Kosmo Online - Stailo |
Posted: Cita rasa sepanjang zaman Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF PADA tahun 1979, siri televisyen Amerika Syarikat, The Dukes of Hazzard yang disiarkan di saluran CBS menjadi antara siri televisyen yang mencatatkan jumlah penonton tertinggi. Menariknya, siri drama genre komedi yang dibintangi barisan pelakon Tom Wopat, John Schneider dan Catherine Bach itu bukan sekadar hiburan harian malah, mendorong para penonton berfesyen. Gara-gara kekerapan pelakonnya menyarungkan kemeja bercorak kotak, jejaka tempatan di sana telah terpengaruh dan 'berebut' untuk memiliki kemeja fesyen tersebut. Namun yang pasti, fesyen kemeja berkotak tidak hanya popular pada era 1970-an, sebaliknya ia dianggap fesyen sepanjang zaman yang tidak pernah pupus. Malah, kelompok pereka fesyen dan pengeluar pakaian sentiasa berusaha menghasilkan koleksi kemeja berkotak mengikut peredaran fesyen semasa. Menurut pereka muda yang semakin meningkat naik dalam industri fesyen tempatan, Mohammad Zarrieff, 23, sama seperti seluar kaki kembang (bell bottom), kemeja berkotak antara item fesyen yang diminati sepanjang zaman. Kemunculan kepelbagaian pakaian rekaan dan potongan moden sedikitpun tidak menjejaskan jualan kemeja fabrik kotak. Bahkan, fesyen itu sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan jejaka tempatan memandangkan mereka lebih cenderung menggayakan kemeja konsep berkotak dan polos berbanding kemeja cetakan flora. "Sebab itu, kemeja berkotak sama ada warna gelap, terang atau lembut merupakan koleksi pakaian utama yang perlu ada dalam almari personal lelaki. Lagipun, kemeja berkotak bukan saja selesa dan tampak ringkas dipakai sewaktu bersantai malah ia serasi dipadankan bersama seluar jean, khaki, seluar bermuda ataupun seluar korduroi. "Namun begitu kemeja berkotak tidak sesuai dipakai ketika menghadiri majlis formal dan ke pejabat. Jika diperhalusi, etika pakaian di pejabat perlu formal kerana ia melibatkan sisi profesionalisme.
"Lazimnya, kemeja polos atau berjalur pilihan pakaian pejabat yang paling ideal," terang Mohammad Zarrieff atau Zaf ketika diminta mengulas tentang fenomena fesyen kemeja berkotak di Malaysia. Walaubagaimanapun, Zaf yang turut aktif menghasilkan koleksi pakaian jejaka menyifatkan mereka yang bekerja dalam bidang seni, fesyen, hiburan dan kecantikan berpeluang menyarungkan kemeja berkotak sewaktu bertugas. Disebabkan dunia kerja tersebut tidak mempunyai garis panduan pemakaian yang terlampau serius, maka ia bebas digayakan asalkan tidak mengundang reaksi yang kurang menyenangkan dalam kalangan rakan sekerja. Remaja Korea Menyentuh mengenai fesyen kemeja kotak di peringkat antarabangsa, berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di Universiti Middlesex, London, graduan Ijazah Rekaan Fesyen itu menyatakan, majoriti jejaka British meminati pakaian konsep kotak. Selain dipakai bersama seluar jean, kemeja kotak turut dipadankan dengan seluar pendek dan selipar. Tidak ketinggalan ia sering digayakan bersama baju-T polos. "Boleh dikatakan setiap hari jejaka di sana menyarungkan pakaian berasaskan fabrik berkotak. Tidak kiralah sama ada keluar membeli-belah, kuliah mahupun bersantai bersama teman. Malah, selebriti antarabangsa juga meminati kemeja berkotak kerana ia menyuntik mood penampilan yang santai, ringkas dan ranggi. HIMPUNAN kasut pelbagai warna di Bonk's ideal digayakan bersama kemeja fabrik kotak. "Tambah menarik, mereka juga berani dan bijak bereksperimen dengan seluar, jaket dan baju-T konsep berkotak mengikut kesesuaian tempat dan keadaan," jelas Zaf kepada Stailo. Pereka berketinggian 178 sentimeter itu turut berkongsi cerita pengalaman bercuti di Thailand dan Korea juga mendapati lelaki di sana tidak ketinggalan menggilakan kemeja berkotak berbanding kemeja konsep jalur atau polos. Bagi mereka, kemeja berkotak memiliki keistimewaan yang unik dan membantu mengelakkan penampilan yang membosankan. Buktinya, lihat saja gaya kumpulan Super Junior dan SNSD dalam persalinan fabrik berkotak jenama SPAO, koleksi musim panas/luruh. Ringkasnya, fesyen pakaian konsep kotak yang menjadi kegilaan jejaka tempatan terutamanya golongan muda mencipta populariti di Malaysia sekitar tahun 1970-an. Kemunculan fesyen yang pernah sinonim dengan kumpulan hippies, skin head dan punk itu di sini secara tidak langsung membawa perubahan besar pada industri fesyen tempatan. Namun, gelombang fesyen tersebut surut seketika selama beberapa era tetapi hit kembali pada tahun 1990 sehingga menenggelamkan stail pakaian motif flora dan corak abstrak. Kemeja berkotak Bonk's Menyedari fenomena pakaian stail kotak di Malaysia semakin memberangsangkan, butik Bonk's yang memulakan operasi awal tahun ini cenderung menawarkan koleksi pakaian berkenaan.
Buktinya, di setiap sudut butik Bonk's yang beroperasi di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur itu sarat dengan kemeja berkotak pelbagai warna dan rekaan. Menurut Pengurus Pemasaran Bonk's Kuala Lumpur, Mohd. Wafi Mohd. Shari, kebanyakan kemeja konsep kotak diimport khas dari Korea, China dan Bangkok kerana ketiga-tiga negara tersebut menghasilkan kemeja berkotak yang berkualiti dan tahan lasak. "Dari segi material, Bonk's menawarkan kemeja yang diperbuat daripada fabrik kapas dan linen memandangkan ia ideal dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap. Lagipun material ini memberi keselesaan kepada si pemakai dan mudah dijaga serta dicuci. "Biasanya kumpulan remaja yang berusia antara 15 hingga 25 tahun, menggemari kemeja kotak besar dan warna terang kerana inginkan penampilan nampak segar. Sementara itu, jejaka berusia 40 tahun ke atas pula mula cenderung membeli kemeja kotak kecil. Mereka enggan kelihatan menonjol di depan orang ramai," tutur Mohd. Wafi yang turut menjual koleksi blaus dan kemeja berkotak buat golongan wanita. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Pencarian Gadis Simply Pretty Avon Posted: Pencarian Gadis Simply Pretty AvonOleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
BUAT julung kalinya, jenama kosmetik dan kecantikan popular di Malaysia, Avon melancarkan kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 sepanjang bulan Oktober ini. Kempen yang menawarkan hadiah wang tunai dan produk Avon tersebut mencari golongan wanita berwajah manis dan ceria hasil rias solekan menawan terutamanya menggunakan koleksi kosmetik terbaharu Avon, Simply Pretty. Selain itu, barisan juri profesional turut menilai peserta dari aspek penampilan, aksi di depan lensa kamera dan fotogenik. Kriteria berkenaan seiring dengan hadiah kempen yang memberi peluang kepada tiga orang pemenang utama muncul dalam risalah Avon. Menurut Pengurus Perhubungan Awam Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd., Elaine Aisyah Abdullah, kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 diperkenalkan serentak dengan pelancaran koleksi mekap Simply Pretty yang disasarkan buat golongan remaja, pelajar dan wanita yang baru memasuki dunia pekerjaan. "Rangkaian produk terbaharu ini bukan saja hadir dalam pelbagai item dan warna malah, ia dijual pada harga yang berpatutan. Ia ideal digunakan oleh kumpulan pelajar dan pekerja baharu yang ingin tampil ceria dan menawan tanpa perlu berbelanja tinggi bagi membeli alat mekap. SUDUT jualan produk Avon sempena pelancaran produk Simply Pretty. "Produk Simply Pretty yang diperbuat daripada adunan ekstrak semula jadi bertindak menjaga kesihatan kulit dan membantu menyuntik penampilan wajah ceria dan mempesona," terang Elaine mengenai produk Simply Pretty yang terdiri daripada bedak asas, pemerah pipi, pembayang mata, maskara dan pensil mata. Ini termasuklah salap bibir, pengilat dan pensil bibir. Sesi transisi Sempena pelancaran produk Simply Pretty sekali gus kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 yang dimulakan awal Oktober lalu, kempen itu dimeriahkan dengan kaunter jualan produk Avon, sudut solekan dan sesi fotografi. Selepas membeli produk Simply Pretty bernilai RM40, peserta perlu menjalani sesi transisi solekan kendalian barisan jurusolek profesional Avon, sebelum melakukan sesi fotografi. Hasil foto terbaik dicetak untuk dinilai para juri dan markah turut diambil kira berdasarkan jumlah 'likes' di gambar peserta yang dipaparkan dalam laman sosial facebook: www.fac book.com/AvonMy . Dalam pada itu, salah seorang peserta kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011, Aizam Razali, 20, menyifatkan pertandingan itu bukan saja memberi peluang kepada wanita mempelajari teknik solekan yang betul daripada jurusolek Avon malah, secara tidak langsung meningkat keyakinan diri peserta.
"Sebelum ini saya kurang selesa untuk menyertai pertandingan seperti ini kerana perlu beraksi di depan lensa kamera, apatah lagi ia dianjurkan di tempat yang terbuka. Namun, kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu saya mengumpul keberanian dan membuang rasa malu. "Paling mengujakan selepas wajah disolek, rasa malu itu hilang sedikit demi sedikit memandangkan mood ceria mula menguasai diri. Bagi saya produk Simply Pretty sememangnya ideal buat remaja kerana ia hadir dalam rona ceria dan terang," jelas Aizam yang tampil manis dengan calitan pembayang mata palet ungu dan olesan gincu bibir rona pic. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang tidak dapat hadir pada acara Simply Pretty di Berjaya Times Square, anda masih berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan tersebut dengan cara membeli barangan Simply Pretty bernilai RM40 dan dan menghantar resit pembelian dan gambar ke marketing.my@avon.com. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Si cantik Barbie di Mid Valley Posted: Si cantik Barbie di Mid ValleySELAIN pakaian butik Barbie Mid Valley turut menawarkan permainandan aksesori jenama berkenaan. KECANTIKAN patung Barbie bukan sahaja menjadikannya produk mainan idaman setiap anak-anak kecil, bahkan ia turut mempengaruhi fesyen dan gaya si comel. Barbie Store terbaru yang terletak di pusat beli-belah Mid Valley pastinya mencipta pengalaman yang tidak mungkin dilupakan si manja anda. Ia adalah kedai untuk si manja anda menikmati fesyen kegemarannya, kecantikan dan pengalaman seperti berada di dunia fantasi rekaan Barbie. Konsep: Merah jambu menjadi penata warna utama hiasan dalaman Barbie Store Mid Valley. Ia sememangnya menjadi warna kegemaran kebanyakan si kecil yang sudah mula suka bergaya dan bersolek serta mahu tampil comel. Perabot-perabot Barbie Store itu merupakan rekaan khas yang menonjolkan imej Barbie yang sukakan warna-warna lembut. PAKAIAN kanak-kanak koleksi Barbie comel dan yang mempesonakan. Menawarkan: Butik itu menawarkan pelbagai produk mainan, patung, produk-produk fesyen seperti gaun, aksesori dan beg serta alat tulis yang mempamerkan imej Barbie di bawah satu bumbung. Keistimewaan: Si manja bukan sahaja berpeluang mengumpul koleksi Barbie kegemaran malah, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan bagi meraikan mereka seperti peragaan fesyen. Selain itu, terdapat juga studio fotografi di tingkat dua butik itu untuk si manja anda menunjukkan bakat bergambar dengan gaya masing-masing. Ibu bapa juga boleh menempah ruangan khas untuk menyambut majlis hari jadi anak mereka di situ dengan pakej-pakej menarik yang ditawarkan bersama teman-teman dan keluarga. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan