Sabtu, 15 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Punan pertama jadi pegawai

Posted:

Punan pertama jadi pegawai

Punan pertama jadi pegawai

Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my

FELICIA Alow kelihatan teruja bercerita tentang bahasa ibundanya, bahasa Punan. "Nu denge maksudnya apa khabar, nu ngaro no ertinya apa nama kamu manakala piru umun no berapa umur kamu.

"Oh ya, jangan lupa sebutkan tupu koman si setiap kali tiba waktu sarapan, makan tengah hari atau makan malam. Ayat itu bermaksud awak sudah makankah?" kata Felicia, anak kelahiran Rumah Panjang Nyipa di Kampung Kuala Pandan, daerah kecil Sebauh dalam Bahagian Bintulu, Sarawak.

Kampung di tepi Batang Kemena, anak Sungai Rajang itu terletak kira-kira 40 minit menaiki kereta dari bandar Bintulu.

Felicia, 28, merupakan anak Punan pertama yang menjawat jawatan bertaraf penguasa di Jabatan Imigresen. Sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pas Penggajian jabatan itu, Felicia bakal ditempatkan di Putrajaya - Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memiliki bangunan serba moden.

"Suasananya tentu sahaja jauh berbeza dengan penempatan masyarakat Punan yang sinonim dengan hutan dan sungai," beritahu Felicia.

Gadis lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kelihatan segak dalam persalinan seragam putih Jabatan Imigresen. Berwajah manis, kulit Felicia putih bak telur dikupas.

"Orang selalu salah sangka bila mengatakan saya seorang gadis Cina. Sebenarnya kebanyakan orang Punan memiliki ciri fizikal seperti saya," katanya ketawa.

Dia ditemui di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di Port Dickson, Negeri Sembilan semasa mengikuti kursus induksi selama tiga minggu baru-baru ini.

Menurut Felicia, etnik Punan Sarawak yang berjumlah 50,000 orang adalah berbeza daripada kaum Penan walaupun kedua-duanya merupakan penghuni tebing sungai-sungai di negeri itu.

"Penduduk Sarawak sendiri seperti di Miri dan Kuching masih ramai yang keliru tentang kaum Punan sedangkan kami sudah hampir 300 tahun menghuni tebing sungai berkenaan," kata Felicia.

Hutan

Felicia anak keenam daripada lapan beradik. Katanya, walaupun suatu masa dulu memiliki anak yang ramai merupakan satu kebiasaan masyarakat Punan, generasi baharu kaum itu selesa mempunyai dua atau tiga orang anak sahaja.


FELICIA, gadis Punan yang pemalu, kini berazam menjadi pegawai Imigresen yang dihormati.


"Setakat ini tuai rumah panjang di kampung saya memiliki paling ramai anak iaitu 10 orang," katanya.

Dari segi geografi, majoriti penempatan etnik Punan bertumpu di kawasan berhampiran bukit dan sungai.

Aktiviti penduduk ialah berburu, mencari tumbuhan dan sayur di hutan selain menangkap ikan di sungai.

"Kegiatan menanam padi diusahakan oleh setiap keluarga rumah panjang.

"Malah, masyarakat Iban dan Melanau yang tinggal berjiran dengan kampung saya turut menanam padi," katanya sambil memberitahu, aktiviti berburu sudah berkurangan sekarang.

"Tidak seperti kira-kira 25 tahun lalu yang menyaksikan pemburuan dilakukan secara meluas," ujarnya.

Oleh kerana kedudukan kampungnya berjiran dengan kaum Melanau dan Iban, Felicia dapat mempelajari bahasa kaum itu melalui kawan-kawannya.

"Apabila berjumpa kawan Melanau, saya suka meniru cara mereka bercakap. Saya juga cuba berbahasa Iban semasa bertemu kawan-kawan Iban," ujar Felicia yang menambah, bahasa Iban diajar di sekolahnya.

Felicia turut bercerita mengenai tarian su'ei dan makanan kegemarannya, teleguk.

"Tarian itu sedikit pelik tetapi merupakan satu tradisi kaum Punan. Teleguk pula ialah sejenis pulut yang dibungkus menggunakan daun palas sebelum dikukus," katanya.

Dia juga masih dapat mengingati wajah penduduk kampung yang bertelinga panjang kerana memakai subang yang besar dan berat.

"Saya masih berpeluang melihat suasana seperti itu. Di kampung saya masih terdapat tiga wanita yang mempunyai telinga begitu.

"Bagaimanapun, tiada orang muda yang mahu mengikut tradisi itu lagi. Mungkin zaman sudah berubah," ujarnya.


TUMBUHAN herba sinonim dengan masyarakat di pedalaman.


Moden

Kata Felicia, etnik Punan terbahagi kepada Punan Pedan, Bah dan Biau. Tiada perbezaan antara ketiga-tiga puak tersebut. Boleh dikatakan semua penempatan mereka bertumpu di kawasan berbukit dan berhampiran sungai.

Dia menambah, kini perkampungan Punan agak moden.

"Rumah panjang sudah diubah suai dengan berlantaikan simen tetapi masih mengekalkan binaan kayu bagi dinding rumah.

"Jalan masuk ke kampung saya juga telah diturap dengan tar manakala kemudahan elektrik banyak mengubah suasana perkampungan itu.

"Dahulu, kami hanya menggunakan generator yang dihidupkan dari pukul 6 petang hingga 12 malam," ceritanya.

Sebagai sebahagian daripada kaum Dayak, terdapat juga orang Punan yang mahir dalam perubatan tradisional khususnya yang bercampur unsur mistik.

"Mereka menggunakan kuasa tertentu untuk menyembuhkan penyakit," katanya.

Menurut Felicia, dalam satu upacara yang unik, tubuh pesakit termasuk mata akan ditutup sepenuhnya menggunakan kain sarung.

"Pesakit akan dibaringkan di atas sebuah tempat khas di kawasan lapang sebelum beberapa orang menari mengelilingi pesakit berkenaan sambil membaca mantera dan memukul gendang.

"Kali terakhir ritual itu dibuat ialah pada lapan tahun lalu. Sekarang, dukun wanita itu sudah tua dan belum ada siapa yang mewarisi ilmunya," katanya.

Mendaftar masuk di UPM, Serdang, Selangor, bererti kali pertama juga dia menjejakkan kaki ke ibu kota Kuala Lumpur.

"Saya sememangnya tidak pernah datang ke Kuala Lumpur sebelum itu. "Ia sebuah kota yang sesak tetapi begitu mengujakan. Saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan tempat untuk saya mempelajari banyak perkara baharu setiap hari," katanya.


PENEMPATAN seperti ini masih boleh ditemui walaupun generasi baharu lebih suka menetap di bandar.


Sebelum bertugas di Jabatan Imigresen, Felicia pernah bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh di Bintulu. selama enam bulan iaitu sejurus selepas dia menggenggam ijazah pada tahun 2006.

Selepas itu, beliau bekerja di Pejabat Daerah Tatau, juga selama enam bulan. Dia sempat menjadi guru sandaran di SMK Simanggang, Sri Aman selama lebih setahun.

"Kerjaya sebagai pegawai Imigresen merupakan kerjaya yang membanggakan walaupun cita-cita saya dahulu ialah untuk bergelar pensyarah. Saya akan menjalankan tugas saya dengan penuh yakin," kata gadis ini bersemangat.

Di luar pakaian seragamnya, Felicia merupakan seorang penggemar sejarah selain pandai melukis.

"Ketika di sekolah, Sejarah adalah mata pelajaran kesukaan saya. Saya gemar membaca kisah penjajahan keluarga James Brooke di Sarawak. Sekarang, saluran dokumentari History di Astro pula menjadi pilihan saya," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tidak boleh seluk poket

Posted:

Tidak boleh seluk poket

Tidak boleh seluk poket


KUKU Lee Redmond patah akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2009.


DENGAN kuku sepanjang 606 sentimeter (sm), Chris 'The Dutchess' Walton kini memegang rekod sebagai pemilik kuku terpanjang di dunia. Ia mengambil masa selama 18 tahun untuk tumbuh dan mungkin memerlukan rawatan manicure paling mahal di dunia.

Penyanyi dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) berusia 45 tahun itu mencatat nama dalam Guinness Book of Records dengan ukuran kuku tangan kiri sepanjang 309 sm dan 297 sm bagi tangan kanan.

"Ia sebahagian daripada tubuh kita," kata Walton.

Sementara dia tidak dapat membayangkan bagaimana hidupnya tanpa kuku yang panjang, ramai yang tertanya-tanya apa yang boleh dilakukannya dengan kuku sepanjang itu?

Menurut Walton, dia boleh melakukan semua perkara termasuk memandu kereta, membeli-belah dan membuat kerja rumah. Ya, semua perkara kecuali menyeluk poket seluarnya.

"Perkara paling susah bagi saya ialah untuk menyeluk poket. Yang lain saya boleh buat sendiri - memandu, pergi ke pasar raya dan membersihkan rumah walaupun kadang-kadang wayar vakum akan berbelit pada kuku saya," ujarnya.

Pakaian

Satu lagi aktiviti yang tidak dapat dilakukannya ialah berenang. "Saya tidak berenang bukan disebabkan kuku tetapi masalah rambut," akui Walton.

Dalam satu interviu dengan akhbar Huffington Post di New York, Walton menunjukkan cara dia menggunakan telefon bimbit iaitu dengan menekan butangnya menggunakan buku jari bagi menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Walton memberitahu, dia sentiasa memikirkan mengenai kukunya sejak 18 tahun lalu. Dia juga terpaksa mengubahsuai pakaiannya khususnya membuang semua kelim tangan dan menggantikannya dengan zip. Jadi dia tidak perlu menyarungkan tangan pada lengan baju sebaliknya cukup dengan mengenakan baju ke badan dan tangannya sebelum mengemaskannya dengan zip.


SELAIN menyeluk poket, perkara yang tidak dapat dilakukan Walton ialah berenang.


Ibu kepada lima orang anak dan nenek kepada tiga cucu itu berkata, dia tidak membela kuku sebagai hobi sebaliknya ia hanya satu kebetulan.

"Saya tidak membiarkannya panjang semata-mata untuk memasuki rekod Guinness," katanya.

"Satu hari saya berhenti memotong kuku kerana saya mahu lihat bagaimana rupanya jika panjang," tambahnya.

Walton berkata, dia tidak mempunyai diet khusus untuk kuku atau mengambil vitamin dan suplemen tertentu. Dia cuma gemar mengunyah gula-gula, katanya.

Dia bagaimanapun begitu menjaga kukunya dengan menjalani rawatan manicure sebulan sekali. Apabila ditanya berapa botol cecair pengilat kuku digunakan dalam setiap rawatannya, Walton memberitahu: "Ia bergantung pada jenama dan bagaimana ia berfungsi."

Walton turut digelar 'Edward Scissorhands' sebenar iaitu lelaki bertangan gunting lakonan Johnny Depp dalam filem tahun 1990 dengan tajuk yang sama itu.

Kemalangan

"Saya pasti memotongnya suatu hari nanti tetapi saya sudah biasa hidup berkuku panjang. Seperti juga kaki, bukan senang untuk saya membuangnya begitu sahaja," ujar Walton.

Pemegang rekod kuku terpanjang sebelum ini ialah seorang nenek dari Salt Lake City, Utah, AS, Lee Redmond. Redmond tidak pernah memotong kukunya selama 30 tahun iaitu sejak tahun 1979.

Malangnya, semua kukunya patah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan pada tahun 2009.

Nama Redmond disenaraikan dalam Guinness Book of World Records pada tahun 2008 dengan panjang keseluruhan kukunya ialah 848 sm.

Kuku terpanjang, di ibu jari kanan, ialah sepanjang 87 sm. Redmond yang suatu ketika dibayar setinggi AS$100,000 (RM300,000) untuk muncul dalam rancangan televisyen secara langsung, sekarang telah kehilangan mahkota kebanggaannya.

Pada tahun 2006, dia dilaporkan bersedia memotong kuku bagi membolehkannya menjaga suaminya yang menghidap Alzheimer.

Bagaimanapun, dia mengubah fikiran dengan berkata kuku itu tidak mengganggu kerja-kerja hariannya. Menurut Redmond, dia menjaga kukunya setiap hari, melumurnya dengan minyak zaitun dan membersihkannya dengan berus gigi. Dia juga pernah ditanya bagaimana dia menggunakan tandas dan bilik mandi, Redmond menjawab: "Dengan sangat berhati-hati."

Full content generated by Get Full RSS.

Bukti Si Tanggang pernah hidup

Posted:

Bukti Si Tanggang pernah hidup

Bukti Si Tanggang pernah hidup

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my


BATU Malin Kundang berbentuk manusia di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat menarik ribuan pelancong setiap tahun.


KISAH seorang lelaki disumpah menjadi batu oleh ibunya begitu popular dalam masyarakat Melayu Nusantara. Di Malaysia, lelaki itu dikenali sebagai Si Tanggang manakala dia dipanggil Malin Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei.

Menurut mitosnya, Si Tanggang ialah seorang pemuda miskin yang merantau mengikut sebuah kapal bagi mencari kekayaan.

Malangnya, selepas kaya dia berubah menjadi sombong dan langsung tidak menjenguk ibunya walaupun semasa kapalnya berlabuh di kampung ibunya.

Lebih menyedihkan, si ibu yang datang ke kapal tersebut untuk mencari Si Tanggang telah dihalau oleh anaknya itu.

Si Tanggang yang telah memperisterikan seorang wanita cantik dikatakan berbuat begitu kerana malu mempunyai ibu yang miskin. Disebabkan kecewa, si ibu telah menyumpah Si Tanggang menjadi batu.

Apa yang menarik, batu yang didakwa sebagai Si Tanggang itu boleh ditemui di sebuah gua di Batu Caves, Selangor. Batu berbentuk manusia juga ada terdampar di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera, Indonesia manakala di Brunei, ia terletak di tepi laut Jong Batu.

Darah Si Tanggang

Gua Gelap di Batu Caves dikatakan menjadi tempat mengalirnya darah Si Tanggang.

"Anda dapat melihat sendiri seakan-akan darah mengalir di celah batu dan lantai gua ini. Adunan air dan batu berwarna merah seperti menguatkan mitos Si Tanggang.

"Kesan ini wujud sejak gua ini ditemui pada tahun 1889," ujar warden Gua Gelap, Batu Caves, Hadrian Sanie, 42, sambil menunjukkan batu berwarna merah seperti darah beku manusia.

Hadrian telah bekerja sebagai pemandu pelancong Gua Gelap sejak lima tahun lalu. Kisah Si Tanggang itu diceritakan dari mulut ke mulut sejak dahulu lagi.

"Ramai juga pelancong yang memasuki gua bertanyakan perkara yang sama. Malah mereka takut untuk memegang air dan batu tersebut," kata Handrian.

Tetapi terdapat penjelasan tentang perkara itu mengikut ilmu geologi.


GUA Gelap tempat Si Tanggang dan kapalnya disumpah menjadi batu.


Profesor Mohd. Shafeea Leman, 53, Ketua Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia (KWGM) mempunyai jawapannya.

"Proses semula jadi di gua itu sendiri mengakibatkan fenomena itu berlaku. Aliran air yang mengandungi besi oksida menyebabkan batu itu berwarna oren.

"Kemudian oksigen menukarkan pula batu itu kepada warna merah. Ia bukan darah tetapi kesan perubahan kimia batu itu," ujarnya.

Di Pantai Air Manis pula, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Kota Padang, Sumatera, terdapat batu Si Tanggang dan kesan kapalnya. Batu itu kelihatan seperti seseorang sedang meniarap di celah-celah serpihan kapal yang pecah.

Batu yang dikatakan telah dibentuk semula itu kini masih menjadi tarikan pelancongan di situ.

Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, kisah Si Tanggang amat dekat dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia.

Katanya, kisah Si Tanggang itu mungkin benar berikutan penemuan batu berbentuk manusia dan kapal di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.

"Malangnya, tiada dokumen rasmi yang mengesahkan kejadian itu walaupun pada masa itu tamadun manusia sudah berkembang.

"Dengan adanya cerita mengenai kapal dan perdagangan yang melibatkan Si Tanggang menunjukkan ketamadunan manusia telah berkembang di nusantara ketika itu," katanya kepada Jurnal.

Ramlah memberitahu, kisah Si Tanggang hanya diceritakan secara lisan dan mungkin perjalanan ceritanya berbeza kerana ada penambahan daripada versi asal.

"Ia kemudian dimasukkan unsur komersial seperti magis bagi mencantikkan lagi cerita.

"Lagipun versi kisah Si Tanggang di ketiga-tiga negara ini hampir sama. Ini agak pelik. Bagaimana seorang individu atau satu kejadian boleh berlaku di tiga lokasi?" katanya.


Percikan darah Si Tanggang dikatakan boleh ditemui di dalam Gua Gelap di Batu Caves dekat Kuala Lumpur.


Ujar Ramlah, persamaan versi kisah Si Tanggang ialah perjalanan ceritanya banyak berkisar mengenai laut atau sungai, aktiviti perniagaan dan perkampungan nelayan, selain cerita derhaka si anak kepada si ibu.

Bukti saintifik

Ramlah turut menyebut, konsep pembalasan dosa dalam Islam bukan di akhirat sahaja tetapi juga di dunia seperti yang cuba digambarkan dalam kisah Si Tanggang.

Bagi pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, kebenaran kisah Si Tanggang boleh dibuktikan dengan melakukan ujian saintifik ke atas batu berbentuk manusia yang didakwa sebagai kesan sumpahan lelaki itu.

"Para pengkaji sejarah boleh menguji batu-batuan di ketiga-tiga lokasi bagi menentukan usianya.

"Selepas itu, kita bandingkan usia batu itu dengan usia cerita lisan yang diceritakan dari mulut ke mulut sejak berzaman lalu itu," terang Ali.

Katanya, dari sudut geologi, pembentukan batu-batuan yang menyerupai manusia dan kapal bukan perkara mustahil.

"Walaupun tidak seratus-peratus tepat, proses hakisan yang disebabkan faktor semula jadi seperti angin dan air boleh membentuk objek seperti manusia, haiwan atau benda tertentu.

"Kadangkala manusia sendiri mungkin menambah dan mengukir batu-batu tersebut supaya menyamai rupa manusia," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved