Kosmo Online - Pemotoran |
Posted: Keunikan cabaran Shell HelixOleh SHAWKATH AZDE SEHARI sebelum tibanya hari Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011, dia sukar untuk melelapkan mata. Dia juga mengaku banyak kali terjaga daripada tidur. Bimbang kalau terlepas atau terlewat untuk menghadirkan diri pada hari pertandingan. Berkhidmat sebagai seorang cikgu di Sekolah Kebangsaan Beranang, Selangor, Rahizah Mastar, 31, merupakan satu-satunya peserta wanita yang berdepan dengan 14 orang peserta lelaki dalam peraduan anjuran Shell Malaysia. Habuannya lumayan, lawatan VIP ke Ferrari World Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November depan. "Selepas diberitahu bahawa saya telah memenangi cabaran pertama, barulah saya membuat rujukan dan mencari maklumat lanjut mengenai Abu Dhabi. Bermula di situ, saya mula berangan untuk melawatnya. Saya tidak membuat persediaan rapi kerana tidak tahu apa yang bakal dihadapi pada hari pertandingan. "Pada mulanya, memang agak terkejut apabila mengetahui sayalah satu-satunya peserta wanita. Kesal juga kerana tidak meletakkan nama suami sewaktu mengisi borang. Ketika itu, suami saya memberi sokongan dengan menyatakan buat yang terbaik. Menang atau kalah belakang kira," kata Rahizah selepas diumumkan sebagai pemenang cabaran tersebut. Dia dan tiga orang lagi peserta Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011 berjaya memenangi lawatan VIP yang bernilai RM15,000. Mereka terpaksa mengharungi lapan cabaran selama enam jam di kawasan Bukit Bintang dan di dalam taman tema Berjaya Times Square di Kuala Lumpur. Tiga pemenang lain ialah Ghazali Ahmad, 31, Kok Chee Seng, 35, dan Seah Sin Jiun, 34. 6,000 penyertaan diterima Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011 terbuka kepada semua pelanggan yang membeli pek empat liter minyak enjin Shell Helix Ultra atau Shell Helix HX7. DARI kiri: Rahizah, Chee Seng, Lee Ming, Sin Jiun dan Ghazali pada majlis pengumuman pemenang program anjuran Shell Malaysia. Cabaran itu melibatkan dua peringkat. Peringkat pertama memerlukan peserta mengira jumlah pek Shell Helix Ultra yang dipaparkan pada borang penyertaan. Mereka juga perlu menyertakan sekali resit pembelian sewaktu menghantar borang tersebut. Sementara peringkat kedua pula melibatkan seramai 15 finalis yang dipilih melalui komputer. Mereka kemudian harus berdepan dengan pelbagai ujian di taman tema Berjaya Times Square. Pengurus Pemasaran Kelompok Shell Lubricants Selatan Asia Tenggara, Seow Lee Ming berkata, tahun ini merupakan tahun kedua Shell Malaysia menganjurkan promosi global Shell Helix Ferrari. Tahun lalu, para pemenang dibawa melawat Itali. Difahamkan bahawa pemenang pada tahun ini berpeluang menyaksikan jentera Ferrari 150 yang dipandu oleh Fernando Alonso dan Felipe Massa dalam Grand Prix Abu Dhabi. Selain mencuba stimulator pacuan F1 dan Gran Turismo, menaiki rollercoaster paling laju di dunia (240km/j), melawat makmal interaktif Shell dan banyak lagi. Lapan cabaran Kesemua 15 peserta perlu mengharung lapan cabaran, masing-masing empat cabaran di kawasan sekitar Bukit Bintang dan di dalam Taman Tema Berjaya Times Square. Cabaran pertama ialah melukis semula watak yang dipamerkan. Kemudian, mereka perlu bersama petugas Shell Malaysia ke Al-Amar Express, sebuah restoran masakan Lebanon berhampiran pusat beli-belah Fahrenheit 88. Di sana mereka diberikan penerangan mengenai lima jenis masakan, sebelum mata ditutup untuk menjalani sesi merasa makanan tersebut. FERARI world Abu Dhabi bakal dikunjungi empat pemenang Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011. Setelah selesai menikmati lima jenis masakan itu, mereka perlu memadan nama masakan mengikut turutan dalam tempoh 30 saat sahaja. Tamat sahaja cabaran itu, bermulalah pula cabaran pencarian harta karun. Harta karun yang dimaksudkan bukannya mencari barang-barang, tetapi mencari jawapan berdasarkan soalan-soalan yang diberikan. Objektifnya adalah untuk menguji minda peserta mengenai persekitaran mereka. Lima soalan yang diberi meliputi kawasan berhampiran pintu masuk Fahrenheit 88, pintu masuk Lot 10, Plaza Sungai Wang serta kawasan di bawah dan atas jejambat berhampiran Berjaya Times Square serta Plaza Low Yatt. Sejurus kembali ke pekarangan taman tema Berjaya Times Square, semua peserta harus menaiki roller-coaster dan perlu mencari kain rentang yang memaparkan produk-produk minyak enjin Shell. Mereka harus mengira bilangan pek Shell Helix HX7 yang dipaparkan. G Force Tidak semudah yang disangkakan. Trek laluan adalah sepanjang 800 meter dengan kelajuan roller coaster yang berupaya mencecah 80 kilometer/sejam. Melihat wajah-wajah peserta sewaktu roller coaster berhenti, ada yang agak pucat. Malah ada juga yang tidak lagi boleh berjalan dengan lurus. Mujur tiada mana-mana peserta yang termuntah. Peserta kemudiannya dibawa ke cabaran kelima iaitu Ooorzt's Express. Kali ini, mereka menaiki permainan merry go round, tetapi berpusing dalam satu bulatan yang mendatar sahaja. Di sini para peserta berpeluang merasai tekanan daya G (G Force) pada dada seperti yang dialami oleh pelumba-pelumba Formula 1. Kelajuannya ialah 17 pusingan setiap minit. Dalam cabaran ini, peserta perlu menghafal berapa jenis dan berapa kali produk minyak enjin Shell dipaparkan sewaktu dalam pusingan. Produk-produk tersebut dipaparkan dalam bentuk kad besar pada satu sudut laluan. AKTIVITI mencari harta karun yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur. Kad cuma ditayangkan selama 20 saat sahaja. Mereka perlu mengenal pasti produk dan kemudiannya menjawab dalam bentuk kiraan mata. Sebagai contoh, Shell Helix Ultra dan HX7 diberi tujuh mata. HX5 dan HX3 masing-masing sebanyak lima dan tiga mata. Selepas tamat cabaran kelima, semua peserta diberi ruang untuk berehat seketika. Shell Malaysia juga ada menyediakan sarapan pagi dan tengah hari untuk semua peserta, ahli keluarga mereka serta para petugas media. Cabaran disambung dengan Robo Crash iaitu aktiviti kereta bampar, sebelum diikuti dengan menaiki keretapi sambil mencari sepuluh botol produk minyak enjin Shell yang disembunyikan berhampiran rel keretapi dan di celah-celah dinding. Acara terakhir dinamakan Memory Recall. Para peserta perlu membuka loker dan mencari padanan produk Shell dan dikumpulkan dalam petak khas masing-masing. Sepanjang saingan berlangsung, ada satu perkara menarik perhatian saya. Semakin mencabar rintangan yang terpaksa dilalui, semakin akrab pula hubungan sesama mereka. Bukan sekali, malah banyak kali ia ditonjolkan selama enam jam saya mengekori para peserta. Inilah keunikan cabaran Cabaran Shell Helix Ferrari World 2011. Tahniah! Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Jentera 14 tempat duduk CheryPAUL NG (kanan) bersama Pengerusi Chery Automobile Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Nik Ismail Mohamed sewaktu melancarkan Chery Transcom baru-baru ini. SETELAH menanti sekian lama, Chery Automobile (Malaysia) Sdn. Bhd. (Chery Automobile Malaysia) akhirnya melancarkan model Chery Transcom. Menjadi satu-satunya jentera yang memiliki kapasiti 14 tempat duduk, ia pasti memberi saingan baharu dalam segmen bas mini dan van. Berbeza dengan beberapa model van konvensional dalam pasaran, Transcom menawarkan keselesaan dan kemewahan kepada pemandu dan para penumpangnya. Malah, rekaan tempat duduknya mengambil kira idea posisi tempat duduk seperti yang ada di dalam sebuah kereta. Paparan panel instrumennya mengaplikasikan konsep sama pada kenderaan pelbagai guna (MPV). Antaranya ialah stereng boleh laras serta butang-butang kawalan yang mudah dicapai tanpa memerlukan pemandu mengalihkan pandangan daripada jalan raya. Transcom mengguna khidmat enjin Acteco 2.0 TCI dengan pengecas turbo dan transmisi manual lima kelajuan. Enjin tersebut berupaya menjana kuasa kuda maksimum 168hp @ 5,500rpm dengan tork maksimum 235Nm @ 4,000rpm. TRANSCOM menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa untuk apa jua kegunaan. Enjin yang mencapai piawaian Euro 4 dan diimport daripada China itu tidak berdepan masalah dengan diesel Euro 2M di negara ini. Penggunaan bahan apinya pula hanya sebanyak 10.9 liter bagi setiap 100 kilometer. Ciri-ciri keselamatan tidak diabaikan. Model itu dilengkapi dengan sistem brek antigelincir dan beg udara. Ketua Pegawai Eksekutif Chery Automobile Malaysia, Paul Ng berkata, jentera besar itu amat versatil untuk pemilik-pemilik perniagaan. Dengan kabin yang luas dan bilangan kerusi yang banyak, ia juga sesuai untuk mereka yang berkeluarga besar. "Buat masa ini, sebanyak 50 unit tempahan sudah diterima. Kami berhasrat menjual kira-kira 800 buah Transcom pada tahun hadapan," katanya selepas melancarkan model tersebut di Selangor baru-baru ini. Harga jualan Transcom bermula serendah RM89,000 seunit. Jaminan diberikan pula berbeza mengikut jenis kegunaan. Maklumat lanjut, sila hubungi talian bebas tol: 1800-888-198. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Tujahan kuasa Myvi 1.5 manualOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN MYVI mempunyai pakej lengkap yang membuatkannya terus popular. KALAU dilihat pada trend pasaran tempatan, tidak mustahil suatu hari nanti kereta bertransmisi manual akan pupus di Malaysia. Pemandu di negara ini nampaknya sudah tidak rajin lagi menekan klac dengan kerap, lebih-lebih lagi ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Lenguh kaki, kata mereka. Justeru, memandu kereta manual seakan-akan sudah tidak relevan lagi. Sehinggakan ada cadangan supaya ujian memandu menggunakan kereta bertransmisi automatik sahaja. Kalau ia dilaksanakan sepenuhnya, banyak perkara yang tidak perlu dibimbangkan oleh mereka yang bakal menjalani ujian memandu. Terutama ketika hendak mengerakkan kereta di laluan berbukit. Tidak perlu lagi sibuk-sibuk berlatih mengimbangi klac dan pedal minyak. Bagi saya, keadaan itu satu perubahan yang terpaksa diterima. Lagi pun, cuba kira berapa ramai yang membeli kereta manual selepas lulus ujian memandu. Daripada sepuluh orang, seorang daripada mereka pun belum tentu memilih untuk membeli kereta manual. Biarpun begitu, masih ada pengeluar yang menawarkan kenderaan bertransmisi sebegitu kepada orang ramai. Pengeluar-pengeluar ini percaya, permintaannya masih ada (terutama di kawasan luar bandar) walaupun jumlahnya tidaklah sebesar mana. Saya sendiri yakin, masih ada yang tahu menghargai keseronokan memandu sebuah jentera bertransmisi manual. Sebab itulah apabila Perodua memberitahu ada model Myvi terbaharu untuk dipandu uji, saya tidak berfikir panjang. Varian transimisi manual pantas dipilih, walaupun ada model transmisi automatik yang boleh dipandu uji. MODEL ini menerima banyak penambahbaikan berbanding Myvi generasi sebelumnya. Sekali-sekala, layan juga kereta sebegini. Bukan apa, saya mahu tahu sejauh mana enjin bersesaran 1.5 liter itu memberi reaksi apabila digabungkan dengan transmisi lima kelajuan tersebut. Apatah lagi, inilah kali pertama Perodua menyatakan tempoh masa yang boleh dicapai dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/J) untuk kereta yang dijualnya. Jadi, ini bukan main-main. Mesti laju dan penuh kuasa. Menggunakan enjin sama yang ada pada model MPV pertama Perodua iaitu Alza, memang tidak dapat dinafikan ia mampu menawarkan pecutan dan hantaran kuasa serta tork dengan lancar. Henjutan kuasanya dapat dirasa dengan ketara. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa apa yang ada pada Myvi ini serba-serbi ringan, terutama sterengnya. Memang memudahkan pemandu untuk memarkir kenderaan. Tetapi boleh membuatkan pemandu jadi kurang yakin jika memandu laju di lebuh raya atau mengambil selekoh. Tubuh Myvi juga berasa lebih ringan dan tidak malas berbanding Alza. Klacnya pula lembut untuk ditekan sebelum gear ditukar. Jadi, kalau terpaksa memandu dalam kesesakan, kaki anda tidaklah terlalu penat. Pendek kata, ia memang sebuah kereta bandar yang bagus dan seronok untuk dipandu. Berada di dalam kabinnya, anda dihidangkan dengan rekaan papan pemuka yang ringkas. Saya boleh terima plastik hitam yang digunakan kerana ia tidak nampak murah. Sistem audio binaan dalamnya juga kemas dengan butang-butang yang tidak menonjol keluar. Sementara tiga dial kawalan pendingin hawanya pula mudah dicapai dan dioperasi. Stereng yang dibalut kulit itu juga sedap dipegang. PAPAN pemuka Myvi menggunakan plastik berkualiti tinggi. Untuk varian manual, anda akan mendapat satu lagi ruang ektra untuk meletak barang-barang kecil. Menjadi ruang untuk tuil gear kepada model transmisi automatik, kedudukannya bagaimanapun menegak dan agak sukar untuk memastikan barang yang diletakkan di dalamnya tidak terjatuh sewaktu anda membrek atau sebagainya. Melihat luarannya, Myvi itu menyerlah menerusi warna kuning yang terang-benderang. Walaupun kuning bukanlah warna kegemaran, saya mengakui bahawa warna tersebut memang kena dengan Myvi. Bagi membuatkannya nampak lebih sporty berbanding Myvi biasa, jentera itu dipasang dengan bampar hadapan rekaan baharu, sepasang lampu kabus, skirting sisi dan spoiler belakang. Tidak cukup, ia turut dilengkapi dengan 'air diffuser' berwarna hitam pada bahagian bawah bampar belakangnya. Apa pun, Myvi dilihat mampu mengekalkan popularitinya dalam kalangan pengguna di Malaysia. Katalah macam mana sekali pun, orang ramai masih berminat untuk memiliki Myvi. Buat sekian kalinya, jalan raya kita akan terus dipenuhi dengan model ini. Jemu? Itu kan pilihan peribadi. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan