Jumaat, 6 Disember 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Fiesta Ecoboost lebih kuasa, jimat petrol

Posted:

Fiesta Ecoboost lebih kuasa, jimat petrol

Fiesta Ecoboost lebih kuasa, jimat petrol

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, hampir setiap pengeluar kenderaan global mengambil inisiatif membangunkan produk berasaskan teknologi jimat bahan api.

Ia berikutan peningkatan harga bahan bakar fosil sekali gus memberi impak besar kepada kos produksi kenderaan dan perbelanjaan pengguna.

Malah ada agensi seperti di Amerika Syarikat yang mengesyorkan pengguna untuk membeli kenderaan jimat bahan api.

Untuk kekal selari dengan trend semasa itu, Ford Motor Company tampil dengan teknologi enjin EcoBoost.

Teknologi EcoBoost lahir di sebalik kesan pasaran minyak dunia mendadak di negara Uncle Sam itu. EcoBoost merangkumi gabungan komponen pengecas turbo, sistem pancitan bahan api dan pemboleh ubah aci sesondol.

Pendek kata, enjin EcoBoost berupaya meledakkan kuasa output dan tork secara konsisten seperti sebuah jentera bersesaran tinggi tetapi jimat bahan api.

Jangan terkejut, Ford mendakwa enjin berkenaan lebih baik jika dibandingkan kadar output kuasa dan kecekapan bahan api jentera hibrid dan varian diesel.

Enjin 1.0 EcoBoost itu telah menerima penganugerahan International Engine of The Year tahun 2012 dan 2013 oleh majalah Engine Technology International.


RUANG dalaman varian Titanium tampak segar dan luas dengan aplikasi kombinasi tona cerah dan gelap.


EcoBoost dilihat sebagai satu alternatif baharu untuk diaplikasikan pada rangkaian produk masa hadapan Ford.

Antara rangkaian model Ford yang menggunakan teknologi enjin EcoBoost ialah Focus, Ecosport, Mondeo dan Fiesta.

Bagi mendalami kehebatan teknologi EcoBoost, Ford Malaysia membuka peluang kepada pengamal media tempatan untuk satu sesi pandu uji model Ford Fiesta EcoBoost 2014 di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.

Fiesta EcoBoost yang disediakan ialah varian Titanium sedan dan S (hatchback). Perbezaan utama varian itu dengan model Fiesta di Malaysia terletak pada enjinnya.

Model Fiesta EcoBoost dipasang enjin 1.0 liter tiga silinder namun ledakan kuasanya ibarat satu ketagihan buat penulis. Sesi pandu uji itu seolah-olah amat singkat sedangkan kami memandu dari pagi sehingga matahari terbenam.

Laluan perjalanan yang ditempuh melibatkan kawasan bandar, berbukit, lebuh raya dan jalan-jalan kecil di kampung.

Destinasi perjalanan kira-kira 240 kilometer (km) itu bermula dari Holiday Inn menuju Proud Phu Fah Resort sebelum tiba di High Resort. Kumpulan media kemudiannya mengemudi kereta jenama Amerika Syarikat itu ke Thai Elephant Conservation Center sebelum kembali semula ke hotel penginapan di Holiday Inn.

Sepanjang sesi pandu uji, penulis merasakan semua laluan ditetapkan itu tidak mendatangkan masalah untuk Fiesta EcoBoost.

Senario meredah laluan berbukit dan selekoh sejauh 19km mendatangkan keseronokan kerana enjin memberikan kuasa yang diperlukan. Pijak pedal, terasa tarikan sehingga badan terlekat pada kerusi pemandu.

Sebelum memasuki kawasan lebuh raya, penulis sempat menukar kepada model Fiesta S bersama seorang rakan. Jentera itu berjaya mencapai kelajuan sehingga 180km sejam tanpa perlu menunggu lama.


SELEKOH mendaki bukit antara cabaran yang nyata tidak setanding dengan kemampuan teknologi EcoBoost.


Selain daripada kuasa pecutan kereta ini, sistem audio yang digunakan juga agak menarik. Alunan muzik yang keluar daripada enam unit pembesar suara ibarat teater rumah.

Sebelum ini, Ford telah memperkenalkan sistem Sync pada model Ranger. Apa yang menariknya selepas anda mengaturkan telefon dan Sync, pemandu hanya perlu menekan satu butang di stereng dan memberi arahan kepada Sync.

Antara perkara yang boleh dilakukan menerusi pemberian arahan ialah kawalan sistem audio dan membuat panggilan telefon.

Pada bahagian papan pemuka, ada satu set butang nombor sebagai alternatif membuat panggilan. Agak canggih bagi sebuah kereta dalam segmen B.

Turut mendiami papan pemuka Fiesta EcoBoost ialah Paparan Pelbagai Maklumat (MID) yang membolehkan pengguna memeriksa sistem kereta ini.

Untuk varian Titanium, kerusinya dibalut dengan warna krim kehijauan manakala untuk varian S menggunakan campuran kulit dan fabrik berwarna gelap.

Model ini dijangka menembus pasaran di Malaysia pada tahun hadapan. Ford menganggarkan harga Fiesta EcoBoost bermula daripada RM95,000 seunit.

Mungkin Ford Fiesta EcoBoost bakal mendatangkan saingan sengit kepada pesaing-pesaing sekelas dengannya.

Myvi FEM lebih feminin

Posted:

Myvi FEM lebih feminin

Myvi FEM lebih feminin


BAHAGIAN luaran diserikan dengan pemasangan beberapa pelekat pada badan kereta kompak itu.


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menutup kempen pemasaran 2013 dengan melancarkan varian Myvi edisi khas untuk kaum Hawa.

Dikenali sebagai Perodua Myvi 1.5 FEM (Female Empowerment Movement), pengeluar kereta kompak itu hanya menawarkan 60 unit sehingga Februari 2014. Hanya satu pilihan warna ditawarkan iaitu putih.

Kereta itu sebenarnya merupakan varian Myvi 1.5 SE, bagaimanapun ia sudah melepasi beberapa fasa perubahan kosmetik khususnya pada bahagian dalaman. Bahagian luaran hanya melibatkan pemasangan pelekat bertemakan flora di hud hadapan, but belakang dan bahagian sisi kenderaan.

Tempat duduk varian Myvi 1.5 FEM itu disaluti material kulit bersama logo FEM dengan sulaman benang merah untuk menyerikan ruangan kabin. Stereng kereta juga menggunakan material kulit tona merah hitam.

Tona warna sama juga diberikan pada bahagian papan pemuka khususnya kawasan konsol tengah yang menempatkan unit multimedia, sistem navigasi dan skrin paparan kamera ketika mengundur jentera.


PAPAN pemuka dan stereng kenderaan diserikan dengan padanan tona merah hitam.


Tambahan lain ialah filem pelindung keselamatan dan solar, karpet khas dengan logo FEM serta sebuah bekas pelbagai guna eksklusif. Kos bagi semua barangan itu bernilai RM4,000.

Bagaimanapun, kos itu tidak dicaj pada pembeli. Perodua masih mengekalkan harga asal atas jalan kereta itu sebanyak RM56,027 termasuk insurans.

Untuk mendapatkan model edisi khas itu, anda perlu sekurang-kurangnya berumur 18 tahun dan pernah memiliki sebuah kereta Perodua. Jangan bimbang, ada syarat kedua. Jika pernah memandu mana-mana kereta Perodua, anda juga layak membelinya.

Syarat seterusnya yang perlu dipatuhi ialah pembeli perlu mendaftar diri di laman web www.peroduafem.com.my. Apabila mendaftar, anda akan menerima hadiah misteri hari lahir, boleh menyertai bengkel khas diadakan serta dijemput untuk menghadiri pelancaran model baharu Perodua pada masa hadapan.

Imbasan Nostalgia Nissan

Posted:

Imbasan Nostalgia Nissan

Imbasan Nostalgia Nissan

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN


NISSAN IDx NISMO yang disaluti tiga warna memaparkan imej sporty untuk golongan muda.


PADA 20 November lalu di Pameran Kenderaan Tokyo, Jepun, Nissan telah mengejutkan ramai peminat kereta menerusi penampilan model konsep IDx Freeflow dan IDx Nismo. Kedua-dua model konsep itu masih dalam peringkat kajian namun begitu mengujakan apabila ia mengimbas kembali model klasik Datsun Bluebird 510 SSS.

Jika benar Nissan ingin mengeluarkan IDx maka model itu akan menyertai barisan kereta moden dengan elemen retro seperti MINI Cooper, Volkswagen Beetle dan Toyota GT86. IDx Nismo dan IDx Freeflow menunjukkan keupayaan Nissan dalam menggunakan kaedah pembangunan produk baharu dan inovatif bagi memenuhi keperluan pelanggan muda selain berinteraksi dengan mereka dalam mengeluarkan kereta yang mereka mahu.

Pendekatan dalam pembangunan kereta memerlukan input daripada konsumer dan ia direka untuk menarik perhatian generasi digital yang lahir selepas tahun 1990 dan turut mengambil pendapat mereka dalam proses pembangunan. Nissan berpendapat pendekatan ini akan digunakan untuk pembangunan kereta pada masa akan datang dan hubungan baharu di antara Nissan dan pelanggannya.

Akronim IDx sebenarnya merujuk kepada perkataan identification atau memberi maksud perkara-perkara yang bersifat individual pada kereta konsep itu manakala akronim x pula merujuk kepada pemboleh ubah yang mewakili nilai-nilai baharu dan impian yang dilahirkan melalui komunikasi.

Berinteraksi dengan generasi muda telah mengajar Nissan benda-benda baru di dalam aspek kreativiti di mana hasil akhir kedua-dua model kereta konsep adalah daripada input generasi muda. Setiap satu model konsep itu mempunyai karakter yang kuat dengan perbezaan impresi yang ketara.

Apa yang Nissan peroleh daripada interaksi dengan golongan muda ialah kehendak mereka yang mahukan kereta dengan ciri-ciri ringkas dan original untuk sebuah kereta iaitu yang tiada pengaruh lama, berasakan perkadaran yang ideal dan kedudukan lurus kereta dengan bentuk tiga kotak. Ringkasnya, reka bentuk IDx adalah kereta dengan tiga bahagian iaitu enjin, penumpang dan bonet belakang.


MODEL IDX FREEFLOW


IDx Freeflow

Model konsep IDx Freeflow adalah refleksi input golongan muda yang turut merekabentuk kereta iaitu mereka yang bercitarasa semula jadi dan tinggi dalam kesemua aspek dalam kehidupan harian. Bahagian interior kereta empat penumpang itu dipilih daripada peralatan yang bergaya tetapi berfungsi dan selesa untuk merasai suasana seperti di ruang tamu di mana pemilik dan rakan-rakannya boleh beristirahat.

Stereng yang ringkas pada papan pemuka ditemani oleh meter kelajuan konsep moden manakala jam analog pula menambahkan lagi suasana selesa dan tenang. Lebih menarik, kerusi dan sesetengah peralatan dibalut dengan denim untuk memberi suatu kebebasan berbanding kereta-kereta masa kini.

Walaupun bersaiz kompak iaitu dengan panjang hanya 4.1 meter, 1.7 meter lebar dan 1.3 meter tinggi, IDx Freeflow tampil menonjol dengan rekabentuk luar seperti bumbung yang seolah-olah terapung dan berbentuk bulat yang merupakan antara ciri kreatif kereta itu.

Warna yang dipilih pula ialah gabungan putih dan flax iaitu bayangan coklat muda seperti individu yang memakai baju-T berwarna putih dan seluar chinos dan diserlahkan dengan aksesori berwarna perak atau tali pinggang. Efek luaran diserlahkan lagi dengan roda besar bersaiz 18 inci berwarna krom. Untuk janaan kuasa pula, IDx dikuasakan oleh enjin yang ekonomikal berkemungkinan bersesaran 1.2 liter atau 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi CVT.

IDx Nismo

Suatu yang menarik dengan IDx Nismo ialah golongan muda yang terlibat dalam memberi input ialah mereka yang membesar dengan permainan konsol yang penuh dengan kereta-kereta lama dari seluruh dunia. Mereka mempunyai keinginan untuk merealisasikan pengalaman maya itu ke ke dalam dunia harian.

Tidak hanya dipengaruhi oleh kereta lumba, IDx Nismo dilahirkan daripada ilham untuk menghasilkan kereta dari masa lepas dan masa kini bagi menampilkan sesuatu yang cool atau menarik. Kereta konsep itu mengambil kira warisan kereta lumba klasik Nissan dengan bentuk berkotak yang ringkas dan digabungkan dengan perincian baharu. Hasilnya adalah sebuah kereta yang tampil dengan rekabentuk malar segar dan berada di kedudukan tersendiri.

Dengan penghasilan model konsep IDx ini menunjukkan bahawa trend rekabentuk kereta lama dan moden semakin mendapat tempat di kalangan pengeluar kereta. Mengeluarkan kereta dengan konsep seperti itu bukan mudah kerana ianya mempunyai pasaran yang kecil dan tersendiri.

Walau pun begitu, kereta dengan gayaan lama dan moden mempunyai pengikutnya yang tersendiri tambahan pula rekabentuk kereta sekarang ini tidak semuanya menepati citarasa ramai orang di mana masih ada yang kekal setia dengan kereta lama mereka. Jika benar kereta konsep ini dihasilkan pasti ramai orang lama yang senyum lebar dan berterima kasih kepada Nissan. – Newspress

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved