Khamis, 21 November 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Larangan di Arab Saudi dilonggarkan

Posted:

Larangan di Arab Saudi dilonggarkan

Larangan di Arab Saudi dilonggarkan

LARANGAN kebebasan bergerak merupakan salah satu kekangan yang dikenakan terhadap wanita di Arab Saudi.


SEPERTI kebanyakan gadis-gadis Arab Saudi, Raha al-Moharrak diharamkan daripada menyertai aktiviti sukan di sekolahnya. Perintah itu merupakan satu larangan atas alasan agama yang diputuskan oleh kerajaan negara tersebut.

Namun, pada bulan Mei lalu, Raha yang kini berusia 27 tahun menjadi wanita pertama dari negara Teluk itu yang berjaya mendaki Gunung Everest.

Beliau mendapat liputan meluas daripada beberapa akhbar tempatan. Kisah beliau mendedahkan bahawa wanita Arab Saudi kini sudah beransur-ansur mempelajari perkara baharu.

"Anda tidak boleh berhenti berubah. Generasi muda mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di luar sana. Semuanya di hujung jari kita," kata pereka grafik itu yang kini menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Hakikatnya, jika Raha masih berada di negara kelahirannya, di bawah undang-undang penjagaan Arab Saudi, beliau dilarang memandu kereta, membuka akaun bank, melancong ke luar negara atau mendaki gunung tanpa kebenaran bapanya.

Tinjauan Yayasan Thomson Reuters baru-baru ini mendapati Arab Saudi merupakan negara ketiga terburuk selepas Mesir dan Iraq dalam melayan wanita daripada 22 buah negara Arab.

Pungutan suara yang melibatkan 336 pakar jantina pada bulan Ogos dan September lalu mendapati, Arab Saudi dinilai pada kedudukan terendah untuk penglibatan wanita dalam bidang politik, diskriminasi di tempat kerja, kebebasan bergerak dan hak-hak memiliki harta.

Bagaimanapun, negara berkenaan memberi layanan lebih baik kepada wanita dalam menyediakan peluang pendidikan penjagaan kesihatan, hak-hak reproduktif dan keganasan jantina.

Kerajaan Arab Saudi, Raja Abdullah yang membuat keputusan dalam kebanyakan isu di negara itu dengan hasil pandangan golongan ulama, sangat berhati-hati mendepani pelbagai kritikan yang mahu melihat perubahan segera.

Hakikatnya, negara yang berkeluasan 2.14 juta kilometer persegi itu sedang mengalami perubahan secara beransur-ansur.


BAWAH: Sebahagian besar wanita Arab Saudi merupakan golongan terpelajar.


Tentangan ulama

Peraturan di Arab Saudi kebanyakannya berteraskan undang-undang syariah. Para hakimnya merupakan golongan ulama Wahhabi yang menetap dan mentafsir undang-undang serta hukum syarak.

Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh merupakan ulama paling kanan yang kuat menentang golongan wanita bekerja dan memandu kenderaan. Malah, beliau pernah menyatakan bahawa pembabitan wanita dalam politik bakal membuka ruang kepada kejahatan.

Raja Abdullah yang kini berusia 90 tahun telah beberapa kali menyimpang daripada pendirian golongan ulama. Misalnya, pada penghujung tahun 2011 baginda telah memberi wanita hak mengundi dan bertanding jawatan dalam pilihan raya bermula tahun 2015.

Pada bulan Januari lalu, Raja Abdullah buat julung-julung kalinya berkenan pelantikan seramai 30 wanita menganggotai Majlis Syura di negara itu, sekali gus menamatkan diskriminasi terhadap kaum hawa dalam pentadbiran negara tersebut.

Baginda juga melonggarkan sekatan terhadap tenaga kerja wanita sejak dua tahun lalu. Wanita dibenarkan menggantikan pekerja lelaki sebagai pembantu jualan di premis-premis pakaian dalam wanita dan kosmetik serta pelayan restoran di bahagian wanita.

Perdebatan hangat di media sosial di rantau Arab menunjukkan peralihan sedang berlaku dalam masyarakat.

"Arab Saudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan banyak perubahan. Dari tahun ke tahun anda nampak begitu banyak perubahan pada kaca mata umum.

"Apabila kami menganggotai Majlis Syura, terdapat penentangan hebat. Kami tidak mengendahkan suara-suara itu dan menjalankan tugas kami," kata salah seorang anggota baharu Majlis Syura, Hanan Al-Ahmadi.

Ratusan ribu belia lelaki dan wanita Arab Saudi yang dihantar melanjutkan pelajaran di universiti-universiti luar negara juga kembali ke negara asal dengan pendapat yang sangat berbeza tentang negara-negara saudara mereka di dunia.

Peluang pekerjaan dalam kalangan wanita muda masih sama dan tidak banyak bezanya pada zaman ibu-ibu mereka walaupun pengangguran dalam kalangan wanita mencecah hampir 36 peratus berbanding lelaki iaitu enam peratus .

Pada bulan Oktober lalu, Raja Abdullah membenarkan wanita pertama di negara itu bertugas sebagai peguam untuk mewakili pelanggan dan memiliki serta membuka firma guaman sendiri.


PELANTIKAN 30 orang wanita yang menganggotai Majlis Syura mendapat perkenan Raja Abdullah.


Titik perubahan

Bagaimanapun, wanita Arab Saudi masih berdepan dengan kekangan pengangkutan untuk berulang-alik ke mahkamah dan larangan pergaulan lelaki dan wanita di tempat kerja.

Namun, seorang perunding guaman muda, Dania Aboaloa yang merupakan lepasan undang-undang dari Universiti Raja Abdulaziz bersikap positif.

Dania yang pernah menuntut di Amerika Syarikat, namun membuat keputusan kembali ke Jeddah kerana perubahan yang dilaksanakan kerajaan.

"Masa depan lebih cerah dan akan menggalakkan lebih ramai wanita melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan menuntut lebih banyak hak dalam perundangan secara bijak.

"Wanita Arab Saudi kini hidup pada satu titik perubahan dalam sejarah negara ini. Kami memperoleh hak-hak kami semula. Ia merupakan tugas saya sekarang kerana saya seorang perunding guaman," ujarnya.

Bagaimanapun, kemajuan sebenar hak-hak wanita di Arab Saudi dilihat masih di takuk lama dan kebanyakan aktivis menyifatkan perubahan yang berlaku amat perlahan.

Seorang wanita yang tertakluk kepada pengawasan dan kebenaran saudara lelaki dalam segala hal sepanjang hidup mereka sudah berakar umbi terlalu lama di negara Asia Barat itu.

Secara tradisinya, ia dilihat sebagai satu perlindungan yang mengawal hampir setiap aspek kehidupan seorang wanita termasuk dalam perkahwinan malah ketika mereka menjalani rawatan.

Memandangkan kerajaan Arab Saudi terikat dengan pengaruh golongan ulama, para penganalisis berpendapat, sistem perundangan syariah atau undang-undang penjagaan sukar diubah dalam masa terdekat.

Sementara itu, satu lagi perubahan segera yang diharapkan berlaku oleh sejumlah aktivis wanita ialah kedudukan Arab Saudi sebagai satu-satunya negara yang mengharamkan wanita memandu kenderaan.

Tiada peraturan khusus atau ayat dalam undang-undang syariah menyatakan hanya lelaki berhak memandu di negara berkenaan walaupun para pegawai kerajaan sering memberi alasan bahawa masyarakat di negara yang mempunyai hampir 30 juta penduduk belum lagi bersedia membenarkan wanita memandu.

Permintaan terhadap kos pengangkutan yang lebih murah semakin penting apabila semakin ramai wanita mencari pekerjaan apabila ahli keluarga juga bergantung kepada pendapatan mereka.

Pada bulan Oktober lalu, pihak berkuasa mematahkan satu kempen desakan menamatkan larangan memandu kepada wanita.

Namun, tindakan pihak berkuasa ditempelak melalui laporan akhbar dan petisyen dalam talian oleh beberapa individu terkenal dan anggota keluarga pemerintah Arab Saudi yang menuntut peraturan itu diubah secara terbuka.

Walaupun para penganalisis menyatakan terdapat satu muafakat sekitar perubahan sosial dalam keluarga kerajaan secara beransur-ansur, masih belum jelas sama ada bakal pengganti Raja Abdullah akan meneruskan usaha baginda.

Puteri Bassma Majid merangkap Presiden sebuah cabang Persatuan Dermawan untuk Wanita, Al-Nahda yang melatih dan mengupah wanita miskin dan kelainan upaya untuk mengekal serta membuat semula rekaan busana istimewa kerajaan Arab Saudi.

"Saya rasa kami sudah mencapai satu tujuan yang tidak boleh berpatah balik," katanya.

Hati-hati dengan kisah misteri

Posted:

Hati-hati dengan kisah misteri

Hati-hati dengan kisah misteri


KISAH kehilangan seorang remaja di Vila Nabila, Johor Bahru menggemparkan negara baru-baru ini.


KEHILANGAN seorang budak lelaki berusia 16 tahun yang kononnya hilang setelah memasuki sebuah vila usang dikenali sebagai Vila Nabila di Johor telah menjadi topik hangat di media-media massa dan sosial baru-baru ini.

Ia menjadi sensasi apabila dikhabarkan bahawa salah seorang rakan melihatnya memasuki vila berkenaan, tetapi tiada seorang pun yang menemuinya walaupun ada usaha mencari dilakukan.

Berita ini ditambah pula dengan dengan pelbagai versi misteri banglo berusia 40 tahun ini, termasuk cerita bahawa seorang penghuninya telah dibunuh dalam rumah berkenaan.

Ada pula cerita lain yang mengisahkan tentang seorang amah membunuh pemilik rumah ini, termasuk seorang anak gadis bernama Nabila.

Walaupun pihak polis yang menyiasat kes seumpama ini menasihatkan agar orang ramai tidak terpedaya, namun kelihatan manusia lebih mempercayai berita-berita aneh berbanding maklumat sahih pihak berkuasa.

Ingatan palsu

Persoalan yang timbul ialah mengapa berita seumpama ini mudah dipercayai? Kedua, mengapa pula ada rakan-rakannya yang melaporkan bahawa mereka melihatnya memasuki vila berkenaan?

Dalam bidang psikologi, perkara ini dinamakan sebagai false memory atau ingatan palsu. Ia biasanya terjadi apabila seseorang percaya mereka mengingati sesuatu perkara sebagai benar-benar terjadi walaupun hakikatnya peristiwa itu tidak wujud.

Ini bukan bermakna mereka cuba berbohong, tetapi ia wujud hasil proses mental atas keyakinan terhadap suatu kejadian.

Setiap kali berlakunya kemalangan jalan raya, kita akan mendengar pelbagai versi cerita oleh saksi sehinggakan ada yang tidak masuk akal. Bagaimanapun, kerana cerita ini biasanya diulang-ulang dengan cara yang sensasi, masyarakat akan berasakan ia seolah-olah benar-benar berlaku.

Dalam keadaan kecemasan atau ketakutan, penglihatan manusia biasanya lebih tertumpu kepada objek atau peristiwa tertentu yang mempunyai makna dari sudut emosi mereka.

Misalnya, apabila melihat kemalangan ngeri, orang biasanya akan menumpukan kepada aspek kengerian seperti darah, bunyi dentuman atau bentuk kenderaan yang mengalami kerosakan teruk. Mereka mungkin tidak melihat bagaimana proses kemalangan itu berlaku.

Sungguhpun begitu, apabila bercerita mengalami kemalangan, mereka biasanya akan membuat cerita berdasarkan pertimbangan emosi tadi dan bukannya berdasarkan apa sebenarnya yang dilihat.

Kisah sensasi

Keadaan ini yang menjadikan ingatan palsu terbentuk. Begitu juga dengan cerita-cerita aneh lain. Ia hanyalah suatu cakap mulut, kemudiannya diperbesarkan, menjadikan ia seolah-olah peristiwa yang benar-benar berlaku.

Apabila melalui kawasan perkuburan dikatakan sebagai seram dan berhantu misalnya, seseorang yang mempercayai kisah-kisah seperti itu, akan melaporkan bahawa mereka melihat makhluk halus yang menyeramkan. Sedangkan apa yang dilihatnya hanyalah plastik putih yang diterbangkan angin.

Dalam kes kehilangan budak lelaki tadi, ia menjadi sensasi kerana kononnya berlaku di sebuah banglo usang yang tidak berpenghuni. Lokasi banglo ini yang letaknya di atas bukit dan sunyi daripada keriuhan manusia menjadikan cerita misteri ini seolah-olah sebagai sesuatu yang berkemungkinan besar terjadi.

Sebab itu, masyarakat perlu berhati-hati dengan berita-berita yang tidak masuk akal seperti ini, sekalipun ia menjadi topik hangat di media sosial.

Berita-berita luar biasa ini tidak akan menjadikan kita sebagai manusia kritis dan logik. Misalnya, apabila berlakunya kejadian bahawa budak ini hilang kerana disembunyikan oleh makhluk misteri, maka apakah yang boleh kita lakukan lagi untuk menemuinya semula?

Secara am, apa yang kita boleh lakukan sekadar berharap bahawa budak tadi akan dikembalikan oleh 'makhluk' yang menyembunyikannya.

Sedangkan, kalau kita percaya bahawa budak tadi bukan hilang kerana disorok oleh makhluk halus dan sebagainya, masih banyak usaha untuk mencarinya boleh dilakukan. Kita mempunyai lebih banyak alternatif berasaskan pertimbangan logik dan akal yang waras.

Kita bernasib baik kerana budak yang hilang itu akhirnya ditemui. Ia bukan ditemui di banglo usang tadi, tetapi menginap di rumah seorang kenalannya. Ia sekurang-kurangnya mengingatkan kita semua bahawa tidak semua cerita patut dipercayai dengan mudah.

Sebagai manusia yang waras, sesuatu yang berlaku itu tidak mungkin menjangkaui akal logik manusia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved