Jumaat, 28 Mac 2014

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Berkorban demi misi bantuan kemanusiaan

Posted:

Berkorban demi misi bantuan kemanusiaan

Berkorban demi misi bantuan kemanusiaan

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

BERGELAR seorang pakar estetik, Dr. Chen Tai Ho mengakui amat mementingkan penampilan diri apabila berada di khalayak.

Malah, jika melihat gaya dan perwatakannya yang sentiasa ceria, pasti ramai tidak percaya bahawa anak kelahiran Setiawan, Perak ini sudah pun mencecah usia 36 tahun.

Apa yang pasti, penglibatannya dalam dunia kecantikan menyebabkan Tai Ho mahu kelihatan menarik terutama dalam kalangan pelanggan di Klinik Mediviron UOA yang terletak di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

"Sekurang-kurangnya apabila pelanggan melihat saya, pasti mereka yakin dengan perkhidmatan rawatan kecantikan yang ditawarkan di klinik saya ini," ujar Tai Ho yang turut mementingkan tahap kesihatan diri dengan melakukan pemeriksaan darah setiap bulan.

Namun, apa yang istimewa mengenai beliau ialah di sebalik kejayaan yang dicapai sebagai Pengasas dan Pemilik Klinik Mediviron UOA, siapa sangka Tai Ho mempunyai hati yang murni apabila sering menyertai misi bantuan kemanusiaan sama ada di dalam mahupun luar negara.

Mengulas mengenai kerja amal yang dilakukan, Tai Ho memberitahu. ia bermula ketika menjadi ahli Kelab Rotary sewaktu melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998.

"Melalui kelab ini, banyak aktiviti kebajikan diadakan seperti membantu golongan penagih dadah, pengemis dan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

"Antaranya, memberi makanan, rawatan dan pemeriksaan kesihatan kepada mereka secara percuma. Sebagai pelajar perubatan, saya turut membantu mencuci luka golongan penagih berkenaan. Ia satu pengalaman yang sangat mengujakan," terang Tai Ho yang kemudian terus berminat dalam melakukan kerja-kerja amal.

Sebaik menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan pada tahun 2001, Tai Ho telah bekerja sebagai pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan.


TAI HO merawat seorang wanita yang merupakan penduduk di daerah Ormoc, Filipina sewaktu menyertai misi bantuan kemanusiaan Taufan Haiyan, November lalu.


Sukarelawan

Dua tahun kemudian, apabila berlaku tragedi gempa bumi di Bam, Iran yang mengorbankan kira-kira 27,000 orang dan mencederakan lebih 30,000 yang lain, Tai Ho telah membuat permohonan kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) untuk tampil sebagai sukarelawan.

Walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk ke sana lantaran kekurangan dana daripada pihak Mercy Malaysia ketika itu, Tai Ho tidak peduli. Paling utama, beliau mahu membantu setakat yang termampu.

"Saya bersyukur pihak majikan memberi cuti tanpa rekod apabila memaklumkan mengenai perkara tersebut. Saya ke sana bersama seorang rakan, Khairol untuk merawat mangsa gempa.

"Selama tiga minggu di wilayah Bam dengan suhu 4 darjah Celcius, pelbagai pengalaman kami tempuhi bersama. Kami tidur di khemah hanya beralaskan tikar nipis. Bekalan elektrik diperoleh melalui generator manakala talian telefon dan internet tiada langsung.

"Air bersih pula sangat terhad. Ia hanya digunakan untuk mencuci muka, memberus gigi, minum dan memasak. Bayangkan saya tidak mandi selama tempoh tersebut," cerita Tai Ho yang membantu memberi rawatan untuk mangsa yang menghidap batuk, selesema, darah tinggi, kutu dan tekanan di sana.

Berkongsi pengalaman lain, tambah beliau, sepanjang tiga minggu di Bam, makanan yang disediakan untuk sukarelawan ialah kambing. Daripada sarapan, makan tengah hari, makan malam dan lewat malam, semuanya berasaskan daging kambing.

"Justeru, hingga ke hari ini saya tidak lagi makan daging kambing. Saya sudah puas menikmati menu tersebut di Iran," tuturnya berjenaka.

Selain di Bam, Tai Ho juga pernah mengikuti misi bantuan kemanusiaan di Sri Lanka, India akibat banjir besar dan terbaru di Filipina yang dilanda Taufan Haiyan pada November 2013.


TAI HO (tiga dari kiri) bergambar bersama para doktor yang menjadi sukarelawan untuk misi bantuan kemanusiaan ke Filipina yang dilanda Taufan Haiyan tahun lalu.


Amat sedih

Tai Ho yang masih bujang berkata, ketika berada di daerah Ormoc, sebuah pulau di wilayah Layte, Filipina, beliau amat sedih melihat keadaan di negara itu.

"Penduduk di sana sangat miskin. Semua perkhidmatan termasuk untuk mendapatkan rawatan di klinik perlu dibayar. Ada satu kes apabila seorang bayi demam akibat jangkitan paru-paru dan memerlukan dia ditahan di hospital, namun tidak diterima kerana ibu bapanya kekurangan wang bernilai 70 sen sahaja.

"Klinik kesihatan di sana juga kecil dan doktor hanya datang sebulan sekali. Kebanyakan kanak-kanak menghidap penyakit cacing lantaran kekurangan nutrisi.

"Memang sedih melihat situasi tersebut, tetapi itulah realiti kehidupan rakyat di sana. Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur di atas nikmat kehidupan yang ada di negara tercinta ini," ungkap anak sulung dari tiga beradik itu.

Itulah antara pengalaman doktor kecantikan ini di luar negara. Untuk lokasi bantuan dalam negara pula, ia meliputi kawasan di Kelantan, Kedah yang dilanda banjir, Pulau Pinang sewaktu tsunami 2006 dan sekitar Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan, Tai Ho turut menjadi doktor sukarela di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di Chow Kit di samping memberi suntikan vaksinasi kepada pelarian Rohingya.

"Semua ini saya lakukan untuk kepuasan diri. Jika sebagai pakar estetik, saya gembira apabila melihat pelanggan menjadi semakin cantik dan berseri selepas menjalani rawatan, tetapi sebagai sukarelawan, saya puas melihat wajah insan-insan yang dibantu," kata Tai Ho menutup bicara pertemuan kami di klinik beliau di Jalan Pinang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Riak emosi mata MH370

Posted:

Riak emosi mata MH370

Riak emosi mata MH370

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
diyanatul.atiqah@kosmo.com.my


SALAH seorang ibu penumpang MH370 meraung setelah mendengar pengumumkan pengakhiran MH370.


"KEMBALIKAN anak saya! Kembalikan anak saya!". Itulah jeritan seorang wanita China yang melutut sambil menangis dan akhirnya pengsan kerana tidak dapat menahan sebak di dada.

Beberapa yang lain kelihatan sugul di hujung penjuru kerana tidak dapat 'menelan' berita yang didengar, selebihnya mata-mata lesu kembali ditakungi air dan segelintir menekup tangan cuba menyorokkan kesedihan.

Itulah reaksi sebahagian ahli keluarga penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 selepas dimaklumkan tentang pengakhiran pesawat itu di lautan bergelora Lautan Hindi, di barat Perth, Australia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu.

Sesungguhnya, harapan dan penantian setia mereka menunggu kepulangan suami, isteri, anak-anak dan insan-insan disayangi sejak 8 Mac berakhir dengan tamparan yang tidak akan dilupakan.

Siapa sangka, kata-kata, pelukan dan ciuman selamat tinggal diberikan kepada insan dicintai ketika di lapangan terbang menjadi pertemuan kali terakhir.

Paling meruntun jiwa rakyat Malaysia apabila salah seorang penumpang, Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, sempat memuat naik gambar bersama ibu kesayangan dengan kata-kata, 'semoga kita berjumpa lagi, insya-Allah' beberapa minit sebelum penerbangan.


SEORANG ahli keluarga mangsa yang menangis terpaksa dibantu selepas dia terjatuh di eskalator di Hotel Lido, Beijing.


Bagaimanapun, "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Ayahnya, Ibrahim Abd. Razak, 76, berkata, dia kini reda dan perlu menjadi kuat demi ahli keluarga yang lain.

"Sebagai ketua keluarga kena kuat dalam hal ini, kalau saya sedih, isteri saya lagi sedih. Jadi saya perlu lebih tabah supaya dapat menenangkan ahli keluarga yang lain," katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Everly, Putrajaya.

Mohamad Sofuan merupakan anak lelaki tunggal daripada dua beradik, bekerja sebagai pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Pada saat satu dunia mengalunkan lagu-lagu sayu, pihak kerajaan tetap meneruskan usaha mencari serpihan yang didakwa milik pesawat MH370 untuk tindakan pencarian kotak hitam.

Usaha mencari MH370 telah menjadi usaha multinasional melibatkan 25 negara dengan dipimpin oleh Malaysia. Antara negara-negara yang terlibat termasuklah Kazakhstan, Turkmenistan, Uzbekistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Australia.

Diteruskan

Mengetuai operasi pencarian, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertegas, kerajaan Malaysia tidak akan berhenti mencari bagi mengetahui punca tragedi tersebut.


BACAAN Yasin dialunkan oleh ahli keluarga penumpang penerbangan MH370 di sebuah hotel di Putrajaya.


"Saya optimis pencarian serpihan akan diteruskan walaupun berdepan cabaran seperti gangguan cuaca selain masalah teknikal, diplomatik dan logistik.

"Selepas disahkan, barulah kita akan cari kotak hitam pula bagi merungkai setiap persoalan yang bermain di fikiran dunia," katanya.

Kini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berusaha mengesan perakam tersebut menggunakan alat pengesan Towed Pinger Locator yang dipinjamkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

Operasi mengesan bangkai pesawat menggunakan kaedah yang sama untuk mengesan Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada tahun 2009 yang membabitkan kos lebih daripada AS$40 juta (kira-kira RM120 juta).

Berhadapan krisis terbesar pernah dialami, syarikat penerbangan itu turut bertanggungjawab dan memberi bantuan terbaik kepada ahli keluarga mangsa.

Sebelum ini, MAS memberikan bantuan AS$5,000 (RM16,000) kepada setiap ahli keluarga kesemua penumpang dan anak kapal MH370. Terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya turut menawarkan perjalanan ke Australia kepada ahli keluarga yang membuat permintaan untuk ke negara itu.

Dalam pada itu, kerajaan turut menimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Pesawat MH370 mula mendapat perhatian dunia apabila hilang dari radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi dan gagal mendarat di Beijing pada 8 Mac, 6.30 pagi. Pesawat tersebut membawa 227 penumpang dan 12 kru.

Peluang saksi bola sepak di Brazil

Posted:

Peluang saksi bola sepak di Brazil

Peluang saksi bola sepak di Brazil


EUNICE (tengah) ketika pelancaran peraduan Road 2 Brazil di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.


SELAKU penaja penjagaan kesihatan rasmi FIFA, Johnson & Johnson menawarkan dua tempat duduk di stadium di Sao Paulo, Brazil secara percuma kepada seorang pemenang bertuah.

Peraduan itu bagi menyemarakkan lagi semangat rakyat Malaysia untuk melihat aksi pemain bola sepak yang diminati mereka dalam kejohanan Piala Dunia FIFA Brazil 2014.

Peraduan Road 2 Brazil itu boleh direbut dengan mengisi borang penyertaan menerusi setiap pembelian ubat kumur Listerine bersama mana-mana produk Johnson & Johnson dalam satu resit tunggal minimum bernilai RM30.

Borang penyertaan perlu dihantar melalui pos atau dalam talian aplikasi di laman apps.facebook.com/jnjcaringforyourteam bersama imbasan bil pembelian.

Pengarah Komersial Johnson & Johnson Sdn. Bhd., Eunice Tan berkata, acara tersebut telah dilancarkan pada awal Mac lalu dan akan berakhir pada 30 April depan.

"Peraduan ini dibuka selama dua bulan bagi memberi masa yang secukupnya kepada peminat bola sepak Piala FIFA merebut sebanyak mana peluang yang mereka mampu untuk meraih hadiah lumayan.

"Ini juga merupakan antara bentuk ganjaran sebagai menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh orang ramai kepada kami," jelasnya ketika ditemui di Pasar Raya Besar Mydin di Subang Jaya, Selangor.

Selain diterbangkan ke Brazil, pemenang hadiah utama turut ditaja penginapan empat hari dan tiga malam untuk dua orang, lawatan ke perkampungan pemain dan jemputan ke majlis makan malam serta hadiah eksklusif daripada Johnson & Johnson.

Dalam pada itu, Peraduan Road 2 Brazil itu turut menyediakan 111 jersi bola sepak jenama Adidas sebagai hadiah sagu hati kepada pemenang yang bertuah.

Terdahulu, pertandingan tersebut dimeriahkan lagi dengan aktiviti Pameran Bergerak Johnson & Johnson Piala Dunia FIFA Brazil yang merentasi 45 tempat tumpuan orang ramai di seluruh negara bermula 1 Mac lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved