Isnin, 17 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kisah kejayaan peneroka Umas

Posted:

Kisah kejayaan peneroka Umas

Kisah kejayaan peneroka Umas

DENGAN memakai but berwarna hitam, jaket kulit berwarna coklat dan berseluar jean, Amarullah Sudin, 53, melangkah keluar dari rumah agamnya di Felda Gugusan Umas, Tawau, Sabah.

"Mari kita ke ladang kelapa sawit, di situ juga lebih 200 ekor lembu saya ditempatkan, ia ambil masa lebih kurang sejam ke sana dari sini," katanya bersahaja kepada penulis dan jurufoto, Noradzrene Mohd. Noor sambil membuka pintu pacuan empat rodanya.

Setibanya di ladang berkenaan, Amarullah turun dan terus memanggil ternakannya dengan nada yang agak aneh. Tanpa semena-mena, sekumpulan lembu berlari menghampirinya dan bergesel dengannya.

"Lihat, lembu-lembu itu semua sudah kenal Haji (nama timangan Amarullah), tuan punya lembu-lembu ini. Dia selalu memantau dan ambil berat ternakannya di sini," kata pemandu pacuan empat roda kami yang dikenali sebagai Pian.

Amarullah yang berasal dari suku Bugis Sabah sebenarnya bukan sebarangan individu. Lelaki ini dilabelkan antara peneroka Felda yang paling berjaya di Negeri di Bawah Bayu.

Membuktikan kenyataan, Amarullah baru-baru ini telah merangkul dua kejayaan dalam Anugerah Usahawan Tawau Felda 2010 yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

Sambil bersiar-siar di ladang kelapa sawit, lelaki penuh karisma itu bercerita tentang misi dan visinya. Kata Amarullah, kejayaannya yang dikecapinya tidak datang bergolek.

Lantas, penulis menyogoknya tentang jolokan umum tentang dirinya digelar jutawan Felda.

"Awak kata saya jutawan? Oh, itu belum lagi, kita masih bekerja keras dan sebolehnya kita mahu kekal dengan sikap sederhana," katanya yang menepis persepsi mengenai konsepsi kejayaan dan kemewahannya.

Menyorot historiografi Amarullah pada masa lampau, intonasinya begitu melankolik.

Liku hidup

Kisah Amarullah di Felda Gugusan Umas bermula pada tahun 1990 dan dia bergelar sebagai peneroka kelapa sawit ketika itu. Namun, pada masa yang sama, minatnya untuk menternak haiwan ternakan telah mendorongnya membeli lima ekor lembu sebagai percubaan untuk berniaga secara kecil-kecilan.

Keseriusan wawancara kami tidak semena-mena bertukar menjadi gamat dengan hilai tawa tatkala lelaki Bugis itu membongkar kisah kehilangan lembunya.

"Lima ekor lembu saya hilang dan takut isteri saya bising, saya beli lembu baharu," katanya yang mendedahkan rahsia yang terpendam sejak sekian lama di hadapan isteri, Murniati Aisnawir, 45, dan anak keduanya, Mohd. Iswan, 24.

Momen itu sebenarnya merupakan titik peralihan kepada kehidupannya. Sambil memandang tepat ke arah isteri yang bersama-sama berkorban masa dan tenaga, Amarullah mengakui perniagaan yang direntas penuh berliku.


PASANGAN suami isteri, Amarullah dan Murniati menaruh harapan agar zuriat mereka dapat menyambung legasi perniagaan yang dibina sejak bertahun-tahun lamanya.


"Pernah berlaku, 25 ekor lembu saya mati dan kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000 dan pernah juga 30 ekor lembu saya dicuri orang dan saya rugi RM60,000," beritahunya.

Pada satu peringkat, kata lelaki itu, kurniaan Allah kepadanya tidak berbelah bahagi. Dia berlapang dada apabila sudah mempunyai kira-kira 500 ekor lembu. Dia juga memiliki ladang kelapa sawit seluas 2,000 hektar.

Tidak bergantung kepada dua cabang perniagaan sahaja, selain menumpukan perhatian kepada ternakan dan kelapa sawit, Amarullah turut mengendalikan bisnes pembinaan. Skala para pekerjanya bertambah kepada 50 orang.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya Amarullah berterus-terang bahawa hasil pendapatan bulanannya mencecah RM50,000.

Dahulu gajinya semasa awal-awal menjadi peneroka cuma sekitar RM200 sahaja.

Hasil ternakannya pernah menjengah bukan sahaja pasaran Sabah malah menerima tempahan dari Sarawak dan Indonesia.

Namun, tegas bapa kepada sembilan anak itu, tiada istilah berpeluk tubuh dan 'memerintah' para pekerjanya bukan prinsipnya.

"Saya masih bekerja tak kira masa. Pagi-pagi dah bangun. Alhamdullillah hasil titik peluh saya kini diwarisi oleh Mohd. Iswan," katanya yang sangat berterima kasih dengan keprihatinan Felda terhadap para peneroka di negeri Sabah.

Apabila topik perbualan beralih kepada kediamannya ibarat sebuah istana, Amarullah tersenyum simpul.

"Ya, kos rumah yang mempunyai tujuh bilik ini mencecah hampir RM2 juta dan sebenarnya ia masih dalam pembinaan.

"Rekaan rumah ini adalah sentuhan anak sulung saya, Abdul Ghafur yang merupakan seorang jurutera. Kami sama-sama mencatur idea mengatur konsep hiasan dalaman termasuk susunan perabot," ujarnya yang masih menggantung gambar keluarga di rumah papan yang pernah didudukinya dulu di ruang tetamu.

Beberapa puluh meter dari rumah Amarullah, tinggal seorang ibu tunggal bersama tujuh anaknya yang kesemuanya berjaya dalam pelajaran.

Transkripsi kisah Udang Rosnah Dullah, 50, sedikit menyayat hati. Kematian suami, Allahyarham Julhari Haiyan sejak 11 tahun lalu sesungguhnya memberi transisi besar kepada kehidupan ibu tunggal itu.


USAHAWAN WANITA BERJAYA. Udang percaya, sekiranya seseorang penerokaitu rajin, Felda pasti akan menghulurkan bantuan seperti yang dimahukan.


Ketika itu, kata Udang, dia hanyalah seorang suri rumah. Dia juga gusar dan tekanan semakin menguasainya lantaran memikirkan bagaimana mahu memulihkan taraf hidup sedangkan ilmunya tentang perniagaan sangat cetek.

Namun, apakah faktor yang mendorong penerima Anugerah Ibu Tunggal Paling Berjaya di Gugusan Felda Umas ini berjaya?

Ujarnya: "Kerja keras saya tak didorong oleh sesiapa tapi apabila saya melihat anak-anak perlukan masa depan yang cerah, saya terus bangkit untuk melakukan apa sahaja."

Cendawan tiram

Dengan riak wajah penuh kesungguhan dan bebola matanya yang menahan air mata, Udang berkata, dia memulakan segala-galanya dengan menanam cendawan tiram hasil bantuan Felda.

Semangat untuk melihat zuriat-zuriatnya belajar hingga ke menara gading, membakar semangat Udang untuk terus menongkah satu fasa baru yang ternyata memberi manfaat kepada penduduk warga Felda Umas.

Dengan bantuan Felda, dia membuka kedai memproses gambar dan fotostat. Peribahasa sehari selembar benang, lama-lama jadi sehelai kain sesuai ditujukan kepada wanita keturunan Bajau Semporna itu.

Berkat kesungguhannya, pendapatan bulanannya kini sekitar RM5,000 sebulan.

Kehidupan Udang semakin bercahaya apabila anak-anaknya kini ada yang bergelar guru dan majoriti bekerja dalam sektor kerajaan. Anak kelimanya, Julfikri Julhari, 19, pula sedang menuntut di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya.

Sama ada Amarullah mahu pun Udang, kedua-duanya pernah pernah bergelut dalam merencana dan merubah derita keluarga. Usaha mereka yang tidak tidak pernah kenal erti jemu membuatkan mereka akhirnya menyeberang ke satu fasa yang penuh gemilang.

Seperti kata Udang: "Kita kena berani, kita kena cuba semua dan jika rajin, Felda pasti akan bantu kita."

Full content generated by Get Full RSS.

Taraf hidup lebih baik

Posted:

Taraf hidup lebih baik

Taraf hidup lebih baik


MAJORITI peniaga di Pasar Tamu di Felda Umas terdiri daripada wanita.


FELDA Gugusan Umas, Tawau, Sabah cukup istimewa. Berbeza dengan Felda-Felda yang bertapak di Semenanjung Malaysia, Felda ini didiami seramai 776 peneroka yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik yang berbeza.

Ada antara mereka yang berasal dari suku kaum Bajau Semporna, Bajau Laut, Bugis, Penan, Cina, Kadazan, Bisaya dan lain-lain lagi.

Meskipun majoriti warga Felda itu sudah melakukan transformasi terhadap kediaman mereka, pesona rumah tradisional yang masih dikekalkan oleh sesetengah daripada mereka ternyata mencuri pandangan.

Tiada cacat-celanya Felda ini. Segala prasarana seperti jalan berturap, sekolah, klinik, masjid, elektrik, bekalan air, telefon, kemudahan sukan, pusat perniagaan dan jeti di sediakan.

Seorang penduduk yang juga peniaga di pasar tamu di Tawau, Malina Bakri, 40, menyatakan rasa bertuahnya dengan kemajuan yang dikecapi sekarang.

"Saya sudah berniaga di sini kira-kira dua dekad, semuanya cukup dan kami gembira dengan perhatian yang diberi kerajaan," katanya yang menjual barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran.

Rakannya, Umaisahayah Marasarin, 39, senada dengan Malina. Dia yang berniaga lebih 30 tahun di situ bersyukur kerana dia mampu menjana pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.

"Dulu kami hidup susah tapi sekarang ini kami gembira kerana kami bukan saja berasa selesa malah pada masa sama dapat menikmati kehidupan yang aman damai dengan puluhan etnik lain," katanya.

Bagaimanapun, cuma satu permintaan penduduk di sana. Mereka sepakat mahu kerajaan menimbangkan pembinaan sebuah pejabat pos dan bank untuk memudahkan urusan harian mereka.

Semasa kunjungan media ke Felda Umas sempena Karnival Iktiraf Media 2011 anjuran Seranta, Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini, kemeriahan dan keharmonian masyarakat di Felda tersebut cukup jelas.

Keriangan kanak-kanak bermain di padang permainan, keriuhan belia bersukan dan kesungguhan peniaga menjalankan perniagaan di pasar tamu, mewujudkan atmosfera yang sangat menyenangkan.


PROJEK biogas di Felda Umas yang membabitkan kos kira-kira RM11.4 juta ini cukup untuk menyalurkan bekalan elektrik kepada kepada kesemua penduduk pada tahun depan.


Projek biogas

Kedai D'Mart yang menjual barangan yang murah membuatkan masyarakat setempat tidak perlu berbelanja ke bandar Tawau yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari situ.

Aura Felda Gugusan Umas itu turut menambat perhatian Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang mengadakan kunjungan selama dua hari ke situ.

Mohd. Isa turut mengambil kesempatan berehat di rumah agam yang berharga hampir RM2 juta milik peneroka berjaya Umas, Amarullah Sudin, 53.

"Momentum Felda di sini begitu membanggakan saya," katanya.

Beliau turut meninjau lebih daripada 20 buah rumah untuk memberi sumbangan kepada belia orang kurang upaya (OKU) di sana.

Secara keseluruhannya, kata Mohd. Isa, terdapat sembilan tanah rancangan Felda di Sabah dengan bilangan peneroka seramai kira-kira 1,600 orang. Di Felda Umas sahaja terdapat empat rancangan iaitu iaitu Umas 1, Umas 2, Umas 3 dan Umas 4.

Meskipun jumlah peneroka di sana kecil berbanding lebih 100,000 peneroka di Semenanjung, Mohd. Isa menegaskan, tiada istilah mereka dipinggirkan.

Buktinya, pihaknya sedang dalam rangka akhir dalam menyalurkan tenaga elektrik daripada loji biogas kilang minyak sawit di Felda berkenaan.

"Setakat ini, kira-kira 80 peratus kerja-kerja yang membabitkan kos kira-kira RM11.4 juta sudah disiapkan dan kita menjangkakan ia akan siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

"Saya sangat berharap dengan adanya kemudahan ini, kita dapat membekalkan bekalan elektrik secukupnya di Felda itu," ujar Mohd. Isa.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Karnival Iktiraf Media 2011 yang dianjurkan oleh Seranta, Pengarahnya, Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, ia merupakan platform kepada pengamal media untuk mendasari kehidupan warga felda secara dekat.

Keluarga angkat

"Selama ini ada yang mendengar sahaja, tapi kali ini, kami membawa anda menyelami dan merasai sendiri kehidupan dan rutin harian yang biasa dilakukan sehari-hari," katanya.

Semasa karnival, kesemua anggota media berpeluang mendekati kehidupan tempatan dengan ditempatkan di rumah keluarga angkat. – MAZLINA ABDUL MAJID

Full content generated by Get Full RSS.

Jualan gudang acara tahunan

Posted:

Jualan gudang acara tahunan

Jualan gudang acara tahunan


PENGUNJUNG boleh mendapatkan banyak judul buku kegemarandan keperluan akademik anak-anak mereka pada harga istimewa.


BAGI ibu bapa yang inginkan bahan bacaan untuk anak-anak, penggemar novel sastera dan umum, jangan lepaskan peluang ke jualan buku dan majalah Kumpulan Utusan bagi mendapatkan pelbagai koleksi dan bahan bacaan bermutu yang dijual.

Melalui anak syarikatnya, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) dengan kerjasama Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) sekali lagi akan menganjurkan jualan gudang produk terbitan masing-masing seperti buku dan majalah.

Jualan ini akan diadakan bermula 21 hingga 30 Oktober ini bertempat di pejabat UP&D di No. 1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa, 56100 Cheras, Kuala Lumpur. Jualan bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.

Menurut Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, acara jualan gudang itu merupakan aktiviti tahunan yang telah dianjurkan sejak empat tahun lalu. Kebiasaannya ia diadakan pada awal atau akhir tahun.

"Ini merupakan salah satu inisiatif UP&D untuk menawarkan harga istimewa kepada para pelanggan dan komuniti sekitar bagi mengenali produk-produk kami dan produk Kumpulan Utusan," ujarnya.

Budaya membaca

Di samping itu, melalui penganjuran acara jualan gudang, diharap semua masyarakat dapat mengambil peluang untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu dengan harga yang lebih murah.

"Tujuan utama diadakan jualan ini adalah untuk menggalakkan budaya dan minat membaca agar masyarakat senang untuk memiliki dan mendapatkan sumber ilmu berkualiti.

"Jualan ini juga meningkatkan promosi dan kesedaran masyarakat berhubung dengan akhbar, majalah dan buku Kumpulan Utusan di kawasan Kuala Lumpur," ujar Hairi.

Jualan gudang itu juga diadakan bagi menghargai setiap peminat buku tempatan dengan memberikan peluang keemasan untuk mereka memiliki buku pada harga yang lebih murah daripada harga asal.


SELAIN secara tunai, pembayaran melalui kad kredit juga disediakan untuk pembelian RM50 ke atas.


Buku-buku yang dijual pada jualan gudang tersebut merangkumi lebih 4,000 judul dalam pelbagai siri seperti motivasi, keluarga, kewanitaan, masakan, fesyen, novel, kanak-kanak dan juga buku akademik untuk tadika, sekolah dan universiti.

Produk terbitan UKSB pula merangkumi majalah Al-Islam, Hai, Harmoni, Kawan, Mangga, Mastika, Pemikir, Saji, URTV, Wanita, Infiniti dan iSihat.

Pengunjung yang melanggan majalah untuk satu tahun pula bakal mendapat hadiah percuma. Selain dari majalah, buku keluaran UKSB seperti Mastika Baitullah, Mastika Cerita Dari Mekah, Insaf, Direktori Perkahwinan, Koleksi Saji turut dijual.

Buku-buku terbitan Cambridge juga turut dijual pada harga istimewa sepanjang 10 hari jualan gudang ini diadakan.

Antara buku-buku yang bakal menanti pengunjung adalah dari kategori Secondary Materials, Adult and Young Adult Courses, Cambridge English Readers dan Teacher Resource.

Tambah Hairi, sempena jualan gudang tersebut, pihak penganjur menawarkan diskaun sehingga 70 peratus ke atas tajuk-tajuk terpilih. Bagi kemudahan pengunjung, selain penjualan tunai, pembayaran melalui kad kredit juga disediakan untuk pembelian RM50 ke atas.

"Saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar sekolah, kolej, universiti, para guru dan ibu bapa serta masyarakat di luar sana untuk meluangkan masa menghadiri jualan gudang ini. Pihak pentadbiran sekolah dan pustakawan turut dipelawa untuk melakukan pembelian secara pukal," ujar Hairi.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan jualan gudang ini, boleh menghubungi pejabat UP&D di talian 03-9285 6577.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved