Jumaat, 11 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nad bukti diri tidak jahil

Posted:

Nad bukti diri tidak jahil

Nad bukti diri tidak jahil

LUMRAH menjadi seorang selebriti apabila kehidupan peribadi tidak lagi menjadi privasi, sebaliknya perlu dikongsi dengan peminat mereka.

Perihal mengenai kekasih, bercinta malah berkahwin biarpun pada hakikatnya payah untuk dikongsikan selebriti tersebut. Namun, itulah hakikat yang perlu dihadapi mereka selepas mengambil keputusan untuk melangkah ke dunia glamor.

Perkara yang sama turut dialami pelakon kecil molek, Nad Zainal. Biarpun pada mulanya kehadirannya bersih daripada sebarang kontroversi, namun sejak kebelakangan ini nama Nad acap kali disebut-sebut seiring dengan lakonan-lakonannya yang mula mendapat perhatian peminat.

Ini terutamanya selepas berlakon dalam drama bersiri Bukan Bidadari dan juga Kampung Girl.

Bermula isu diboikot segelintir wartawan kerana sukar memberi kerjasama apabila perihal peribadi dicungkil. Nad kemudiannya berdepan pula dengan isu bersekedudukan dengan teman lelakinya, Azman Kombos selain meninggalkan lokasi penggambaran kerana enggan berlakon bersama bekas kekasih iaitu Amar Ashraf yang kini sudah bergelar suami kepada suri hatinya, Arna Salleh.

Mengulas mengenai perkara itu, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin mengakui, sebagai selebriti yang sedang meningkat naik, soalan ruji mengenai kontroversi yang melanda dirinya perlu dihadapi dan dijawab olehnya.

"Sebagai selebriti saya perlu menghadapi segala kontroversi yang melanda. Saya kena menghadapinya untuk memberi jawapan sebenar," jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur bersama pelakon Shah Iskandar dan Ika Nabila untuk drama terbaharu mereka, Seindah Sabarmu bagi siaran TV9 .

Menyambung bicara, pelakon berusia 23 tahun itu menegaskan tidak pernah bersekedudukan dengan teman lelakinya. Hakikatnya, Azman sekadar menghantarnya pulang selepas menjalani penggambaran sehingga lewat malam.

Atas alasan melihat kelibat Azwan menghantar Nad lewat malam ke rumah, pasangan itu dituduh bersekedudukan.

"Padahal, saya bukan tinggal bersendirian. Saya tinggal bersama ibu bapa dan mana mungkin kami boleh bersekedudukan," luahnya yang sudah menjalin hubungan cinta selama tiga tahun bersama kekasihnya yang baharu bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG itu.

Jelas mengenai perkara tersebut, Nad kemudiannya memperkatakan tentang isu meninggalkan set lakonan drama bersiri Kampung Girl selepas didapati bekas kekasihnya iaitu Amar Asyraf turut berlakon dalam drama tersebut.

TIDAK kalis dengan kontroversi, Nad pernah ditohmah bersekedudukan dengan kekasihnya, Azwan.


Tidak selesa

Kesal kerana tidak bertanya terlebih dahulu barisan pelakon drama tersebut, Nad akui kesilapannya meninggalkan set penggambaran dan telah memohon maaf kepada pengarah mengenai tindakannya itu.

Disoal mengenai profesionalisme dirinya sebagai pelakon kerana enggan berlakon di samping bekas kekasih akibat kenangan yang pernah diciptakan mereka selama ini. Ungkap Nad yang merupakan bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, biarlah orang anggap dia tidak profesional asalkan lakonannya tidak nampak kaku kerana tidak selesa berlakon dengan hero drama Setia Hujung Nyawa itu.

"Saya mahu berlakon betul-betul. Kalau berlakon dengan dia (Amar), saya tidak boleh fokus. Saya tidak mahu berdepan dengan situasi yang membuatkan diri tidak selesa.

"Ia akan memberi kesan kepada mutu lakonan kerana saya akan kaku berlakon di sampingnya," luah Nad yang enggan memperincikan kenapa mengalami perasaan begitu bersama bekas kekasihnya.

Perkara yang sama turut dialami Nad apabila berlakon dengan kekasihnya, Azwan Kombos.

Kata Nad, dia juga sudah meletakkan syarat tidak mahu berlakon dengan kekasihnya biarpun tawaran banyak mahu menggandingkan mereka.

Tegas Nad, dua syarat itu sahaja yang diletakkan atas faktor pendiriannya. Jauh sekali untuk berlagak diva atau mencipta kontroversi.

"Selama enam tahun berlakon, saya tidak pernah buat hal dengan produksi, malah pihak produksi juga faham dengan permintaan saya ini. Cuma, silap saya kerana terlepas pandang barisan pelakon untuk drama yang membabitkan Amar itu," bicaranya lagi.

Tidak sorok

Sudah lama menjalin hubungan cinta, Nad disua pula soalan mengenai perkahwinan. Ujar Nad, dia baru berusia 23 tahun dan belum lagi memikirkan mengenai perkara itu (kahwin).

Bagaimanapun, pelakon berasal dari Kajang, Selangor itu meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum usianya menginjak 30 tahun.

"Saya juga berserah pada jodoh. Kalau jodoh saya dalam masa terdekat juga saya terima. Namun, harap-harap saya berkahwin sebelum berusia 30 tahun," akuinya.

Rentetan kontroversi pelakon Aeril Zafrel yang berkahwin sorok-sorok dengan pelakon Wawa Zainal dan didakwa mempunyai anak turut ditanya kepada Nad.

MAHU bergelar isteri sebelum usia mencecah 30 tahun, Nad bagaimanapun menyerahkan jodohnya kepada Tuhan.


Ini kerana bukan pasangan itu, malah ramai lagi selebriti yang mengambil tindakan serupa (berkahwin senyap).

Bagi Nad, dia akan beritahu jika berkahwin kelak. Sebab apa, dia sedar hakikat peminat di Malaysia yang tidak menyenangi sikap artis yang buat hal dan cuba berselindung.

"Lebih elok jika seseorang artis itu memberitahu peminat bahawa dia sudah berkahwin. Jangan fikir kenyataan itu akan menjejaskan periuk nasi mereka.

"Lihat sahaja seperti pelakon Fasha Sandha yang mengakui sudah berkahwin. Walaupun sudah berkahwin, dia tetap mendapat banyak tawaran berlakon," jelas Nad.

Pandai mengaji

Terbaharu, Nad bakal muncul dalam drama bersiri Seindah Sabarmu untuk slot Ratu di TV9. Drama yang menampilkan pelakon Shah Iskandar dan Ika Nabila itu bakal ditayangkan setiap hari Selasa dan Rabu mulai 15 Oktober ini.

Bercerita mengenai drama 14 episod itu, ujar Nad, dia membawakan watak seorang ustazah bernama Syafikah yang pandai mengaji dan marhaban.

Biarpun wataknya berat kerana perlu mengaji dan marhaban, Nad membukti- kan yang dirinya mampu melakukan tanpa menggunakan suara orang lain.

"Saya tidak mahu menggunakan suara orang lain ketika mengaji dan marhaban. Saya mahu lakukannya sendiri. Orang selalu cakap artis jahil agama.

"Jadi, saya mahu buktikan yang saya bukan begitu," tegasnya yang sejak kecil dititikberatkan oleh neneknya untuk mengaji dengan berlagu.

Rosyam tidak peduli Amani, Syamsul

Posted:

Rosyam tidak peduli Amani, Syamsul

Rosyam tidak peduli Amani, Syamsul

Oleh HARYATI KARIM

ROSYAM memberikan pandangan tersendiri tentang perang Twitter yang meletus antara Syamsul dan Amani.


MALAM Selasa lalu, perang Twitter antara aktres Sharifah Amani dan pengarah filem KL Gangster 2 timbul gara-gara aktres itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sistem pengkategorian filem lakonannya Psiko Pencuri Hati oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) yang mendapat klasifikasi PG18.

Dalam luahannya, Amani dilihat tidak puas hati apabila filem KL Gangster 2 yang mengandungi pelbagai unsur negatif di dalam filem seperti dadah, pukul, rogol dan mencarut layak mendapat klasifikasi PG13.

Luahannya itu mendapat perhatian Syamsul apabila Syamsul membalas adakah dia tidak berpuas hati dan menyifatkan bahasa kasar yang digunakan sebagai kurang ajar.

Amani kemudiannya meminta maaf kepada Syamsul andai dia tersinggung dengan luahannya itu dan menjelaskan, kata-katanya tidak bersifat peribadi, cuma dia terganggu dengan diskriminasi yang berlaku.

Bagaimanapun, salah seorang pelakon utama filem KL Gangster 2, Rosyam Nor yang ditemui pada majlis sidang media Drama Festival KL di Bangsar baru-baru ini enggan mengambil peduli tentang perang Twitter antara Amani dan Syamsul. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Rosyam.

Kosmo!: Adakah Rosyam tahu tentang perang Twitter antara Amani dan Syamsul?

ROSYAM: Tidak. Namun, bagi saya itu hanyalah perdebatan terbuka yang biasa antara Amani dan Syamsul. Saya tidak mahu ambil peduli dan masuk campur kerana itu hak mereka.

Apabila Amani mempersoalkan klasifikasi PG13 yang diberikan kepada filem KL Gangster 2, apakah komen anda?

Apa sahaja klasifikasi yang diberikan kepada filem KL Gangster 2, sebelum filem itu ditayangkan di panggung pun sudah ramai kanak-kanak panggil saya dengan nama Tailong kerana mereka sudah tonton di YouTube terlebih dahulu.

Saya tidak mahu komen lebih kerana apa yang lebih penting sekarang adalah mencari dalang di sebalik penyebaran filem KL Gangster 2 sebelum tarikh tayangan.

Mungkin anda ada nasihat buat Amani?

Bagi saya, dia bebas untuk bersuara, cuma salurannya tidak tepat. Andai dia tidak berpuas hati dengan sistem pengkategorian filem, dia harus mengajukan masalah itu kepada pihak LPF.

Adakah anda pernah berhadapan perkara yang sama dengannya?

Saya juga pernah berhadapan dengan situasi tersebut. Namun sebagai penerbit, saya harus tahu caranya untuk meluaskan filem tersebut. Contohnya, LPF mempunyai panel rayuan. Jika anda tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan LPF, anda boleh merayu disertakan dengan hujah dan kertas kerja yang betul. Jika kena dengan gayanya, LPF akan mempertimbangkan.

Sebagai pelakon yang dikenali, adakah wajar untuk mengeluarkan kata-kata yang kurang manis di laman sosial?

Twitter sudah menjadi satu trend dan apa sahaja yang terbuku di hati ditulis di Twitter. Saya mempunyai lebih daripada 100,000 pengikut di Twitter tetapi saya tidak pernah menggunakan bahasa yang kurang elok di Twitter kerana saya seorang yang matang, sesuai dengan usia saya.

Bagaimana pula anda menggunakan Twitter?

Twitter bagi saya bagus kerana mendekatkan diri dengan peminat dan dapat promosikan filem atau sebarang aktiviti saya sebagai artis. Bagaimanapun, harus berjaga-jaga menggunakan teknologi moden ini kerana apa sahaja yang ditulis dan dimuat naik dalam internet akan kekal sampai bila-bila dan tidak boleh dipadam sampai kita mati.

Pengakuan Tiga, populariti Alyah

Posted:

Pengakuan Tiga, populariti Alyah

Pengakuan Tiga, populariti Alyah

Oleh HAIKAL RAMAN

ALYAH pertama kali memberi hasil lagu sentuhannya kepada penyanyi lain iaitu kumpulan Tiga.


SETELAH menempuh pelbagai dugaan dan cabaran untuk bergelar selebriti, mereka yang sebelum ini bergerak secara solo, telah memutuskan untuk bergerak secara berkumpulan.

Keputusan itu dilakukan kerana percaya dengan menggabungkan keunikan dan keharmonian suara mereka, mereka mampu bertahan lama di dalam industri hiburan tanah air ini.

Namun, mereka empat orang anak muda, dengan seorang wanita dan tiga lelaki menggelarkan diri sebagai Tiga. Tiga menjelaskan yang pada awalnya mereka bergerak hanya seramai tiga orang ahli iaitu Arween (Mohd Qhairol Iqhssan, 28), Alfie (Syed Alfrizal, 26) dan Maya (Maya Hariyanto, 21).

Namun mereka telah membuat keputusan untuk menambah ahli baharu iaitu Zack (Zack Merican) berusia 20 tahun. Ini kerana bakat yang ada pada Zack iaitu dengan keupayaan untuk rap, melakukan rap-box dan menyanyi itu membolehkan dia diserap masuk di dalam kumpulan tersebut.

Untuk memastikan percaturan mereka kali ini menjadi, Tiga telah mempersiapkan diri mereka dengan 'senjata' yang diyakini mampu menembusi pasaran dengan baik. Selain mempertaruh pelbagai genre seperti World Music, pop R&B dan Pop Rock, Tiga telah berjaya 'mencuri' hasil karya penyanyi Alyah untuk dijadikan single pertama mereka.

'Pencurian' tersebut berlaku selepas Tiga bertemu penyanyi yang terkenal dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu beberapa bulan lalu. Mereka tertarik untuk mengambil lagu Pengakuan, sentuhan Alyah untuk dipersembahkan dengan cara Tiga.

"Kami bertemu Alyah meminta izin mengambil karyanya untuk dijadikan lagu nyanyian kami. Pengakuan adalah salah satu lagu yang sesuai dengan kami. Pertama, konsep vokal berharmoni itu dapat dikekalkan, kedua kerana muziknya adalah mesra radio dan ketiga kerana lagu Pengakuan itu berentak rancak.

"Sebab itu kami rasa ia amat sesuai dengan kami," ujar Arween yang juga memberitahu, pertemuan bersama Alyah untuk membuat keputusan lagu tersebut dijadikan single pertama mereka hanya berlangsung di sebuah taman permainan.


KUMPULAN Tiga mempertaruhkan single pertama berjudul Pengakuan.


Sementara itu, Alyah cukup berbesar hati apabila ada pihak lain yang sedar tentang kredibilitinya mencipta lagu. Dia yang telah menyimpan lagu tersebut selama lapan tahun, akhirnya melepaskan Pengakuan kepada Tiga kerana beranggapan ia memang sesuai dinyanyikan oleh kumpulan tersebut.

Katanya: "Saya telah menyimpan lagu ini selama lapan tahun, sewaktu saya masih lagi bersama Fabulous Cat. Namun, pada waktu itu, saya merasakan lagu tersebut belum cukup enak untuk dipersembahkankan.

"Bagaimanapun, selepas saya memberinya kepada Tiga, saya dapati ia sesuai dan saya sendiri tidak menyangka kerana saya mampu menghasilkan sebuah lagu yang enak didengar."

Disogok tentang persoalan mereka menumpang populariti Alyah, Tiga menafikan hal tersebut, sebaliknya memberitahu, kehebatan Pengakuan telah membuat mereka mengetepikan isu populariti Alyah.

Alyah juga saat ditanya soalan yang sama memberitahu: "Saya tidak ada masalah jika mereka menumpang populariti saya tetapi biar ia berlaku dengan cara terhormat. Mereka telah datang bertemu dengan saya dan meminta izin untuk menggunakan lagu ciptaan saya itu dan saya izinkan".

Pada masa yang sama, Tiga juga enggan dibandingkan dengan kumpulan Fabulous Cat yang terlebih dahulu muncul dengan konsep yang sama.

"Sebelum kami masuk secara serius ke dalam bidang ini, kami telah membuat kajian tentang kelebihan dan kelemahan kami dengan kumpulan kami. Dan dengan ini kami berani mengatakan bahawa Tiga sama sekali tidak sama dengan Fabulous Cat," ujar Arween.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved