Jumaat, 11 Oktober 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


BMW pertaruh lima 1 Series

Posted:

BMW pertaruh lima 1 Series

BMW pertaruh lima 1 Series

Oleh SHAWKATH AZDE

SEBELUM ini, rangkaian produk BMW 3 Series dianggap kenderaan paling kecil dalam portfolio perniagaan BMW Group namun kedudukan itu kemudiannya berubah berikutan ketibaan BMW 1 Series sekitar tahun 2004.

Sebagai permulaan, BMW Group menampilkan kenderaan varian lima pintu tetapi dalam tempoh tiga tahun, rangkaian model asas jenama Jerman itu dikembangkan dengan tambahan versi coupe, hatchback tiga pintu dan kereta berhud.

Selepas tujuh tahun menembusi pasaran global, rekod jualan terkumpul BMW 1 Series berjaya melepasi paras 2.2 juta unit. Bagi memantapkan saingan dalam segmen kompak premium, BMW Group tampil dengan generasi kedua 1 Series.

Penampilan yang mengambil tempat sempena Pameran Motor Frankfurt, Jerman dua tahun lalu menyaksikan pelancaran barisan kenderaan lima pintu. Setahun kemudiannya, varian hatchback tiga pintu pula dikeluarkan bagi menggoda peminat bercita rasa ranggi.

Di pasaran tempatan, BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru sahaja memperkenalkan generasi kedua BMW 1 Series. Seleksi yang ditampilkan itu merangkumi produk pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU).


RUANG kabin generasi kedua BMW 1 Series didominasi dengan tona hitam.


Varian CBU ialah BMW 125i Sport manakala 125i M Sport diimport dari Jerman. Produk yang dihasilkan oleh kilang BMW Malaysia di Kulim, Kedah pula ialah BMW 116i, 118i Sport dan 118i Urban.

Laluan generasi kedua BMW itu bukannya mudah sementelah ia perlu berperang dengan pesaing senegara yang memiliki rangkaian produk impresif, apa lagi jika bukannya Mercedes-Benz A-Class.

Sungguhpun begitu, setiap pengeluar ada kelebihan masing-masing. Antara keunikan BMW 1 Series ialah aplikasi sistem pacuan roda belakang yang diwarisi daripada generasi pertama.

Dimensi BMW 1 Series baharu sebenarnya banyak berkembang berbanding model sebelumnya. Panjang jentera ditambah sebanyak 8.5 sentimeter manakala kelebaran ditingkatkan kepada 1.77 meter.

Imej hadapan jentera masih dihiasi ciri ikonik gril ginjal, namun, tarikan utama sudah pasti terarah kepada set lampu hadapan kembar jenis Xenon.

Lampu isyarat membelok pula diadun bersama perumah cermin pandang sisi sekali gus meningkatkan ekspresi sebagai sebuah jentera premium.

Bampar hadapan yang kelihatan ringan memiliki tiga ruangan penyaluran udara bagi meningkatkan faktor aerodinamik dan proses sejukan ruangan enjin. Tambahan lain diberikan membabitkan pemasangan lampu kabus masing-masing di kiri dan kanan bampar.

Jurutera BMW Group memisahkan set lampu belakang sebagai usaha menyerlahkan lagi penampilan lebih lebar dan sporty bagi rangkaian BMW 1 Series. Reka bentuk siri itu disasarkan kepada pengguna urban yang sofistikated.


APLIKASI material kulit pada bahagian stereng varian Sport diserikan dengan sulaman benang merah.


Setiap varian BMW 1 Series diberi solekan berbeza. BMW 116i didatangkan bersama rim aloi ringan berukuran 17 inci dengan corak rim mengetengahkan rekaan huruf Y.

Memandang ruang kabin yang didominasi warna perak memberi aura tersendiri tetapi jika bakal pembeli memegang stereng bersalut kulit, hati pasti jatuh cinta pandang pertama.

Model BMW 118i Urban, jentera didatangkan dalam warna putih manakala ruang dalaman mengetengahkan kemasan hitam dan perak. Stereng sport disalut material kulit dan fabrik. Saiz rim adalah sama seperti 116i tetapi berbentuk V.

Versi Sport Line (BMW 125i dan BMW 118i) memiliki paras yang lebih dinamik dan sporty berbanding varian lain.

Hiasan luaran merangkumi gril ginjal, ruang saluran udara dan bahagian bawah cermin sisi berwarna hitam. Rim aloi yang dipasang berbentuk bintang berukuran 17 inci.

Ruang kabin memberi penekanan terhadap tona hitam dengan kekemasan merah tetapi stereng sport menerima balutan kulit bersama upholsteri Anthracite merah memberi imej garang.

Untuk BMW 125i M Sport, tambahan luaran membabitkan sistem suspensi M sport dan rim aloi ringan M berukuran 18 inci.

Profil sport ditingkatkan dalam ruangan kabin dengan adanya stereng kulit M Sport, trim papan pemuka M berwarna biru dan kemasan aluminium.

Kesemua siri baharu itu dipasang enjin empat silinder TwinPower Turbo dan transmisi lapan kelajuan automatik. Kuasa yang dijana disalurkan menerusi sistem pacuan roda belakang.


BMW Group masih mengekalkan penggunaan sistem pacuan roda belakang pada rangkaian 1 Series.


Pengurus Produk BMW Malaysia, Kidd Yam berkata, meskipun sistem pacuan itu digunakan, jentera itu diseimbangkan menerusi agihan berat 50/50 di bahagian hadapan dan belakang.

Koleksi BMW 1 Series CKD datang bersama enjin petrol bersesaran 1.6 liter beserta beberapa teknologi termaju seperti pengecas turbo dwitatal, Valvetronic, Double VANOS dan sistem suntikan tekanan tinggi.

Sungguhpun begitu, model 116i diberikan talaan berbeza berbanding siri 118i Sport dan Urban. Bagi BMW 125i Sport dan BMW 125 M Sport, enjin digunakan berkapasiti dua liter.

Selaku peneraju inovasi, BMW Group mengetengahkan beberapa ciri BMW EfficientDynamics untuk menempatkan siri model berkenaan selangkah di hadapan pesaing.

Ciri dimaksudkan adalah Brake Energy Regeneration, fungsi Auto Start/Stop dan mod pemanduan ekonomik (ECO PRO).

Generasi kedua BMW 1 Series kini boleh didapati menerusi semua pengedar rasmi BMW Malaysia di seluruh negara.

Audi A5 Sportback

Posted:

Audi A5 Sportback

Audi A5 Sportback


MODEL terbaharu Euromobil mewarisi rekaan yang terdapat pada Audi A5 dan A4 Saloon.


PENGIMPORT rasmi jenama Audi ke Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil) baru-baru ini mengejutkan pasaran tempatan dengan kemasukan Audi A5 Sportback yang dilihat sebagai model paling kompetitif dalam kelasnya.

Jentera lima pintu itu mewarisi beberapa ciri-ciri kejuruteraan keluarga A Audi. Sekilas pandang, A5 Sportback bagai A5 Coupe berikutan rekaan kejuruteraan berjaya menaikkan serinya melalui elemen lekuk dan garisan badan. Bahagian ruang kepala dan kaki model ini pula menyamai model A4 saloon.

A5 Sportback didatangkan bersama pakej S line yang membabitkan pengenaan gril dan bampar eksklusif, rim aloi 18 ini, lampu hadapan jenis Xenon berserta lampu DRL LED pada bahagian hadapan. Lampu belakang juga mengaplikasi teknologi lampu LED.

Buka sahaja pintu, imej yang dipaparkan sudah pasti keselesaan dan sporty. Kerusi sport dengan kulit Milano menyuntik elemen mewah.

Anda kini boleh mengawal beberapa fungsi kenderaan menerusi butang kawalan yang ada pada stereng berjejari tiga. Untuk menukar gear secara manual, gunakan sahaja khidmat paddle shifter.

Jurutera Audi turut memasang sensor pada model itu untuk memudahkan anda meletak kenderaan di tempat sempit. Tambahan lain membabitkan pengelap cermin depan yang diaktifkan secara automatik.


SUSUN atur butang kawalan pada stereng dan papan pemuka kelihatan kemas serta mudah dicapai tangan pemandu.


Jarak roda varian terbaharu itu lebih panjang berbanding model A5 Coupe sekali gus ia mampu menampung kapasiti simpanan barangan seluas 480 liter. Jika kerusi bahagian belakang diturunkan, ruangan itu boleh dikembangkan sehingga 1,283 liter.

A5 Sportback memperoleh kuasa daripada enjin turbo empat silinder 2.0 TFSI. Pelengkap kepada rangkaian kuasa jentera itu membabitkan sistem pancitan bahan api dan kotak gear klac kembar tujuh kelajuan S tronic.

Kombinasi itu membolehkannya menghamburkan kuasa kuda dan tork maksimum masing-masing sebanyak 225hp dan 350Nm. Tork puncak boleh dinikmati pada julat 1,500-4,500rpm. Anda hanya perlu masa 6.5 saat untuk pecutan 0-100 kilometer sejam.

Bukan sekadar kuasa, jentera itu didatangkan dalam mod Efficiency bagi memastikannya dapat memberi penjimatan terutama dalam aspek pengawalan pendingin hawa. Selain mod Efficiency, pemandu juga boleh mencuba Comfort, Auto dan Dynamic.

Audi A5 Sportback didatangkan bersama kawalan suhu automatik tiga zon, sistem audio dengan enam pemain cakera padat, pembaca kad SD, kerusi belakang boleh lipat, Sistem Maklumat Pemandu (DIS) dan sistem mudah suai pemanduan dinamik.

Model itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans sebanyak RM359,900. Anda boleh membuat tempahan menerusi bilik pameran Euromobil di seluruh negara.

Kombi edisi terakhir

Posted:

Kombi edisi terakhir

Kombi edisi terakhir

Oleh SHAWKATH AZDE


HANYA 600 unit sahaja dihasilkan oleh Volkswagen Brazil.


BRAZIL merupakan satu-satunya negara yang masih menghasilkan model Volkswagen Kombi. Mengikut rekod sedia ada, model yang dikenali dengan kod T2 (Type 2) itu mampu bertahan dalam pasaran selama 56 tahun sekali gus dianggap kenderaan tertua dalam industri automotif.

Aktiviti pengeluarannya bermula pada 2 September 1957 menerusi fasiliti Volkswagen yang terletak di Sao Bernardo do Campo. Sejak lebih lima dekad lalu, kilang Volkswagen Brazil sudah menghasilkan lebih daripada 1.5 juta unit T2.

Namun, riwayat model ikonik itu bakal ditamatkan menjelang Disember ini. Tindakan menghentikan pengeluarannya berkait rapat dengan undang-undang keselamatan baharu yang akan berkuat kuasa di Brazil mulai 2014.


RUANG kabin diberi penelitian khusus oleh jurusolek Volkswagen Brazil.


Antara perkara yang perlu dipatuhi setiap pengeluar ialah semua kereta baharu diwajibkan mempunyai ciri keselamatan minimum termasuk sistem brek antikunci dan beg udara. Kombi dipercayai gagal memenuhi standard itu.

T2 cukup digemari kerana sifat praktikal dan kegunaan dalam industri komersial. Sungguhpun begitu, satu hakikat yang perlu diakui ialah populariti T2 sebenarnya melonjak secara mendadak disebabkan budaya hipi.

Bagi memperingati sejarah jentera ikonik T2, Volkswagen Brazil tampil dengan 600 unit terhad Kombi Edisi Terakhir.

Rekaan keseluruhan van ikonik itu mengetengahkan ekspresi sifat sebenarnya. Konsep warna dua tona putih biru membalut tubuh Kombi Edisi Terakhir itu.

Bagi menyerlahkan lagi nilai klasikal, jurusolek Volkswagen memadankan bahagian atas gril hadapan, lampu utama dan gelung indikator dengan warna biru.

Lampu indikator hadapan menggunakan lensa kristal berwarna putih. Kesemua edisi terakhir itu mempunyai pelekat khas 56 anos - Kombi Last Edition pada bahagian sisi kenderaan.

Sebagai padanan lengkap, Kombi Edisi Terhad dipasang dengan cermin belakang berwarna, dinding tayar dan penutup roda berwarna putih.

Konsep warna luaran diaplikasi pada ruangan kabin dengan beberapa kemasan mewah. Komponen dalam kabin menggamit memori pada beberapa varian T2 yang pernah dihasilkan di Brazil sebelum ini.

Volkswagen Kombi Edisi Terakhir didatangkan bersama langsir fabrik berwarna biru di bahagian cermin tepi dan belakang. Tidak ketinggalan ialah kancing langsir yang memiliki sulaman logo Kombi.


INSTRUMEN meter menggunakan paparan analog dan digital.


Kancing itu sebenarnya merupakan satu ciri wajib bagi versi model kenderaan tertinggi T2 yang dihasilkan bagi tempoh 1960-an sehingga tahun 1970-an. Satu plak unik yang mempamerkan nombor identiti model edisi terakhir itu ditempatkan pada kawasan tengah papan pemuka.

Lebih tepat, nombor siri itu berada di atas sistem audio Volkswagen Kombi. Pemain audio yang memiliki pencahayaan lampu merah menyokong format lagu MP3, sambungan AUX dan USB.

Kluster instrumen mengadun meter analog dan digital tanpa mengorbankan rekaan tradisi Kombi. Meter laju dipasang pada bahagian tengah kluster manakala petunjuk status minyak di sebelah kanan meter laju mengekalkan ciri-ciri klasikalnya.

Tempat duduk diberi kekemasan upholstri vinil putih biru. Material sama juga digunakan pada bahagian panel pintu dan kargo.

Jahitan dekorasi ditambah pada bahagian panel pintu untuk menyerikan seri kabin yang ringkas tetapi elegan. Lantai kabin dan kargo ditambah dengan karpet. Van itu mampu memuatkan sehingga sembilan penumpang pada satu-satu masa.

Kombi Edisi Terakhir memperoleh kuasa daripada enjin 1.4 liter EA111 dengan sistem sejukan cecair. Sistem transmisi diberi padanan adalah jenis empat kelajuan manual. Hasilnya, output sehingga 78PS pada 4,800rpm mampu dijana.

Model itu hanya boleh didapati di Brazil dengan tag harga BRL85,000 (kira-kira RM122,388) sebuah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved