Kosmo Online - Urban |
1st Avenue pusat beli-belah ikonik BTS Posted: 1st Avenue pusat beli-belah ikonik BTS Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR KOMBINASI latar awan dan langit membiru, tenang menyambut kedatangan pengunjung di 1st Avenue yang terletak di aras satu pusat beli-belah Berjaya Times Square (BTS). Diinspirasikan dari lokasi terkemuka Fifth Avenue di kota New York, orang ramai berpeluang merasai pengalaman membeli-belah yang mengujakan sama seperti berada di kota yang terkenal dengan jolokan The Big Apple itu. Malah, kewujudan pelbagai replika seperti stesen kereta api bawah tanah, pemandangan jalan raya yang dipenuhi teksi kuning popular seperti di New York dan lampu jalan memeriahkan lagi suasana di pekarangan 1st Avenue yang kini menjadi satu lagi tarikan terkini untuk pengunjung ke sana. Bagi pemilik butik Offline Blogshop, Yeo Bee Sean, 25, peluang menyewa ruang perniagaan di 1st Avenue dirasakan begitu berharga kerana boleh mengembangkan lagi produk mereka di lokasi strategik. "Ini merupakan kedai kedua kami selepas membuka cawangan sulung di Sunway Pyramid. Offline Blogshop diasaskan semata-mata untuk membantu para blogger yang terlibat dalam jual beli secara talian memperkenalkan produk mereka dengan lebih baik. "Setakat ini, terdapat 30 blogger yang terlibat dalam memasarkan produk mereka di premis perniagaan ini. Kebanyakannya terdiri daripada pakaian, beg tangan, kasut, aksesori dan sebagainya," ujar Bee Sean sambil menunjukkan koleksi terbaharu yang ditawarkan di butik tersebut. Projek 1st Avenue itu mengambil masa selama enam bulan untuk direalisasikan termasuk proses penyelidikan dan perancangan yang melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta. RUANG beli-belah yang santai dan selesa mampu menggamit kehadiran ramai pengunjung ke 1st Avenue. Mercu tanda Sebagai sebuah pusat beli-belah yang ikonik dengan moniker atau jenama Times Square, maka layak sekali konsep 1st Avenue yang berkisar tentang bandar terkemuka dengan mercu tanda New York diaplikasi di situ. Mural langit tertutup oleh pakar seni hiasan, Palazzo We Sdn. Bhd. menjadikan suasana beli-belah lebih menyeronokkan, seolah-olah pengunjung bukan berada di dalam sebuah bangunan. Perkara ini diakui salah seorang pengunjung, Nicola Bryan, 27, yang kagum dengan hiasan dan konsep yang diketengahkan di 1st Avenue. "Kali pertama memasuki premis ini, hati saya tertawan melihat dekorasi mural langit yang begitu istimewa. Ia membuatkan saya berasa seperti membeli-belah di luar sedangkan hakikatnya berada di dalam bangunan tertutup. "Idea yang dibawakan pihak pengurusan sangat hebat dan ia mampu menarik lebih ramai pengunjung ke sini. Tambahan pula variasi produk yang ditawarkan amat relevan daripada dunia fesyen, seleksi aksesori dan makanan serta minuman," ungkap pelancong dari Switzerland itu. Sementara itu, pemilik butik Elda, Amjad Ali, 30, turut berkongsi rasa gembira kerana dapat menjadi salah seorang penyewa di lokasi tersebut setelah melihatnya buat kali pertama. Berasal dari Afghanistan tetapi menetap di Australia, Amjad memberitahu dia tertarik membuka butik di 1st Avenue kerana konsep yang diperkenalkan pihak pengurusan Berjaya Times Square sangat menarik. BAK di kota New York. Lukisan dinding yang memaparkan teksi kuning yang merupakan salah satu ikon bandar raya tersebut membuatkan seolah-olah pengunjung berada di sana. Tambahan pula, lokasi ini terletak di tengah-tengah bandar yang memudahkan orang ramai mengunjungi pusat beli-belah tersebut. Harga berpatutan "Koleksi pakaian yang kami pamerkan adalah rekaan pereka dari Australia dan ia amat sesuai untuk mereka yang gemar berfesyen dan tampil bergaya. Harganya pula berpatutan dan mampu milik," jelas Amjad yang berpuas hati dengan sambutan yang diterima daripada pelanggan di butiknya. Antara premis lain yang mungkin boleh dikunjungi termasuklah Magic Club bagi mereka yang berminat untuk mendalami dunia magik. Terdapat pelbagai aksesori dan produk berkaitan magik yang membolehkan pengunjung sendiri bergelar ahli silap mata. Tidak ketinggalan, Magic Club turut menyediakan kelas untuk individu yang mahu mendalami dunia alam silap mata dengan lebih serius hingga ke tahap profesional. Jika sudah penat menerokai segenap di 1st Avenue, apa kata rehatkan diri sambil menikmati seleksi minuman di kafe popular Starbucks yang turut berada di sana. Untuk maklumat lanjut, hubungi talian hotline 1-300-888-988 dari 10 pagi hingga 10 malam atau layari laman web www.timessquarekl.com. Full content generated by Get Full RSS. |
Persiapan akhir sambut Deepavali Posted: Persiapan akhir sambut DeepavaliLADDU antara manisan wajib dihidangkan pada sambutan Hari Deepavali. DALAM tempoh satu minggu lagi, penganut agama Hindu akan menyambut Deepavali. Dalam tempoh yang singkat itu, kepada yang masih belum sempat membuat persediaan, anda tidak perlu bimbang kerana masih berpeluang untuk membeli-belah. Bercakap tentang sambutan tersebut, perkara pertama yang difikir ialah membeli pakaian, aksesori, hiasan rumah, kuih-muih dan sebagainya. Bagi memudahkan mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang, anda boleh mengunjungi tapak karnival yang dibuka khas sempena Deepavali. Little India di Brickfields misalnya, merupakan salah satu lokasi yang menjadi tumpuan kepada mereka yang gemar membeli-belah. Seperti tahun-tahun sebelum ini, pihak penganjur, Agenda Suria Communications (ASC) menganjurkan Karnival Deepavali bermula sejak 14 Oktober lalu dan berakhir hingga 25 Oktober 2011. Karnival diadakan di tempat letak kereta terbuka Brickfields dengan pelbagai pengalaman beli-belah yang mengujakan. Karnival yang berlangsung selama 10 hari itu masih mengekalkan tradisi di samping beberapa pembaharuan. Segmen hiburan SERLAHKAN sepasang kaki dengan sepatu menawan. Antara aktiviti yang dirancang sepanjang karnival ialah pertandingan tarian, pertandingan masak ibu dan anak, pertunjukan fesyen ibu dan anak, konsert saluran Astro Vaanavil pada 23 Oktober dan sesi bertemu peminat bagi pengacara dan artis Vaanavil hampir setiap hari. "Ia menjadi segmen hiburan yang disediakan khas oleh ASC kepada pengunjung yang membeli-belah di lebih 200 gerai yang disediakan," kata Ketua Eksekutif Operasi ASC, Jaggarao Simancha. Simancha menambah, pihaknya telah menambahkan jumlah gerai daripada tahun sebelumnya iaitu daripada 190 kepada 220 buah gerai tahun ini. Pihak penganjur menyediakan lebih banyak ruang gerai berhawa dingin supaya dapat memberikan perkhidmatan yang selari dengan kehendak pelanggan. Menjadi tarikan utama, Jaggarao mengakui tempat letak kereta KL Sentral sebagai lokasi yang paling strategik kepada pengunjung kerana selain menjadi hab pengangkutan awam, tempat tersebut juga menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengunjung yang hadir. "Selaku penganjur, kami menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi, tandas awam dan semestinya ia lokasi paling mudah dilawati menggunakan pangangkutan awam," kata Jaggarao. Ruang selesa PENGUNJUNG berpeluang membeli-belah di Karnival Deepavali sehingga 25 Oktober ini. Selain itu, pihak penganjur juga menyewa tempat yang lebih luas berbanding tahun-tahun sebelum ini. Jaggarao yakin, pengunjung akan berasa lebih selesa untuk bersiar-siar dan mempunyai ruang yang lebih semasa membeli-belah. Sebagai individu yang berpengalaman dalam menganjur dan menjalankan karnival beli-belah beberapa kali setahun sejak sedekad yang lau, ASC menyasar karnival kali ini akan mencapai sasaran 300,000 orang pengunjung. "Kami percaya, acara ini dapat menyaksikan lebih ramai pengunjung kaum lain kerana mereka juga sudah cukup sinonim dengan karnival ini," ujar beliau. Karnival ini bermula seawal pukul 12 tengah hari hingga 10 malam dengan kebanyakan peniaga terdiri daripada peniaga tempatan. "Kami juga menempatkan beberapa peniaga dari India dan memastikan mereka menawarkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti serta kempetitif." Antara barangan yang boleh diperoleh di karnival itu ialah pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak, aksesori wanita dan lelaki juga kanak-kanak. Selain itu, barangan perhiasan rumah seperti lampu, bunga-bunga hiasan dan kad ucapan, item kulinari, kraf, kasut dan lain-lain juga dijual di karnival tersebut. Kepada mereka yang kesuntukan masa untuk membuat kuih-muih tradisional, karnival itu juga menyediakan gerai pengusaha makanan tradisi masyarakat India menawarkan muruku, laddu, gilebi, halwa dan sebagainya untuk pengunjung. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Sofa kediaman warga kotaOleh NIZHA PERIASWAMY BERSIFAT provokatif, sofa berwarna hitam merah adalah pilihan eksklusif. Sesuai dengan tema kontemporari, sofa ini lazimnya dipilih untuk memberikan kelainan dan keselesaan yang muktamad. Sarung fabrik juga memberikan peluang untuk mencuci dan membersih. SELAIN menjadi salah satu perabot wajib di ruang tamu, ruang rehat mahupun bilik menunggu di pejabat, set sofa bukan sekadar memenuhi keperluan tersebut. Seperti elemen hiasan rumah yang lain iaitu warna cat yang sesuai dengan tema kediaman, perabot yang menarik dan pemilihan fabrik langsir yang seiring konsep, turut diberi perhatian adalah pemilihan sofa yang bersesuaian. Kedai perabot milik Bumiputera sepenuhnya, T-Hani Furnistop yang terletak di Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam, mencadangkan beberapa pilihan menarik set sofa untuk kediaman anda. SOFA kulit berwarna hitam, dilihat pilihan paling selamat kepada mereka yang mahu sofa kekal kelihatan bersih atau mudah dibersihkan. Pengarah Urusannya, Zamri Mat Yusof yang sudah lebih tiga tahun berkecimpung dalam perniagaan itu berkata, pelanggan masa kini, khususnya mereka yang tinggal di sekitar kawasan bandar dilihat lebih suka memilih trend sofa yang bersaiz sederhana agar sesuai dengan saiz rumah. Kebanyakan orang bandar dipercayai tinggal di pangsapuri, apartmen atau kondominium dengan ruang yang sangat terhad. Sehubungan itu, pemilihan perabot iaitu sofa bersaiz sederhana menjadi pilihan. "Walaupun rumah dua tingkat atau berkembar, mereka tetap memilih saiz sederhana supaya ia dapat menjimatkan ruang," kata Zamri. SOFA ini menjadi pilihan wanita kerana sifat floral dan cita rasa Inggeris. Sarungnya yang boleh dibasuh dan dipasang menjamin kebersihan. Warna sofa juga boleh dipadankan sama ada bagi tema moden atau klasik. Dari segi jenis sofa, sofa berbentuk L, sofa 2+3 atau sofa panjang popular berbanding sofa 1+2+3 yang bersifat tradisi atau klasik. Selain itu, Zamri memberitahu, jenis sofa fabrik lebih menjadi pilihan popular pelanggan berbanding kulit. "Sofa jenis kulit ini biasanya dipilih oleh mereka yang mempunyai anak-anak kecil, untuk kegunaan pejabat atau mereka yang tiada niat untuk menukar warna atau paten permukaan sofa," ujar Zamri. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Urban To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan