Kosmo Online - Sukan |
Posted: Masa untuk Rajagobal berundurOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
SITUASI Harimau Malaya semakin kritikal selepas mempamerkan persembahan tidak menentu sepanjang mengharungi siri perlawanan persahabatan di Jepun sejak 23 Julai lalu. Ramai pemerhati menganggap rekod dua kemenangan daripada 12 perlawanan persahabatan di pentas antarabangsa itu tidak dapat memberikan satu keputusan yang positif buat skuad negara. Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu diaibkan dengan kekalahan 0-5 kepada pasukan kedua tercorot Liga Jepun, Shonan Bellmare Sabtu lalu. Kekalahan itu tidak dapat membendung kemarahan khususnya dalam kalangan peminat-peminat Harimau Malaya. Rajagobal turut dikecam hebat selepas ranking skuad negara statik di tangga ke-159 dunia kerana Harimau Malaya lebih berminat mengadakan aksi pemanas badan dengan pasukan berstatus kelab. Ramai pengkritik menganggap tindakan tepat untuk menyelamatkan maruah skuad negara ialah dengan memecat Rajagobal yang cukup sinonim dengan pendekatan mahu menguji pemain atau bereksperimen. Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan (gambar kecil) berkata beliau menganggap tindakan untuk memecat Rajagobal bukan satu jalan penyelesaian tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah boleh menilai keupayaan bekas jurulatih Selangor itu. "Saya rasa, prestasi pasukan negara selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos dan Piala AFF Suzuki 2010 tidak mampu bertahan sehingga sekarang. "Rajagobal dilihat semakin 'kuat' biarpun beliau sering menerima kritikan dan pandangan sinis daripada bekas-bekas pemain serta jurulatih kebangsaan. "Pecat jurulatih bukan satu titik noktah atau sesuatu yang baik buat pasukan tetapi pengurusan (FAM) perlu memandang serius terhadap teguran daripada pihak luar. "Tidak hanya berminat untuk mencuba pemain bagi mewakili negara tetapi paling mustahak, beliau harus mengambil berat mengenai ranking skuad negara dan pandangan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Timbalan Presiden FAM) serta Setiausaha Agung FAM yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Kosmo! semalam melaporkan, Tengku Abdullah menggesa Rajagobal memantapkan skuad kendaliannya bagi menghadapi perlawanan penting termasuk menentang Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan. Baginda bertitah, ia bukan masa terbaik buat Rajagobal untuk terus menguji skuad kendaliannya selain mendesak Harimau Malaya mempamerkan persembahan lebih menyakinkan. Sementara itu, pemain legenda Kelantan, Dali Omar tampil dengan nada berbeza apabila beliau menganggap jurulatih berusia 57 tahun itu telah kehabisan idea untuk mengembalikan reputasi Harimau Malaya. "Kalau saya, sudah lama pecat (Rajagobal) dan perkara ini sepatut berlaku dua tahun lalu. Dulu beliau pernah berjanji nak letak jawatan secara sukarela. "Saya sangat menyokong kenyataan Tengku Abdullah. Bagi saya, taktik Rajagobal sudah hancur. Jangan nak eksperimen lagi. Mungkin (kaedah) itu sesuai dengan budak sekolah sahaja," katanya. Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menyokong penuh kenyataan Dali dengan menegaskan, Rajagobal perlu berundur dengan cara hormat. "Rajagobal memang bagus tetapi beliau sudah sampai ke tahap tepu. Setiap orang ada batas dan tahapnya. "Sejujurnya, beliau tidak boleh lagi untuk membimbing Harimau Malaya. Nasihat saya, berundurlah. Orang akan marah jika anda kekal lebih lama. "Kita perlukan seseorang yang lebih baik," ujarnya. | |
Posted: Lions XII tidak tertekanOleh NOR AZIRAN YUNUS SHAHRIL (kanan), salah seorang daripada tiga pemain yang melebihi usia 23 tahun dalam skuad Lions XII. JUARA Liga Super, Lions XII tidak mahu mendabik dada. Wakil dari Singapura itu lebih selesa jika dianggap sebagai pasukan bukan pilihan pada kempen Piala Malaysia 2013 yang bakal membuka tirainya 20 Ogos nanti. Jurulatihnya, V. Sundramoorthy berkata, status selaku juara Liga Super bukan jaminan buat mereka untuk berasa selesa pada kempen Piala Malaysia itu. Menurutnya, sudah menjadi tradisi dalam saingan paling berprestij di Malaysia itu, semua pasukan perlu bekerja keras untuk menjadi juara. "Pasukan saya dibarisi pemain muda bawah 23 tahun dan mereka perlu bekerja keras dalam saingan Piala Malaysia. Saya juga melihat kami akan beraksi tanpa sebarang tekanan. "Bagi saya, pasukan-pasukan elit lain yang dibarisi pemain senior dan pemain-pemain import yang hebat, perlu lebih merasai tekanan. Bagi kami, sebagai sebuah pasukan muda, kami lebih selesa beraksi sebagai sebuah pasukan bukan pilihan," kata Sundramoorthy ketika ditemui Kosmo!, baru-baru ini. Tegasnya, beliau turut berpuas hati dengan undian Piala Malaysia kali ini yang menyaksikan Lions XII diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Perak, Sarawak dan Kedah. Sundramoorthy berkata, beliau meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan, sekali gus mara ke suku akhir. "Selepas melepasi peringkat kumpulan dan beraksi di suku akhir, barulah kami mencongak peluang seterusnya dalam kempen Piala Malaysia kali ini. "Selain itu, walaupun kami tidak pernah tewas dalam saingan Liga Super ketika beraksi di gelanggang sendiri, sukar untuk saya nyatakan dalam saingan Piala Malaysia nanti. Dalam bola sepak, apa juga perkara boleh berlaku dan ia sangat sukar untuk dijangka. "Saya berpendapat, jika kami menampilkan aksi yang sama (dalam Liga Super) ketika beraksi di Stadium Jalan Besar itu nanti, tidak mustahil sasaran awal ke suku akhir tidak sukar untuk dicapai," katanya. Dalam saingan kali ini, hanya tiga pemain tonggak yang melebihi usia 23 tahun membantu pasukan Lions XII iaitu ketua pasukan, Shahril Ishak, Isa Halim dan Baihakki Khaizan, manakala selebihnya adalah para pemain skuad Bawah-23 (B-23) tahun Singapura. | |
Posted: Jang harap keajaibanOleh NORZASRUDIN MOHEMED NOR NAZRIN (dua dari kanan) dikaitkan dengan dua pasukan gergasi Liga M selepas menampilkan aksi yang memberangsangkan bersama Negeri Sembilan sepanjang musim ini. NEGERI Sembilan mengharapkan keajaiban pada kempen Piala Malaysia 2013. Diundi bersama tiga pasukan gergasi pantai timur termasuk juara bertahan, Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam Kumpulan C, peluang anak-anak buah pengendali sementara, Ridzuan Abu Shah untuk melepasi peringkat kumpulan dianggap sukar. Tambahan pula, prestasi skuad Hoben Jang Hoben musim ini tidak mencapai tahap sebenar selepas sekadar menghuni tangga tercorot pada kempen Liga Super, sekali gus tersingkir pada saingan Liga Premier musim depan. Selain itu, mereka juga terpaksa menewaskan Sabah pada aksi playoff untuk mengesahkan slot ke pertandingan paling berprestij di Malaysia itu. Namun, Ridzuan yang mengambil-alih tugas Divaldo Alves dari Portugal pada Mei lalu ada strategi tersendiri untuk menghadapi cabaran itu. "Kalau dilihat daripada keputusan undian, memang kami berada dalam satu 'kumpulan maut'. Saya akui, ini adalah satu kumpulan yang sukar. "Namun, berdasarkan pencapaian ketika-tiga pasukan itu sepanjang musim ini, hanya Kelantan boleh dianggap konsisten dan menjadi pencabar utama. "Saya bukan menafikan kekuatan Terengganu dan Pahang tetapi saya rasa, kami mampu memberikan saingan yang sengit kepada mereka. Kami juga memiliki beberapa pemain yang hebat dan sedang meningkat naik. "Apa yang patut kami lakukan adalah berusaha bersungguh-sungguh dan menampilkan aksi yang terbaik," kata Ridzuan kepada Kosmo! semalam. Ridzuan berkata, misi pertamanya ketika ini adalah memujuk pemain sayap, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi yang diburu dua pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M) iaitu Kelantan dan Johor Darul Takzim supaya kekal dengan pasukan itu musim depan. Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan berusia 25 tahun itu menjadi watak utama yang membantu Negeri Sembilan selaku juara tiga kali (pada 1948, 2009 dan 2011) itu melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini. Nazrin yang ketika ini bersama skuad Harimau Malaya di Jepun meledakkan hatrik ketika Negeri Sembilan menewaskan Sabah 4-0 pada aksi playoff di Stadium Shah Alam, 10 Julai lalu. "Saya akan berbincang dengan Nazrin sebaik dia balik dari Jepun nanti. Saya akan cuba memujuknya supaya kekal dengan kami musim depan. Saya memang mahu dia kekal di sini. "Selain itu, dia perlu ingat bahawa namanya menjadi sebutan ketika dia bermain dengan kami. Jadi, saya harap dia tidak akan mengecewakan kami," kata Ridzuan. Ridzuan berkata, beliau tidak ada hak untuk menghalang Nazrin daripada meninggalkan pasukan itu tetapi berharap dia akan memikirkan semula tawaran yang diterima. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan