Kosmo Online - Sukan |
'Jangan ganggu bidang tugas saya' Posted: 'Jangan ganggu bidang tugas saya'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
DATUK K. Rajagobal tidak peduli dengan desakan sesetengah pihak agar beliau meletak jawatan sebagai pengendali skuad bola sepak Harimau Malaya. Ini kerana pengendali berusia 57 tahun itu akan terus membimbing skuad tersebut sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember depan. Ternyata kritikan daripada para pemerhati dan peminat bola sepak tempatan yang mendesak Rajagobal meletak jawatan gara-gara keputusan hambar skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini tidak menjejaskan fokus beliau. Sebaliknya, Rajagobal turut menempelak para pengkritik yang disifatkannya sebagai tidak sabar-sabar menuntut beliau meletak jawatan gara-gara prestasi hambar Harimau Malaya. "Saya tidak akan letak jawatan, kontrak saya hanya akan tamat pada 31 Disember depan. "Selepas itu, terpulang kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sama ada mahu menyambung kontrak saya atau tidak. "Mereka (pengkritik) bukannya ada di Jepun dan tidak melihat bagaimana anak-anak buah saya beraksi. Sekarang bulan Ramadan, jadi jangan tambah dosa dengan mengkritik yang bukan-bukan. "Mereka sepatutnya jangan ganggu saya dan persiapan pasukan kerana kami mempunyai misi besar untuk dilaksanakan iaitu layak ke Piala Asia (2015) selain persiapan berdepan Barcelona (10 Ogos)," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang semalam. Selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar mampu melakar dua kemenangan, satu pencapaian yang cukup memalukan. Pada masa sama, Rajagobal yang dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada 20 April 2009 turut dikecam hebat selepas gagal memperbaiki kedudukan skuad negara dalam ranking dunia apabila kini sekadar menghuni tangga ke-159. Terbaharu, Harimau Malaya diaibkan di bumi Jepun apabila mengalami tiga kekalahan ketika menentang kelab dari negara Matahari Terbit itu. Selepas tewas 0-5 kepada Shonan Bellmare, Harimau Malaya tumbang 0-2 ketika menentang Shimizu S Pulse sebelum dimalukan kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Tokyo Verdy dengan kekalahan 0-5 kelmarin. Meskipun dilihat 'sudah terlambat', Rajagobal mengakui perlu meneliti semula mana-mana aksi persahabatan jika ia berlangsung pada bulan Ramadan selepas ini. "Saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan tetapi pemain tampak kepenatan apabila terpaksa beraksi pada siang hari di bulan Ramadan sehingga sering membuat kesilapan mudah," jelasnya. Ketika ditanya sama ada kritikan demi kritikan sedemikian seolah-olah tidak mengenang jasa beliau selama ini, jelas Rajagobal: "Jangan tanya saya. Tanya orang ramai. Mereka tahu siapa yang membantu negara menamatkan kemarau selama 20 tahun bagi meraih pingat emas Sukan SEA." | |
Posted: Kekal bimbing Harimau MalayaOleh NOR AZIRAN YUNUS TENGKU ABDULLAH (kanan) menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam. PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memberi peluang kepada Datuk K. Rajagobal untuk membimbing skuad Harimau Malaya. Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, jika penilaian dibuat berdasarkan kiraan merit, Rajagobal gagal mencapai markah yang ditetapkan badan induk itu. Bagaimanapun, FAM masih 'berlembut hati' apabila membuat keputusan untuk mengekalkan khidmat pengendali berusia 57 tahun itu sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember depan. "Memang sukar untuk mencari pengganti dalam masa terdekat dan kita perlu menyokong beliau (Rajagobal) untuk terus meniup semangat para pemain skuad Harimau Malaya. "Sekarang bukan masa yang sesuai untuk mempersoalkan tentang pengguguran jawatannya kerana masa sangat singkat. "Jadi kita perlu guna masa yang ada ini untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia pada Oktober nanti," titah Tengku Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam. Pada masa sama, Tengku Abdullah bertitah, FAM telah menerima beberapa calon yang memohon jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya dan pihaknya akan menapis secara terperinci individu terbabit sebelum membuat keputusan muktamad. Dalam pada itu, Tengku Abdullah menegaskan bahawa para pemain juga perlu bermuhasabah diri serta menetapkan mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan yang diharungi. "Selepas ini saya juga akan memastikan skuad negara hanya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan," jelasnya. Tengku Abdullah turut memberitahu, FAM akan mewujudkan dua jawatan baharu bagi memantapkan sistem pengurusan badan induk itu dengan memperkenalkan jawatan Pengarah Teknikal serta Pengarah Pembangunan. "Dua jawatan tersebut amat penting dalam aspek pembangunan pemain-pemain belia serta menguruskan pelbagai urusan rasmi skuad Harimau Malaya selepas ini," katanya. Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, prestasi Rajagobal akan dinilai berdasarkan Indeks Penilaian Pencapaian (KPI) yang telah ditetapkan FAM dan jika baik, kemungkinan kontraknya akan disambung "Seandainya keputusannya gagal, maka kemungkinan beliau akan ditamatkan kontrak, namun saya berpendapat ia bergantung kepada pencapaiannya pada kempen kelayakan Piala Asia 2015. "Buat masa ini, kita hanya mengambil sikap tunggu dan lihat denegan apa yang mampu dilakukannya untuk memulihkan keadaan," jelas Khairy. | |
Gurauan terakhir Tengku Abdullah Posted: Gurauan terakhir Tengku AbdullahTINGGAL KENANGAN... Tengku Abdullah menyampaikan insentif kepada Boon Huat pada satu majlis di Hotel Park Royal, Bukit Bintang malam kelmarin. "SAYA tidak sangka gurauan saya semalam (kelmarin) adalah kenangan terakhir saya bersama mendiang." Demikian jelas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai kenangan terakhirnya bersama penyerang skuad hoki negara, Chua Boon Huat yang maut dalam satu kemalangan awal pagi semalam. Pada majlis penyerahan insentif kepada skuad hoki negara di Hotel Park Royal, Bukit Bintang, Kuala Lumpur malam kelmarin, Tengku Abdullah secara berseloroh menyapa Boon Huat yang kelihatan semakin kurus berbanding sebelumnya. "Wah, kamu kelihatan semakin bagus Chua, kamu sudah banyak hilang berat badan (sejak saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru). "Bagus. Kita memang memerlukan kamu dalam keadaan terbaik dan banyak berlari (pada kempen Piala Asia 2013) di Ipoh nanti." Itu antara ayat-ayat gurauan Tengku Abdullah kepada Boon Huat pada majlis berkenaan. Namun, Tengku Abdullah tidak menyangka ia adalah gurauan terakhir kepada pemain berpengalaman negara itu yang telah membuat 337 penampilan di pentas antarabangsa. "Kita berharap keluarga mendiang bersabar dengan pemergian mendiang dan negara akan sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan mendiang. "Saya lihat sudah tentu pemain skuad hoki kebangsaan akan meneruskan perjuangan pada kejohanan Piala Asia bagi memperingati mendiang Chua," titah Tengku Abdullah kepada pemberita selepas menziarahi mendiang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 2..25 awal pagi semalam, Boon Huat yang memandu kereta Proton Perdana terlibat dalam satu kemalangan dengan lori pembersih lebuh raya di Kilometer 10.9 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Taman Mayang. Mendiang yang mengalami kecederaan parah di kepala dan leher meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula menegaskan, keringat pemain kelahiran Melaka itu akan dikenang dalam arena sukan negara. "Saya difahamkan, dia juga merupakan pemain yang sangat berdisiplin di atas dan luar padang. "Kematiannya sudah pasti satu kerugian buat negara dan saya ucapkan takziah kepada keluarga mendiang serta amat memahami situasi yang mereka hadapi ketika ini," jelas Khairy. Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, keluarga mendiang layak mendapat pampasan berjumlah RM102,000 di bawah skim insurans berkelompok bagi atlet yang meninggal dunia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan