Ahad, 16 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rendah lemak dan bebas kolesterol

Posted:

Rendah lemak dan bebas kolesterol

Rendah lemak dan bebas kolesterol

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

LAZIMNYA air bandung yang menjadi penghilang dahaga ketika terik mentari dibancuh dengan susu cair, susu pekat mahupun susu segar. Namun, pernahkah anda mendengar atau menikmati sendiri air berwarna merah jambu itu yang dibancuh dengan menggunakan santan sawit?

Ya, santan sawit. Mendengar nama santan sawit sahaja sudah kedengaran pelik apatah lagi, membayangkan minuman tersebut dibancuh dengan santan yang lazimnya dijadikan ramuan untuk menyediakan lauk-pauk seperti gulai masak lemak cili api, rendang, kari dan sebagainya.

Itu yang bermain di benak fikiran penulis saat mahu meneguk minuman tersebut ketika berkunjung ke Karnival Usahawan Desa 2011 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Laman 1Malaysia, Presint 2 Putrajaya yang berlangsung pada 21 hingga 25 September baru-baru ini.

Dengan perasaan penuh skeptikal bercampur dengan naluri ingin tahu, penulis teragak-agak membuat sedutan pertama dan akhirnya berjaya menghabiskan minuman tersebut. Rasanya boleh tahan!

Tidak berhenti di situ, penulis kemudian mencuba cendol santan sawit. Ternyata, rasa enak kedua-dua minuman tersebut membuang jauh rasa ragu yang singgah di kotak fikiran pada mulanya. Tak kenal, maka tak cinta!

Rasa keterujaan tersebut membuatkan penulis mahu mengupas lebih lanjut mengenai inovasi santan sawit hasil penemuan sekumpulan pengkaji yang berjaya menemukan pengganti hampir kepada santan kelapa.

Teknik penyemburan kering

Umum mengetahui bahawa buah kelapa sawit yang diperah dapat menghasilkan minyak masak, namun Ketua Penyelidik Bahagian Pemakanan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Zaida Zainal berjaya tampil dengan formula yang membolehkan santan dihasilkan melalui bahan mentah yang sama.

Inovasi itu bermula apabila Zaida dan pasukannya berjaya menghasilkan santan sawit serbuk dengan teknik penyemburan kering pada tahun 1998. Kemudian kajian yang sama diteruskan sehingga terhasillah santan sawit dalam bentuk cecair.

Santan sawit itu kemudian dikomersialkan oleh Premium Food Corporation Sdn. Bhd. (PFC) pada bulan September 2010 bermula di Lembah Klang kemudian menyebarluas pasarannya ke selatan, utara dan timur Semenanjung,

Pengarah Urusan PFC, Jasri Mohd. Rashid memberitahu, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi meluaskan pasaran produk santan sawit dengan label Khalis keluaran PFC.


JASRI menunjukkan santan sawit yang kini dikomersialkan melalui jenama Khalis.


"Secara asasnya kita melakukan sesuatu yang baik kepada golongan masyarakat dengan memberikan alternatif terhadap mereka yang tidak makan santan kelapa tetapi, mahu menikmati makanan yang sedap dan sihat.

"Kita bukan sahaja memberikan alternatif ini buat pengguna yang menitikberatkan soal kesihatan malah, kepada mereka yang berniaga kerana produk ini bukan sahaja menyihatkan malah, ia menjimatkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Tambahnya, penggunaan santan sawit sangat menjimatkan kos berbanding santan kelapa kerana penggunaannya adalah separuh daripada biasa.

"Makanan yang dimasak menggunakan santan sawit juga tidak mudah rosak atau basi jika ia tidak dimasukkan ke dalam peti sejuk atau dipanaskan pada keesokan harinya.

"Peniaga pula tidak perlu membeli santan setiap hari bagi mengurangkan kos kerana jangka hayat santan sawit ini boleh tahan sehingga tiga bulan tanpa pengawet apabila disimpan pada suhu di bawah 5 darjah Celsius," ujarnya.

Lelaki yang pernah menimba pengalaman dengan syarikat gergasi, Nestle Malaysia lebih 10 tahun itu mendapat formula tersebut daripada MPOB yakin dengan potensi santan sawit yang menjadi alternatif kepada santan kelapa.

Banyak usaha yang dicurahkan bagi membuka minda dan mengubah persepsi salah masyarakat mengenai kebaikan produk santan sawit Khalis sehingga pihaknya melakukan pelbagai ujian rasa kepada orang ramai.

"Bukan mudah untuk mengubah pemikiran masyarakat yang mengaitkan sawit dengan minyak masak sahaja. Pada awalnya ramai yang sukar menerima bahawa sawit juga mampu menghasilkan santan dan digunakan dalam masakan serta minuman.

"Pertama kali mereka mendengar mengenai produk ini, mereka akan skeptikal. 'Eh, betul ke? boleh ke? sedap ke?' Jadi, bagi meyakinkan mereka, kami membuat sampel seperti air bandung, cendol, kari, masak lemak dan sebagainya untuk mereka merasainya sendiri. Ternyata mereka boleh menerimanya malah, ada yang mengatakan rasa masakan lebih enak berbanding santan biasa," katanya.

Jasri memberitahu, minyak sawit daripada gred yang terpilih melalui proses penapisan, pengemulsi dan penstabilan bagi menghasilkan santan sawit berkualiti.

Malah, PFC telah memperoleh sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta pengiktirafan halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


SANTAN sawit sebagai alternatif santan kelapa masih lagi asing bagi kebanyakan suri rumah.


Santan sawit tersebut dihasilkan daripada sawit terpilih mempunyai kandungan asid lemak yang amat rendah dan tanpa kolesterol.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai kandungan nutrien yang tinggi, kaya dengan vitamin A dan E semula jadi baik untuk penglihatan, melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko sakit jantung serta baik untuk kulit.

"Biasanya ada sesetengah orang sejurus lepas makan cendol akan rasa mual atau mengantuk selepas menikmati nasi lemak tetapi apabila santan sawit digunakan dalam kedua-dua hidangan ini, rasa mual dan mengantuk itu tiada.

"Malah ujian rasa yang dilakukan kepada orang ramai mendapati mereka tidak dapat mengesan perbezaan rasa antara santan sawit dan santan kelapa," jelasnya sambil memberitahu PFC memasarkan 30 tan metrik santan sawit sebulan.

Sungguhpun giat menjalankan promosi, masih ramai yang tidak menyedari mengenai kewujudan santan sawit yang mempunyai potensi sebagai alternatif kepada santan kelapa.

"Penggunaan santan sawit belum cukup meluas lagi. Ramai pengguna tidak tahu mengenainya. Oleh sebab itu, kami amat memerlukan ejen untuk menggerakkan produk ini di pasaran kerana ruangnya cukup luas.

"Produk ini masih perlu dikembangkan secara agresif. Buat masa ini produk ini boleh didapati di Pasar raya Besar Giant dan Mydin. Kami juga merancang untuk memasuki pasaran operator makanan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi," katanya.

Buat masa ini katanya, pengeluaran produk santan sawit Khalis berdasarkan permintaan walaupun mampu mengeluarkan 18 tan metrik sehari.

Kolesterol terkawal

Dalam pada itu, seorang wanita berusia 63 tahun dari Tapah, Perak, Junaidah Abdul Latif sangat menggemari masakan berasaskan santan.

Namun sejajar dengan peningkatan usianya, doktor tidak menggalakkan mengambil masakan bersantan bagi mengelakkan masalah kesihatan.

"Sebelum ini mak cik memang ada masalah kolesterol tinggi namun, sejak menggantikan penggunaan santan kelapa kepada santan sawit dalam masakan, paras kolesterol dalam darah mak cik normal.

"Sejak menggunakan santan sawit ini, tidak lagi perlu berpantang makan masakan berlemak. Santan ini bukan sahaja rendah lemak malah, tiada kolesterol dan masakan juga enak," katanya yang kemudian mengambil inisiatif menjadi ejen pengedar setelah empat bulan menjadi pengguna santan sawit.

Junaidah menambah, masakan yang menggunakan santan sawit lebih enak dan dari segi rasa tiada perbezaan cuma ia lebih sihat dan menjimatkan.

"Kalau santan kelapa kita gunakan sekilo dalam sesuatu masakan apabila kita gantikan dengan santan sawit separuh daripada penggunaan sahaja yang diperlukan.

"Cara memasaknya juga mudah namun berbeza sedikit. Jika masa lemak dan kari, semua ramuan perlu dimasak dengan air terlebih dahulu dan kemudian dimasukkan santan hingga mendidih. Tidak perlu mengacau dan tunggu kerana ia tidak akan pecah minyak seperti masak menggunakan santan kelapa," jelasnya.

Keghairahannya memperkenalkan santan sawit kepada warga Tapah membuatkan Junaidah mendapat jolokan Junaidah SS (santan sawit).

"Mak cik mengedarkan produk santan sawit Khalis ini di kedai-kedai runcit, pasar mini dan pasar raya di sekitar Tapah. Ia dijual pada harga RM7.50 bagi pek 1 liter dan RM4.50 untuk pek 400 mililiter.

"Santan ini juga turut digunakan oleh anak saudara mak cik yang kini mengusahakan restoran di Tapah dan ia ternyata jimat selain dapat menjamu pelanggan dengan hidangan yang sihat dan sedap," katanya sambil memberitahu santan sawit tidak boleh dibekukan.

Full content generated by Get Full RSS.

11 tahun keliling dunia

Posted:

11 tahun keliling dunia

11 tahun keliling dunia


BELIVEAU bersama kereta sorong roda tiga yang menemaninya sepanjang perjalanan selama 11 tahun itu.


SEORANG lelaki Montreal berusia 56 tahun yang mencari penyelesaian kepada tekanan pertengahan umur dengan mengelilingi dunia selama 11 tahun, kini kembali dengan wajah ceria selepas menemui impiannya.

Kelihatan sedikit kurus dan kepala yang mula ditumbuhi uban, Jean Beliveau berjalan menolak kereta sorong tiga rodanya yang membawa beg tidur, pakaian dan ubat-ubatan ketika ditemui AFP kira-kira 290 kilometer di barat Montreal, Kanada.

Berjalan dengan pantas, dia kembali dengan keadaan sihat dan sampai di Montreal pada 16 Oktober selepas menyusuri pantai utara Lake Ontorio dan melepasi ibu negara iaitu Ottawa.

Dia berhenti hanya untuk makan. Beliveau menggambarkan pengembaraannya sebagai manusia asing yang penuh keterujaan serta menemui kegembiraan dan ketenangan daripada kebebasan itu.

Kecewa dengan bisnes

Dia juga tidak tahu di mana dia harus tidur setiap malam, tidak bergantung kepada sesiapa dan hanya sedikit wang di dalam poket.

Tetapi, dia tidak bimbang dengan kekurangan itu kerana dia sudah terbiasa selepas memilih jalan itu 11 tahun lalu dan dapat melaluinya dengan baik.

Di Montreal, dia akan kembali kepangkuan teman wanitanya, Luce Archambault yang menyokong pengembaraan luar biasanya malah, membuat sebuah laman web mengenai maklumat lengkap perjalanannya di wwwalk.org.

Beliveau meninggalkan Montreal pada hari lahirnya yang ke-45 iaitu pada 18 Ogos tahun 2000 selepas perniagaan kecilnya mengalami kegagalan. Dia membuat keputusan untuk mengelilingi dunia dan cuba untuk melarikan diri daripada episod sedih kehidupannya.

Archambault dan dua anak daripada perkahwinan terdahulunya tidak pernah memaksanya pulang.

"Ia pengalaman yang hebat," kata anak lelakinya, Thomas Eric yang berusia 20 tahun pada masa itu.


PENGEMBARAAN yang bermula sebagai cubaan melarikan diri kemudian berakhir dengan tujuan murni mempromosikan keamanan.


Beliveau merentasi Atlanta dan Georgia sebelum memperlahankan langkah untuk perjalanan yang menjadi pengembaraan mengelilingi dunia tanpa gangguan dengan 75,000 kilometer merentasi 64 negara.

Pada satu tahap, Archambault menggalakkannya untuk menggunakan pengembaraan itu untuk mempromosikan keamanan dan menolak keganasan untuk kebaikan kanak-kanak sebagai sokongan kepada proklamasi UNESCO.

Tiba-tiba, sesuatu yang bermula sebagai cubaan melarikan diri daripada kehidupan yang mengecewakan mempunyai tujuannya.

Tidur bawah jambatan

Selama 11 tahun, dia berjalan merentasi padang pasir dan pergunungan. Dia jatuh cinta selama sembilan hari di Mexico, memakai serban dan menyimpan janggut di Sudan, makan serangga di Afrika, anjing di Korea Selatan dan ular di China serta diiringi pasukan askar di Filipina.

Beliveau pernah jatuh sakit di Algeria, dirompak sekali oleh dua lelaki mabuk di Afrika Selatan dan ditahan sekali di Ethiopia tanpa sebab kukuh. Namun, dia dibebaskan keesokan harinya.

Di Ethiopia jugalah dia pernah hampir berputus asa dan ingin kembali ke rumah. Dia berasa sungguh sunyi tetapi, Archambault yang berada di Montreal meyakinkannya untuk meneruskan perjalanan.

"Selain makan dan mempunyai tempat berlindung, lelaki perlu berasa dimiliki," kata Beliveau.

Akhirnya, dia terpesona dengan simpati orang ramai yang ditemuinya sepanjang pengembaraan itu.

Beliveau hanya tidur di bawah jambatan dan rumah-rumah perlindungan untuk gelandangan, tetapi sering juga dia diajak makan dan tidur di rumah orang yang terpesona dengan kisahnya.


BELIVEAU turut berjalan di negara-negara Afrika seperti Algeria, Tanzania dan Afrika Selatan.


Dia meninggalkan Montreal dengan hanya CAN$4,000 (RM12,114) di dalam poketnya dan mendapat bantuan kewangan setiap tahun daripada Archambault yang sentiasa berhubung dengannya menggunakan perkhidmatan telefon online Skype.

Beliveau juga bergantung kepada kemurahan hari orang asing yang ditemuinya.

Hari ini, dia sememangnya tidak berduit, tetapi berasakan bahawa dia kaya dengan pengalaman.

"Saya pergi tanpa ada apa-apa, tetapi saya kembali dengan kekayaan ilmu dan pemahaman," katanya.

Beliveau berkata, dia mahu menulis sebuah buku dan memberi syarahan mengenai pengalamannya serta menghargai keharmonian sesama manusia.

Bagi Archambault, apa yang dilalui mereka adalah kisah cinta yang berakhir bahagia.

"Saya adalah Penelope dan dia adalah Ulysses," kata Archambault yang terbang untuk menyertai Beliveau di mana sahaja dia berada untuk menyambut Krismas bersama setiap tahun, tetapi lega apabila dia akhirnya sudah kembali.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved