Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Botak tenggelamkan JohanPERJALANAN seni Johan Ariff Asari bagai calitan warna nipis atas lembaran kain putih. Masih hijau pucuk pisang bak kata orang lama. Belum tercuit yang kelam. Membuka hijab pandangan khalayak kepada peribadi dan penghayatannya dalam drama bersiri Juvana menjadi sudut pandang paling tepat untuk dia memulakan permainan. Bola emosinya dilantun ke sana ke mari dalam jiwa khalayak hingga melekat dengan nama karakter antagonis yang dibawanya, Botak. Masih lagi dia digelar dengan nama karakter itu hingga kini. Tangga populariti Johan Johan mengawali mimpi kecilnya dengan cuma menjadi pelakon tempelan dalam siri Penunggu Raya. Kini dalam sekelip mata, Johan sudah membuahkan kagum dengan dua drama bersiri popular termasuk Cinta Elysa yang kini ditayangkan di saluran TV3. Dia juga menjadi pilihan sutradara untuk drama Kesuma Jiwa, telefilem Janjiku Pada Walid dan drama Ramadan. Juga menjadi pengikat mata khalayak untuk naskhah telefilem Janji Songsang dan Insaf. "Saya tidak menyangka impak Juvana dan Botak sangat besar. Tidak pernah membayangkan hasilnya sebegini. Ini membuatkan saya terus mahu menjadi pelakon yang baik," katanya tersenyum memula bual bicara. Diletak harapan menggunung dan terlekat watak ikonik Botak, Johan ternyata mengambil waktu untuk keluar daripada karakter yang digarap daripada keangkuhan Adolf Hitler itu. "Saya cuba keluar daripada roh Botak. Saya sangat baharu, ilmu kurang dan pengalaman masih cetek. Pokoknya untuk naskhah seterusnya, saya mahu lari daripada bayang Botak. Kalau khalayak masih nampak Botak dalam Aril dalam Cinta Elysa, itu kerana saya masih baharu tetapi saya tetap berusaha keluar," luahnya yang berulang kali diberi warna hitam dalam karakternya. "Saya mahu watak protagonis. Mahu tukar angin," pelakon berusia 25 tahun ini bersuara. Namun, dia berterima kasih kerana ditemukan dengan Botak. Johan menanam azam serius bergelar pelakon selepas perkenalan perdana tersebut. "Saya mahu jadi yang terbaik. Malah yang bagus. Saya mula letak matlamat itu dalam diri," ujarnya. Penulis bertanyakan empunya diri, kalau-kalau dia sedar satu fenomena cepat naik, tidak mustahil cepat juga jatuhnya. Bukan tidak menyokong anak tempatan sebagus Johan, cuma mahu menyelusuri persediaannya. "Saya sedar dan andainya saya jatuh, saya redha. Alhamdulillah untuk masa sekarang, saya sedang melalui pengalaman yang menyeronokkan. Ilmu yang saya dapat, saya akan guna untuk meneruskan kerjaya lakonan. Kuasa Tuhan, semuanya di luar bidang kuasa saya," senyumnya yang nekad berusaha. "Saya takut lupa diri, takut tak perasan. Itu paling bahaya," luahnya. Naif makan diri Satu kriteria jitu diberikan kepada Johan saat mengenali dirinya di luar kaca televisyen ialah terlalu naif. Lurus bendul anak muda sampai terfikir kalau-kalau sikap baiknya itu memakan diri dalam pancaroba dunia sekarang.
Naif Johan itu bukan yang dibuat-buat. Kadangkala dia seperti mengambil masa seketika untuk bersuara. Jawabnya halus jujur ketika ditanya. Matanya bergerak sama dan ucapan syukur tidak lepas daripada bibirnya. Rupa-rupanya saat dikorek cerita halus memakan diri, sudah ada titik-titik itu sampai kepada dirinya yang masih meneroka indahnya dunia hiburan. Ditikam belakang dengan khabar angin, lebih pedih, berita itu dibawa oleh orang yang dekat dengan dirinya. Jadi bahan manipulasi yang kini sedikit memakan diri. "Saya tahu ada orang yang ambil kesempatan. Menghasut orang lain untuk tidak mengambil saya berlakon. Kononnya saya datang lambat, bermasalah. Realitinya saya selalu datang dengan van kru, kalau lambat pasti bersebab. Saya sangat takut kalau dikatakan punya sikap keras kepala, bermasalah dan tidak berdisiplin," adunya yang berasa sedih dengan khabar tidak benar tentang dirinya. "Namun ini bukan mematahkan semangat. Saya ambil perkara ini secara baik dan tukar ke arah positif. Bila ada orang tunjukkan kekurangan saya, saya perlu lebih fokus, ambil berat dan tingkatkan disiplin. Saya kena terus berusaha," senyumnya berbunga kembali dalam sedih yang ditutup mimik muka. Jujurnya juga buat dia sebagai aktor yang baru melangkah sedepa dua kaki ke dalam bidang ini, Johan tidak berasa padang yang dijejaki ini kotor. Walaupun sedang diuji dengan dugaan kecil, dia tahu ini bukan sandiwara yang dicipta oleh aktor bergelar pelakon. "Saya tidak rasa dunia seni itu kotor. Malah manusia yang benar-benar bernama pelakon itu juga tidak akan mengotorkan dunia seni. Manusia yang melakukan kekotoran itu tidak benar-benar menggalas tugas sebagai pelakon," ujarnya dalam nafas naif seorang anak muda yang sentiasa bersangka baik. Sentiasa menjaga niat bergelar pelakon, Johan menjadikan tanda aras status aktor sebagai salah satu cabang menyampaikan dakwah. "Maksud tabligh itukan menyampaikan. Jadi saya mahu menjadi penyampai mesej kepada khalayak dalam bidang lakonan dan penceritaan. Ini niat saya yang saya pegang," ujarnya yang belajar jurusan Kaunseling di Kolej Universiti Islam Melaka. Cuba atasi Fasha Sandha Bukan hanya jadi rebutan pengkarya seni untuk sebuah terjemahan watak, Johan di luar panggung juga panas sebagai aktor baharu yang kononnya direbut dua hati wanita.
Persahabatan bersama aktres cantik, Fasha Sandha menjadi bahan bual khalayak. 'Percintaan' lalu dengan pelakon berbakat, Izreen Azminda juga tinggal tanda tanya. Izreen dalam satu temu bual sebelum ini menyatakan dengan jelas kekesalannya terhadap Johan kerana perubahan sikap yang tiba-tiba dingin. Nah daripada situ, persoalan lagi muncul akan keakraban Johan dan Fasha yang sedang mengulit cinta Aril dan Elysa di lokasi. "Sejujur-jujurnya saya anggap Fasha sebagai pelakon senior yang mempunyai sikap kerja yang baik dan tip top. Saya ambil segala contoh yang baik daripadanya. Cara kerja Fasha, saya jadikan panduan. Tentang rasa cinta itu memang tidak ada dan tidak hadir. Saya hormat kerana dia sangat membimbing saya dan salah satu tanda hormat saya terhadapnya adalah dengan tweet saya di laman sosial Twitter yang mungkin menjadi perbualan umum," jujur si anak naif ini bersuara dengan matanya seolah-olah berkata jua. "Saya cuba menandingi Fasha. Maksudnya di sini disiplin kerjanya. Bayangkan dalam 45 hari di set Cinta Elysa terbitan Suhan Movies itu, cuma dua kali saya datang lebih awal daripada Fasha. Selebihnya dia menang dan dia memang datang awal ke lokasi daripada waktu yang dijadualkan," katanya dengan buah hormat terhadap aktres yang dianggap sahabat itu. Johan baru memulakan jalan di padang permainan baharunya. Sedang ditatap indah bunga-bunga lalang yang mewarnai matanya. Semoga sahaja duri-duri nakal tidak mengenakan bisa pada kakinya kelak. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Sakinah tidak kejar populariti Posted: Sakinah tidak kejar populariti
KETEGANGAN hubungan Julia Ziegler, Gambit Saifullah, Didie Alias dan Sharifah Sakinah seperti sudah tidak tahu di mana pangkal dan di mana hujungnya. Setiap hari, ada sahaja ulasan terbaharu yang keluar daripada mulut artis-artis terbabit. Puncanya hanyalah kisah lama yang diceritakan dari mulut ke mulut. Barangkali ditokok tambah, hasilnya, cerita tidak sedap didengar mengenai kelakuan kurang senonoh Julia Ziegler bersama seorang kru drama satu ketika dahulu, sehingga kini menjadi perang mulut yang berpanjangan. Cemburu dan fitnah menjadi dua unsur yang dikatakan mengeruhkan lagi sengketa. Julia dikatakan mencemburui Sakinah yang bersahabat baik dengan Gambit. Gambit bagaimanapun menafikan bahawa di antara dia dan Julia ada hubungan cinta. Mengeruhkan lagi keadaan, Julia bertemu muka dengan kakak Sakinah sendiri, Sharifah Shahira, minta agar si kakak menasihatkan si adik agar jangan sembarangan menyebarkan fitnah. Dari situ, secara langsung Shahira pula terpalit isu yang sama. Kisah perbalahan antara Julia, Gambit dan Sakinah ini menjadi cerita berbelit yang sensasi sepanjang minggu. Terbaru, Gambit menyelar Sakinah sebagai perempuan bermulut kecoh dan mahu mengejar populariti. Untuk Sakinah, pucuk muda yang baru hendak meletakkan nama sebagai pelakon itu semakin tercalar reputasinya. Belumpun ada drama yang memperkenalkan kredibiliti lakonannya, kisah sensasi pula yang mengatasi bakat. SENSASI BINTANG: Sepanjang minggu ini, bermacam cerita kurang manis tentang anda yang diperkatakan, cuba jelaskan? SHARIFAH SAKINAH: Kalau ikutkan, saya pun tak suka dengan semua cerita yang timbul, saya tahu, sekali cerita buruk keluar, media akan ungkit semua cerita lama saya, cerita yang berlaku sebelum saya jadi artis pun akan diungkit. Saya hanya boleh katakan, saya mahu tutup semua itu di sini. Saya mohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, kepada Julia Ziegler, Gambit, kakak saya (Shahira) dan kak Didie Alias juga. Kalau Julia nak marahkan saya, marahlah sebab dia berhak rasa marah dan malu, tapi tolong jangan kaitkan kakak saya dan Didie Alias. Ini masalah antara saya, Julia dan Gambit. Gambit ada keluarkan kenyataan menyelar anda sebagai kecoh dan mahu kejar populariti, komen? Saya yang kecoh? Kasihannya saya. Tapi saya bukannya jenis kecoh yang suka jaja cerita, saya cuma seorang yang suka bercakap dan peramah. Biasalah kalau sudah bercakap dan orang tanya macam-macam, saya akan cakap. Tapi, apa yang cakapkan itu pun bukan daripada mulut saya sendiri, itu daripada cerita yang saya dengar, betul atau tidak, saya tak dapat pastikan. Macam dalam kes ini, Gambit yang mahu sangat dengar cerita lama Julia, dia desak, jadi saya pun ceritalah. Tapi bila sudah jadi begini, saya tak boleh nak marahkan sesiapa. Salah saya sendiri, padanlah dengan muka saya, dan kalau saya di pihak Julia pun, saya akan rasa perkara yang sama. Sekarang, bagaimana hubungan dengan Gambit? Kami kawan sahaja, tiada hubungan cinta atau istimewa pun. Kami kenal semasa sama-sama terlibat dalam satu telemovie lebih kurang empat bulan lalu. Buat apa saya mahu bercinta, saya muda lagi, duit pun tak ada. Mungkinkah ini satu iktibar, peringatan awal untuk berdepan lebih banyak cabaran masa depan? Moralnya, saya kena beringatlah, jangan sewenang-wenangnya beri kepercayaan bila berkawan. Selama ini, punyalah saya rileks-rileks tak ada kontroversi, nak pergi sesi fotografi pun saya segan, sekarang begini pula kisahnya. Mungkin ini penjelasan terakhir yang boleh saya berikan. Saya tak mahu perkara ini dipanjangkan lagi. Cukuplah, saya minta maaf. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Emelda bermentorkan suami
SERING muncul di kaca televisyen terutamanya untuk naskhah seram, Emelda Rosmila kini mahu berubah angin dan mencabar dirinya sendiri. Bukan bereksperimen di pentas perdana apabila terlibat dalam teater Badai Semalam yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 11 hingga 20 November kelak, sebaliknya Emelda terlebih dahulu merasa ruang teater muzikal P. Ramlee dengan membawakan watak Azizah. "Dalam teater Badai Semalam yang diadaptasi melalui novel Khadijah Hashim ini, saya membawakan watak Mahani yang kepoh dan suka menyibuk hal dalam kain orang. Dia juga sakit hati dengan Mazni lakonan Erra Fazira kerana mahu mengahwinkan anaknya dengan Karim (Aaron Aziz). Namun dia seorang yang bergaya dan memang berangan menjadi orang kaya," ujar Emelda yang ditemui di sidang media teater Badai Semalam. Bakal sibuk dengan latihan dan pementasan teater yang ditunggu ramai ini, isteri kepada aktor Adlin Aman Ramlee ini juga terlibat dengan penggambaran drama bersiri 14 episod bertajuk Tihany yang akan disiarkan di saluran TV9. "Saya juga baru selesai dengan penggambaran filem Azazil arahan Khabir Bhatia dan membawakan watak Melor," ujarnya yang kini sangat fokus mengendalikan butik dan spa miliknya. CABARAN TEATER Saya melihat teater sebagai salah satu cabang seni dan sekarang ialah masa yang terbaik untuk saya menceburinya. Bila berhadapan dengan penonton secara langsung, tidak ada ruang untuk buat kesilapan dan di situlah profesional lakonan diuji. Kalau silap, memang nampak dan ini sebenarnya memberi saya sedikit ketakutan. Gemuruh saya berlipat kali ganda ditambah pula untuk Badai Semalam, saya berlakon dengan barisan aktor dan aktres yang berpengalaman. Namun saya gembira kerana dapat bertukar angin.
SUAMI JADI MENTOR Pengalaman dalam teater terdahulu memberi saya pengalaman dan banyak yang saya pelajari. Teater muzikal P. Ramlee dahulu hadir dengan set dan bajet yang besar serta bertaraf antarabangsa. Itu sebuah pembelajaran yang berguna. Selain itu, saya sangat bertuah kerana suami saya merupakan seorang pelakon dan pengarah yang sangat berpengalaman. Itu kelebihan yang saya dapat. Adlin menyuruh saya keluar daripada zon selesa dan keluarkan bakat yang ada. ADA MALU-MALU Sejujurnya saya ada sikap pemalu dan sentiasa berasa kecil dibandingkan pelakon lain. Ini merupakan satu masalah yang perlu saya atasi. Saya perlu berfikir dengan skala besar dan melupuskan rasa malu saya. Mungkin kelak ketika sudah di sesi latihan teater nanti, saya akan dapat meningkatkan tahap keyakinan saya. OBSES BAJU DAN SUBANG Saya memang obses dengan baju dan subang. Pantang nampak mesti beli. Kerana obses terhadap baju maka saya sudah membuka sebuah butik dengan nama Suka Suka di Axis Atrium. Juga kerana sukakan rawatan dan memanjakan diri saya turut membuka sebuah spa di Plaza Damas. Tetapi spa yang dinamakan Raine itu masih dalam peringkat ubah suai. POSITIF PRODUK HANTU Industri lakonan kita ini boleh dikatakan mengikut musim. Ada musim komedi, aksi dan kini musim filem atau drama hantu. Melihat secara positif, kita perlu terima seadanya kerana industri kita kecil. Ini adalah satu satu proses kreatif dan perlu mendapat sokongan. Kalau ia menakutkan kanak-kanak, ibu bapa perlu ada untuk mengawal anak-anak mereka. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan