Kosmo Online - Horizon |
- Niners berbasikal malam di Negeri Sembilan
- Fesyen dan makanan magnet San Francisco
- Santai di Impian Morib
Niners berbasikal malam di Negeri Sembilan Posted: Niners berbasikal malam di Negeri Sembilan Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA SEJAK dari tadi, Yaakob Abd. Latid leka membelek-belek basikal gunung jenis Exit Way miliknya. Matanya tajam memerhatikan setiap inci basikal bermula daripada bahagian tayar, lampu hadapan, lampu brek dan pedal brek. Semuanya perlu dipastikan berkeadaan baik dan sempurna. Selepas berpuas hati, lelaki berusia 32 tahun itu menyorongkan basikal itu melepasi pagar rumahnya di Taman Panchur Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. Dia mula berkayuh menuju ke jalan besar seterusnya memasuki beberapa laluan utama menuju ke arah pusat bandar. Malam itu, dia sudah berjanji untuk bertemu dengan ahli-ahli Niners (N9 Radio Amatuer Team) di sekitar Taman Tasik Seremban. Kelibat Yaakob yang lengkap berpakaian seperti seorang pelumba profesional lengkap dengan sut, kasut, sarung tangan dan topi keledar itu nyata menarik perhatian pengguna jalan raya yang lalu lalang. Bagaimanapun penolong pegawai perubatan di Hospital Tuanku Jaafar itu tidak ambil pusing. Dia tetap fokus dengan kayuhannya sejauh lebih 10 kilometer (km) itu. Beberapa ahli Niners yang tiba lebih awal menyambut kehadirannya. Masing-masing kelihatan sibuk membuat persediaan awal sebelum memulakan aktiviti berbasikal pada waktu malam yang semakin popular di daerah itu. Kedamaian malam Mengikut perancangan, mereka akan berbasikal di sekitar kawasan pusat bandar terlebih dahulu sebelum memasuki beberapa lokasi lain seperti Ampangan, Senawang dan Rasah sebelum berpatah semula ke tempat permulaan membabitkan jarak sehingga 40km. Yaakob berkata, dia gembira dengan hobi yang baru diceburinya kira-kira dua bulan lalu itu biarpun terpaksa berhabis hampir RM2,000 untuk membeli basikal dan aksesori yang berkaitan. AKTIVITI berbasikal yang dipelopori Niners sedikit sebanyak menghidupkan suasana malam di sekitar bandar Seremban. "Apa yang menariknya, berbasikal pada waktu malam ini sudah tentunya keheningan dan kedamaian yang diperoleh kerana jalan raya tidak terlalu sesak. "Cuaca sejuk pada waktu malam membuatkan kita sentiasa berasa selesa dan tidak penat," katanya yang masih bujang. Biarpun agak terseksa di peringkat awal katanya, ia boleh diibaratkan alah bisa tegal biasa. "Saya akui dulu stamina kurang, berkayuh sekejap sahaja badan sudah terasa penat. Setiap kali pulang ke rumah pasti seluruh badan berasa sakit-sakit. "Kini, boleh dikatakan hampir setiap hari saya berkayuh sama ada bersama Niners atau secara bersendirian," ujarnya. Ditubuhkan sejak awal tahun lalu, Niners kini dianggotai 16 ahli pelbagai peringkat usia yang sebahagian besarnya merupakan peminat radio amatur dan pacuan empat roda (4WD). Pengasas kumpulan itu, Izfanizal Iskandar berkata, pada mulanya, aktiviti itu diadakan secara suka-suka sebelum mula mendapat perhatian dalam kalangan ahlinya yang lain. Ujarnya, melalui aktiviti tersebut ahlinya bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan malah, dapat bertemu dengan rakan-rakan dan menambah kenalan baharu dalam kalangan peminat sukan itu. Pelbagai lokasi Kongsi Izfanizal lagi, kumpulannya berkayuh antara dua hingga tiga jam tiga kali seminggu membabitkan perjalanan antara 30 hingga 50km. "Selain di sekitar Seremban, kami juga berkayuh di daerah-daerah lain di negeri ini termasuk di sekitar Putrajaya. Setiap lokasi mempunyai cabaran dan laluan yang berbeza-beza. Ini dapat mengelakkan ahli berasa bosan berkayuh di laluan yang sama," katanya. Menurutnya, aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, malah merapatkan lagi hubungan sesama rakan dalam kumpulan tersebut, di samping melatih mereka berdisiplin. "Apabila menggunakan jalan raya atau jalan utama, kami tetap supaya mematuhi peraturan jalan raya seperti pengguna yang lain. "Di samping itu, kami juga mensyaratkan setiap penunggang dan basikal dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya sambil memberitahu ahlinya tidak pernah lagi terlibat dengan kemalangan. FAKTOR masa dan kesibukan tugas tidak menghalang ahli-ahli Niners untuk bertemu dan melakukan aktiviti berbasikal tiga kali seminggu. Selain itu, Izfanizal atau lebih mesra dengan panggilan Izfan memberitahu, kumpulannya sengaja memilih basikal gunung berbanding basikal lumba atau basikal fixie yang juga semakin popular pada hari ini. "Tidak ramai yang mengetahui, sebelum ini Niners sering bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan penyelamat di negeri ini secara tidak langsung melalui bantuan teknikal dan komunikasi. "Pemilihan basikal gunung pastinya memberikan kelebihan kepada ahli-ahli Niners untuk terlibat sama dalam misi bencana dan kecemasan pada masa hadapan khususnya membabitkan laluan hutan, berbukit dan sebagainya," jelasnya sambil mengakui aktiviti itu secara tidak langsung menghidupkan lagi bandar Seremban pada sebelah malam. Jadi terapi minda Sementara itu, Mohd. Romzie Ahmad, 42, berkata, minat mendalam terhadap aktiviti berbasikal sejak dari remaja mendorongnya menyertai Niners. Katanya, dia selesa memilih aktiviti itu sebagai salah satu riadah dalam mengekalkan kecergasan dan kesihatannya setiap hari. "Dulu saya suka joging, bagaimanapun peningkatan usia menyebabkan saya beralih kepada berbasikal yang dilihat lebih santai dan kurang berisiko. "Keseronokkan aktiviti ini menyebabkan saya turut menyertai pertandingan-pertandingan basikal gunung atau jambori yang diadakan di seluruh negara," kata bapa kepada empat cahaya mata itu. Ujarnya, dia pernah berulang alik dari Seremban ke Melaka dan Port Dickson hanya sekadar untuk suka-suka. SIKAP saling bantu-membantu penting bagi memastikan setiap kayuhan yang dirancang berjalan lancar dan sempurna. Jelas ahli perniagaan itu, aktiviti itu seakan-akan menjadi terapi minda kepadanya untuk menghilangkan segala tekanan dan masalah harian. "Selain dapat melihat panorama pada waktu malam, saya juga seronok melihat pelbagai ragam manusia yang ditemui. "Memang diakui setiap aktiviti ada risikonya termasuk berbasikal malam, namun ia dapat dikurangkan jika setiap penunggang bersedia dari segi mental dan fizikal," jelasnya. Pengalaman luas yang diperoleh oleh Mohd. Romzie kini digunakan untuk mengajar ahli-ahli Niners mengenai selok-belok basikal daripada aspek teknikal sehinggalah tip kayuhan. "Berkayuh memang tampak mudah, namun ia perlu disusuli dengan teknik-teknik yang betul seperti pemahaman mengenai penggunaan gear, pernafasan, struktur dan keadaan basikal dan sebagainya," ujarnya. Mengenai jenis basikal yang digunakan katanya, pelbagai jenama boleh dilihat mengikut harga serendah RM1,000 sehinggalah mencecah RM18,000 sebuah ke atas. "Harga basikal atau jenama bukan ukuran kerana semua orang boleh berbasikal mengikut kemampuan masing-masing, asalkan ada minat dan kemahuan," tambahnya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Fesyen dan makanan magnet San Francisco Posted: Fesyen dan makanan magnet San Francisco
SAN FRANCISCO merupakan sebuah kota yang penuh dengan restoran dan kafe menghidangkan masakan dari seluruh dunia. Malah, masyarakat di Amerika Syarikat (AS) sendiri mengakui mereka sering berkunjung ke San Francisco atau ringkasnya disebut San Fran yang terletak di California untuk menjamu selera. Kewujudan restoran Itali yang banyak di bandar raya berkenaan menyebabkan wujudnya kawasan yang dipanggil Little Itali. Restoran lain yang terdapat di San Francisco termasuklah restoran Turki, restoran makanan Arab, Vietnam serta restoran makanan Cina di sebuah kawasan yang dipanggil Chinatown. Chinatown di sini mungkin tiga kali ganda luasnya berbanding kawasan membeli-belah Petaling Street di Kuala Lumpur. Pelbagai barangan menarik dijual di Chinatown termasuklah jaket dan baju T bertulis San Francisco, rambut palsu pelbagai gaya dan warna bagi mereka yang meminati fesyen dan pelbagai cenderamata unik. Restoran terbaik Rangkaian kafe The Cheesecake Factory pula menghidangkan kek keju pelbagai perisa, pasta dan piza bagi mereka yang gemarkan manisan dan hidangan yang ringkas. Seorang penduduk San Francisco memberitahu, restoran yang ingin beroperasi di San Francisco perlu memastikan hidangan mereka berkualiti dan lazat. Persaingan begitu sengit dan restoran yang didapati tidak menjaga kualiti menghadapi risiko gulung tikar dalam waktu yang singkat. Bagi rakyat Malaysia yang mungkin terlalu rindukan nasi atau hidangan kedai mamak ketika berada di bandar raya itu, mereka boleh menjamu selera di restoran-restoran makanan Pakistan yang menghidangkan nasi beriani, capati dan roti nan. Jika ingin mendapatkan makanan pada harga yang lebih murah berbanding di restoran, terdapat gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai pilihan hot dog dan sandwic. Pengunjung boleh duduk di bangku-bangku yang disediakan di tempat-tempat awam untuk menikmati makanan. Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan menjamu selera pengunjung perlu sedar bahawa caj perkhidmatan dikenakan ke atas setiap barangan. Cukai perkhidmatan yang dikenakan adalah sebanyak 9.5 peratus. Selain itu pemberian tip sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan bil juga digalakkan di restoran atau di hotel-hotel. Masyarakat San Francisco atau AS umumnya memang gemar menghabiskan masa berbual di kafe-kafe. Difahamkan terdapat hampir 100 buah kafe Starbucks di San Francisco sahaja. Setiap pagi Starbucks biasanya penuh Sesak dengan golongan pekerja yang membeli kopi untuk dibawa ke tempat kerja masing-masing. Selain dikenali sebagai kota makanan, San Francisco turut dikenali sebagai kota fesyen yang menjadi tumpuan selepas New York. Bandar raya ini juga merupakan tempat lahir bagi jean jenama Levi's. SAN FRANCISCO menjadi salah satu daripada hab utama fesyen di AS selepas New York. San Francisco menempatkan pejabat pengurusan jean jenama Levi's yang dikenali sebagai Levi's Plaza. Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan Levi's di bawah satu bumbung di gedung-gedung Levi's yang terdapat di seluruh bandar raya ini. Gedung lain yang terdapat di San Francisco termasuklah Nike Town yang menjual pelbagai pakaian sukan dan kasual jenama Nike. Tidak ketinggalan butik Victoria's Secret di mana pengunjung boleh mendapatkan pakaian, haruman dan alat solek jenama tersebut. Berjalan kaki menyusuri deretan kedai dan jalan raya yang begitu sibuk di San Francisco penulis mendapati bandar raya berkenaan mempunyai begitu ramai masyarakat asing terutamanya mereka yang berketurunan Cina, Pakistan dan Asia Barat. Kebanyakan daripada mereka bekerja di premis-premis perniagaan dan restoran. Ada juga antara mereka yang bekerja secara profesional seperti peguam. Kebanyakan mereka adalah generasi kedua imigran atau dibawa berhijrah ke AS oleh ibu bapa ketika masih kanak-kanak. Terdapat warga asing yang hanya menjadi peniaga kecil seperti menjual topi dan sarung tangan di kaki-kaki lima. Jambatan Golden Gate Jambatan Golden Gate merupakan identiti bandar raya San Francisco dan dikatakan antara jambatan yang tercantik di dunia. Keunikan jambatan berkenaan adalah tiang menara berwarna merah yang tersergam indah serta kabel yang disusun dengan gaya tersendiri. Jambatan berkenaan merentasi Selat Golden Gate yang menghubungkan San Francisco dengan Lautan Pasifik. Ia menghubungkan bandar Raya San Francisco dengan daerah Marin di California, AS. Pada waktu malam, lampu-lampu yang menghiasi jambatan berkenaan menjadikan jambatan tersebut begitu indah. Jambatan berkenaan mula dibina pada tahun 1933 dan siap pada 1937. Panjang jambatan tersebut adalah lebih 2.7 kilometer dengan enam lorong untuk kenderaan bergerak di kedua-dua hala. Jambatan Golden Gate biasanya sibuk ketika musim panas. Sejak dulu lagi keindahan jambatan berkenaan sering dipaparkan dalam filem-filem Hollywood dan program televisyen terbitan AS. PIER 39 merupakan kawasan pusat beli-belah, restoran, pusat arked video, persembahan jalanan dan Pusat Marin Mammal. Dipercayai beribu-ribu orang membunuh diri dengan terjun dari jambatan ini. Ia dikatakan lokasi bunuh diri yang utama di AS dan di dunia. "Mereka biasanya mengambil bas atau teksi ke jambatan tersebut. Polis sering menemui kereta sewa yang ditinggalkan berhampiran jambatan," demikian kata seorang warga AS sewaktu membawa penulis ke jambatan tersebut. Alcatraz Alcatraz merupakan satu lagi ikon San Francisco. Ia terletak kira-kira 2.4 kilometer dari pantai San Francisco Bay. Pada asalnya rumah api dibina di pulau berkenaan dan kemudiannya digunakan sebagai penjara sehingga tahun 1963. Pada tahun 1969, pulau berkenaan didiami oleh sekumpulan aktivis India Amerika dari San Francisco. Namun selepas tahun 1972, Alcatraz menjadi kawasan rekreasi dan diiktiraf sebagai warisan negara pada tahun 1986. Kini Alcatraz menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Untuk melawat Alcatraz pengunjung perlu menaiki feri dari Fisherman Wharf. Alcatraz banyak ditonjolkan dalam dokumentari dan filem terbitan AS. Namun, ada juga cerita-cerita seram dan kononnya Alcatraz berhantu. Memandangkan penulis menyertai pakej makan malam di atas kapal, ketika menghampiri Alcatraz hari sudah semakin gelap. Justeru kami tidak berpeluang menjejakkan kaki di Alcatraz. Penulis hanya dapat meninjau Alcatraz dari atas feri. Namun kesan-kesan penjara lama tetap jelas kelihatan. Jika perancangan untuk berhijrah ke AS menjadi kenyataan, California pasti menjadi negeri pilihan untuk menetap kerana dua tarikan utama bandar rayanya iaitu fesyen dan makanan. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Santai di Impian MoribOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA PENGINAPAN jenis calet sesuai bagi mereka yang inginkan suasana privasi. SEJAK dahulu lagi, Morib menjadi satu aset penting kepada daerah Kuala Langat. Terletak kira-kira satu jam setengah pemanduan berkereta dari Kuala Lumpur, tidak hairanlah ia sering menjadi tumpuan pengunjung yang mahu melarikan diri seketika daripada kehidupan kota. Popularitinya tidak terhad sebagai pusat perkelahan keluarga seperti yang ditawarkan di Pantai Morib, Pantai Kelanang, Pantai Tanjung Rhu dan Pulau Carey. Pengunjung juga boleh memilih untuk melawat Bukit Jugra yang menyimpan pelbagai nilai dan kesan sejarah Kesultanan Melayu Selangor satu ketika dahulu. Bagi yang ingin bermalam di sini namun, tercari-cari lokasi penginapan yang sesuai, apa kata berkunjung ke Hotel Impian Morib. Bertaraf tiga bintang, hotel yang dibuka sejak tahun 2005 itu pastinya memberikan keselesaan yang diinginkan. Sebaik menjejakkan kaki, pengunjung akan disambut mesra oleh petugas hotel yang murah dengan senyuman. Elemen tradisional Melayu yang dijadikan tema dekorasinya menyejukkan pandangan mata. Secara keseluruhan hotel itu menawarkan 60 bilik dari jenis superior dan deluxe. Bagi yang inginkan suasana yang lebih privasi, terdapat 20 penginapan jenis calet yang boleh dijadikan pilihan. HOTEL Impian Morib sesuai menjadi persinggahan tetamu yang bertandang di Kuala Langat. Menariknya pengunjung boleh memilih sama ada mahu menikmati pemandangan kehijauan flora dan fauna, kolam renang atau lautan yang terbentang luas setiap kali menjenguk ke luar pintu atau balkoni masing-masing. Ruang biliknya tampak sederhana dan ringkas namun, tetap memberi keselesaan yang diinginkan umpama berada di rumah sendiri. Kemudahan asasnya juga lengkap dengan penghawa dingin, kemudahan membuat teh dan kopi, telefon, jalur lebar Internet, televisyen satelit, air panas dan peti ais mini. Menariknya, hotel itu mempunyai kolam renang yang luas dan besar. Ruang di sekeliling kolam renang juga boleh digunakan untuk majlis-majlis keraian dan barbeku. Bagi pengunjung yang ingin beriadah, terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di sini. Antaranya gimnasium, padang permainan, gelanggang bola tampar pantai, ping pong dan permainan dalaman. Kedudukannya yang hanya beberapa meter dari Pantai Morib juga membolehkan pengunjung bermandi-manda atau sekadar bersantai sambil melihat panorama matahari terbenam. KOLAM renang yang luas membolehkan pengunjung bebas bermandi-manda. Bagi peminat-peminat golf pula, bolehlah berkunjung ke Sri Morib Golf Club yang terletak berhampiran. Malah, pihak hotel juga bersedia menawarkan beberapa aktiviti seperti menyelusuri sungai, lawatan atau memancing di laut berdasarkan permintaan. Jika mahu menjamu selera, berkunjunglah ke Restoran Temasya yang terletak berhampiran lobi. Ia mampu memuatkan kira-kira 100 pengunjung pada satu-satu masa sambil menyediakan pelbagai hidangan Barat dan tempatan yang enak pada harga berpatutan. Lebih penting, pengunjung juga tidak perlu risau akan statusnya kerana ia mempunyai sijil perakuan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Hotel Impian Morib juga menawarkan kemudahan bagi agensi-agensi kerajaan atau syarikat korporat yang mahu mengadakan kursus, seminar, mesyuarat atau hari keluarga. Terdapat empat dewan yang boleh dipilih iaitu Kelanang, Jugra, Bayu dan Sri Morib yang mampu memuatkan antara 40 hingga 220 peserta. Setiap satu lengkap dengan kemudahan bersidang seperti sistem pembesar suara, mikrofon dan skrin. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan