Kosmo Online - Hiburan |
- Perancangan Black, RJ, Jaclyn, Tomok
- Kokolog! segalanya tentang coklat
- Dayang, Marcell kembali bersama
Perancangan Black, RJ, Jaclyn, Tomok Posted: Perancangan Black, RJ, Jaclyn, TomokPERANCANGAN dan strategi amat penting bagi seseorang anak seni itu untuk terus bertahan dalam industri hiburan yang kian mencabar dek kemunculan artis baharu. Senario itu sekali gus memaksa artis yang sudah lama bertapak untuk tampil dengan sesuatu produk yang baharu. Tanpa perancangan dan strategi yang rapi dan teratur, sudah pasti seseorang penghibur itu semakin sepi dan seterusnya, tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan peminat seni hiburan tempatan. Kejayaan masa lalu sememangnya penting untuk memantapkan taraf kualiti seseorang penyanyi, namun apa yang penting mereka perlu sentiasa mengekalkan momentum dan kualiti dalam industri supaya terus stabil. Itu yang dilakukan tiga bintang seni suara tempatan yang sudah tidak asing lagi, Tomok, Black, Jaclyn Victor dan pendatang baharu, RJ. Mereka masing-masing telah mengatur strategi untuk kekal sebagai anak seni yang berkaliber dan disegani. Bertemu dengan mereka pada majlis penyerahan penajaan mikrofon Sennheiser yang mencecah harga RM20,000 setiap seorang oleh syarikat pengedar barangan serta aksesori bunyi dan cahaya, syarikat Acoustic & Lighting System Sdn. Bhd., empat bintang yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Talent Unit & Monkey Bone itu bercerita mengenai perancangan karier seni masing-masing. Black serius berlakon Black yang teruja dengan penajaan mikrofon jenama Sennheiser itu sangat bersyukur. Ini kerana selain diberi kepercayaan untuk menggunakan mikrofon tersebut, dia juga diberi kebebasan untuk memilih warna kesukaannya iaitu merah. Bercerita mengenai perancangan dan strategi dalam karier seninya pada masa akan datang, ujar Black, dia kini mengatur strategi untuk mula mempelbagaikan bakat dalam bidang seninya. Dia juga semakin serius dalam bidang lakonan. "Pengalaman berlakon banyak mematangkan saya mengenai selok-belok dalam bidang lakonan. "Kini, saya mula berasa lebih mudah untuk mengadaptasi persekitaran dunia lakonan. PENGURUS Acoustic & Lighting System Sdn. Bhd., Yeo Kim San (tiga dari kanan) turut hadir pada sidang akhbar penajaan mikrofon Sennheiser kepada Black, Tomok, Jac dan RJ. "Selain itu saya menerima maklum balas yang baik daripada peminat, membuatkan perasaan saya membuak-buak untuk berlakon," ujar pelantun lagu hit Teman Pengganti itu. Tambah Black, bidang seni sangat luas, dan pada masa yang sama dia ingin peminat dan orang ramai mengenali dirinya bukan kerana bakat nyanyian semata-mata tetapi juga bakat lakonannya. "Bidang nyanyian dan lakonan merupakan cabang seni yang sama. Namun, kepelbagaian cabaran yang dihadapi membuatkan saya teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu, "Saya juga akan terus berlakon selagi saya merasakan ia tidak membebankan. Pada masa yang sama, ia tidak mengganggu karier dan jadual nyanyian saya," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Black kini sibuk mempromosikan single terbaharunya bersama rapper terkenal RJ yang berjudul Si Putih Si Merah, selain album penuh terbaharunya dijangka akan diterbitkan pada bulan Jun ini. "Alhamdulillah, maklum balas daripada peminat menerusi lagu Si Putih Si Merah amat memberangsangkan. "Saya dan RJ berharap lagu ini menjadi salah sebuah lagu yang akan bersaing pada Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun depan," ujar pemilik nama sebenar Hanifah Md. Hanafiah itu. RJ ingin solo Mula dikenali menerusi kolaborasinya bersama penyanyi tempatan termasuk Black, Raja Ema, Aishah dan Alif Aziz, Helmy atau lebih mesra dikenali sebagai rapper jambang, RJ kini mula mengorak langkah untuk berdiri secara solo. Keputusan tersebut dilakukan setelah dia kini berasa yakin dengan dirinya untuk berdiri di atas kaki sendiri dan bakatnya dalam bidang nyanyian. Bagaimanapun, RJ mengakui kolaborasinya bersama artis lain merupakan salah satu platfom untuknya supaya dikenali dalam industri hiburan tanah air. Ujarnya: "Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, saya akan merakamkan single terbaharu saya pada bulan Jun ini. "Namun, ia masih lagi dalam peringkat draf dan sedang mencari komposer untuk merakamkan lagu tersebut. "Keputusan drastik ini dilakukan setelah saya berfikir mengenai masa depan dan hala tuju perjalanan saya dalam karier seni. "Saya mengakui sebelum ini tidak begitu serius dalam bidang nyanyian tetapi setelah bergerak solo, saya bertanggungjawab untuk mencorak masa depan karier saya sendiri." Dalam perkembangan yang sama RJ berkata, sebelum ini dia tidak serius dalam bidang nyanyian kerana bertugas sebagai pegawai perhubungan awam untuk sebuah syarikat rakaman, Monkey Bone Sdn. Bhd. POSE RJ, Tomok, Jac dan Black bersama mikrofon Sennheiser masing-masing. Kerjayanya itu menyebabkan dia tidak boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian. "Saya telah melepaskan jawatan tersebut. Sekarang, saya telah bersedia untuk memberi sepenuh komitmen untuk karier nyanyian saya," ujarnya. Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, RJ kini sibuk mempromosikan lagu duetnya bersama Raja Ema, Warna Hatiku. Selain itu, RJ juga berkolaborasi dengan Winnie K menerusi lagu Cukuplah dan sebuah kumpulan pelajar universiti dalam bidang sastera iaitu GLP. Jaclyn selesa, bersyukur Sementara itu, Jaclyn Victor mengakui yang dia mempunyai perancangan besar dengan KRU Music. Bagi pemilik nama Jaclyn Joshua Thanaraj Victor atau lebih mesra disapa Jac itu , dia mempunyai strategi yang tersendiri dalam memastikan kariernya sentiasa konsisten. Menentukan genre muzik yang dinyanyikannya menepati cita rasa pendengar, Jac bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang. Walaupun masih belum berkesempatan melebarkan sayap ke negara luar seperti ikon muzik tempatan lain, Jac percaya bahawa rezekinya telah ditentukan. Dia yakin gilirannya untuk menembus pasaran luar negara bakal menjadi kenyataan kelak. Berada di bawah naungan syarikat milik tiga nama besar industri hiburan tanah air iaitu Yusry Abdul Halim, Norman Abdul Halim, Edry Abdul Halim, ia ternyata bukan tiket untuk Jac berasa selesa. "Saya sangat bersyukur kerana melalui bimbingan KRU Music, dan idea-idea yang bernas, ia mampu membawa perubahan kepada karier muzik saya, Mereka juga mempunyai perancangan besar untuk saya. "Di samping itu, saya selesa dengan KRU Muzik memandangkan mereka memahami apa yang saya mahukan dalam karier muzik saya. "Saya juga menyerahkan seluruh kepercayaan kepada dia kerana tiga lagu yang telah dihasilkan sebelum ini oleh Edry terdiri daripada Sebelah Jiwaku, Jagalah Diri dan Ikut Rentakku mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat muzik tempatan," ujarnya. Tomok tulis lirik Juara program realiti televisyen One In The Million, Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok kini mula meluaskan kerjaya seninya dengan mula berjinak-jinak dengan penulisan lirik. Lagu runut bunyi filem Istanbul Aku Datang merupakan salah sebuah produk hasil tulisan lirik oleh Tomok dan maklum balas yang diterima daripada peminat sangat menggalakkan. "Untuk album ketiga saya, empat daripada tujuh lagu yang dimuatkan dalam album tersebut menggunakan lirik yang ditulis sendiri. Alhamdulillah, setelah lagu Istanbul Aku Datang diterbitkan, ia terima oleh peminat. "Ia membuatkan saya bersemangat untuk menulis lirik dan menghasilkan lagu mengikut cita rasa saya sendiri," ujarnya. Tanbahnya, genre muzik pop rock yang dibawanya sedikit sebanyak telah menjadi titik tolak kepada perubahan karier muziknya. "Saya mengakui perubahan itu perlu untuk kita maju ke hadapan di samping sentiasa melakukan pembaharuan untuk memastikan kita sentiasa diterima oleh para peminat," ujarnya. Dalam pada itu, Tomok kini juga bergiat aktif dalam bidang lakonan dan baharu sahaja selesai daripada penggambaran drama bersiri 13 episod, Suamiku Jururawat bersama Yana Shamsudin. "Saya bersyukur tawaran lakonan semakin bertambah tapi pada masa yang sama saya juga teringin untuk menguji bakat lakonan saya dalam filem jika diberi peluang," ujarnya. | |||
Kokolog! segalanya tentang coklat Posted: Kokolog! segalanya tentang coklat
JIKA anda suka melancong, membuat kerja amal dan memakan coklat, pastinya anda akan tertarik dengan program terbaharu terbitan Primeworks Studios untuk TV9 berjudul Kokolog!. Menggandingkan tiga elemen yang berbeza dan kedengaran agak pelik, namun ia memberi keunikan kepada program tersebut. Program yang diterbitkan dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia itu bertujuan untuk mempromosikan penggunaan koko kepada rakyat Malaysia. Selama ini kita sering mengaitkan koko atau coklat dengan kemanisan serta penyakit. Menurut Penerbit Eksekutif Primeworks Studio, Wan Sabariah Shikh Ali, program ini turut menampilkan resipi unik menggunakan produk berkaitan koko sama ada serbuk koko, kepingan coklat masakan atau lemak koko. "Tujuan program ini adalah untuk mendidik, menyebarkan maklumat dan memberi fakta yang tepat mengenai koko itu sendiri, kegunaannya, khasiat dan kebaikannya. "Segmen memasak dikendalikan oleh hos utama bersama cef jemputan, iaitu sama ada cef tempatan yang pakar dalam sajian unik setempat atau cef selebriti," kata Wan Sabariah. Selain memberi informasi tentang koko, program ini juga akan berkunjung ke lokasi yang menarik sambil membantu mereka yang memerlukan.
Antara contoh khidmat sosial yang ditampilkan ialah merealisasikan cita-cita seorang anak yatim ingin menjadi cef serta memberi sumbangan kepada artis veteran tanah air iaitu Datuk Jamil Sulong yang kini sedang uzur. "Segmen khidmat kemasyarakatan dalam program masakan seperti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran penonton tentang hidup bermasyarakat, di samping dapat mempelajari resipi terbaharu yang menggunakan produk daripada koko," ujar Wan Sabariah. Pemilihan Qushairi Razali yang dikenali sebagai Qi sebagai pengacara dianggap tepat kerana selain suka melancong, dia juga boleh memasak dan merupakan seorang penggemar coklat. "Saya seronok sepanjang penggambaran program ini kerana saya dapat berjalan ke lokasi yang menarik, memasak dan pada masa yang sama dapat membantu insan yang memerlukan. "Selalunya program yang berasaskan coklat hanya menampilkan cef untuk memasak tetapi program ini sangat berbeza. Saya pun ada memasak sendiri dalam program ini," balas Qi. Program sebanyak 13 episod itu yang turut menjelajah sehingga Sabah dan Sarawak itu bersiaran di TV9 mulai 2 Mac lalu, setiap Ahad pada pukul 10 pagi. - HARYATI KARIM | |||
Dayang, Marcell kembali bersama Posted: Dayang, Marcell kembali bersama Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
Kali terakhir menjalinkan kolaborasi ketika membuat persembahan di Malaysia empat tahun lalu, kini penyanyi Dayang Nurfaizah bakal kembali bersama penyanyi kelahiran Indonesia, Marcell Siahan beraksi di pentas Panggung Sari, Istana Budaya esok. Dayang yang ditemui ketika menjalani latihan di sebuah studio di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu memberitahu, sudah lama dia teringin untuk berkongsi pentas dengan penyanyi kegemarannya itu. "Pada tahun 2010, saya dan Marcell pernah membuat persembahan bersama dalam sebuah mini showcase di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. Kali ini kami diberi kesempatan beraksi di pentas yang lebih besar pula. "Sudah tentu ia merupakan suatu peluang dan penghargaan yang cukup bermakna buat diri saya serta dapat pula berkolaborasi dengan penyanyi yang hebat seperti Marcell," luahnya dengan nada gembira. Bercerita lanjut mengenai konsert yang diberi nama Pesona Cinta Dayang Nurfaizah & Marcell, penyanyi berkenaan memberitahu, segala persiapan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Ujarnya, dia akan menyampaikan sebanyak 10 buah lagu dalam tempoh satu jam manakala Marcell pula akan menghiburkan peminat menerusi lagu-lagu nyanyiannya dalam tempoh satu jam lagi. "Berkenaan dengan lagu yang akan saya persembahkan nanti, biarlah ia diketahui oleh peminat yang hadir nanti. Apa yang boleh saya katakan, sebanyak 10 buah lagu akan dinyanyikan, termasuk beberapa buah lagu secara medley. "Kalau diikutkan memang banyak lagu yang ingin saya persembahkan, cuma faktor masa yang agak terhad menjadi halangan. Saya berharap agar peminat yang hadir berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan nanti," kata dayang. Selain membuat persembahan secara solo, Dayang menyatakan, terdapat dua buah lagu yang akan dinyanyikan secara duet bersama Marcell iaitu Sayang dan Hanya Memuji semasa konsert berkenaan. DAYANG kini giat menjalani latihan sempena konsert Pesona Cinta Dayang Nurfaizah & Marcell yang dijadual berlangsung pada 29 Mac ini. "Sudah tentu Sayang merupakan lagu wajib yang dipersembahkan memandangkan ia memang lagu duet kami manakala Hanya Memuji pula dipilih kerana ia sebuah lagu yang bagus dan sesuai untuk kami bawa secara duet," ujarnya. Bagi peminat yang ingin untuk menyaksikan konsert anjuran Jag Event itu, tiket-tiket berharga RM150, RM250, RM350, RM450 dan RM550 masih lagi dijual. Keterangan lanjut dan tempahan boleh dibuat dengan melayari laman web www.jagtickets.com. Tidak kisah Selain bercerita tentang konsertnya yang bakal berlangsung, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu menyatakan, ketika ini dia sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Di Pintu Syurga. Ujarnya, dia gembira apabila lagu hasil ciptaan Tam Spider (lagu) dan Iman Imran (lirik) semakin mendapat tempat di hati peminat sejak menjadi runut bunyi untuk drama bersiri Arianna Rose yang disiarkan di TV3. "Pada mulanya saya berasa agak bimbang sama ada lagu berkenaan dapat diterima peminat atau tidak. Bagaimanapun, maklum balas yang diterima sangat positif apabila ramai yang menggemarinya. "Sebenarnya, saya sendiri tidak menyangka Tam boleh menghasilkan lagu balada yang sangat bagus dan sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar ia dapat dipertandingkan sehingga ke Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun ini," ujarnya. Ketika ditanya apa yang membuatkan dia masih mahu bersaing di AJL memandangkan kebanyakan penyanyi senior enggan mengambil bahagian, penyanyi berkenaan menjelaskan, dia seorang individu yang gemar kepada persaingan. "Kali terakhir saya menyertai AJL ialah pada tahun 2004 menerusi lagu Erti Hidup. Jadi, sudah sembilan tahun saya tidak berpeluang untuk beraksi di pentas yang berprestij seperti AJL ini. "Saya tidak kisah kalau tewas di tangan penyanyi muda kerana menang atau kalah memang adat bertanding. Apabila bersaing dalam sesebuah pertandingan itu, tidak harus timbul siapa yang lebih senior kerana paling penting perlu fokus kepada persembahan," jelasnya mengakhiri bicara. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan