Jumaat, 5 Oktober 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Gah pameran automotif Indonesia

Posted:

Gah pameran automotif Indonesia

Oleh SHAWKATH AZDE

TIRAI Indonesia International Motor Show (IIMS) 2012 dilabuhkan pada petang Ahad lalu. Bertempat di Jakarta International Expo Kemayoran di Jakarta, kawasan yang pernah dikerumuni hampir 350,000 pengunjung kembali sunyi selepas 11 hari penganjurannya.

Pameran kali ke-20 yang bermula 20 September lalu merupakan pameran automotif terbesar pernah diadakan di Indonesia.

Tapak seluas 71,331 meter persegi menjadi lokasi persinggahan 35 jenama bertaraf global. Jika diambil kira penyertaan pemain industri sokongan dan aksesori, jumlah tapak pameran mencecah 310 buah.

Antara jenama pengeluar kenderaan yang membuat penampilan ialah Audi, BMW, Chevrolet, Chrysler, Daihatsu, Dyna, Dodge, FAW, Ford, Fuso dan Geely.

Turut mengambil bahagian ialah Hino, Honda, Hyundai, Isuzu, Infiniti, Jeep, Kia, Mazda, Mercedes-Benz, MINI, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Suzuki, Tata, Toyota, Volkswagen dan VD Trucks.

Mendokong tema Eco-mobility untuk tahun ini, IIMS 2012 menjunjung misi untuk memberitahu para pengeluar kenderaan agar terus melaksanakan inovasi dan teknologi bagi menghasilkan jentera lebih mesra alam.

Mesej itu merupakan kesinambungan kepada hala tuju industri automotif republik tersebut. Tema dua tahun seIIMS sebelum ini, iaitu Eco-technology motoring (2010) dan Sustainable green technology (2011) sudah jelas mengesahkan sasarannya.

Tema hijau

Media Indonesia mengakui bahawa para peserta IIMS 2012 turut senada dengan tema hijau itu apabila menampilkan barisan produk mesra alam mengisi ruang pameran masing-masing.

Contoh mudah, Daihatsu dengan tema Best Friend in Life mengaplikasi penggunaan air dan daun. Toyota pula mendokong tema mencipta masa hadapan lebih baik untuk generasi akan datang.

BMW di satu sudut lain menyajikan kenderaan yang mengaplikasikan teknologi jimat bahan api dan kadar emisi karbon rendah.

IIMS 2012 ibarat serampang dua mata. Satu platform untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara, selain membantu meletakkan Indonesia sebagai antara pasaran automotif berpotensi di rantau ASEAN.

"Saiz pameran luas dan sokongan daripada para peserta membantu IIMS 2012 menjayakan serta mengekalkan peranannya sebagai pasaran automotif terbesar yang berpotensi di ASEAN.

MODEL Leaf mendiami ruang pameran Nissan.


"Kapasiti pameran kali ini lebih besar berbanding pameran sama yang dianjurkan oleh negara-negara ASEAN lain," kata Pengerusi Penganjur IIMS 2012, Johnny Darmawan kepada akhbar .

Media dalam talian juga menyiarkan kenyataan Ketua Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (Gaikindo), Sudirman Maman Rusdi yang menganggarkan nilai transaksi sepanjang IIMS 2012 adalah sebanyak AS$521.3 juta (RM1.591 bilion).

"Sehingga hari Sabtu (lalu), sehari sebelum penutupan, nilai transaksi sudah mencecah paras Rp 4.4 trilion (AS$458.6 juta atau RM1.4 bilion) dan menjangkau sasaran asal kami," katanya.

Jumlah transaksi itu menunjukkan peningkatan sebanyak 52.91 peratus berbanding pencapaian IIMS 2011. Inilah kehebatan pameran Indonesia. Baru 11 hari, sudah raih setengah bilion AS$!

Tahukah anda, pada Jun lalu, bank pusat Indonesia telah menaikkan bayaran wang pendahuluan minimum kenderaan kepada 25 peratus untuk kenderaan komersial, 30 peratus (kenderaan penumpang) dan 25 peratus bagi motosikal.

Sebelum ini, bayaran muka untuk kenderaan komersial dan berpenumpang hanya 10 peratus dan lima peratus untuk motosikal. Objektifnya adalah untuk mengelakkan berlakunya gelembung kredit dan lonjakan pinjaman dalam kalangan konsumer.

Biarpun begitu, industri automotif negara jiran itu berupaya mengekalkan kekuatan pasaran sehingga mampu mencatat jualan kenderaan dua kali ganda jika dibandingkan dengan Malaysia.

Maman Rusdi dalam laporan Jakarta Globe menyatakan jangkaan jualan tahunan kenderaan di Indonesia bagi 2012 bakal mencecah satu juta unit. Ia akan meningkat kepada 1.05 juta unit pada tahun hadapan.

Toyota Agya & Daihatsu Ayla

Antara pengumuman menarik sepanjang IIMS 2012 ialah kemunculan dua model yang dibangunkan oleh pengedar terbesar di Indonesia iaitu Astra International hasil kerjasama dengan Toyota dan Daihatsu.

Dua model itu dikenali sebagai Toyota Agya dan Daihatsu Ayla. Kereta kompak tersebut disasarkan kepada mereka yang pertama kali hendak membeli kenderaan.

Kedua-dua kereta itu dipasang dengan enjin petrol tiga silinder bersesaran 1,000cc bersama dua pilihan transmisi iaitu manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan. Kuasa yang mampu dijana adalah 65hp @ 6,000rpm dan tork maksimum 87Nm @ 3,600rpm.

Agya dan Ayla yang menggunakan sebanyak 84 peratus komponen tempatan bakal dipasang di kilang baharu Daihatsu di Jawa Barat tidak lama lagi.

Honda CR-Z

RUANG pameran Venom menempatkan sebuah jentera dengan modifikasi ekstrem enam roda.


Honda memilih IIMS sebagai lokasi membuat penampilan global produk naik taraf hibrid CR-Z. Sekilas pandang, jelas menunjukkan bahawa jentera sporty itu menerima beberapa pembaharuan yang signifikan.

Bahagian hadapan sudah dilengkapi gril dan bampar baharu. Solekan turut melibatkan lampu kabus. Tidak cukup dengan itu, Honda mengenakan lampu hadapan HID, manakala kombinasi lampu LED kini mendiami set lampu belakang CR-Z.

Tidak lupa juga pemasangan peresap pada bahagian belakang, rim aloi 17 inci dengan rekaan terkini dan penutup cermin pintu.

Ruang kabin kini dimonopoli dua tona hitam. Paparan lampu pencahayaan belakang pada panel meter pula dihiasi tiga warna iaitu hijau, biru dan merah. Warnanya bergantung kepada jenis mode pemanduan sama ada Normal, Sport atau ECON.

Ada butang sistem penggalak Plus Sport (S+) pada stereng. Jika bateri memiliki kadar cas melebihi 50 peratus, anda boleh mengaktifkan sistem itu dengan menekan butang S+ yang ada pada stereng kereta.

Apabila pedal minyak dipijak, penggalak elektrik akan bermula. Ia meningkatkan pecutan sehingga 10 saat. Tolok di atas papan pemuka akan berkelip apabila sistem itu diaktifkan. S+ boleh digunakan dalam mode pemanduan ECON, Normal atau Sport

Begitulah gahnya IIMS 2012. Pujian harus diberikan kepada penganjur IIMS dan para pesertanya kerana sama-sama berganding bahu untuk mengubah serta membangunkan landskap automotif Indonesia.

Di Malaysia, sudah lebih dua tahun kita sepi tanpa sebarang penganjuran automotif berlabel antarabangsa. Sedangkan banyak jenama global sudah berniaga di Malaysia. Apa cerita?

Wagon ada gaya!

Posted:

Wagon ada gaya!

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN

KEMATANGAN penampilan produk Kia memang tidak boleh dinafikan lagi.


HANYA selepas tiga bulan Kia melancarkan cee'd hatchback, famili cee'd disertai oleh varian baharu iaitu cee'd Sportswagon. Menggantikan model cee'd SW, nama yang dipilih itu didakwa menyempurnakan lagi karakternya yang sukakan cabaran, sporty dan moden di samping aplikasi menggunakan teknologi tercanggih dengan lebih ciri-ciri praktikal dan bernilai.

Memetik laporan Newspress, cee'd Sportswagon dipertontonkan kepada umum bersama model hatchback pada Pameran Kenderaan Geneva 2012 yang sepadan dari segi gayaan, kualiti, teknologi, peralatan dan keselamatan.

Seperti model yang digantikannya, cee'd Sportswagon direka bentuk serta dijuruterakan di studio rekaan dan pusat teknikal Kia di Frankfurt, Jerman dengan kilang produksinya di Zilina, Slovakia.

Model asas (entry-level) menggunakan enjin 1.4 CRDi berkuasa 89bhp dengan tork 220Nm bermula dari 1,500rpm. Model 1.6 CRDi pula berkuasa 126bhp dengan tork 260Nm yang bermula seawal 1,900rpm.

Transmisi automatik yang dipadankan mempunyai enam kelajuan, manakala model transmisi manual pula dipasangkan sistem Intelligent Stop & Go (ISG) yang menjimatkan bahan api serta kurang emisi.

Praktikal

cee'd Sportswagon bukan hanya menjual stail, malah praktikal. Dengan ukuran panjang 4.5 meter, model itu lebih kompak jika dibandingkan dengan pesaing Eropah lain dan hanya 15mm lebih panjang berbanding cee'd SW yang digantinya.

Kapasiti ruang bagasi juga lebih besar berbanding majoriti pesaingnya iaitu 528 liter. Lengkap dengan penutup ruang bagasi, kapasiti itu boleh meningkat kepada 1,642 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Setiap varian cee'd Sportswagon mempunyai ruang penyimpanan bawah lantai dan sisi, penutup bagasi, lampu bonet dan soket kuasa 12 volt.

Varian dengan spesifikasi tinggi pula didatangkan dengan rel aluminium, pengikat pada ruang bagasi dan jaring untuk menyimpan barang-barang, selain menghalangnya daripada jatuh ke ruang penumpang.

Rel bumbung adalah ciri standard untuk setiap model bagi membolehkan penyimpanan barang di luar kenderaan. Wagon itu mampu menampung muatan sebanyak 500 kilogram (kg) dan model manual boleh menunda beban sehingga 1,500kg.

Ciri-ciri sporty

Penggunaaan nama sports pada wagon itu diaplikasikan pada reka bentuknya. Bukan sahaja lebih panjang daripada model SW, malah dimensinya juga 10 milimeter (mm) lebih kecil dan 40mm lebih rendah. Pengurangan itu bagaimanapun masih mengekalkan ruang penuh untuk lima orang penumpang.

Pintu belakang berbeza dengan model cee'd hatchback supaya jaluran bahagian bawah tingkap boleh ditarik hingga ke belakang dengan sempurna untuk pencahayaan lebih terang dan penumpang belakang tidak berasa lemas.

Seperti cee'd hatchback, jarak titik roda berukuran 2,650mm tidak berubah. Tetapi lebar trek dibesarkan kepada 17mm di depan dan 27mm di belakang bagi menampakkan kedudukan yang lebih sporty.

Dengan geometri suspensi yang diubah, model itu lebih stabil pada kelajuan tinggi dan jalan berliku. Menariknya, cee'd Sportswagon mempunyai suspensi bebas pada roda hadapan dan belakang yang menyerlahkan lagi ciri-ciri sportynya.

cee'd Sportswagon tampak lebih sporty dan premium berbanding model terdahulu. Faktor utamanya adalah melalui perkadaran (proportions) yang radikal. Rekaannya lebih berat ke depan dengan bumbung seperti kereta coupé yang menampakkannya lebih sporty dan menyerlah.

Logo Kia juga dikemaskan semula agar lebih ringkas, sleek dan moden. Posisinya turut diubah, bukan lagi dilekatkan pada gril tetapi pada bonet yang menurut Kia nampak lebih premium.

RUANG kabin dan papan pemuka menampilkan rekaan moden.


Ketua Pereka Kia, Peter Schreyer berkata: "Kami mahu mengeksploitasi kekuatan pada model generasi pertama yang membuatkannya begitu berjaya. Pada masa yang sama menambah baik ciri-ciri emosi, perkadaran serta ketegapannya."

Kia nampaknya begitu bersemangat dengan model baharu itu. Jelas mereka, tiada satu pun yang ditinggalkan dalam cabaran bagi memastikan cee'd Sportswagon menawarkan suatu yang ekstra berbanding pesaing Eropah lain.

Semua ciri pada model terdahulu disemak semula. Jika ada benda yang perlu diubah, mereka telah pun melakukannya. Contoh mudah, pembuka penutup minyak yang menurut Kia, pelanggan di Amerika sukakan jenis yang dibuka dari dalam kenderaan.

Untuk pasaran Eropah pula, majoritinya suka jika ia disatukan bersama kunci berpusat (central locking) supaya ia boleh dibuka dengan hanya menekan satu butang. Kenapa pasaran Eropah begitu penting untuk Kia? Ini kerana model cee'd Sportswagon eksklusif untuk pasaran Eropah sahaja.

Mokka jadi taruhan Opel/Vauxhall

Posted:

Mokka jadi taruhan Opel/Vauxhall

MOKKA menjadi taruhan Opel/Vauxhall untuk bersaing dalam segmen crossover kompak.


OPEL/Vauxhall menyatakan, ia mahu menjadi pengeluar kenderaan No. 1 dalam segmen crossover kompak menerusi model pertama keluarannya, Mokka.

Empat tahun lalu, segmen itu hanya mencatat jualan sekitar 150,000 unit. Namun, angka itu melonjak kepada 400,000 unit pada tahun ini dan 600,000 unit menjelang tahun 2015 berikutan kejayaan model Nissan Juke dan Skoda Yeti.

Justeru, Opel menyasarkan jualan Mokka sebanyak 100,000 unit setahun. Mokka bakal dilancarkan di Jerman bulan depan. Dibangunkan oleh pasukan jurutera Opel di ibu pejabatnya di Ruesselsheim, Jerman, Mokka menggunakan beberapa komponen daripada model Opel Astra.

Mokka yang dikilangkan di Korea Selatan itu ditawarkan dengan beberapa varian enjin. Antaranya, enjin petrol 1.4 liter dengan pengecas turbo berkuasa 140hp, enjin petrol aspirasi biasa bersesaran 1.6 liter (115hp) dan enjin diesel 1.7 liter dengan kuasa 130hp. - Automotive News Europe

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved