Kosmo Online - Sukan |
Sultan Ahmad Shah tetap jadi pilihan Posted: Sultan Ahmad Shah tetap jadi pilihanOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
MESKIPUN berdepan kritikan daripada peminat bola sepak tempatan, tetapi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah tetap menjadi pilihan untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu. Beberapa ahli gabungan FAM masih memiliki kepercayaan penuh dengan kepimpinan Sultan Ahmad Shah apabila mencalonkan baginda untuk mempertahankan jawatan tersebut pada Kongres FAM pada 25 Mei nanti. Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim muncul sebagai calon popular untuk bertanding jawatan tersebut. Begitupun, ahli-ahli gabungan FAM nampaknya tetap menagih khidmat Sultan Ahmad Shah bagi menerajui FAM untuk penggal 2014-2018. Sumber dalaman FAM menjelaskan, tiga calon tersebut telah dicalonkan oleh beberapa ahli gabungan untuk bertanding kerusi tertinggi badan induk bola sepak negara itu. "Benar, tiga calon iaitu Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah dan Tunku Ismail telah dicalonkan untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-50 FAM itu nanti. "Seperti yang kita tahu, Tengku Abdullah dan Tunku Ismail dikatakan telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden tetapi ada juga ahli-ahli gabungan FAM turut mencalonkan Sultan Ahmad Shah bagi mengisi kerusi utama FAM itu. "Ternyata, ahli-ahli gabungan FAM masih menagih khidmat Sultan Ahmad Shah dan itulah yang saya dapat tahu selepas tarikh pencalonan ditutup pada 25 Mac lalu," kata sumber tersebut kepada Kosmo! semalam. Selain jawatan Presiden FAM, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah bakal bersaing dengan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal bagi merebut dua slot untuk jawatan Timbalan Presiden FAM. Andai kata Tengku Abdullah dilantik sebagai Presiden baharu FAM, sumber tersebut tidak menolak kemungkinan kedua-dua calon tersebut bakal mengisi dua jawatan Timbalan Presiden. Namun, jika Tengku Abdullah masih berjaya mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM, Afandi dan Subahan bakal muncul sebagai salah seorang calon popular untuk mengisi satu lagi jawatan Timbalan Presiden. Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram dikatakan menjadi calon popular untuk bersaing salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden FAM. Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM bakal mempertandingkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (empat) dan 10 ahli exco yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita pada kongres itu nanti. | ||
Raikkonen akui sukar di Sepang Posted: Raikkonen akui sukar di Sepang
PEMANDU Ferrari, Kimi Raikkonen mengakui bahawa perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia sentiasa sukar baginya. Kali terakhir pemandu Finland itu menjulang trofi kemenangan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) adalah pada tahun 2008. Musim ini dijangka lebih sukar bagi juara dunia 2007 itu terutama selepas perubahan besar dilakukan pada jentera yang menggantikan enjin turbo V6 1.6 liter menggantikan enjin V8. Malah Raikkonen yang kembali menyertai Ferrari selepas dua tahun bersama Lotus juga dilihat sedang menyesuaikan diri dengan pasukan tersebut. Ditanya sama ada aksi hambar pada perlumbaan pembukaan 2014 di GP Australia 16 Mac lalu disebabkan oleh masalah pada sistem brek, Raikkonen menafikan dakwaan tersebut. "Saya pun tidak tahu dari mana perkara ini timbul kerana ia bukan isu dan kami tidak mempunyai masalah dengan sistem tersebut. "Ia hanya melibatkan pelarasan jentera kerana saya mahu ia mengikut cita rasa sendiri, saya percaya jika ia berjaya diatasi, ia akan memudahkan saya terus berada di hadapan sehingga ke garisan penamat. "Begitupun saya masih memerlukan masa lagi, selalunya ia tidak akan berhasil pada awal musim ini, bagi pasukan pula ia bukan pencapaian yang baik," ujar Raikkonen yang meraih tempat ketujuh di Litar Albert Park, Melbourne minggu lalu. Bagaimanapun, Raikkonen tetap mengharapkan keputusan yang lebih baik pada perlumbaan di Sepang, sekali gus mengulangi kejayaan pada 2003 dan 2008. "Walaupun kami berdepan dengan kesukaran tetapi semua masalah ini tidak serius, sekurang-kurangnya pasukan tahu apa yang perlu dilakukan. "Pasukan memiliki kakitangan yang bagus dan mereka sedang bekerja keras untuk memastikan pasukan ini terus meningkat," tambah Raikkonen. | ||
Posted: 'Jangan pandang belakang'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
"JIKA memasang impian untuk kembali ke Liga Super musim depan, kami tidak lagi boleh memandang ke belakang." Demikian nasihat pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim terhadap anak-anak buah beliau ketika melayan kunjungan Perlis dalam aksi Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya petang ini. Menurut Irfan, The Settlers sewajarnya mengekalkan momentum kemenangan sebaik mengatasi UiTM 4-2 Isnin lalu selepas terlebih dahulu merakam tiga keputusan seri berturut-turut sebelum ini. Ini kerana menurut beliau, tekanan pastinya dirasai sekiranya anak-anak buahnya hanya mahu memburu kedudukan dua terbaik Liga Premier pada penghujung musim. "Misi memburu tiga mata sudah tentu sukar dalam setiap perlawanan, tetapi kami akan tetap bekerja keras untuk mengekalkan momentum kemenangan. "Jadi, saya harap pemain Felda United supaya jangan leka dan terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum sehingga penghujung musim," kata Irfan. Untuk rekod, kemarau kemenangan Felda United akhirnya ternoktah sebaik mengatasi UiTM minggu lalu selepas merakam tiga keputusan seri semasa berdepan Polis Diraja Malaysia (3-3), Johor Darul Takzim II (2-2) Pulau Pinang (1-1) sebelum ini. Buat masa ini, The Settlers yang menghuni tangga keempat Liga Premier dengan 13 mata kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Pulau Pinang namun masih memiliki kelebihan satu perlawanan. Mengulas lanjut, Irfan juga enggan menekan butang panik biarpun beberapa pemain utamanya seperti Hasni Zaidi Jamian, Mohd. Aizul Ridzuan Razali dan Shahrulnizam Mustapa terpaksa diketepikan gara-gara mengalami kecederaan jangka panjang. "Saya tidak terlalu bimbang kerana masih memiliki beberapa pemain lain yang berkualiti sebagai pengganti. "Jika diikutkan, sudah tiga empat perlawanan saya terpaksa mengenepikan beberapa pemain utama gara-gara kecederaan sebelum ini. "Cuma itulah, masih ada pemain yang gagal membuktikan kemampuan masing-masing dalam perlawanan sebenar biarpun tampak bagus semasa menjalani latihan. "Jadi, saya harap mereka mampu memberikan yang terbaik ketika berdepan Perlis nanti. "Namun pada masa sama, prestasi semasa Perlis tidak boleh dipandang mudah kerana mereka juga menang (2-1 ke atas PBAPP FC) dalam aksi terakhir mereka sebelum ini," jelas beliau. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan