Kosmo Online - Pesona |
Posted: ACT pengukur efektifOleh ALIF ABU BAKAR SITI SARAH ABDUL MUJIB, 31, memang dilahirkan dengan penyakit asma yang diwarisi daripada keluarganya. Sejak kecil dia bergantung hidup dengan ubat-ubatan dan sering ke hospital setiap kali penyakit itu menyerang. Memasuki alam persekolahan, asma yang dihidapinya semakin pulih dan menginjak usia 26 tahun, Sarah merasakan dirinya telah sihat sepenuhnya tanpa perlu mengambil sebarang ubat. Namun, pada satu malam sewaktu wanita itu hamil anak kedua, secara tiba-tiba dia merasakan dadanya sempit dan mengalami kesukaran untuk bernafas, kunjungannya ke hospital mengesahkan Sarah kembali diserang asma. "Ketika itu asma saya masih tidak serius, saya hanya mengambil ubat berbentuk tablet yang diberikan hospital. Tetapi selepas bersalin ia semakin teruk, kahak saya mengeluarkan warna kekuningan pekat dan hal itu memaksa pihak hospital mengarahkan saya merujuk kepada Institut Perubatan Respiratori (IPR). "Saya menjalani beberapa sesi perubatan di IPR dan mereka mengesyorkan saya menggunakan ubat sedut (inhaler) jenis inhaled corticosteroids (ICS) yang menggunakan steroid sebagai pelega jangka panjang," jelas Sarah. Bagi memastikan asma yang dihidap Sarah terkawal, doktor turut meminta Sarah menggunakan inhaler jenis short acting beta antagonist (SABA) apabila diserang asma secara tiba-tiba kerana dapat meredakan penyakit itu dengan cepat. Ujian ACT tiga bulan sekali ABDUL RAZAK menyarakan pesakit asma menjalankan ujian ACT setiap tiga bulan sekali. Dalam pada itu, Sarah turut menjalani Ujian Kawalan Penyakit Asma (ACT) setiap tiga bulan sekali bagi mengetahui tahap kawalan penyakit asma yang dimilikinya. Dengan menjawab lima soalan mudah, Sarah dapat mengetahui keberkesanan kawalan asmanya berdasarkan markah yang diperoleh daripada jawapan yang diberikan. Tiga tahap disenaraikan dalam ACT iaitu terkawal sepenuhnya, terkawal dengan baik dan tidak terkawal membolehkan pesakit mengenal pasti tahap asma mereka sepanjang tiga bulan itu dan memudahkan mereka mengambil inisiatif bagi memperbaiki keputusan yang diperoleh. "ACT meningkatkan motivasi diri saya untuk mencapai tahap kawalan asma lebih baik. Apabila keputusan ACT saya kurang memberangsangkan, saya akan mengenal pasti punca kelemahan. "Pada awalnya saya mendapat keputusan tidak terkawal namun, lama-kelamaan ia semakin baik dan kini saya berada dalam kumpulan terkawal dengan baik," ujar Sarah. ACT doktor terbaik Pengarah IPR, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif memberitahu, ACT memudahkan pesakit dan doktor membincangkan bagaimana pesakit dapat mengawal penyakit mereka dengan lebih teratur untuk tempoh tiga bulan berikutnya.
"Menerusi ACT, kita dapat melihat kekerapan serangan asma dan berdasarkan rekod itu pesakit dapat menilai kembali punca masalah serangan asma. "Ia mungkin disebabkan aktiviti harian yang terlalu padat ataupun pengambilan inhaler yang tidak teratur, jadi ACT dapat mengesan kekuatan dan kelemahan kawalan asma pesakit. "Jika pesakit itu memperoleh keputusan ACT memberangsangkan, doktor akan mengurangkan dos ubat yang perlu diambil dan begitu juga sebaliknya. "Jadi ACT merupakan doktor terbaik buat pesakit kerana segala jawapan bagi penyakit mereka terletak kepada pengetahuan mereka terhadap tahap kawalan diri," jelas Abdul Razak ketika sesi pengenalan ACT dalam bahasa Melayu di Damansara Specialist Hospital, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Mula diperkenalkan pada tahun 2005, ACT merupakan soal selidik merangkumi soalan-soalan berkenaan simptom asma, kesan asma dalam fungsi seharian, penggunaan inhaler dan kawalan asma berkaitan diri sendiri. Selain ACT, Inisiatif Global untuk Asma (GINA) juga menjadi kayu ukur kepada kawalan asma penduduk di 12 negara Asia di bawah kaji selidik Asthma Insights and Reality in Asia-Pacific Phase 2 (AIRIAP 2). Rawat ikut kawalan
Fasa kedua AIRIAP yang dibiayai GlaxoSmithKline (GSK) itu mula dijalankan pada tahun 2006 bagi menentukan tahap kawalan asma terkini negara-negara terlibat dengan menjadikan indeks kawalan simptom berasaskan GINA sebagai pengukur utama dan ACT sebagai pengukur sekunder. Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia, Datuk Dr. Zainudin Md. Zin berkata, terbitan kaji selidik AIRIAP 2 itu juga berfungsi sebagai sokongan kepada keperluan rawatan asma berdasarkan kawalan dan bukan mengikut tahap keterukan. "Kini, seramai 300 juta orang menderita akibat penyakit asma di seluruh dunia dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 400 juta orang menjelang 2025. "Satu daripada 250 kematian disebabkan asma kebanyakannya boleh dicegah tetapi, kerana kelemahan kawalan, nyawa mereka melayang. "Negara Asia mencatatkan tahap asma tidak terkawal lebih tinggi berbanding Eropah dan ia mungkin berpunca daripada faktor-faktor seperti kecenderungan pengambilan ubat berbentuk pil," ujar Zainudin. Difahamkan, inhaler ICS yang perlu diambil pesakit asma setiap hari masih belum diguna pakai secara meluas berikutan ketakutan orang ramai terhadap penggunaan steroid dalam pelega jangka panjang itu. Kebanyakan pesakit asma di Malaysia pula lebih selesa menggunakan SABA kerana ia mampu memberi kelegaan segera tetapi, tempoh itu tidak bertahan lama. Selain itu, pemilihan ubat berbentuk pil atau tablet juga dikatakan menjadi antara punca mengapa kawalan asma pesakit terganggu kerana tablet tidak bertindak terus ke paru-paru dan hanya pergi ke perut. "Pesakit yang mengambil tablet untuk asma akan mengalami jantung berdebar dan menggigil. Hal ini berbeza dengan inhaler yang mampu memberi rawatan lebih efektif. Memandangkan kos membeli tablet lebih murah, ramai orang memilih ubat itu dan kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi menyediakan ubat berbentuk tablet. "Pesakit perlu tahu bahawa dengan mengeluarkan wang lebih membeli inhaler adalah lebih baik bagi mengawal asma, malah mereka sebenarnya akan dapat menjimatkan kos perubatan untuk tempoh masa yang panjang," tambah Abdul Razak lagi. Abdul Razak pula turut mendedahkan bahawa majoriti pesakit asma hanya mengambil ubat pelega apabila simptom muncul dan kesannya mengakibatkan serangan asma lebih kerap. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
TUGAS TENTERA SEBAGAI TENAGA PENGAJAR Posted: TUGAS TENTERA SEBAGAI TENAGA PENGAJAROleh MAZLAN SAMION ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia berkawal di jeti Pulau Berhala untuk mengawal keselamatan pulau itu dari dicerobohi oleh pengganas dan pendatang haram. PELUANG berkunjung ke Pulau Berhala kira-kira dua batu nautika dari Sandakan, Sabah baru-baru ini mengubah persepsi penulis terhadap tugas anggota tentera terutama dari perspektif kemanusiaan. Selama ini penulis beranggapan tugas mereka terbatas kepada kawalan keselamatan dan menjaga ketenteraman awam. Bagaimanapun, semuanya berubah apabila penulis mengiringi rombongan Platun Media Rejimen 515 Askar Wataniah diketuai Leftenan Kolonel Richard Santhanasamy dan Mejar Khairuddin Ismail. Rombongan ini singgah di Pulau Berhala yang menempatkan markas taktikal Regimen Askar Melayu Diraja dengan 200 anggota di bawah Ops Pasir iaitu operasi keselamatan untuk menangani ancaman kumpulan bersenjata di perairan Sabah. Ops Pasir yang membabitkan pelbagai divisyen agensi penguat kuasa dilancarkan selepas insiden penculikan sekumpulan pelancong dari Pulau Sipadan pada tahun 2000 oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari selatan Filipina. ADA antara anak-anak Bajau ini mampu membaca dan fasih berbahasa Malaysia hasil daripada program Jiwa Murni. Walauapapun, sumbangan anggota tentera di pulau itu melampaui tugas hakiki mereka. Mereka bukan sahaja mengawal keselamatan pulau berkenaan malah melaksanakan tanggungjawab sosial melalui program Jiwa Murni bagi penduduk pulau. Program ini telah memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk Muslimin yang rata-ratanya dari suku kaum Bajau dan Sulu. Program Jiwa Murni bermula sejak tahun 2006 apabila sekumpulan anggota tentera yang bertugas di pulau itu mendapati kebanyakan kanak-kanak di situ tidak berpeluang untuk bersekolah. Pendidikan formal tidak dapat disediakan oleh pihak berkuasa bagi penduduk pulau kerana mereka tidak mempunyai dokumen untuk mengesahkan kewarganegaraan. Ia bertambah sukar kerana penduduk di Pulau Berhala dibelenggu kemiskinan dan tidak berpeluang meneruskan pendidikan. Tenaga pengajar SESI pembelajaran kendalian Korperal Abdul Rahman Hamdan (tengah) ternyata disenangi oleh sekumpulan pelajar remaja. Bertitik-tolak daripada keadaan itulah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan inisiatif sendiri telah menyediakan anggotanya untuk menjadi tenaga pengajar tanpa sukatan khas bagi mengajar 50 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut mengikuti pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M). Koperal Abdul Rahman Hamdan, 30, seorang anggota tentera yang juga berperanan sebagai guru sekolah berkata, penduduk Pulau Berhala berhijrah dari Filipina sejak lebih 100 tahun lalu. "Taraf pendidikan penduduk di Pulau Berhala rata-ratanya masih rendah malah sehingga kini tidak ramai yang berupaya bertutur dalam bahasa Melayu. "Sehubungan itu, anggota tentera yang ditempatkan di Pulau Berhala bukan sekadar mengawal keselamatan pulau yang berkeluasan lima hektar ini, tetapi kami juga menjadi guru kepada 60 kanak-kanak dan remaja di pulau ini. PREBET Amran Jaafar (kanan) mengajar remaja dengan penuh dedikasi. "Sistem pelajaran 3M menjadikan anak-anak ini celik huruf," kata Abdul Rahman. Abdul Rahman yang dibantu oleh rakannya, Prebet Amran Jaafar mengajar dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Isnin hingga Jumaat di Dewan 3M, pulau itu. Beliau mengajar kanak-kanak berkenaan tanpa jemu dan mereka sentiasa berusaha belajar walaupun sesetengahnya kelihatan agak malu-malu. Seorang pelajar, Masniza Salafuddin, 16, dengan raut wajah yang disalut bedak sejuk, begitu teruja apabila disuruh oleh gurunya membaca. Dengan lancar beliau membaca ayat-ayat bahasa Inggeris yang ditulis di papan hitam di hadapannya. "Kalau diberi peluang suatu hari nanti saya mahu jadi askar. Kerja sebagai askar dapat tolong kawan-kawan yang tidak tahu membaca," katanya sambil menoleh kepada rakan-rakannya yang bermain di padang bersebelahan Dewan 3M. Masniza mengimpikan suku kaumnya itu akan lebih maju pada masa akan datang dan beliau memandang tinggi kerjaya sebagai askar. Subjek asas Pembelajaran 3M terbahagi kepada tiga sesi iaitu sesi pertama melibatkan murid berumur antara empat hingga tujuh tahun, sesi kedua lapan dan 11 tahun manakala sesi ketiga untuk pelajar berumur 13 dan 17 tahun. DEMI keselamatan negara, anggota tentera dengan penuh komited dan dedikasi mengawal perairan negara daripada dicerobohi pengganas. Menerusi kaedah ini, setiap pelajar diajar asas subjek bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Matematik dan tulisan Jawi serta Sejarah. Penduduk tempatan, Bensun Ismail, 52, yang juga pengendali feri dari Pulau Berhala ke Sandakan berkata, sebelum ini penduduk pulau rata-rata buta huruf dan bekerja sebagai nelayan tradisional. "Kami memang buta huruf. Tetapi apabila ada sekolah 3M ini, anak-anak kami gembira kerana dapat belajar. "Dengan adanya program kemasyarakatan daripada Rejimen Askar Melayu Diraja, anak-anak kami semakin teruja untuk belajar dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan lebih baik," katanya yang membayangkan kehidupan anak-anak di pulau itu akan lebih terjamin pada masa akan datang. Selain menjadi nelayan, ekonomi penduduk Pulau Berhala turut bergantung kepada aktiviti penternakan dan perniagaan runcit. Sungguhpun serba sederhana, kehidupan mereka jauh lebih baik pada masa kini. "Sebelum ini, kami sering berdepan dengan ancaman pencerobohan nelayan asing, penculikan dan rompakan yang dilakukan oleh penjenayah dari negara jiran. "Saya mewakili seluruh penduduk di sini berharap agar usaha murni angkatan tentera ini dapat mendidik anak kami dan menjaga keselamatan kami. "Kini, hidup kami semakin baik dan kami harap usaha murni pihak tentera menerusi Ops Pasir akan berterusan," katanya. – Bernama Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Meneladani simbolik kisah Pesta Cahaya Posted: Meneladani simbolik kisah Pesta CahayaOleh Suzana Ghazali DEEPAVALI disambut penuh meriah setiap tahun oleh penganut Hindu berdasarkan kisah legenda Raja Naragasura. DEEPAVALI atau Diwali sinonim dengan Pesta Cahaya dan bagi tahun 2011 akan disambut pada 26 Oktober ini. Deepavali disambut pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil iaitu antara bulan Oktober dan November. Menurut legendanya, Raja Naragasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasura meminta semua manusia agar meraikan hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan mengelakkan daripada berbuat jahat sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan. Berdasarkan kisah tersirat di sebalik perayaan Deepavali, seharusnya seluruh masyarakat di Malaysia mengambil iktibar daripada perayaan ini. 1. Kebaikan akan sentiasa berjaya Meneladani cerita Maha Krishnan yang berjaya menumpaskan Raja Naragasura, kita difahamkan bahawa kebaikan akan tetap menang dan berjaya juga akhirnya walau mungkin mengambil masa. Kebenaran dan kebaikan adalah perkara yang sepatutnya diamalkan dalam hidup kita seharian biar berdepan dengan apa juga rintangan dan cabaran. Diakui bahawa sukar melaksanakan kebaikan dan kebenaran malah, kerap kali kebenaran dan kebaikan menemui jalan kepayahan atau buntu. Namun, jika terus bertahan dan kekal melaksanakan kebenaran dan kebaikan tersebut, penghujungnya adalah kejayaan dan kemenangan yang sebenarnya malah lebih bermakna. Seperti luahan kata Napoleon Bonaparte: Kejayaan di hujung seribu kegagalan itu adalah lebih bermakna. MASYARAKAT India memasang pelita sebagai lambang kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan. 2. Kejahatan tidak akan kekal lama. Kekalahan Raja Naragasura di tangan Maha Krishnan membuktikan kejahatan tidak akan bertahan. Sampai masa dan ketikanya kejahatan akan ditewaskan dan dibinasakan. Seperti lincahnya si tupai bermain di dahan kayu, satu ketika tetap akan mendarat di atas tanah juga. Keadaan ini menjadi janji yang pasti, jangan sesekali mendewakan kejahatan kerana kejahatan tetap akan dimusnahkan. Anda tidak akan mudah berjaya dengan kejahatan. Jika ada pun kejayaan, ia hanya sebentar malah, kejayaan yang dihasilkan melalui sikap yang buruk dan jahat tidak akan memberikan ketenangan. Kita lihat saja kisah para penjenayah contohnya perompak. Mereka mungkin berjaya merompak jutaan ringgit tetapi, dalam masa yang sama mereka bermasalah untuk keluar ke tengah masyarakat, sentiasa hidup dalam ketakutan dan tidak bahagia. 3. Fitrah manusia adalah sama Seorang manusia, tidak kira apa agama anutannya, apa juga kaum dan bangsanya malah tidak kira lelaki atau perempuan, mahu dilayan sebaiknya sebagai manusia iaitu difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Andai seseorang individu itu melaksanakan pekara kebaikan dan meninggalkan perkara kejahatan, sudah pastilah individu itu akan difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Sebaliknya, jika seseorang itu bertindak melaksanakan kejahatan, tidak menghormati hak individu lain, percayalah, anda tidak mungkin difahami, tidak akan diterima atau dihormati, sukar disayangi malah berkemungkinan ahli keluarga sendiri akan turut membenci. RAKYAT Malaysia pelbagai agama harus mencontohi kisah di sebalik perayaan Deepavali betapa kebaikan akan mengatasi kejahatan. 4. Kebaikan tuntutan semua kaum dan agama Jika difahami berdasarkan legenda Deepavali seperti yang dijelaskan pada permulaan perbincangan ini, jelas bahawa masyarakat India juga dituntut untuk melaksanakan kebaikan dan menjauhkan kejahatan. Hakikatnya, arahan melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan adalah tuntutan dan arahan yang wujud dalam setiap agama, setiap kaum dan bangsa malah, dicetuskan tuntutan tersebut melalui perayaan. Semua agama melarang penganutnya minum arak, perzinaan atau seks sebelum nikah, pergaulan bebas, rasuah, menzalimi orang lain. Larangan itu sebenarnya bukan semata-mata tuntutan agama tetapi menepati tuntutan moral manusia iaitu setiap individu berhak diberi peluang untuk hidup aman dan selesa. Tidak mungkin wujud keamanan dan keselesaan jika anda meneguk arak atau berjudi atau berzina dan lain-lain lagi malah, perbuatan tersebut akan menyebabkan berlakunya perbuatan jahat yang lain. Lantas, biarpun Deepavali disambut sepenuhnya oleh masyarakat India, apalah salahnya kita sebagai masyarakat 1 Malaysia turut mengambil tahu mengenai Pesta Cahaya dan turut mengunjungi rakan-rakan yang merayakannya. Selamat Hari Deepavali untuk semua! Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan