebih lama tempoh berkahwin, lebih pedas pula soalan yang dilontarkan, baik daripada ahli keluarga sendiri mahupun dalam kalangan rakan-rakan. Pasti emosi sedikit terganggu, malah ada yang mengalami tekanan perasaan tatkala diri dipersalahkan. Kebiasaannya, apabila timbul isu sebegini, kesalahan diletakkan di bahu kaum Hawa yang 'dituduh' mandul atau tidak mampu memberikan zuriat. Norsyamzani M. Zawawi, 34, sudah lali dengan soalan-soalan dan kata-kata sinis yang dilemparkan kepadanya. Namun selaku insan biasa, emosi dan perasaannya terguris setiap kali telinganya diajukan soalan yang dia sendiri tiada jawapannya. Kakitangan swasta yang mendirikan rumah tangga dengan Effendi Shoib, 38, pada 30 Ogos 1998 itu sukar mendapatkan zuriat kerana mengalami masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOs). PCOs ialah satu sindrom ketidakseimbangan hormon yang berlaku ke atas wanita yang mempunyai ovari polisistik atau banyak sista kecil. Ia merupakan antara faktor yang menyebabkan seseorang wanita kurang subur. "Di telinga sudah biasa dah. Apabila pulang ke kampung, ada yang bertanya, 'Macam mana kau, mandul lagi ke?' Siapa yang tahan jika diajukan soalan sedemikian? "Sampai satu tahap, saya tidak boleh melihat bayi, tidak boleh dengar orang mengandung, tidak boleh dengar kisah orang bersalin dan tidak mahu keluar rumah berjumpa kawan-kawan," katanya yang sering memencilkan diri suatu ketika dahulu.
Selepas usia perkahwinan mencecah lima tahun tetapi belum mempunyai zuriat, Norsyamzani mengajak suaminya untuk merujuk perkara tersebut kepada pakar tetapi, menurutnya, ego seorang lelaki membantutkan keinginannya itu. Tidak putus asa Sungguhpun begitu, Norsyamzani tidak pernah putus asa dan sentiasa memujuk suaminya. "Berjumpa dengan pakar bukan bertujuan mencari salah siapa, tetapi ia merupakan salah satu ikhtiar untuk mendapatkan zuriat. "Sebelum menjalani kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) di Tropicana Medical Centre (TMC) pada Disember 2010, saya pernah keguguran pada tahun 2005 selepas cubaan hamil menggunakan kaedah permanian beradas IUI (Intrauterine Insemination) di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)," ujarnya sambil memberitahu usia kandungannya ketika itu 10 minggu. Berkat kesabaran menunggu selama 13 tahun, akhirnya tarikh 26 September 2011 menjadi detik keramat buat pasangan itu apabila bayi seberat 3.7 kilogram dilahirkan Norsyamzani melalui kaedah Caesarean. Nama indah, Imad Nasrullah, menyambut kehadiran bayi itu dalam hidup mereka. Tidak percaya "Ramai yang tidak percaya apabila saya hamil dan selamat melahirkan putera sulung kami. Tempoh 13 tahun merupakan satu tempoh masa yang lama, malah ada memberikan jolokan nama bayi ajaib dan bayi mahal kepada anak saya. SITI IDA (mendukung Nur Qalisa) dan suaminya, Nizaidi sanggup tidak bekerja selama dua tahun semata-mata mahu memberikan sepenuh komitmen terhadap rawatan IVF. "Selepas dikurniakan nikmat Allah yang tidak terperi ini, saya kongsikan pengalaman kepada rakan-rakan lain dan membantu mereka yang mempunyai masalah yang sama," kata Norsyamzani yang akan mengalirkan air mata setiap kali mendengar berita mengenai kes pembuangan dan penderaan bayi. Dalam pada itu, Siti Ida Salvana Abdul Majid, 31, yang mendirikan rumah tangga dengan Nizaidi Mohamed, 39, pada 10 Februari 2002 kehilangan kedua-dua tiub falopio berikutan kehamilan luar rahim (ectopic pregnancy) yang dialaminya pada tahun 2002 dan 2006. "Pada tahun 2002, kehamilan luar rahim berlaku pada tiub falopio sebelah kiri dan tahun 2006 ia berlaku di sebelah kanan pula ketika usia kandungan masuk 10 minggu. "Kedua-dua tiub fallopio itu terpaksa dibuang. Walaupun sudah kehilangan 'jambatan' persenyawaan, kami berfikiran positif. Mungkin ia bukan masa yang sesuai untuk mempunyai zuriat," katanya yang pada mulanya kecewa. Pada bulan Mei 2009, kedua-dua suami isteri itu memulakan rawatan IVF. Cubaan kali pertama gagal selepas 10 hari pemindahan embrio ke dalam rahim akibat pendarahan. Kegagalan tersebut menyebabkan mereka berdua sangat kecewa kerana banyak wang dan masa diperuntukkan. Selepas berehat selama dua bulan, prosedur kali kedua dijalankan pada bulan Ogos 2009 dan harapan pun berbunga mekar. "Pada tarikh 17 Mei 2010, seorang cahaya mata perempuan lahir dan diberikan nama Nur Qalisa Syazana yang kini berusia 2 tahun 4 bulan," kongsinya yang kini merancang untuk mendapatkan cahaya mata kembar pada tahun hadapan menggunakan embrio beku yang disimpan. Dapat kembar Bagi pasangan Martin Christie, 38, dan Juliana Lo Mei Ling, 39, tiada apa yang lebih menggembirakan mereka apabila dikurniakan anak perempuan kembar pada 24 Disember 2011. Berkahwin pada tahun 2007, pasangan itu hanya merancang untuk mendapatkan cahaya mata dua tahun lalu. "Sepatutnya kami akan mendapat kembar tiga, tetapi seorang bayi berada di luar rahim. "Sungguhpun begitu, kami bersyukur memiliki dua bayi kembar tidak seiras ini yang diberi nama Mayble Eliana dan Myrabelle Julia yang kini berusia sembilan bulan," kata Martin. Berada selama tiga jam di dalam bilik pembedahan untuk melahirkan bayi melalui pembedahan Caesarean, Juliana begitu teruja memiliki bayi perempuan comel kerana sudah begitu lama menunggu saat bergelar ibu. "Banyak cabaran menjaga anak kembar ini. Barang-barang keperluan kembar sedikit mahal tetapi apabila melihat mereka sihat dan ceria, itu sudah cukup menghilangkan rasa penat saya," ujarnya. KEKURANGAN sperma berkualiti juga menjadi punca kebanyakan pasangan sukar mendapatkan anak. Kualiti sperma Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan, Pusat Kesuburan TMC, Dr. Surinder Singh memberitahu, terdapat banyak punca ketidaksuburan dalam kalangan suami isteri. "Biasanya 40 peratus daripada masalah tersebut daripada isteri, 40 peratus daripada suami dan baki 20 peratus pula disebabkan kombinasi faktor. "Pasangan yang memerlukan rawatan IVF terdiri daripada lelaki yang mengalami masalah kualiti sperma dan kerosakan kedua-dua tiub falopio bagi wanita. "Ia juga boleh dilakukan terhadap pasangan yang telah mencuba pelbagai jenis rawatan lain seperti pil kesuburan dan rawatan inseminasi, tetapi tidak berjaya," katanya. Selain daripada itu, pasangan yang mengalami penyakit endometriosis, ovari polisistik atau berbagai jenis masalah lain juga boleh menjalani rawatan IVF. Menurut Surinder, untuk menjalani rawatan IVF, setiap pasangan itu harus mengambil beberapa jenis ubat. Salah satu jenis ubat ialah untuk menghindari hormon Perangsang Folikel (FSH) dan hormon Peluteinan (LH) yang biasanya dirembeskan oleh kelenjar pituitari. Ubat yang lain pula adalah untuk merangsang kilang telur bagi mengeluarkan beberapa telur. Biasanya sekitar 15 telur akan dibesarkan sehingga menjadi matang. "Telur-telur itu kemudian disedut keluar dari kilang telur untuk disenyawakan dengan sperma suaminya. Selepas persenyawaan, ia akan dimasukkan kembali ke dalam rahim ibu. "Proses tersebut mengambil masa antara dua hingga lima minggu untuk dijalankan," jelasnya smbil memberitahu peratus kejayaan IVF di TMC ialah 59.2 peratus. Sungguhpun begitu masih ada pasangan yang gagal mendapat cahaya mata walaupun setelah menggunakan kaedah IVF. Satu punca kegagalan ialah berlakunya kerosakan genetik di dalam telur. Dalam kalangan wanita berusia 40 tahun ke atas, hampir 70 peratus daripada telur yang dihasilkan akan mengalami masalah genetik. | ||
Posted: Hari Ungu untuk autismeOleh SUHANA VERU SEKUMPULAN kanak-kanak autisme memeriahkan majlis pelancaran pada September lalu dengan membuat persembahan nyanyian di hadapan ratusan penonton. SURIA KLCC baru-baru ini menganjurkan kempen Hari Ungu di pusat beli-belah itu untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak autisme selain memberi pemahaman mengenai penyakit tersebut kepada para pengunjung. Pelbagai aktiviti telah disusun bagi disertai orang ramai sekali gus menderma kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (National Autism Society of Malaysia) atau Nasom. Antara acara yang mendapat sambutan ramai ialah Electrifying Maze, Spin The Wheel, lukisan muka dan mengambil gambar yang menggunakan hiasan Hari Ungu sebagai latarnya. Dengan membayar RM3 hingga RM10 untuk menyertai aktiviti dan acara tersebut, pengunjung secara tidak langsung menyalurkan nilai wang berkenaan kepada persatuan yang memerlukan itu. ANDREW (kiri) melawat tapak pameran yang dibuka di Centre Court, Suria KLCC. Pengisian hari istimewa itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Para pengunjung juga boleh membeli baju T bercorak hasil karya kanak-kanak dari Nasom pada harga RM30. Pengunjung juga boleh membawa pulang cenderamata dan barangan khas kempen seperti beg yang dijual pada harga RM25, cawan (RM5), hiasan telefon bimbit (RM8) dan boneka comel yang boleh dimiliki pada harga RM29.90. Seorang pengunjung, Mohd. Ridzuan Mohd. Abbas, 17, mengakui dia tidak tahu mengenai penyakit itu. Dia tertarik dengan penganjuran pameran lantaran timbul rasa ingin tahu mengenai penyakit autisme. "Selepas saya membaca risalah-risalah yang disediakan dalam pameran itu barulah saya mempunyai pengetahuan serba sedikit tentang autisme. "Program-program mengenai kesihatan seperti ini perlu dianjurkan dengan kerap memandangkan masih ramai individu terutamanya golongan belia yang tidak mempunyai pemahaman jelas terhadap jenis-jenis penyakit tertentu," katanya sambil memuji langkah Suria KlCC yang mengadakan pameran itu. Autisme ialah masalah perkembangan otak yang menyekat kebolehan berkomunikasi seseorang kanak-kanak sehinggalah usia remaja. ANDREW (tiga dari kanan) melancarkan kempen Hari Ungu di Suria KLCC baru-baru ini. Penyakit tersebut menyebabkan seseorang kanak-kanak itu mempamerkan kelakuan yang berulang-ulang, sama ada menerusi percakapan, sikap dan kelakuan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien berkata, kempen itu diadakan untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai autisme. "Kempen ini juga merupakan tanda tanggungjawab sosial kami untuk membantu kanak-kanak yang menghidap autisme selain memberi ruang kepada para pelanggan kami menyumbang ke arah kebajikan. "Kami berharap melalui dana yang telah dikumpulkan nanti, pihak Nasom dapat menjalankan aktiviti mereka dengan sempurna," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di ruang legar KLCC, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, sempena kempen Hari Ungu, pihak Suria KLCC turut memberi ganjaran kepada pengunjung yang membeli-belah di situ. Bagi mereka yang membuat pembelian sebanyak RM500 ke atas, mereka boleh mendapatkan kad Touch n Go Purple Day eksklusif percuma bernilai RM10. Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Safurah Jaafar. | ||
Syirik berubat dengan bomoh Siam Posted: Syirik berubat dengan bomoh SiamPERCAYA pada bomoh, pawang dan tok nujum yang mendakwa mengetahui perkara ghaib boleh membawa kekufuran. - Gambar hiasan ADAKAH seseorang itu melakukan syirik apabila dia telah berusaha banyak kali berubat cara Islam untuk membuang sihir tetapi tidak sembuh dan kemudian mendapatkan khidmat bomoh Siam. Bagaimanapun, dia sememangnya yakin hasil itu berlaku atas izin Allah? JAWAPAN: Suatu penyakit itu merupakan satu ujian Allah, bahkan ia hadiah Allah buat hambanya yang beriman. Namun, ia bergantung kepada diri yang diuji itu sama ada menerima penyakit itu sebagai ujian dengan reda atau sebaliknya. Memang benar, adakalanya telah pelbagai ikhtiar dilakukan sebagai jalan penyembuhan namun belum berhasil. Inilah hakikat bagi ujian penyakit iaitu mahu menguji sama ada diri yang diuji itu reda dan sabar dengan ketetapan Allah. Allah ingin menguji dan melihat sama ada kita ingat bahawasanya Allah yang memberikan penyakit dan Dialah yang menyembuhkan penyakit. Namun, ramai yang tertewas apabila telah berusaha melalui pelbagai cara tetapi tidak sembuh. Lalu mereka terus menggunakan jalan yang khurafat dan syirik seperti berjumpa bomoh Siam, bomoh Hindu atau sebagainya. Walaupun yakin Allah yang menyembuhkan tetapi cara perubatan itu bercanggah dengan hukum Allah, maka ia syirik dan khurafat kerana niat tidak menghalalkan cara. Ingat dan fahamilah bahawa itu semua sihir semata-mata. Sungguhpun memang ada kesembuhan, namun hakikatnya ia merupakan penipuan syaitan semata-mata untuk memesongkan anak Adam. Haram hukumnya memilih jalan khurafat itu kerana unsur syirik iaitu menduakan Allah dan melakukan sesuatu yang terkeluar daripada syariat Islam. Bertemulah dengan para ahli perubatan Islam yang menggunakan jalan benar sebagai perubatan, Insya-Allah pasti suatu hari akan tiba kesembuhan, sabarlah dan berdoalah serta berserah kepada Allah SWT. Percaya dengan cakap-cakap bomoh, pawang dan tok nujum yang mendakwa mengetahui perkara yang ghaib boleh membawa kepada kekufuran. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berjumpa dengan tok nujum dan bertanya sesuatu yang ghaib, lalu percaya dengan kata-kata mereka maka tidak diterima solatnya selama 40 hari" (Hadis Riwayat Muslim) Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berjumpa dengan bomoh atau tok nujum, lalu bertanya pada bomoh tentang sesuatu, dan lelaki itu mempercayai apa yang bomoh beritahu tentang perkara-perkara ghaib, maka dia telah kufur dengan ajaran Nabi Muhammad SAW." (Hadis Riwayat Bazzar-Jaid). Wallahu A'lam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan