Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Main iPad hingga mengantukMATANYA sedikit pun tidak mengerling ke arah tetamu yang hadir, jauh sekali mengambil tahu apa yang berlaku. Sebaliknya, jari-jemarinya menggenggam erat sebuah iPad sambil sesekali menyentuh skrin tablet itu. Sambil ibunya menghidangkan juadah minum petang buat tetamu, kedengaran panggilan si ibu mengajak kanak-kanak tadi untuk makan bersama. Tanpa berganjak sedikitpun dari kedudukannya, Umar Fadhullah Md. Akhir@ Ezral, 3, hanya mengangakan mulut sebagai tanda minta disuap. Respons yang diberikan kanak-kanak itu bukan suatu yang asing bagi ibunya, Azmah Abdul Wahab, 32. Bahkan, Azmah sendiri sudah lali dengan perangai anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu. Sentiasa menghabiskan masa melayari internet dan bermain aplikasi permainan Angry Bird, Umar Fadhullah seakan-akan berada dalam dunianya sendiri. Dia mengabaikan kehadiran siapa sahaja di sisi termasuk kakaknya, Khairunissa Azzahra (Zara), 5, dan saudara kembarnya, Abu Bakar Fadhlullah. Menceritakan sikap anaknya itu, Azmah berkata, keadaan semakin rumit sejak setahun lalu apabila Umar Fadhullah akan menghabiskan masa sehingga enam jam bersama gajet berkenaan. "Selagi bateri tidak habis, iPad itu akan berada di tangannya. Begitu juga ketika mahu tidur. Dia akan bermain tablet itu sehingga mengantuk baru dia lepaskan," ujar wanita itu. Ketagihan Azmah dan suaminya, Md. Akhir @ Ezral Jaaffar, 42, terpaksa memberi iPad berkenaan kepada Umar Fadhullah untuk mengelakkan anaknya itu meragam dan memberontak. Katanya, sejak mempelajari cara membuka laman YouTube, ketagihan si anak itu semakin menjadi-jadi. Pasangan tersebut mengakui buntu dengan sikap anak mereka yang berubah menjadi antisosial sedangkan anak mereka yang lain turut terdedah dengan penggunaan gajet seawal usia dua tahun. "Zara sudah bermain dengan iPad dan telefon pintar saya sejak berumur dua tahun. Tetapi dia akan memulangkan peranti itu apabila terasa bosan. "Umar dan Abu Bakar pada ketika itu terlalu kecil dan mereka sekadar melihat kakak bermain dalam gajet berkenaan," jelasnya. Berbeza dengan saudara kembarnya, Abu Bakar Fadhlullah lebih gemar bermain alat permainan. Pasangan yang menetap di Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur itu mengakui kedua-dua anak lelaki mereka masih belum boleh bertutur dengan baik. Bagaimanapun, Abu Bakar Fadhlullah lebih mudah menerima arahan berbanding Umar Fadhullah. Sungguhpun demikian, mereka terkejut Umar Fadhullah sering kali mengucapkan beberapa ayat ringkas dalam bahasa Inggeris seperti "What is this? Yes dan No." Tidak menolak ia mungkin berkait rapat dengan aplikasi yang terdapat dalam gajet berkenaan, Azmah memaklumkan dia juga sering melihat anaknya bermain permainan strategi yang memerlukan pemahaman menyeluruh bagi menjayakan permainan itu. Kemahiran bahasa
Keadaan berbeza bagi pasangan Lamzah Ibrahim, 51, dan isteri, Sharmila Abdul Rashid, 43. Mereka yakin perkembangan minda ketiga-tiga anak mereka terutamanya dalam penguasaan bahasa Inggeris telah dipengaruhi penggunaan gajet. Malah anak sulung mereka, Amir Lamzah, 17, yang kini menuntut di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Amir, yang sedang membuat persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, mengakui bahawa gajet dan permainan video seperti Playstation (PS) banyak membantunya menguasai bahasa Inggeris. Dia, yang juga merupakan Ketua Pelajar SDAR, berkata, pengawasan ibu bapa sangat penting dalam memastikan gajet memberi kesan positif terhadap perkembangan minda anak-anak. Mengakui agak kurang gemar membaca, dia banyak belajar bahasa Inggeris melalui permainan video dan peranti pintar. "Jika saya tidak tahu sesuatu perkataan, saya akan bertanya kepada adik atau ibu bapa saya. "Di situ berlakunya perkongsian ilmu dan makna yang dicari akan diingati oleh setiap ahli keluarga," kata penerima Anugerah Tokoh Pelajar Lelaki Negeri Sembilan itu. Pemantauan Amir yang mengemari produk keluaran Apple Inc. seperti iPod, iPad dan iPhone, suka menghabiskan masa melayari laman sosial. "Saya bersyukur kerana ada ibu bapa yang sangat memahami keperluan anak mereka, di samping mengawal penggunaan gajet yang ada," katanya. Sementara itu, Sharmila yang juga ibu kepada Anwar, 14, dan Anis Syuhada, 12, bersyukur apabila kesemua anaknya berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka. Dia yang tidak mempunyai rahsia tertentu dalam mencoret kejayaan itu berkata, ibu bapa perlu menjadi guru dan mengawal anak-anak agar tidak terlalu leka, terutamanya dalam perkara yang membabitkan teknologi. "Saya akan beli setiap gajet yang mereka minta. Bagaimanapun, mereka sentiasa ditanya, sejauh mana mereka layak menerima penghargaan itu. "Kecemerlangan tidak sahaja dalam pelajaran bahkan pembangunan sahsiah, kehidupan sosial dan aktif dalam kokurikulum," katanya yang tidak teragak-agak mengambil semula gajet yang diberi sekiranya anak-anak menunjukkan kemerosotan dalam pencapaian sekolah. Menurut Sharmila, sejak kecil, anak-anaknya diajar untuk berusaha sebelum memperoleh barangan yang mereka hajati. "Kalau hampir waktu peperiksaan, mereka hanya akan dibenarkan bermain peranti itu selama sejam atau dua jam sahaja," jelasnya. | ||
Gali ilmu guna buku bukan gajet Posted: Gali ilmu guna buku bukan gajet
BUKU merupakan guru yang tidak pernah marah, juga teman yang tak kenal lelah. Demikian ungkapan yang pernah dipegang suatu masa dahulu tetapi semakin hapus ditelan zaman. Jika dahulu buku menjadi sumber utama menghilangkan rasa bosan dan mengisi masa lapang, kewujudan gajet seperti telefon pintar dan tablet seakan-akan menghapuskan hubungan antara buku dan manusia. Namun pendedahan gajet terhadap kanak-kanak ketika mereka masih belum matang menimbulkan kesan yang lebih menakutkan kerana dikhuatiri membentuk sifat pentingkan diri dan antisosial. Arreessa Zulaikha Muhammad Faiz berusia tiga tahun sangat meminati buku dan petah berbicara tanpa berbunyi pelat. Terdedah dengan bahan bacaan sejak berusia dua bulan, pasangan suami isteri, Muhammad Faiz Mohammed Saaid, 28, dan Ainul Fadzilah Mohd. Mustafa, 28, bersyukur anak tunggal mereka itu mudah bersosial dan penuh dengan sifat ingin tahu. Ainul berkata, dia dan suami tidak pernah mendedahkan Arreessa Zulaikha dengan sebarang gajet, sama ada tablet atau telefon pintar, kerana mahu mewujudkan komunikasi dua hala terutamanya dalam meluangkan masa sebagai sebuah keluarga. "Saya dan suami memang suka membaca dan sejak Arreessa Zulaikha dalam kandungan lagi saya akan membacakan pelbagai cerita menarik berunsurkan nasihat untuknya. "Apabila dia lahir dan mula belajar memegang, kami beralih kepada buku-buku bergambar yang mempunyai pelbagai warna yang menarik perhatian," katanya. Ainul Fadzilah menambah, selain membaca, mereka juga sering bertukar pendapat dan membiarkan Arreessa Zulaikha berhujah dengan jawapannya. "Kami berpendapat ia merupakan langkah yang baik dalam meluangkan masa berkualiti bersama,"katanya. Keupayaan menghafal surah Ainul Fadzilah yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, antara kesan positif yang dapat dilihat melalui minat anaknya membaca ialah anaknya keupayaan menghafal surah tiga Qul dan al-Fatihah. "Pada setiap malam, sama ada saya atau suami akan bersama Arreessa Zulaikha sebelum dia tidur untuk membacakan kisah-kisah nabi dan rasul. "Kami pernah tersentak kerana secara tiba-tiba dia bertanya siapakah nenek Rasul. Sewaktu itu saya sendiri tidak terfikir dia akan bertanya soalan luar daripada intipati buku itu," katanya. Ketika ditanya mengenai pendekatan ibu bapa moden yang memilih gajet sebagai alat mengalih perhatian anak mereka, Ainul ternyata kecewa dengan keadaan itu. "Anak-anak akan menjadi malas, tidak belajar untuk bersosial. Mungkin boleh menimbulkan masalah kesihatan sekiranya mereka ketagihan. "Anak kita memerlukan perhatian daripada ibu bapa dan penyelesaiannya adalah buku bukan gajet," tuturnya. Sementara itu, Jururunding dan Pelatih Buku Bergambar Kanak-kanak, Fazeila Isa berkata, buku adalah instrumen yang tepat untuk ibu bapa menggantikan gajet. Katanya, melalui bahan bacaan, ia dapat mewujudkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak mereka. "Perkembangan otak kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga dua tahun adalah sangat pesat dan pada ketika ini, mereka dipenuhi dengan sifat ingin tahu. "Gajet melemahkan daya pemikiran si anak kerana tidak mewujudkan komunikasi dua hala. Berbeza dengan buku yang mampu memberikan rangsangan minda," katanya. Kesesuaian buku Fazeila berkata, terdapat pelbagai bahan bacaan di pasaran yang sesuai untuk si kecil mengikut usia mereka. Ini bermula enam bulan bagi jenis buku kain atau lembut, diikuti buku bergambar kemudian buku bergambar dan bertulis. Menurutnya kesesuaian bahan bacaan harus berubah mengikut tahap usia kanak-kanak. Bagaimanapun, tegas beliau, segala usaha untuk mewujudkan amalan membaca dalam kalangan anak-anak menuntut ibu bapa meluangkan masa bersama mereka. "Tidak perlu terlalu pening memikirkan tempoh yang diperlukan. Cukup sekadar 15 minit sehari. Namun demikian, lebih lama lebih bagus," jelasnya. Fazeila menambah, dalam tempoh itu ibu bapa boleh bertanya kepada anak mereka beberapa soalan di luar intipati buku berkenaan. "Ia akan meningkatkan kemampuan anak kita berfikir secara kreatif dan kritis. Contohnya, cerita dongeng mengenai Cinderella yang tamat dengan putera raja berjaya menemui kasut kaca miliknya. "Ajukan soalan kepada mereka,'Apakah yang berlaku sekiranya putera itu tidak menemui pemilik kasut kaca berkenaan?' Jawapan yang diberikan tiada betul dan salah, sebaliknya membantu dalam perkembangan mereka berfikir," cadangnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan