Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Lisa, Dom keliling duniaLANGIT gelap serta hujan lebat yang turun membasahi pekarangan ruang legar terbuka pusat beli-belah Publika, Solaris Dutamas Rabu lalu tidak menjadi penghalang buat Lisa S dan Dom Lau untuk beraksi di hadapan kamera. Limpahan lampu denyar yang menyimbah seiring dengan bunyi ketikan pengatup kamera jurufoto Aizzul Abdul Majid menambahkan lagi kerancakan dua figura ini yang seolah-olah tidak kekok untuk bertukar-tukar aksi. "Lisa dan saya amat rapat dan kami sering berkerja bersama. Lagipun dia seorang bekas model, jadi dia memang langsung tidak kekok bila diajak bergambar," seloroh Dom atau nama sebenarnya, Dominic James Lau. Kedua-dua mereka mula mengenali antara satu dengan yang lain sejak dipertemukan beberapa tahun yang lalu ketika mengendalikan rancangan hiburan di saluran V sebelum berhijrah menjadi penyampai berita hiburan di E! News Asia. Kali ini, sekali lagi mereka berkerjasama sebagai pengacara dan juri menerusi program realiti pencarian model antarabangsa, SupermodelMe Femme Fatale. Keluarga dan kerjaya Walaupun tampak utuh di hadapan kamera mengendalikan rancangan hiburan berskala besar, wanita yang sering disapa sebagai Lisa ini mengakui bahawa dia terpaksa berkorban masanya bersama keluarga demi memenuhi tuntutan sebagai seorang pengacara untuk beberapa rancangan televisyen. "Bukan mudah untuk meninggalkan Raven (anak perempuan Lisa) di rumah. Lebih-lebih lagi apabila saya menetap di Hong Kong dan tuntutan kerjaya pula memerlukan saya berada di beberapa buah negara yang berbeza dalam selang masa yang singkat. "Jadi, untuk memastikan sentiasa berada dekat dengannya, saya mengambil keputusan untuk membawa Raven bersama setiap kali saya dikehendaki mengadakan proses rakaman ataupun menghadiri majlis-majlis tertentu di mana-mana negara," ujarnya. Isteri kepada aktor terkemuka Hong Kong, Daniel Wu ini tetap mendapat sokongan daripada suaminya walaupun dia tidak mempunyai masa yang kerap untuk bersua muka. "Dia merupakan seorang suami yang sangat memahami dan saya rasa amat gembira kerana dia akan cuba untuk mengikut saya dan Raven jika dia tidak mempunyai sebarang ikatan berlakon filem," jawab wanita kelahiran Monaco ini. Bersara dunia peragaan Agak lama berdiri sebagai pengacara di hadapan kamera, Lisa seakan-akan memberi bayangan bahawa dia seperti tidak mahu lagi kembali mewarnai pentas peragaan. Ditebak dengan andaian tersebut, jawab Lisa: "Mungkin masa saya sebagai model telah lama berlalu semenjak saya mengubah haluan ke dunia hiburan televisyen. Tetapi, untuk bersara sebagai pengacara, mungkin tidak. "Lagipun, produksi rancangan televisyen di negara-negara sekitar Asia berjalan dengan sangat cepat. Paling lama masa yang diambil untuk merakamkan sesebuah program tidak lebih daripada dua bulan dan itu amat memudahkan perancangan saya untuk kami sekeluarga," katanya yang akan terus berkongsi pengalamannya dalam dunia peragaan menerusi SupermodelMe Femme Fatale. Teman wanita memahami
Bagi jejaka tampan berketinggian 190 sentimeter ini, dia begitu gembira kerana teman wanitanya, Joanne de Rozario sangat memahami corak kerjayanya sebagai seorang pengacara. Menurutnya, walaupun sering sibuk dengan urusan kerja dan tidak mempunyai masa yang tetap untuk berjumpa, Joanne masih faham dan terus menyokongnya dari belakang. "Seperti Lisa, saya juga menetap di Hong Kong dan biasanya, dalam masa sebulan, mungkin hanya dua minggu sahaja masa yang saya ada untuk bertemu dengannya di Kuala Lumpur. "Walaupun jarak jauh memisahkan, dia sangat memahami kerjaya saya kerana dia juga datang daripada bidang yang sama. Justeru, saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang teman wanita yang sangat memahami karier saya," tutur Dom. Bidang muzik Siapa sangka, lelaki berdarah kacukan ini pernah menjadikan bidang muzik sebagai pilihan utama baginya ketika dia ingin melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang muzik komersial. "Saya sangat suka menyanyi dan jika ada kelapangan, saya sering menghabiskan masa di pusat karaoke. Bagus atau tidak teknik nyanyian saya, itu saya tidak tahu!" tuturnya sambil tertawa. Sambung Dom: "Jika suatu suatu hari nanti ada guru vokal yang bagus ingin mengajar saya untuk menyanyi dengan baik, saya mungkin tidak berfikir dua kali untuk mencuba," ujarnya. | ||
Posted: JKT48 bukan kumpulan picisanOleh HARYATI KARIM JKT48 yang terdiri daripada (dari kiri) Rona Anggraeni, Jessica Veranda, Melodi Nurramdhani Laksani, Haruka Nakagawa, Nabilah Ratna Ayu Azalia dan Cindy Yuvia mahu dikenali di seluruh dunia. KUMPULAN AKB48 sangat popular di Jepun dan mempunyai sejarah yang tersendiri, manakala kumpulan JKT48 yang berasal dari Indonesia pula merupakan francais pertama kumpulan AKB48 di luar Jepun. Berada dalam organisasi yang sama dengan AKB48, kumpulan JKT48 memiliki seramai 49 orang ahli berusia antara 13 sehingga 22 tahun. Bertemu dengan enam orang ahli JKT48 iaitu Melodi Nurramdhani Laksani, 21, Jessica Veranda, 20, Haruka Nakagawa, 21, Cindy Yuvia, 15, Nabilah Ratna Ayu Azalia, 14, dan Rona Anggraeni, 18, jelas sekali kumpulan ini memperlihatkan sisi lain dalam persada muzik Indonesia. Berpakaian seragam hijau berkilat dengan fesyen yang didatangkan khas dari Jepun dan muzik yang berkiblat dengan muzik J-Pop, JKT48 mempunyai tarikan yang tersendiri. "JKT48 bukan sekadar kumpulan muzik tetapi ia umpama sebuah sekolah muzik. Berbeza dengan kumpulan K-Pop, mereka diberi latihan intensif beberapa tahun sebelum terjun ke industri muzik. "Kami pula, selepas terpilih daripada sesi uji bakat, akan terus diserap dalam kumpulan JKT48. Proses latihan dan pembelajaran akan berjalan seiring dengan kerjaya kami," ujar Melodi ketika ditemui di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini. Terlalu ramai ahli kumpulan tidak mendatangkan masalah untuk mereka setiap kali mengadakan persembahan. Kata Melodi, setiap kali persembahan seramai 16 orang ahli akan terlibat daripada 49 orang ahli secara keseluruhannya. Bahkan kumpulan JKT48 dibahagi kepada tiga sub unit iaitu kumpulan J yang mempunyai 23 orang ahli, kumpulan KIII (17 orang ahli) dan pelatih seramai sembilan orang ahli.
"Selain jemputan persembahan pentas serata Indonesia, kami juga mempunyai pementasan teater sendiri di pusat beli-belah fX Sudirman di Jakarta. "Peminat boleh membeli tiket dan menyaksikan persembahan kami setiap hari yang diadakan secara giliran. Tidak hanya dapat bertemu peminat, teater itu merupakan pentas latihan terbaik untuk kami," ujar Melodi. Kumpulan yang telah melahirkan sebuah album berjudul Heavy Rotation dan muncul dengan tiga buah single iaitu River, Yuuhi Wo Miteiruka dan Fortune Cookies In Love itu juga mempunyai seorang ahli pertukaran dari kumpulan AKB48, Haruka Nakagawa. Selepas hampir setahun bersama JKT48 dan menetap di Indonesia, Haruka seolah-olah sudah sebati dengan budaya dan bahasa Indonesia. Dia langsung tidak kekok untuk berbahasa dalam dialek Indonesia dengan begitu baik sekali. "Memang saya berasal dari Jepun tetapi apabila dipindahkan ke Indonesia saya rasa seronok. Mula-mula memang sukar kerana bahasa yang sangat berbeza, lama-kelamaan semuanya menjadi mudah. "Rakan-rakan banyak membantu untuk saya lebih memahami budaya dan bahasa Indonesia dengan cepat. Bagi saya berada dalam AKB48 dan JKT48 tiada banyak bezanya. Saya masih memakai baju seragam yang sama, menyanyi lagu yang sama cuma bahasanya ditukar ke Indonesia," kata Haruka. Disoal tentang kumpulan seperti mereka selalunya memberi persembahan tarian yang hebat, tetapi vokalnya tidak sehebat mana, Jessica mengatakan setiap ahli mempunyai kelebihan masing-masing. "Mungkin ada antara kami tidak mempunyai vokal yang hebat tetapi kemahiran tarian yang bagus. Apabila digabung menjadi satu kumpulan, kelemahan dan kelebihan yang dimiliki saling melengkapkan kami. "Kami juga sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada setiap hari dengan menghadiri kelas tarian dan vokal. Bagi kami berada dalam JKT48 bukan sekadar popular semata-mata tetapi juga dinilai dengan bakat," luah Jessica. Mungkin ramai yang menganggap kumpulan JKT48 hanya sesuai untuk gadis belasan tahun dan tidak akan bertahan lama. Bagaimanapun buat Melodi, impian mereka cukup besar. Bukan sekadar ingin dikenali di Indonesia dan Asia tetapi seluruh dunia. "Sekarang, kami hanya dikenali di Indonesia dan beberapa kali telah mengadakan persembahan di Jepun bersama kumpulan AKB48. "Sasaran kami lebih besar, kami mahu nama JKT48 dikenali serata Asia dan seluruh dunia. Bagi saya itu bukan misi mustahil jika kami semua berusaha dengan gigih dan muzik kami dapat menarik minat pendengar pelbagai bangsa," ucap Melodi lagi. | ||
Posted: Adi Putra tak ambil kisahOleh NOOR ASHREEN ISMAIL DI SEBALIK segala tohmahan negatif terhadap dirinya, Adi Putra kini menjalani kehidupan bahagia bersama keluarga tersayang. "ITULAH lumrah menjadi seorang figura umum." Itu kenyataan yang diluahkan oleh pelakon sasa, Adi Putra saat ditanya tentang kehidupannya selepas dilanda banyak kontroversi negatif sebelum ini, terutama ditohmah menghantar foto lucah kepada isteri orang yang heboh diperkatakan seluruh negara. Tutur Adi yang ditemui pada acara siri jelajah Anugerah Skrin 2013 di ECurve, Damansara, Selangor baru-baru ini, segala tohmahan yang dilemparkan tidak sedikit pun mengganggu kehidupannya. Namun, pasti semua peminat ingin mengetahui perkembangan kes kononnya dia menggoda isteri orang yang telah pun menjadi kes polis dan mahkamah. Ikuti sedutan temu bual Kosmo! bersama Adi Putra. Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit perkembangan terkini Adi? ADI PUTRA: Saya kini sedang menjalani penggambaran drama Amara Batrisya bergandingan dengan Erra Fazira dan Umie Aida. Drama 13 episod itu bakal ditayangkan bermungkinan pada bulan Disember menerusi TV9. Bulan Disember ini juga, kami akan mulakan promosi filem Balistik terbitan Suhan Movies yang bakal ditayangkan pada 9 Januari tahun depan. Pada masa yang sama, saya juga sedang dalam proses menyiapkan filem saya yang berjudul Suami Aku Ustaz dan saya berharap ia dapat ditayangkan juga pada tahun hadapan. Selain itu, saya juga sedang menerokai bisnes secara kecil-kecilan iaitu barangan mandian, yang mana ia jarang diteroka oleh orang Melayu kita. Kenapa memilih barangan mandian sebagai bisnes? Ia merupakan satu keperluan daripada kemahuan. Sebab itu, saya cuba untuk menerokai perniagaan tersebut. Saya akan menjadi pengedar dan kami akan reka konsep kami dan akan bawa ke luar negara di bawah syarikat saya. Salah satunya, saya bekerjasama dengan Tuscany di Singapura dan di Malaysia, ia akan dikenali dengan nama lain, namun masih di bawah syarikat tersebut. Nama jenama setakat ini yang dipilih ialah Hadaz. Sejak bilakah anda mulakan perniagaan ini? Sejak kebelakangan ini setelah saya melawat syarikat Tuscany di Singapura, saya mula berminat ingin membawa produk itu di Malaysia. Jadi, itu yang saya sedang cuba menembusi pasaran di sini. Beralih kepada soalan 'panas'. Apakah perkembangan isu kontroversi yang melanda Adi sebelum ini? Saya masih menanti konklusinya. Sudah semestinya saya akan tetap berpegang dengan apa yang dijanji iaitu akan kongsikan keputusannya bersama semua setelah mendapat keputusan. Namun setakat ini, masih belum dapat jawapan apa-apa. Alhamdulillah, kes ini tidak mengganggu kerja serta kehidupan saya. Saya masih dalam mood aktif yang mana ia tidak mengganggu apa yang saya lakukan termasuk kerjaya saya. Alhamdulillah. Bagaimanakah dengan dakwaan yang mengatakan Adi menggunakan orang atasan untuk membantu menggugurkan kes anda itu? Saya tidak ambil pusing soal tersebut, ini kerana ia tidak datang daripada mulut saya. Sebaliknya, ia adalah apa yang orang lain sampaikan kepada umum. Jadi, apa yang boleh saya katakan terpulang kepada mereka nak cakap apa. Namun, saya bersyukur sebenarnya dan mengucapkan setinggi terima kasih kerana saya masih disayangi dan masih ramai yang ambil berat tentang diri saya. Jika tidak, maka tiadalah yang berbicara tentang diri saya dan tahu tentang perkembangan saya. Di sebalik banyak kontroversi negatif yang dialami, bagaimana pula reaksi peminat Adi? Apa yang saya boleh katakan, Allah itu wujud dan apa yang dipohonkan akan terkeluar bersama kebenarannya kelak. Alhamdulillah, peminat masih bersama saya dan saya juga masih menyumbang tenaga sebagai seorang penggiat seni. Pernahkan Adi berasa rimas dengan dakwaan yang sering dilemparkan kepada anda walaupun telah menafikannya? Setakat ini tiada perasaan sedemikian. Segala tanggungjawab saya telah jalankan. Jika saya berasa rimas, maka saya tidak akan menghadiri setiap majlis yang dijalankan. Lebih baik saya tidak datang, sebab saya tahu saya bakal dikerumuni media, namun saya tidak berbuat begitu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan