Kosmo Online - Dunia |
- Bangkok hadapi banjir terburuk sejak 50 tahun
- Bayi keliru mana satu iPad, majalah
- Taiwan akan tempatkan peluru berpandu di Spratly
Bangkok hadapi banjir terburuk sejak 50 tahun Posted: Bangkok hadapi banjir terburuk sejak 50 tahun
BANGKOK - Pekerja-pekerja penyelamat bertungkus-lumus mengukuhkan tembok-tembok guni pasir sekitar bandar raya ini semalam ketika ibu kota Thailand berkenaan diancam banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas semua wilayah di utara ditenggelami air bah. Pada masa yang sama, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra cuba meyakinkan 12 juta penduduk di sini bahawa mereka akan terlepas daripada bencana alam itu yang telah menenggelamkan lebih satu pertiga negara berkenaan sejak Julai lalu. Sekurang-kurangnya 297 orang disahkan terkorban dengan kerugian akibat banjir yang menukar banyak perkampungan dan kawasan industri menjadi tasik itu kini mencecah AS$3 bilion (RM9.37 bilion). Bahagian utara, timur laut dan tengah Thailand paling teruk terjejas manakala ibu kota Thailand yang berada cuma dua meter dari aras laut turut terancam selepas air dari beberapa empangan di utara melimpah ke dalam Sungai Chao Phraya yang mengalir menerusi kota metropolitan itu. Yingluck bagaimanapun berkata, ibu kota Thailand itu cukup terlindung selepas pihak berkuasa meninggikan tebing di tiga kawasan di luar bandar raya ini. Di sebalik jaminan pihak berkuasa, penduduk bertindak menyimpan barangan keperluan seperti air minuman, mi segera, beras dan makanan dalam tin dengan beberapa pasar raya utama di sini kehabisan stok makanan. "Jika kami tidak membuat persediaan, sukar untuk membayangkan apa yang akan terjadi kepada kami jika kerajaan lambat menghulurkan bantuan," kata seorang pekerja bank di sini, Sompong Pinmaninsab. Setakat ini, 25 daripada 77 wilayah Thailand digenangi air banjir. Sejumlah 1.62 juta tanah pertanian atau sekitar 16 kali ganda saiz pulau Hong Kong ditenggelami air. Hampir 800,000 kediaman pula musnah atau rosak dengan ribuan penduduk terpaksa bersesak tinggal di pusat-pusat penempatan sementara. Wilayah Ayutthaya, Pathum Thani dan Nakhon Sawan di utara bandar raya ini mengalami kesan yang paling buruk. Banyak rumah, jalan raya dan taman perindustrian musnah dilanda air bah. Dalam usaha melindungi ibu kota Thailand, pihak berkuasa mengukuhkan pertahanan terakhirnya iaitu tembok penghadang banjir sejauh 4 kilometer di sepanjang sebuah terusan dan pintu air di wilayah Pathum Thani di utara bandar raya ini. Banyak pejabat, kedai dan restoran di wilayah berkenaan ditenggelami air paras dada dengan penduduknya terpaksa berulang-alik dengan menaiki bot. - Reuters Full content generated by Get Full RSS. | |
Bayi keliru mana satu iPad, majalah Posted: Bayi keliru mana satu iPad, majalahBAYI perempuan ini keliru apabila majalah yang diberikan tidak berfungsi sama seperti iPad milik ibunya. - YouTube LONDON - Benarkah pengasas bersama firma elektronik Apple Corp, mendiang Steve Jobs telah menunjukkan hala tuju masa depan manusia? Sebuah akhbar di Britain melaporkan itulah yang kelihatan berlaku kepada seorang bayi perempuan. Baru berusia setahun, bayi itu sudah pandai mengetik skrin komputer iPad milik ibunya tetapi apabila sebuah majalah diletakkan di hadapannya, dia menjadi keliru. Anak kecil tersebut tidak faham mengapa gambar dalam majalah tidak bergerak seperti imej di skrin iPad apabila ditekan. Telatah lucunya mencetuskan sensasi di laman perkongsian video YouTube selepas ibunya menghantar rakaman klip video berkenaan yang disiarkan baru-baru ini. "Bagi anak saya, majalah adalah komputer iPad yang tidak berfungsi. Semua itu berlaku kerana Steve Jobs. Dia mungkin tidak berminat dengan buku apabila meningkat dewasa kelak," kata tulisan pada penghujung klip video berkenaan. - Agensi Full content generated by Get Full RSS. | |
Taiwan akan tempatkan peluru berpandu di Spratly Posted: Taiwan akan tempatkan peluru berpandu di SpratlyWASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - AS kelmarin menggesa semua negara yang terbabit dalam tuntutan bertindih di Laut China Selatan supaya bertenang selepas Taiwan mengumumkan akan menempatkan sejumlah peluru berpandu di rantau berkenaan. Pengumuman tersebut susulan kebimbangan Taipei berhubung tindakan negara-negara berkenaan meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing di Laut China Selatan terutamanya di Kepulauan Spratly. "Kami menggalakkan semua pihak yang membuat tuntutan di Laut China Selatan agar menyelesaikan pertikaian mereka secara aman berlandaskan undang-undang antarabangsa tanpa melibatkan ancaman atau kekerasan," kata jurucakap Pentagon, George Little. Sebelum ini, Menteri Pertahanan Taiwan, Kao Hua-chu menyokong usul yang diluluskan jawatankuasa pertahanan Taiwan pada Rabu lepas supaya unit pengawal pantai di pulau Taiping dan Pratas dilengkapi peluru berpandu Chaparral atau Tien Chien I. Kedua-dua pulau berkenaan turut dituntut oleh China. Beijing juga menuntut keseluruhan Laut China Selatan termasuk beratus-ratus buah pulau dan terumbu karang di Kepulauan Spratly yang kaya dengan sumber minyak serta gas. Sebahagian Kepulauan Spratly turut dituntut oleh Taiwan, Vietnam, Brunei, Malaysia, China dan Filipina. Pasukan pengawal pantai Taiwan meletakkan 130 anggota di Taiping iaitu pulau terbesar dalam gugusan pulau Spratly. - AFP Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan