Rabu, 19 Oktober 2011

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Terengganu tetap waspada

Posted:

Terengganu tetap waspada

Terengganu tetap waspada

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

MANAF muncul wira Terengganu apabila meledak dua gol untuk memusnahkan impian Selangor pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.


"JANGAN terlalu selesa dengan situasi sekarang." Demikian peringatan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kepada anak-anak buahnya meskipun sudah memperoleh bekalan selesa selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2011, malam kelmarin.

Irfan secara sinis mengakui dua gol yang diperoleh di Stadium Shah Alam itu bukanlah modal besar sehingga membolehkan para pemainnya bermain sambil lewa pada aksi kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

"Memang kami menang 2-0, tetapi permainan belum lagi berakhir. Masih ada 90 minit lagi yang perlu kami lalui dan dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku," katanya kepada Kosmo! semalam.

Justeru, kata pengendali kelahiran Kelantan itu, komitmen amat ditagih daripada kesemua pemain dalam misi mereka memburu tempat ke final Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

Jelasnya, kejayaan menumbangkan Kelantan pada suku akhir dan mendahului Selangor dengan kelebihan dua gol menjadi bukti terhadap kehebatan Terengganu ketika ini.

"Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpesta dan kami perlu mengelakkan diri daripada bersikap terlalu angkuh serta sombong. Kami perlu cekalkan hati kerana perjuangan kami masih belum selesai.

"Selangor akan hadir di Kuala Terengganu tanpa sebarang tekanan kerana mereka tahu kami memiliki kelebihan besar. Tetapi, situasi inilah yang membimbangkan saya kerana takut pemain akan leka sehingga membahayakan kedudukan pasukan," jelasnya.

Pada perlawanan di Stadium Shah Alam kelmarin, kesebelasan utama Terengganu sekali lagi menampilkan kelas tersendiri apabila mudah menjerat Selangor dengan dua gol menerusi sentuhan Abdul Manaf Mamat.

Kejayaan itu sekali gus mengulangi skrip yang sama di Kota Bharu minggu lalu apabila anak-anak buah Irfan mampu menyerap tekanan ribuan penyokong Gergasi Merah Kuning yang membanjiri stadium.

"Bukan mudah sebenarnya beraksi di Shah Alam kerana Selangor sama seperti Kelantan mempunyai kelompok penyokong yang sangat hebat. Namun, kami berjaya lepasi kesukaran ini dengan keputusan yang positif," katanya.

Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan menjelaskan gol seawal minit pertama yang dijaringkan Manaf berjaya menaikkan semangat para pemain untuk terus bertahan mengekang asakan lawan.

Jelasnya, kehadiran Reshafiq Alwi dan Ahmad Nordin di bahagian tengah juga perlu diberikan pujian termasuk jentera tengah yang dikemudi Marzuki Yusof.

"Saya pilih Manaf sebagai pemain terbaik pada perlawanan semalam dan memberi kredit kepada Reshafiq dan Ahmad Nordin atas kesungguhan mereka membantu jentera tengah dan pertahanan.

"Inilah barisan terbaik saya dan pemain telah mempamerkan satu mutu permainan luar biasa sejak kebelakangan ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Amukan Hairuddin

Posted:

Amukan Hairuddin

Amukan Hairuddin

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


HAIRUDDIN (tengah) tampil dengan aksi yang menakjubkan pada aksi menentang T-Team di Kuala Terengganu malam kelmarin.


DUA tahun lalu, Hairuddin Omar dijulang bagaikan wira selepas membantu T-Team muncul juara Liga Perdana. Namun kelmarin, bekas penyerang kebangsaan itu seolah-olah dilabel sebagai 'musuh dalam selimut' oleh skuad kendalian Yunus Alif ekoran kejayaannya meledak dua gol ketika membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan 4-2 ke atas T-Team.

Kemenangan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu sekali gus menyaksikan pasukan pelawat membawa bekalan cukup selesa menjelang aksi kedua di Paroi pada 22 Oktober ini.

Bagi Yunus, dia tidak terkejut dengan kemampuan Hairuddin yang mudah merobek gawang pasukannya kerana menyedari pengalaman yang dimiliki pemain kelahiran Terengganu ketika bersama T-Team dua tahun lalu.

Malah katanya, dia sendiri telah memberi peringatan kepada anak-anak buahnya agar sentiasa mengawasi pergerakan penyerang kental itu sepanjang 90 minit permainan.

"Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan kami mudah dibolosi empat gol walaupun beraksi di gelanggang sendiri. Salah satunya adalah perasaan gentar yang ada pada pemain apabila beraksi di peringkat genting seperti ini.

"Namun, faktor utama pasti kepada Hairuddin kerana dia merupakan bekas pemain T-Team dan tahu kemampuan pasukan ini. Dalam masa sama, pemain saya pula terutamanya penjaga gol begitu gugup apabila melihat Hairuddin memegang bola.

"Sebab itulah Hairuddin mudah menjaringkan dua gol menerusi tandukan kerana tiada pemain yang mengawalnya," jelas Yunus kepada Kosmo!.

Pada aksi semalam, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit kelima sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-11.

Namun, pengalaman luas Hairuddin membolehkannya meletakkan Negeri Sembilan kembali di hadapan minit ke-25, sebelum tuan rumah sekali lagi menyamankan kedudukan hasil jaringan Nor Farhan Mohammad.

Detik kemusnahan T-Team bagaimanapun hadir pada minit ke-42 apabila Hairuddin meledak gol peribadi keduanya, diikuti jaringan keempat oleh S. Kunalan pada minit ke-50.

Mengulas lanjut, Yunus kini mengakui tugas sukar terpaksa dilalui anak-anak buahnya di Paroi, Sabtu ini dalam misi menyekat kelebihan besar tuan rumah yang berjaya meledak empat gol pada aksi kelmarin.

Katanya, pemain T-Team tiada jalan lain untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini selain bangkit dengan satu corak permainan menyerang habis-habisan.

"Laluan kami begitu sukar dan sejak dari awal lagi saya sudah katakan Negeri Sembilan bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kok Chi: Malaysia tidak terjejas

Posted:

Kok Chi: Malaysia tidak terjejas

Kok Chi: Malaysia tidak terjejas

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

SETIAUSAHA Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi memberi jaminan kontinjen negara tidak akan menghadapi masalah kekurangan bilik penginapan pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Menurut Kok Chi, pihaknya telahpun menerima senarai penginapan daripada pihak penganjur berhubung penginapan buat atlet-atlet negara yang bakal bertanding pada temasya dwitahunan itu baik di Palembang mahupun di Jakarta.

"Setakat ini, tidak ada sebarang masalah yang dihadapi dan pihak penganjur pun telah menghantar senarai penginapan kepada kami (MOM) buat atlet-atlet Malaysia.

"Semuanya telah diatur mengikut perancangan dan tidak ada sebab untuk kita bimbang mengenai kekurangan bilik penginapan buat kontinjen negara," kata Kok Chi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Semalam, media di Indonesia melaporkan kekurangan bilik penginapan di perkampungan atlet dan bilik hotel terutamanya di Palembang mungkin memaksa Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA (Inasoc) untuk menggunakan kapal tentera Republik itu sebagai hotel terapung.

Sehingga kini, 15,900 atlet dan pegawai dari 11 negara telah mendaftar untuk beraksi pada temasya dwitahunan itu dan separuh daripada mereka akan berada di Palembang.

Bagaimanapun perkampungan atlet di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang hanya boleh menampung kira-kira 2,000 peserta dan terdapat kira-kira 4,500 bilik hotel di bandar itu.

Kok Chi yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata: "Kami tidak dimaklumkan apa-apa mengenai masalah tersebut.

"Malah, senarai penginapan buat atlet-atlet Malaysia yang kami terima daripada pihak penganjur tidak ada pula menyebut yang atlet-atlet kita akan menginap dalam kapal tentera.

"Saya percaya, selaku penganjur, Indonesia tahu apa yang perlu mereka lakukan kerana mereka sendiri sudah berjanji bahawa segala persiapan bagi Sukan SEA kali ini akan siap sebelum ia bermula," ujar Kok Chi.

Dalam pada itu, Kok Chi turut memberitahu bahawa Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2011, Datuk Naim Mohamed bersama beberapa lagi pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN) akan berlepas ke Indonesia, Sabtu ini bagi membuat tinjauan terhadap persiapan penganjur menjelang temasya yang bakal membuka tirainya 11 November ini.

"Apabila Datuk Naim bersama beberapa pegawai MSN sudah melakukan tinjauan itu nanti barulah kita akan tahu sejauh mana persiapan Indonesia bagi menganjurkan Sukan SEA kali ini dan selepas itu baharu kita boleh membuat sebarang keputusan sekiranya ada masalah-masalah yang timbul," tambah Kok Chi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved