Jumaat, 5 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak cipta sensasi

Posted:

Tidak cipta sensasi

PERJALANAN meredah Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari ibu kota Kuala Lumpur ke daerah kecil di bandar Taiping, Perak hujung minggu lalu membuahkan hasil apabila dapat bersua muka dengan si cantik manis Izara Aishah.

Ketika ditemui, pelakon itu sedang sibuk berlatih untuk babak aksinya bertempur dengan pelakon kacak, Datuk Eizlan Yusof.

Kelapangan seketika bintang Vanilla Coklat usai dikerumuni peminat daripada kawasan sekitar pantas diselitkan dengan temu ramah bersama rakan media.

Menyelak kembali pendedahan sensasi Izara tentang hubungan cintanya dengan seorang jejaka berusia 20 tahun lewat minggu lalu, bicara dimulakan dengan tanda tanya tindakan pelakon itu.

Tegas pemilik nama Izara Aishah Hisham, 20, dia tidak melihat pendedahan kepada khalayak mengenai kekasih hatinya itu sebagai satu propaganda. Malah dia berasa selesa dengan tindakan yang diambilnya.

Pendedahan itu, bagaimanapun tambah Izara tidak memberi kesan kepada karier seninya termasuk peminat. Malah, tindakan tersebut juga disokong oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

"Sebenarnya saya tidak pernah sembunyikan dengan siapa saya berkawan dan dengan siapa saya bercinta sebelum ini. Saya dan dia pun sudah lama kenal. Jadi, tidak timbul isu saya cuba menipu atau mencipta sensasi apabila saya membuat pendedahan terlalu mudah dan tidak banyak bermain teka-teki.

"Keputusan untuk memberitahu kepada khalayak adalah keputusan saya sendiri dan untuk merahsiakan perkara tertentu juga keputusan saya. Maka orang ramai perlu menghormati hak privasi saya.

IZARA AISHAH menikmati karier sebagai seorang pelakon dengan baik. Justeru, apabila dia dihimpit kontroversi, pelakon ini cukup tenang dan berhati-hati menanganinya.


Saya tidak mahu dituduh berbohong atau cuba sembunyikan hakikat. Saya juga tahu batasan saya," katanya ketika ditemui di Taiping, Perak baru-baru ini.

Sebelum ini, Izara pernah memberitahu bahawa dia sudah mempunyai teman lelaki sebaya yang dikenalinya sejak dari kecil. Namun, hubungannya dengan ahli perniagaan itu bertambah rapat setelah tamat persekolahan tingkatan lima.

Biarpun sedang diulit bahagia, tegas Izara dia tidak pernah terfikir untuk melanjutkan hubungan itu ke peringkat lebih tinggi seperti perancangan bertunang atau berkahwin dalam masa terdekat.

Balun

Berbalik kepada matlamat asal pertemuan bersama Izara, pendukung watak Nurul Ain, seorang anak guru silat kampung dalam filem Balun berkongsi pengalamannya pertama kali membintangi filem aksi.

Filem yang kini masih dalam proses penggambaran memerlukan Izara mendalami ilmu persilatan Melayu iaitu Silat Pulut daripada seorang guru silat Dr. Aziwahija Yeop selama lebih dua bulan.

IZARA kini sibuk di lokasi penggambaran filem aksi, Balun.


"Sebelum ini saya pernah belajar seni bela diri Muay Thai sejak berusia 16 tahun, tapi saya hanya tahu teknik asas saja. Apabila sudah terlalu lama tidak berlatih, skil pun tidak sehebat dulu," getusnya berseloroh.

Sepanjang latihan sebelum memasuki set penggambaran filem arahan Bob Singah itu, Izara sudah mengalami beberapa kecederaan kerana tersalah percaturan.

"Saya pernah kena tendang di kepala, muka dan kaki. Lumrah kalau belajar seni bela diri.

"Belajar seni silat berbeza daripada Muay Thai kerana pergerakan yang lembut seakan-akan gerakan tarian. Saya memang minat seni bela diri sejak dulu lagi dan peluang beraksi dalam filem ini sudah lama saya tunggu sebenarnya," kongsinya teruja.

Melissa Saila sudah berhijab

Posted:

Melissa Saila sudah berhijab

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my

BAHAGIA. Melissa di samping tiga cahaya mata tersayang, (dari kiri), Zahra, Noor dan Zain.


PENAMPILAN anak seniwati Mariani yang juga anak anak suadara arwah seniwati Saloma itu kini tampak sungguh manis. Aktres yang juga merupakan seorang pengarah itu sudah rasmi mengenakan hijab.

Kali terakhir penampilan Melissa Saila,40, secara tidak bertudung adalah menerusi iklan krim parut, Mederma.

Anak pertama Melissa iaitu Noor Megat Fauzi Shukarnain, 8, juga berlakon bersamanya dalam iklan tersebut.

Mengenakan hijab sejak bulan Jun yang lalu, Melissa mengakui perkara itu perlu dilakukannya kerana faktor umurnya yang semakin meningkat.

Ikuti penjelasan Melissa berhubung pemakaian hijab ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir pelakon cilik, Mia Sara Nasuha yang berlangsung di retoran pasta dan piza Italiannies, pusat beli-belah Paradigm, Selangor baru-baru ini.

Kosmo!: Sejak bila Melissa mengenakan hijab?

MELISSA: Saya pakai tudung sejak bulan enam yang lalu. Sebenarnya saya ingat mahu mula pakai tudung pada bulan Ramadan lepas, tetapi tiba-tiba Allah buka pintu hati terlebih awal.

Kenapa niat mahu pakai bulan Ramadan?

Bila lagi saya kena pakai jika tidak sekarang. Umurpun sudah masuk 40 tahun.

Bagaimana kehidupan anda sekarang?

Selain sibuk mengarah, saya juga sibuk menguruskan anak-anak. Jika dulu saya mempunyai pembantu rumah tetapi sejak lima bulan lalu saya sendiri yang menjaga ketiga-tiga anak iaitu Noor, 8, Zain, 6 dan Zahra, 3.

Bagaimana anda membahagikan masa menjaga anak, mengarah dan menguruskan syarikat milik anda iaitu Ku Semangat Aktor Sdn. Bhd.?

Memang penat tetapi sejak mengambil alih tugas menjaga anak-anak saya rasa selesa dan seronok pula. Jadi, tidak terlintas mahu mengambil pembantu rumah yang baru. Suami (Megat Fauzi Shukarnain) juga banyak membantu. Pernah beberapa kali saya membawa anak ketika bekerja dan mereka menunggu saya di dalam kereta.

Jika anda bekerja dan tidak membawa anak-anak, siapak yang menjaga mereka?

Adik saya, dan kadangkala saya meminta jiran untuk menjaga mereka.

Apakah projek terbaru anda?

Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan dokumentari Saloma untuk RTM 1. Dokumentari sebanyak lapan episod itu menceritakan kehidupan Saloma ketika kecil sehingga dia meninggal.

Berapa lama anda melakukan penyelidikan untuk dokumentari Saloma?

Lama juga dalam setahun saya buat penyelidikan. Sebenarnya sejak dua, tiga tahun lepas lagi saya merancang untuk buat dokumantari Saloma tetapi sekarang baru terlaksana selepas mendapat permintaan daripada RTM.

Bagaimana pula dengan bidang lakonan?

Saya ada berlakon sebuah drama iaitu Kampung Semarah Padi dan telah ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Saya juga akan muncul dalam filem arahan Datuk Zahim Al Bakri berjudul Spilt Gravy On Rice. Dalam filem itu saya akan membawakan watak sebagai isteri ketiga kepada Datuk Rahim Razali. Selain saya, Nanu Baharuddin akan memegang peranan sebagai isteri pertama, Ida Nerina pula akan memegang peranan sebagai isteri kedua manakala Sabrina Hassan akan memegang peranan sebagai isteri keempat.

Anda dilihat sudah kurang muncul di kaca televisyen adakah kerana terlalu selektif atau sibuk mengarah?

Saya sibuk menjaga anak-anak dan menguruskan produksi sendiri disebabkan itu saya dilihat sudah kurang muncul di kaca TV. Namun, dalam masa yang sama saya juga kurang dapat tawaran berlakon. Mungkin penerbit fikir bila sudah jadi pengarah mereka fikir saya sudah tidak mahu berlakon.

Adakah anda terkilan dengan persepsi sebegitu?

Ada juga rasa terkilan sebab mereka tidak panggil lagi saya untuk berlakon. Saya masih seorang pelakon.

Aura empat gitaris legenda

Posted:

Aura empat gitaris legenda

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

GANDINGAN empat gitaris iaitu Man Kidal, Joe Wings, Kid Search dan Hillary Ang dalam Konsert G4: Petikan Legasi telah membuktikan bahawa sesebuah konsert boleh sukses tanpa bergantung kepada sebuah band penuh.


KEHEBATAN sesebuah band tidak dinilai menerusi kekuatan vokalis sahaja. Peranan pemain gitar dan drum juga sememangnya sangat penting ketika tampil membuat persembahan.

Menyedari kepentingan gitaris yang turut menjadi tulang belakang kekuatan sesebuah band, maka RK Polaris mengambil inisiatif dengan menganjurkan Konsert G4: Petikan Legasi yang menampilkan gitaris ternama tanah air.

Pada acara yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur 30 September lalu, pengunjung dapat menyaksikan sendiri kehebatan gitaris legenda seperti Joe Wings, Kid Search, Man Kidal dan Hillary Ang.

Persembahan yang menampilkan empat gitaris legenda dalam satu pentas ternyata tidak menghampakan menerusi aksi yang begitu menyerlah sehingga memukau peminat yang hadir.

Malah, konsert yang buat julung-julung kalinya diadakan itu sememangnya begitu dinantikan ramai, terutamanya peminat muzik rock yang sudah menunggu sejak pukul 7 petang.

HILLARY ANG mempamerkan permainan gitar yang kemas yang begitu sinonim dengan dirinya.


Bagaimanapun, konsert berkenaan yang dihadiri kira-kira 2,000 peminat itu bermula dua jam kemudian dengan persembahan pembukaan petikan gitar keempat-empat gitaris tersohor itu menerusi lagu Ilusi Intonasi dan 1 Malaysia dengan diiringi pemain gitar dan drum undangan.

Tidak dinafikan aura empat gitaris legenda itu mula dirasai peminat yang hadir dengan petikan gitar yang cukup mengagumkan serta aksi yang bertenaga hingga menimbulkan impak yang luar biasa.

Kehangatan konsert berkenaan diteruskan dengan persembahan oleh Kid menerusi petikan gitar lagu berjudul Mencari. Walaupun peminat sudah biasa menyaksikan aksinya bersama kumpulan Search selama ini, namun aksinya secara solo tetap mampu memukau.

Setelah peminat dihiburkan dengan persembahan mantap Kid, tiba pula giliran seorang lagi gitaris popular iaitu Hillary Ang yang sebelum ini menganggotai kumpulan Search dan Cromok.

Bagaimanapun, gitaris tersebut tidak keseorangan kerana dia turut ditemani seorang penyanyi baharu, Evelyn Feroza. Dua buah lagu telah dinyanyikan oleh penyanyi tersebut iaitu Shine On dan White Noise dengan iringan petikan gitar oleh Hillary.

Kemudian, gitaris seterusnya yang mengambil tempat menampilkan kehebatan bermain gitar ialah Man Kidal yang sememangnya sudah cukup sinonim dengan kumpulan Lefthanded yang ditubuhkan sejak tahun 1979.

AKSI Kid di pentas yang sentiasa hebat dan penuh aura.


Menerusi petikan gitar lagu-lagu seperti Hati Emas, Arah Yang Hilang dan Sentuhan Kidal, hasrat peminat untuk menyaksikan gandingan Man Kidal dan anaknya tidak kesampaian kerana anaknya masih berada di China dan tidak sempat pulang pada hari acara konsert berlangsung.

Konsert yang berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam itu diakhiri dengan persembahan Joe yang juga merupakan gitaris kumpulan Wings. Walaupun menjadi gitaris terakhir, ternyata persembahan Joe begitu mantap dan menghiburkan peminat.

Selain bermain gitar, Joe turut membuat kejutan apabila tidak menggunakan khidmat penyanyi undangan. Sebaliknya, gitaris tersebut menyanyikan sendiri lagu-lagu yang dimainkannya seperti Orang Timur dan Blues G4.

Biarpun konsert yang membabitkan persembahan gitaris baru kali pertama diadakan, secara keseluruhannya ia berjalan dengan lancar serta sambutan yang diterima peminat sangat membanggakan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved