Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kumpul peminat di China
BERBEKAL keupayaan melantunkan genre pop punk bersama linguistik bahasa Inggeris, One Buck Short ternyata mempunyai ideologi tersendiri dalam merencanakan perjalanan seni mereka. Walau sudah lebih lapan tahun menjadi anak seni, Mooky atau nama sebenarnya, Mundzir Abdul Latif, 29, Rahul atau Rahul Kukreja, 28, dan Imran atau Imran Fadzil Ishak, 27, kini lebih kebal bersama percubaan baharu bersama karya yang senafas lebih segar berbanding dahulu. Cuba untuk lari menyusup ke dalam aliran adrenalin pendengar berbangsa Melayu pula, rempah-ratus yang dibikin mereka selama ini harus ditukar. Seolah-olah satu ketenangan dan lebih dekat dengan telinga pendengar Melayu khususnya, lirik dan melodi dalam album terbaharu mereka keseluruhannya mencerminkan jiwa tempatan. "Ini album pertama yang kami hasilkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, memang tepat jika andaian semua kami ingin memancing pendengar Melayu pula berbanding album sebelum ini yang hanya memuatkan tiga buah lagu berbahasa Melayu," bicara Mooky. Kampong Glam, itulah judul album terbaharu One Buck Short. Dengar sahaja judul album itu, pendengar sudah boleh mengagak ia 100 peratus album Melayu. "Kami memilih judul itu kerana ia melambangkan pemodenan yang sedang kita alami sekarang, walau seseorang merantau jauh ke tengah-tengah bandar hakikatnya di kampung kita sendiri pun sudah cukup terkenal dan glamor sebenarnya," tambah vokalis One Buck Short itu lagi. Album penuh kedua yang dihasilkan One Buck Short itu memuatkan enam buah lagu yang lirik dan komposisi muziknya adalah ciptaan penuh anggota kumpulan itu. Antara lagu yang termuat dalam album itu adalah Hitung Segala Rasa, Semangat, Ditiup Kata Rindu, Pok Pok Bujang Lapok serta Sekelip Mata dan single pertama yang diangkat menerusi album Kampong Glam iaitu Carilah Duit kini sudah siap pembikinan muzik videonya. "Album ini menonjolkan kematangan kumpulan kami, dari segi susunan muzik, lirik dan melodi yang banyak mencirikan elemen tradisi dan asli masyarakat Malaysia," katanya yang turut menekankan unsur-unsur keseimbangan dan ketenangan dalam album Kampong Glam. Kampong Glam juga sudah berjaya dilancarkan ketika malam konsert sempena Festival Rockaway yang berlangsung di Medan Parkir A, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain itu, ditanya juga perkembangan terkini One Buck Short, katanya mereka kini sedang dalam proses menyiapkan album Inggeris kedua yang kemungkinan diedarkan pada tahun depan. "Material semua sudah ada, kini hanya tunggu masa untuk latihan dan rakaman, tapi konsepnya album itu akan memuatkan semua lagu berbahasa Inggeris," ujar Mooky yang juga masih belum memilih nama untuk album ketiga One Buck Short. Peminat di China
Menuntut ilmu biar sampai ke negara China, bidalan itu bukan saja menjadi pedoman buat One Buck Short tapi juga menyuntik inspirasi untuk 'melarikan diri' ke sana. "Sangat mengejutkan kerana di sana juga One Buck Short ada peminat tersendiri dan sangat ramai, perkara ini terbukti sewaktu konsert kami di sana dua tahun lepas ketika mempromosikan album pertama Halal & Loving It," katanya yang turut mempromosikan album itu di Singapura, Australia, Filipina, Hong Kong, Macau dan China. Album pertama One Buck Short, Halal & Loving It memuatkan 12 buat lagu dengan tiga daripadanya berbahasa Melayu. Jelas Mooky lagi, ribuan peminat fanatik One Buck Short hadir membanjiri Festival Rock Nanjin ketika mereka dijemput untuk beraksi ketika itu. "Menerusi album terbaharu ini juga, kami berhasrat untuk masuk ke dalam pasaran negara China memandangkan poulariti One Buck Short di sana cukup meluas dan kami juga sedang dalam proses belajar bahasa Mandarin agar lebih memudahkan berkomunikasi. "Peminat di China dihubungkan melalui laman sosial Douban dan segala perkembangan terkini One Buck Short mereka sendiri akan maklumkan melalui rangkaian itu," terang Mooky akan visi One Buck Short. Duet Hero Malaya Diusik juga seandainya diberikan pilihan untuk berduet dengan mana-mana artis tempatan, One Buck Short lekas membariskan beberapa nama di hadapan penulis. Kata mereka,: "Mestilah kami memilih hero-hero Malaya yang cukup disegani seperti Zainal Abidin dan Ramli Sarip. Tapi terfikir juga kadang-kadang untuk cuba berduet dengan Stacy atau Sharifah Aini dalam beberapa buah lagu." Walau bagaimanapun, mereka sedikit terkilan disebabkan protokol sesetengah pihak sebelum berkolaborasi dengan beberapa penyanyi berbakat tanah air. "Kalau berjaya kolaborasi yang kami inginkan ini, hasilnya sudah tentu akan meletup!," pintasnya mengakhir bualan. Full content generated by Get Full RSS. | |||
Maharaja Lawak Mega saingan tiga negara Posted: Maharaja Lawak Mega saingan tiga negaraOleh RONI HIDAYAT RIDWAN NIZAM (berdiri tujuh dari kanan) bersama calon peserta Maharaja Lawak Mega yang menawarkan ganjaran wang tunai RM350,000 buat juara. SEBAGAI sebuah program komedi yang diminati ramai, rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak sememangnya telah mencetuskan fenomena di kalangan penonton sehingga mengangkat bidang lawak jenaka ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan kemunculan kedua-dua rancangan tersebut, ia dilihat sudah mencungkil begitu ramai pelapis pelawak tempatan sedia ada yang telah mewarnai lagi industri hiburan tanah air. Melihat kepada kejayaan yang dikecapi itu, maka pihak Astro telah membuat satu lagi kejutan apabila bakal menghasilkan sebuah lagi rancangan komedi menarik yang dikenali sebagai Maharaja Lawak Mega. Apa yang menariknya tentang rancangan ini, ia bakal membabitkan para peserta di kalangan pelawak yang lebih berpengalaman dalam bidang komedi dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, rancangan komedi terbaharu Astro itu menggunakan format dan konsep yang hampir serupa dengan Raja Lawak dan Maharaja Lawak. "Jika kedua-dua rancangan sebelum ini membabitkan peserta yang tidak mempunyai sebarang pengalaman, kali ini kami bawakan pula para peserta yang boleh digelar sebagai otai lawak dan sudah lama dalam bidang komedi. ACONG (kiri) dan Joey mencuba nasib menerusi kumpulan yang ditubuhkan mereka yang diberi nama Anje. "Idea untuk menerbitkan rancangan ini timbul atas permintaan beberapa pelawak tempatan sendiri yang mahukan sebuah pertandingan yang khusus untuk pelawak yang sudah berpengalaman luas," jelasnya. Ditanya mengenai penyertaan dari Singapura dan Indonesia pula, Nizam menjelaskan tujuan pihaknya mengundang peserta dari kedua-dua negara tersebut adalah sebagai platform kepada pelawak tempatan untuk dikenali di kedua-dua negara tersebut. Ujarnya lagi, untuk pemilihan peserta dari luar pula dibuat adalah melalui perbincangan dan cadangan yang telah diberikan oleh rakan stesen televisyen di negara berkenaan. "Apabila mereka memberi nama beberapa buah kumpulan lawak di negara masing-masing, kami terus menghantarkan jemputan untuk menyertai rancangan ini. Namun begitu, ada beberapa buah kumpulan yang terpaksa tolak kerana jadual yang tidak sesuai," ujarnya. Berkenaan dengan sistem pemarkahan dan juri pula, Nizam memberitahu bahawa peratusan markah sebanyak 70 peratus akan diberikan oleh juri tetap, manakala 30 peratus lagi adalah menerusi undian penonton. Untuk juri tetap pula, seramai tiga orang juri tetap yang akan dipilih serta seorang juri jemputan yang akan diundang dari kedua-dua negara tersebut pada setiap minggu. Bagi pemilihan juri pula, kami telah menetapkan bahawa kesemua juri yang akan dipilih nanti terdiri daripada selebriti yang bukan berlatarbelakangkan pelawak atau pelakon komedi. "Setiap peserta yang bertanding nanti tidak akan dinilai dari sudut teknikal memandangkan kesemuanya sudah berpengalaman luas. Sebaliknya, penilaian yang diberikan adalah berdasarkan kepada kelucuan dan elemen lawak jenaka yang menghiburkan," jelasnya. KUMPULAN Syok (dari kiri), Sudin, Suhaimi dan Ifa. Bakal bersiaran secara langsung bermula 28 Oktober ini pada setiap hari Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Warna 132, pertandingan tersebut akan disertai oleh 17 peserta yang akan merebut gelaran juara. Antara peserta yang bakal bersaing seperti kumpulan Pimai (dianggotai Sathiya, Imuda dan Yassin Sulaiman), Hiro (Hamdan, Ilya dan Ropie), Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), Anje (Achong & Joey), Osbon (Mr. Os dan Abon), Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri), Rap (Aziz Kota, Pak Lah Cecupak dan Rama), Comel (Radhi Khalid dan Bell Ngasri), Lanun (Jegan, Elyas dan Salman), 3G (Yassin, Didie Alias dan Enot) serta dua peserta solo iaitu Adlin Aman Ramli dan Jalil Hamid. Peserta Singapura pula diwakili oleh kumpulan Gebu (Hani dan Azian), gabungan peserta Malaysia dan Singapura iaitu kumpulan Syok (Ifa Raziah, Suhaimi dan Arif Sudin). Indonesia pula tampil dengan tiga kumpulan iaitu Bawel (Dodon, Amin dan Dadang), Saehu (Eko, Bocil dan Vicha) serta Caer (Adetao, Mister Ibo dan Lugiana). Dijadualkan berlangsung selama 10 minggu, selain gelaran Maharaja Lawak Mega, para peserta yang akan muncul juara nanti akan membawa pulang hadiah wang tunai yang cukup lumayan iaitu RM350,000! Mencabar Dengan menggabungkan para peserta yang terdiri daripada pelawak dan pelakon komedi yang sudah berpengalaman luas ternyata memberikan cabaran yang tersendiri dalam usaha untuk bergelar juara sulung. Salah satu kumpulan iaitu Anje yang terdiri daripada Acong dan Joey ketika ditemui mengakui adalah sesuatu yang cukup mencabar apabila bakal bersaing dengan peserta yang hebat. Menurut Acong, biarpun menyedari peluang untuk muncul juara agak sukar, namun matlamat utama mereka untuk turut serta dalam rancangan tersebut adalah mahu menghiburkan orang ramai. "Kami akui kalau dari segi populariti memang kami akan tewas. Bagaimanapun, itu bukan bermakna kami berputus asa kerana apa yang lebih penting adalah kreativiti ketika membuat persembahan nanti," ujarnya. Sementara Ifa Raziah yang mewakili kumpulan Syok pula menyifatkan penggabungannya dengan peserta dari Singapura adalah satu langkah yang tepat dan yakin mereka mampu tampil sebagai sebuah kumpulan yang akan memberi cabaran sengit nanti. Menurutnya, dia sendiri pada mulanya tidak menyangka apabila pihak Astro memberikan peluang untuk mereka bergabung sebagai sebuah kumpulan dan tiada masalah untuk bergandingan dengan pelawak lelaki. "Sebelum ini saya memang sudah selalu bekerjasama dengan Suhaimi memandangkan saya memang sering tampil dalam rancangan televisyen di Singapura dan ini kali pertama bergandingan dengan Arif. "Sebagai sebuah kumpulan kami tidak merasakan yang kami ini peserta dari Malaysia atau Singapura kerana bergerak di atas nama kumpulan Syok. Malah, kami berharap agar mendapat sokongan yang padu dari kedua-dua negara," jelasnya. Full content generated by Get Full RSS. | |||
Posted: Tuah 'Engkau' pada IdayuOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
DENGAN hanya meneka perkataan 'Engkau', akhirnya Nor Idayu Idris telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dalam kempen Perkataan Pertama Kembali di Sinar FM yang dianjurkan oleh stesen radio popular tersebut. Menerusi kempen yang diadakan pada bulan September lalu, Idayu menjadi peserta yang merangkul hadiah paling lumayan apabila memberi jawapan tersebut yang juga perkataan pertama untuk lagu berjudul Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara nyanyian kumpulan Mega. "Sebenarnya sebelum ini saya pernah menyertai kempen yang sama pada bulan Mac yang lalu, tetapi gagal menjawab dengan tepat. Pada kali kedua ini barulah saya berjaya dan gembira kerana memenangi wang yang cukup lumayan. "Kalau dalam percubaan pertama dahulu saya agak gugup, pengalaman lalu telah mengajar saya untuk lebih bersedia dan sentiasa menantikan peluang menghubungi konti Sinar FM untuk memberi jawapan yang tepat," ujarnya pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang baru-baru ini. Menurutnya lagi, ketika berjaya menembusi panggilan pada 11 September yang lalu, dia beruntung kerana turut dibantu oleh abangnya yang merupakan seorang peminat lagu-lagu yang popular pada era 90-an. "Saya sangat bertuah kerana saya dan abang mengetahui lirik lagu yang diputarkan oleh penyampai Zaidi Zainal ketika itu. Walaupun masa yang diberikan agak singkat, namun saya berasa sangat lega kerana dapat menjawab dengan tepat," ujarnya. SAMBUTAN hangat. Kempen Perkataan Pertama Kembali menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM70,000 untuk dimenangi pendengar Sinar FM. Mengenai hadiah wang tunai lumayan yang telah dimenangi itu, Idayu menjelaskan setakat ini dia mahu berkongsi dengan ahli keluarganya dan mengagihkan sedikit kepada abangnya. Kempen Perkataan Pertama Kembali di Sinar FM merupakan sebuah kuiz yang memerlukan para pendengar setia radio tersebut meneka dengan tepat perkataan pertama untuk sesebuah lagu yang diputarkan oleh penyampai dalam tempoh 10 saat. Sejak ia berlangsung sepanjang bulan September, seramai 22 orang pendengar yang berjaya meneka dengan tepat dan memenangi hadiah wang tunai di antara RM300 sehingga RM12,000. Sementara itu, Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said yang ditemui berkata, sambutan yang diterima ternyata sangat menggalakkan berbanding ketika ia diadakan buat kali yang pertama sebelum ini. Sebanyak RM70,000 diperuntukan untuk diberikan kepada pemenang. Ditanya sama ada kempen tersebut akan diteruskan lagi pada masa hadapan, Rostam menjelaskan, pihaknya masih belum mempunyai sebarang perancangan buat masa ini biarpun mendapat permintaan yang ramai daripada pendengar. "Kalau boleh kami mahu terus menganjurkan kempen-kempen yang menarik kepada pendengar dan kalau ada pun mungkin menerusi konsep yang berbeza. Namun, itu semua masih belum dapat ditentukan lagi," jelasnya yang mengepalai radio paling popular di Malaysia dengan jumlah pendengar seramai 4.1 juta orang itu. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan