Khamis, 1 Ogos 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pamer kekuatan ketenteraan, senjata

Posted:

Pamer kekuatan ketenteraan, senjata

Pamer kekuatan ketenteraan, senjata

DERAPAN kasut but tentera, puluhan kereta kebal yang bergerak dalam barisan dan kenderaan artileri yang membawa peluru berpandu memenuhi Dataran Kim Il-sung di tengah-tengah bandar raya Pyongyang, Korea Utara, ketika sambutan ulang tahun ke-60 gencatan senjata yang menamatkan Perang Korea, Sabtu lalu.

Disifatkan perarakan ketenteraan terbesar dalam sejarah republik itu, penganalisis berpendapat ia merupakan provokasi Pyongyang bertujuan menakutkan musuh-musuhnya di samping meraikan kepimpinan baharu, Kim Jong-un.

Dikelilingi pegawai-pegawai tertinggi tentera Korea Utara serta Naib Presiden China, Li Yuanchao, negara sekutu rapat Pyongyang ketika Perang Korea dahulu, Jong-un menerima tabik hormat di atas podium sambil disaksikan ribuan penonton yang mengibarkan bendera pelbagai warna.

Berpakaian sut Mao berwarna hitam, Jong-un kelihatan tersenyum dan melambai-lambai tangannya kepada penyokongnya sebaik sahaja laungan 'Selamatkan Kim Jong-un' bergema di seluruh dataran berkenaan.

Bagi masyarakat dunia, buat julung-julung kalinya mereka berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat perarakan yang sarat dengan perkakasan senjata berat dan puluhan ribu tentera selepas wartawan asing dibenarkan membuat liputan secara rasmi.

Salah satu gambar diambil di pertengahan perarakan, dikongsi di laman sosial Twitter menunjukkan beberapa askar sedang duduk akibat keletihan dan berpegangan sesama sendiri untuk terus berdiri tegak.

"Ada antara askar yang pitam kerana terlalu keletihan," lapor koresponden Cable News Network (CNN), Ivan Watson dalam Twitternya.


SIKAP degil Pyongyang berterusan melakukan ujian peluru berpandu dan senjata nuklear membimbangkan ASdan sekutu-sekutunya.


"Mereka terpaksa berdiri berjam-jam di bawah pancaran matahari yang terik," ujarnya lagi.

Rakyat Korea Utara menggelar sambutan itu sebagai Hari Kemenangan Perang Membebaskan Tanah Air biarpun Perang Korea yang berlangsung dari tahun 1950 hingga 1953, menyaksikan kewujudan Korea Utara dan Korea Selatan itu belum berakhir sepenuhnya.

Gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini masih rapuh sekali gus mewujudkan ketegangan yang berterusan.

Di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama, meraikan sambutan ulang tahun gencatan senjata itu di Memorial Veteran Perang Korea di Washington.

Dalam ucapannya, Obama memberitahu, sambutan ulang tahun berkenaan menandakan perang sudah berakhir dan permulaan kepada satu proses pendamaian yang panjang.

Katanya, Korea Selatan berhak memenangi peperangan itu kerana lebih 50 juta rakyatnya bebas mengamalkan demokrasi berbanding kehidupan rakyat di negara jirannya itu.

Ujarnya, perkongsian antara AS dan Korea Selatan kekal sebagai satu asas kepada kestabilan di seluruh rantau Pasifik. Obama turut memuji semangat tentera-tentera AS yang berjuang di negara itu sejak berdekad-dekad lalu termasuk pada hari ini.

Jong-un, yang mengambil alih tampuk pemerintahan Korea Utara pada 28 Disember 2011 selepas kematian bapanya, Kim Jong-il dilihat sebagai ancaman utama kepada Washington dan Seoul.

Di bawah arahannya, Pyongyang berjaya melakukan dua ujian peluru berpandu jarak jauh dan ujian nuklear sehingga memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan ke atas negara itu.


RAKYAT Korea Utara dikatakan yakin dengan kemampuan negara mereka berhadapan dengan siapa sahaja musuh.


Langkah diplomasi

Korea Utara dilihat mula mengambil langkah diplomasi sementara dengan Korea Selatan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Keadaan itu berbeza pada bulan Mac dan April lalu apabila Korea Utara mengancam memulakan perang nuklear terhadap Washington dan Seoul sebagai respons terhadap latihan ketenteraan tahunan melibatkan kedua-dua negara di samping bantahan keras PBB ekoran ujian nuklear kali ketiga yang dilakukan.

Rundingan perlucutan senjata nuklear juga sudah lama dihentikan dan belum ada tanda-tanda Korea Utara mahu meneruskannya.

Tidak cukup dengan itu, Pyongyang turut mengadakan perarakan besar-besaran pada April tahun lalu, sempena ulang tahun ke-100 pengasasnya, Kim Il-sung. Keadaan itu telah mencetuskan kebimbangan selepas negara tersebut melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh dikenali sebagai KN-08.

Ketua Pengarah Biro Politik Tentera Korea Utara, Choe Ryong-hae dalam ucapannya pada Sabtu lalu, menekankan kepentingan memelihara keamanan dan kestabilan ekonomi di samping peranan tentera dalam melindungi negara itu daripada pencerobohan asing.

Ucapan itu dilihat lebih berlapik berbanding kecaman keras dan berapi-api yang dilemparkannya kepada AS dan Korea Selatan semasa ketegangan memuncak sebelum ini.

Pyongyang dipercayai mempunyai bahan-bahan mentah untuk menghasilkan bom nuklear, bagaimanapun ramai penganalisis berpendapat, republik itu belum menguasai teknologi penciptaan persenjataan sepenuhnya.

Sementara itu, di Korea Selatan, Presiden Park Geun-hye menegaskan, beliau tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang provokasi Pyongyang.

Katanya, biarpun Korea Utara pernah membunuh kira-kira 50 tenteranya dalam satu serangan terhadap kapal perangnya pada tahun 2010, Seoul akan berterusan membina kepercayaan terhadap jirannya itu.

"Saya menyeru Korea Utara supaya menghentikan pembangunan senjata nuklear jika berhasrat melaksanakan perubahan sebenar dan mencapai kemajuan," katanya.

Seramai 200 peserta berkumpul secara aman bagi meraikan sambutan ulang tahun gencatan senjata itu di Seoul. Ada antara mereka dilihat membakar gambar-gambar dinasti Kim, sebagai simbolik membantah pembangunan nuklear dan pelbagai provokasi yang dilakukan rejim itu di bawah Jong-un.


PULUHAN ribu tentera mengambil bahagian dalam perarakan ini.


Simbol kemegahan

Tradisi perarakan ketenteraan besar-besaran sememangnya sinonim dengan negara-negara komunis termasuk di Korea Utara. Ia bertujuan mempertontonkan kekuatan ketenteraan serta persenjataan dimiliki sebagai simbol kemegahan di samping menyampaikan mesej tersirat kepada negara-negara pro-Barat.

"Keunikan perarakan ini ialah sistem senjatanya tidak perlu berfungsi semata-mata untuk memastikan ia tampak hebat.

"Sesebuah peluru berpandu yang diarak sudah cukup menggerunkan meskipun kehebatannya belum teruji," kata David Stone, pengkaji ketenteraan Kesatuan Soviet dan Rusia di Universiti Negeri Kansas, AS.

Sungguhpun perarakan seumpama itu berlangsung setiap tahun, ia merupakan medan terbaik untuk mempertontonkan inovasi persenjataan kepada umum.

Kali ini, Korea Utara berjaya mencuri tumpuan melalui penghasilan peluru berpandu jarak jauh, KN-08 yang didakwa memiliki keupayaan nuklear dan mampu mengenai sasaran di AS.

"Meskipun menyedari risiko kehilangan reputasi sekiranya senjata berkenaan gagal berfungsi seperti yang didakwa, lebih baik penduduk dunia melihat sebaliknya," kata Marcus Schiller, seorang jurutera aeroangkasa dari Jerman.

Apa yang pasti, perarakan itu menghantar mesej penting mengenai tahap kekuatan ketenteraan Korea Utara pada hari ini.

Dengan mempertontonkan kehebatan jet-jet pejuang, helikopter, kereta kebal serta puluhan ribu tentera yang berjalan megah di dataran itu, ia mampu menaikkan sokongan rakyat negara itu kepada pemimpin mereka.

"Selepas melihat semua ini, saya rasa negara kami mampu mengalahkan sesiapa sahaja," kata Ryang Un-ho, 84, salah seorang daripada ratusan veteran perang Korea Utara yang dijemput ke perarakan itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved