Jumaat, 22 November 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kepentingan kumpulan sokongan

Posted:

Kepentingan kumpulan sokongan

Kepentingan kumpulan sokongan

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

BAYI yang diberikan susu ibu biasanya mempunyai antibodi yang kuat dan membesar secara sihat.


SEJAK melahirkan cahaya mata sulung pada 26 Ogos lalu, Mastura Abu Samah mengakui seronok melalui fasa baharu kehidupan bergelar ibu.

Sebagai wanita, Mastura, 29, berkata, hidupnya kini terasa lengkap dengan kehadiran permata hati yang diberi nama Putra Aidiltullah itu.

Apatah lagi sewaktu kali pertama berpeluang menyusukan bayinya, hati Mastura terasa damai melihat keasyikan si anak melakukan 'kerjanya'.

"Alhamdulillah, sukar untuk saya mengungkap perasaan yang terbit dalam diri ketika menyusukan Putra. Rasa seperti ingin menangis pun ada.

"Walaupun pada mulanya, saya sedikit gementar dan takut kerana pengalaman membaca kisah-kisah kelahiran pertama termasuk kesakitan sewaktu menyusukan bayi bermain di fikiran. Tetapi, berkat sokongan suami dan para jururawat di hospital ini, saya berjaya melakukannya dengan baik," ujar Mastura yang memilih untuk melahirkan bayi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehingga kini, Mastura masih lagi menyusukan bayinya secara eksklusif dan berharap dapat melakukan rutin tersebut sehingga dua tahun.

Dalam pada itu, Muhammad Rohaimi Mohd, Tasrif, 27, sebagai suami sudah tentu bersyukur kerana dikurniakan zuriat sebagai pengikat kasih sayang bersama isterinya.


TUNJUK ajar daripada jururawat di hospital membantu para ibu muda mengetahui teknik penyusuan bayi yang betul.


Sokongan

Justeru, sebolehnya dia mahu anaknya mendapat zat terbaik daripada pemberian susu ibu yang diketahui besar manfaatnya.

"Sebelum ini, saya ada mengikuti kelas antenatal yang menekankan tentang kepentingan susu ibu terhadap bayi yang baru lahir. Jadi, saya perlu menyokong penuh perkara ini, terutamanya dalam memberi semangat kepada isteri untuk berbuat demikian.

"Sokongan ini penting bagi menunjukkan keprihatinan saya terhadap isteri yang telah bersusah-payah mengandung dan melahirkan anak kami ke dunia," ungkap Muhammad Rohaimi ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Berdasarkan panduan yang digariskan Perikatan Antarabangsa Untuk Tindakan Penyusuan (WABA), terdapat lima cabang yang membentuk kumpulan sokongan susu ibu.

Ia terdiri daripada keluarga dan rangkaian sosial, sistem penjagaan kesihatan, suasana kerja dan persekitaran, kerajaan dan penggubalan undang-undang serta respons terhadap krisis atau kecemasan.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) HKL, Dr. Noor Haliza Yussoff, 52, berkata, menyentuh soal sokongan, setiap ibu yang melahirkan bayi perlu diberi pendedahan dan didikan mengenai kepentingan susu ibu dari peringkat antenatal lagi.

Ujarnya, mereka biasanya akan diberikan maklumat untuk melakukannya dan dibantu jika ada sebarang masalah oleh jururawat terlatih.

"Namun, apabila pulang ke rumah, ketika itulah masalah akan berlaku yang melibatkan campur tangan keluarga seperti ibu atau ibu mertua, terutamanya dalam aspek membabitkan penyusuan bayi.

"Bila anak menangis kerana lapar, biasanya mereka akan menyuruh si ibu memberi susu botol kepada bayi," ujar beliau sambil memaklumkan antara kebaikan terbesar susu ibu ialah melindungi bayi daripada jangkitan bakteria dan virus.


PEMILIHAN baju yang mesra bayi juga membolehkan penyusuan susu ibu dilakukan pada bila-bila masa tanpa sebarang rasa malu.


Dari segi zat, susu yang diberi secara terus atau diperah masih sama. Cuma bezanya, ikatan kasih sayang antara ibu dan anak sewaktu menyusu membuatkan mereka menjadi lebih rapat.

Terang Noor Haliza, susu ibu menyediakan khasiat yang diperlukan oleh bayi.

" Susu ibu hidup dan tidak mati. Ia akan menyesuaikan diri dengan kandungan yang diperlukan bayi dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun.

"Berbanding susu formula, zatnya statik. Apa yang diletak itulah kandungan yang ada di dalamnya sampai bila-bila," katanya.

Noor Haliza berkata, golongan ibu muda pada hari ini semakin menyedari keperluan menyusukan anak secara eksklusif.

Bagaimanapun, beliau mahu menyampaikan mesej bukan sahaja kepada si ibu dan suami malah kaum keluarga serta rakan-rakan supaya apabila kembali ke pangkuan masyarakat, mereka memperoleh sokongan penuh bagi penyusuan susu ibu.

Menurutnya, trend ibu-ibu mengandung sekarang menyaksikan mereka datang ke kelas antenatal bersama ibu sendiri atau ibu mertua. Situasi sedemikian amat dialu-alukan kerana secara tidak langsung mereka akan mendapat pengetahuan tentang kepentingan susu ibu.


RAMAI wanita berkerjaya semakin menyedari kepentingan susu ibu kepada si anak dan sanggup memerahnya ketika berada di pejabat. - Gambar hiasan


Susu formula

Tambah beliau, susu formula mula berkembang pada awal 70-an. Sebelum itu, semua ibu menyusukan bayi mereka dengan susu badan.

"Bagaimanapun, iklan yang ditayangkan di media massa secara meluas seolah-olah menampakkan susu formula itu susu yang terbaik. Lama-kelamaan masyarakat seumpama 'diprogram'.

"Maka, berlakulah persepsi yang menyebabkan mereka ingin memberi susu formula pada anak masing-masing. Ini kerana pada anggapan mereka, sesiapa yang memberi susu ibu dilihat seperti orang miskin," ungkapnya.

Menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil inisiatif menggubal satu akta yang menghalang pengiklanan untuk susu formula bayi berusia dua tahun ke bawah. Kod tata etika dalam penggubalan undang-undang ini telah dimulakan pada tahun 1990-an.

"Sehingga sekarang hanya susu formula untuk anak-anak yang berusia dua tahun ke atas yang dibenarkan bagi tujuan pengiklanan.

"Selain itu, di bawah kod tata etika ini juga, setiap kotak atau tin susu harus ditulis bahawa susu ibu adalah susu terbaik. Kod ini akan dikaji semula setiap dua tahun untuk ditambah baik," jelas Noor Haliza.

Sepanjang 25 tahun dalam bidang O&G, ibu kepada tiga cahaya mata ini turut berkongsi pengalaman yang dilihat dalam aspek perbezaan penyusuan susu ibu.

"Dahulu, jarang kita lihat ibu-ibu menyusukan bayi mereka ketika berada di wad. Rata-rata akan memberi susu botol pada anak yang baharu dilahirkan. Lantaran itu, pergerakan untuk memastikan penyusuan ibu berlaku secara meluas pada tahun 1991.

"Ketika itu, penggunaan botol susu dilarang sama sekali di semua hospital kerajaan. Alhamdulillah, setakat ini usaha kita telah menunjukkan hasilnya. Tidak ketinggalan, semakin banyak hospital swasta turut menyokong perkara ini," kata beliau yang mengakui daripada tiga orang anaknya, hanya yang bongsu berpeluang menyusu secara eksklusif dengannya selama dua tahun.

Semua itu disebabkan mentaliti beliau dan faktor persekitaran yang kurang menyokong perkara tersebut. Meskipun sedikit ralat, namun Noor Haliza tetap bersyukur kerana akhirnya perjuangan untuk memartabatkan pemberian susu ibu mencapai kejayaan.

Keindahan susu ibu anugerah Allah

Posted:

Keindahan susu ibu anugerah Allah

Keindahan susu ibu anugerah Allah

FATIMAH SYARHA


ISLAM menganjurkan seorang ibu semaksimum mungkin berusaha menyempurnakan susuannya sehingga dua tahun penuh.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: "Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan."

Menurut pendakwah bebas, Ustazah Fatimah Syarha Mohd. Noordin, al-Quran turut menganjurkan mesyuarat atau perbincangan dilakukan antara suami dan isteri jika mahu menceraikan susu anak sebelum usianya dua tahun.

"Jika diperhalusi kajian sains, seksanya seorang anak kecil untuk melalui alam bayinya jika dia tidak mendapat khasiat susu terbaik di dunia. Ini kerana hanya susu ibu paling serasi dengan keperluannya.

"Justeru, menyusu anak bukan satu beban tapi satu kenikmatan. Indahnya perasaan ibu tatkala dapat menatap si permata hati dalam pelukan. Bertasbih dan mensyukuri kehadirannya. Bercakap-cakap dan mengajar anak tersebut tentang Pencipta mata, hidung dan telinganya.

"Bagi si bayi pula, susu ibu bagaikan ubat penenang. Selasak manapun dia seperti meniarap, merangkak atau bertatih, dia pasti akan ditawan oleh susu ibu," jelas Fatimah Syarha yang juga merupakan pembimbing motivasi.

Dalam pada itu, dia memberitahu, jika seseorang wanita tidak mampu menyusukan anaknya atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan termasuk masalah kesihatan, mereka tidak dikira berdosa.

"Yakinlah bahawa Allah memahami keadaan hamba-Nya yang beraneka rupa. Tapi, seelok-eloknya ia perlu dilakukan dengan perbincangan bersama suami. Insya-Allah, dengan berbincang akan keluar pelbagai jalan penyelesaian seperti mengambil ibu susuan untuk si anak," ujar beliau lagi.

Berbicara tentang pengalaman menyusukan anaknya, Fatimah Syarha tidak lokek berkongsi kaedah terbaik untuk melakukannya.

Antaranya, membetulkan niat bagi memastikan anak mendapat khasiat susu terbaik di dunia. Selain itu, para ibu juga perlu berdoa secara khusus setiap hari agar dipermudahkan urusan penyusuan anak.

"Jika susu kurang, jangan menyerah kalah. Sebaliknya gunakan kaedah penyelesaian secara holistik dan menyeluruh.

"Sebagai contoh dalam aspek rohani, lakukan solat hajat dan berdoa, fizikal (banyakkan minum air kosong, susu atau jus dan pemakanan yang seimbang) dan mental perlu dikuatkan dengan terus membaca tentang kepentingan susu ibu," ungkap wanita yang masih sempat menyusukan anak sulungnya meskipun berada dalam kesakitan kontraksi untuk melahirkan anak kedua kerana tidak mahu hak si kakak dikurangkan walaupun setitik.

Berkhatan beramai-ramai di Masjid Negara

Posted:

Berkhatan beramai-ramai di Masjid Negara

Berkhatan beramai-ramai di Masjid Negara

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


SERAMAI 110 kanak-kanak lelaki menyertai Program Berkhatan Beramai-ramai di Masjid Negara, Kuala Lumpur.


MUSIM cuti persekolahan telah pun bermula pada 16 November lalu dan rata-rata ibu bapa turut mengosongkan jadual kerja mereka demi meluangkan masa bersama anak-anak.

Sebahagian mengambil kesempatan pergi melancong, melakukan sukan riadah dan berkumpul dengan sanak-saudara di majlis-majlis perkahwinan insan yang tersayang.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang mengambil bahagian dalam acara berkhatan bagi anak lelaki mereka.

Tujuan berkhatan atau bersunat ialah bagi memastikan kemaluan seseorang itu bersih daripada kekotoran yang terhasil di bawah lebihan kulit, sekali gus mencegah daripada berlakunya keradangan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Program HIV/AIDS Bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) juga mendapati berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan virus HIV.

Kebanyakan ahli ilmu berpendapat, berkhatan wajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Namun pada hari ini ramai ibu bapa memilih untuk melakukannya lebih awal. Bagi wanita pula, mereka akan dikhatan ketika masih bayi.


KEMBAR tiga seiras (dari kanan) Mohd. Taj Danial, Mohd. Taj Najmie dan Mohd. Taj Imran, 10, kelihatan tenang ketika menunggu giliran mereka.


Bersama-sama menjalankan tuntutan agama Islam, Masjid Negara dengan kerjasama Wawasan Medik Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Berkhatan Beramai-ramai di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Menurut Penyelaras Program Mohd. Zamri Abd. Halim, majlis itu diadakan bagi memenuhi tuntutan agama Islam yang mahukan kesihatan setiap umatnya berada dalam keadaan terbaik.

"Selain untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan antara masyarakat luar dengan kakitangan masjid, ia juga bertujuan untuk memastikan mereka tidak mengalami penyakit jangkitan seksual terutamanya siflis, kankroid dan herpes genitalis kelak.

"Majlis ini juga merupakan program tahunan sejak tahun 1993 yang dianjurkan oleh pihak masjid sempena musim cuti persekolahan," katanya.

Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan, Paimuzi Yahya.


RAGAM seorang kanak-kanak lelaki meronta-ronta ketika didukung ayahnya untuk dikhatankan oleh pakar perubatan.


Meringankan beban

Menurut Zamri, sambutan yang diterima juga amat menggalakkan.

"Kira-kira 110 orang kanak-kanak terdiri daripada pelajar sekolah dari sekitar Lembah Klang diraikan dalam majlis ini.

"Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam berusia antara lima hingga 12 tahun dan mereka telah dikhatankan oleh 10 pegawai perubatan swasta yang sememangnya pakar dalam bidang ini," jelasnya.

Mengulas lanjut tentang acara tersebut beliau memberitahu, kanak-kanak disunat menggunakan kaedah Smartklamp.

"Teknik ini lebih cepat, mudah dan selamat. Smartklamp ialah alat khatan pakai buang dan tidak dikongsi bersama orang lain. Selain itu, ia juga tidak meninggalkan kesan luka terbuka, sekali gus mencegah daripada jangkitan kuman.

"Prosedur memasang alat ini mengambil masa kurang dari limit minit. Ini membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Tambahnya, selain itu, hasil khatan adalah lebih rapi dan kesan yang akan tinggal hanya satu garisan halus.

Majlis tersebut juga dikatakan antara untuk membantu meringankan beban kos yang ditanggung ibu bapa. Peserta hanya dikenakan pembayaran RM150, berbanding di klinik swasta yang boleh mencecah sehingga RM250 seorang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved