Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Aznil, Nabil cari keserasian
DATUK Aznil Nawawi, 51, dan bidang pengacaraan sememangnya tidak boleh dipisahkan. Bernafasnya Aznil dalam bidang itu sama seperti semangat yang dikongsikan setelah berpuluh-puluh tahun bergelar pengacara. Pelbagai rancangan televisyen dan majlis-majlis anugerah berprestij telah berjaya dikemudikannya dengan penuh sukses. Tiada satu pun dilabelkan oleh khalayak sebagai membosankan, jauh sekali gagal. Ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman nama pengacara bagi Anugerah Industi Muzik ke-20 (AIM20) di Hotel Istana baru-baru ini, Aznil mengakui, senggang masa tanpa sebarang aktiviti pengacaraan menyebabkan dia perlu mengecas semula 'bateri' sebelum kembali beraksi di atas pentas. Lebih-lebih lagi apabila dia digandingkan dengan juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, tenaga yang bakal dikeluarkan perlulah sepadan dan selari pada malam anugerah itu. "Saya akui sudah lama tidak mengendalikan apa-apa program sama ada secara rakaman mahupun langsung. Nabil pula sememangnya aktif membuat persembahan dan mengacara. "Sebab itu 'bateri' saya yang agak lama tidak bernyawa perlu dihidupkan kembali supaya gabungan antara saya dan Nabil mampu memberikan impak yang baik serta bermutu," ujarnya. Isu lagu ciplak Personaliti yang mesra disapa dengan panggilan Pak Nil itu berkata, kehilangannya dalam dunia pengacaraan bukan bermakna telah sampai serunya untuk bersara daripada bidang tersebut. Ternyata kehilangan bersifat sementara itu sebenarnya memberikannya ruang untuk Aznil melatih bakat-bakat baharu dalam bidang pengacaraan. "Dulu, kita mempunyai personaliti yang tugas azalinya adalah mengacara. Azwan Ali dan Mahathir Lokman merupakan pengacara seangkatan dengan saya yang dikenali kerana bakat mereka sebagai pengacara. "Namun, hari ini, bakat-bakat seperti itu seolah- olah tiada. Ramai antara pengacara sedia ada merupakan pelakon, penyanyi ataupun penyampai radio. Disebabkan itu saya terpanggil untuk melatih pengacara baharu yang tugasnya hanyalah mengacara," ujarnya yang mewujudkan rancangan realiti, On Air atas dasar yang serupa. Aznil memberitahu, dia juga turut terbang ke kota London untuk mengadakan uji bakat mencari pengacara baharu yang terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di sana. Katanya, mereka dipilih bukan sahaja kerana bakat tetapi kerana pengetahuan yang diperoleh berbeza mengikut bidang yang mereka pelajari. "Apabila pulang ke Malaysia, mereka akan diasuh mengenai dunia pengacaraan secara intensif selama enam bulan sebelum dilepaskan untuk mengacara," katanya lagi. Dalam pada itu, Aznil turut bercerita tentang dirinya yang terbabit dengan isu ciplak lagu. Beberapa bulan lalu, timbul isu mengenai lagu Profesor Klon nyanyian Aznil diciplak oleh produser dari Chile. Instrumental yang diberi judul Lobster Tureen itu digunakan sebagai lagu runut bunyi untuk sebuah telenovela di sana, Pobre Rico. Ditebak mengenai perkara itu, ujar Aznil, walaupun agak berang, dia turut melahirkan rasa 'bangga' jika pihak KRU selaku produser lagu tersebut berada di pihak yang benar. "Siapa yang tidak bangga jika lagu anak tempatan mendapat tempat di arena antarabangsa? "Jika benar mereka yang menciplak lagu tersebut, saya tetap berasa bangga kerana masih ada orang yang memandang bakat yang kita ada sehingga mahu meniru hasil kerja kita," ujarnya penuh optimis. Peluang seumur hidup Lain pula ceritanya dengan anak jati Negeri Sembilan, Ahmad Nabil Ahmad. Dia yang baru menjangkau usia 30 tahun pada bulan September lalu ternyata gugup apabila berbicara mengenai kolaborasinya bersama Aznil itu. Ujar Nabil, peluang yang diberikan oleh pihak penganjur kepadanya ternyata besar dan tidak mungkin akan menolak tawaran tersebut. "Aznil merupakan idola saya. Saya meminatinya sama seperti dia meminati Allahyarham Sudirman. Jadi, apabila diberi peluang seumpama ini, saya menjadi teruja dan tidak sabar untuk bergandingan dengannya. "Jadi, untuk menyediakan diri sebagai pengacara AIM20, saya akan menonton kembali rakaman lama dan belajar mengenai cara pengacara terdahulu mengendalikan anugerah itu. Saya mahu menjadi pengacara yang berpengetahuan, bukan sekosong tin aluminium," ujarnya bersemangat. Nabil turut memberitahu, banyak perbincangan perlu dilakukan dengan Aznil agar perjalanan majlis itu nanti akan bertambah sempurna. "Dia sudah lama mengacara. Saya pula masih baharu. Jadi, perlu ada persediaan awal agar tiada percanggahan yang berlaku pada malam itu nanti," ujarnya. Nabil turut berkongsi, telah menjadi impiannya sejak dahulu untuk mengacarakan majlis-majlis besar secara langsung. "Memang saya ada memasang angan-angan untuk mengacarakan sebuah majlis yang berprestij tinggi. Mungkin AIM20 ini menjadi platform pertama saya untuk terus mengejar impian itu," ujarnya penuh yakin. Kereta dipecah Pada 18 November lalu, kecoh mengenai kejadian cermin kereta jenis Mitsubishi Lancer milik Nabil dipecahkan. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh Nabil mahupun isterinya. "Ketika itu saya dan isteri baru sahaja habis menjamu selera di sebuah restoran makanan di Sungai Buloh. Sewaktu berjalan ke kereta, isteri saya terpijak kaca-kaca yang berselerak di tanah. "Tidak mengesyaki apa-apa, saya hanya menyuruhnya supaya berhati-hati. Bagaimanapun, sewaktu ingin mengundurkan kereta, baru saya perasan tingkap belakang sebelah kiri telah dipecahkan," kata Nabil yang agak panik ketika kejadian itu berlaku. Dia menjelaskan, kejadian itu sememangnya menakutkan kerana dia bimbang jika ia mungkin berkait dengan perasaan dengki atau dendam orang yang tidak dikenali. "Namun, sebaik kami tiba di Balai Polis Damansara, isteri saya memberitahu, beg yang berisi pakaian gim kami telah hilang. "Ia membuatkan saya sedikit lega kerana orang yang bertanggungjawab memecahkan kereta saya hanya berniat untuk mengambil beg itu, bukan untuk menakut-nakutkan kami," katanya lagi. | ||
Posted: Adira terima cincin kekasihOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
MEMUAT NAIK gambar sebentuk cincin tersarung di jari manis awal minggu lalu di laman Instagram, penyanyi Siti Adira Suhaimi atau Adira akhirnya membuka mulut untuk berkongsi cerita. Biarpun selama ini sering menafikan hubungannya dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBB1M), Shahrul Nasrun Kamarudin, kenyataan Adira secara tidak langsung mengiakan hubungan cintanya bersama jejaka yang berasal dari Kelantan itu. Sebelum ini, baik Adira atau Shahrul Nasrun, masing-masing menyifatkan hubungan mereka sekadar kawan biasa dan tidak sampai ke peringkat bercinta. Namun, gosip hubungan cinta mereka semakin kencang diperkatakan apabila Adira berkunjung ke rumah keluarga Shahrul Nasrun di Kelantan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan Ogos lalu. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adira yang ditemui pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam berhubung penjelasan mengenai cincin tersebut. Kosmo!: Adira ada memuat naik sekeping gambar menyarung sebentuk cincin di laman sosial Instagram, adakah itu cincin merisik atau bertunang? ADIRA: It is just a ring (Itu cuma sebentuk cincin). Bukan cincin merisik atau bertunang pun (ketawa). Ia merupakan hadiah sempena hari jadi saya yang jatuh pada 19 September. Pemberian itu pun kejutan selepas hari jadi saya. Kalau dirisik dalam masa terdekat, adakah Adira sudah bersedia? Saya tidak merancang ke tahap bertunang atau merisik dalam waktu terdekat, terus terang saya katakan saya masih belum bersedia. Untuk ke peringkat itu saya perlu berjaya dalam karier terlebih dahulu dan merealisasikan impian saya kerana banyak lagi yang masih belum tercapai. Sepanjang menjalinkan hubungan, adakah dia (Shahrul Nasrun) tidak mendesak Adira untuk mengikat tali pertunangan atau ke peringkat selanjutnya selain kekasih? Tidak. Dia memahami situasi saya dan tidak pernah mendesak tapi saya tidak tahu apa kata hatinya, tunggu masa saja. Apakah kualiti yang ada padanya (Shahrul Nasrun) yang membuatkan Adira terpikat? Dia seorang yang matang dan saya memerlukan seseorang yang boleh membimbing saya. Jodoh itu saya tidak tahu tapi saya cuba melakukan yang terbaik. Memandangkan Shahrul Nasrun hadir untuk memberikan sokongan pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 kali ini, adakah dia akan sentiasa hadir ke majlis yang membabitkan Adira selepas ini? Kami sebenarnya jarang keluar kerana masing-masing sibuk. Kalau hujung minggu pun apabila dia ada kelapangan, saya pula sibuk dengan persembahan. Jadi, masa untuk berjumpa sangat terhad dan dia pun tidak kerap menemani saya. Ini baru kali kedua dia menemani saya ke acara hiburan. Berbalik pada lagu Dewi Cinta yang gagal tersenarai antara enam lagu terbaik minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 tahun ini, apakah komen Adira? Single ini dikeluarkan pada bulan September lalu, jadi mungkin masih tidak ramai yang menyedari akan lagu ini. Saya tidak meletakkan sebarang harapan pun tetapi Alhamdulillah sampai ke peringkat ini. Insya-Allah muzik video lagu ini akan ditayangkan tidak lama lagi. | ||
Posted: Hyper Act tebus kegagalanHYPER ACT teruja dengan kejayaan lagu Hanya Aku yang bakal membuka peluang buat mereka beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 28. KALI kedua diberikan peluang untuk beraksi di pentas Sepa- ruh Akhir Muzik Muzik, band Hyper Act yang terdiri daripada enam anak muda cuba membasuh kekecewaan apabila gagal mendapat tempat untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu tahun lalu. Hyper Act gagal menggalas harapan peminat mereka tahun lalu apabila lagu Harapan tidak berjaya melayakkan diri dan hanya mampu ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 27 sahaja. "Harapan untuk ke pentas final Anugerah Juara Lagu tahun ini ada tetapi kami tidak mahu terlalu berharap seperti tahun lepas. "Kami sendiri teruja apabila banyak band yang tersenarai antara lagu terbaik setiap minggu, mungkin zaman kegemilangan band sudah kembali," ujar voka- lis band Hyper Act, Shahron Hussein atau Ronnie, 33, yang ditemui pada sidang akhbar usai separuh akhir kedua Muzik Muzik 28 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Menerusi lagu Hanya Aku yang pernah menjadi runut bunyi drama rantaian Teduhan Kasih, lagu ciptaan sendiri band itu dan lirik oleh Frozen tersenarai antara enam buah lagu terbaik pada separuh akhir kedua Muzik Muzik 28. "Kami rasa situasi ini adalah menang- menang, lagu yang menarik dan sedap didengar akan dipilih untuk mengiringi drama. "Pada masa sama, lagu juga bersaing sekali dengan populariti drama itu," tambahnya. Selain Hanya Aku, lima buah lagu lain iaitu Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Aku Pelat (Salam Musik), Kau Yang Terindah (Alyah), Kalau Aku Kaya (Awi Rafael & Altimet) serta Sahabat (Najwa Latif feat Sleeq & Shamkamarul) menduduki tangga terbaik pusingan kedua. Artis termuda yang pernah beraksi pada pentas AJL 26, Najwa Latif bagai- manapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk kedua-dua buah lagu iaitu Adamu dan Sahabat yang telah layak ke peringkat separuh akhir tahun ini. "Saya tidak terkilan lagu Adamu gagal meraih tempat enam lagu terbaik minggu ini, malah saya tidak pernah menyandarkan harapan pun untuk kedua-dua buah lagu nyanyian saya layak ke pusi- ngan separuh akhir. "Alhamdulillah, lagu Sahabat yang menampilkan kolaborasi pertama saya bersama Shamkamarul dan kedua bersama Sleeq mencuri perhatian juri," ujarnya yang baru beberapa kali berjaya mengumpulkan semua artis duet untuk menyanyikan lagu itu bersama-sama. Bagi Shamkamarul pula, penyertaan pertamanya di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 28 tahun ini membuka peluang baharu untuknya lebih dikenali selepas ini. "Memang gugup untuk beraksi di pentas berprestij seperti ini, Alhamdulillah lagu Sahabat terpilih walaupun saya sendiri tidak pernah menduga untuk sampai sejauh ini," nyatanya. Sementara itu, lagu-lagu seperti Penghibur Jalanan (Amir Jahari), Dewi Cinta (Adira), 5 Minit (Ramlah Ram feat Caprice) dan Kita (Forteen) gagal meraih tempat untuk ke Anugerah Juara Lagu 28 pada awal tahun depan. Pusingan Separuh Akhir Muzik Muzik 28 memberikan mandat kepada Aubrey Suwito, Azmeer, Ajai, Adnan Abu Hassan, Ad Samad dan Datuk Ramli M.S. selaku barisan juri mengadili pusingan kali ini. Baki lapan buah lagu bakal berentap untuk pusingan ketiga dan terakhir minggu depan, termasuklah Bahagiamu Deritaku (Hafiz), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor), Bosan (Stacy), Dwihati (Yuna & Aizat) dan Rumah Kita (Hujan). Pusingan separuh akhir ketiga Muzik Muzik 28 akan berlangsung pada 22 November pukul 9 malam di saluran TV3 bersama gandingan hos AG dan Scha Al-Yahya. - KHAIRUL AMRI HASSAN |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan